DULU WAKTU KECIL-KECIL dia sering dibawa abangnya untuk lepak-lepak dengan Wari di kawasan resort tu. Mereka sering membantu apa yang patut. Pak Ndak Yassin tu orang kepercayaan Tuan Ali Hakeem sejak dahulu.
Sejak Abang Fitri Hadi ambil alih urusan resort daripada Tuan Ali Hakeem, resort tu maju sungguh. Jangan haraplah hendak dapat tempat menginap, kalau booking lambat-lambat. Resort ini pun sudah semakin luas, dari hujung tanjung itu... sampailah ke hujung lekuk itu semuanya telah bertukar menjadi kawasan penginapan. Tanah Andriyana Resort, chaletnya sudah bertambah dua kali ganda dari dulu pun. Aktiviti hujung minggunya pun semakin banyak. Macam hari inilah, petang nanti... ada pertunjukan membuat laksa beras. Chef Tok Chik Nah akan berganding dengan Mak Ndak Som untuk program tu. Kak Aliya tu banyak betul idea dia tu.
Dan kini Piyan dalam perjalanan membawa Chef Nah dengan cucunya yang cantik, Ainnul Suffiah ke sana. Sejak masuk dalam kereta tadi, hanya Tok Chik Nah yang berbicara, dan Suffiah diam sahaja. Gadis manis berbaju kurung warna merah jambu dengan tudung warna ungu muda itu bagaikan pelangi: berwarna-warni. Kasutnya warna kuning dengan kerongsang kristal warna hijau, berkilau. Dia seperti pelangi kan, indah... tetapi tidak tercapai dek tangan. Bunyinya seperti klise sahaja... tapi itu sahaja yang dia mampu cakap saat ini.
Sejak Busu beritahu fasal hasrat Mak Ndak dan niat Wari, Piyan mula menutupi hatinya daripada mulai 'jatuh hati' pada Piyah. Kalau hari tu, dalam berani-berani takut hatinya bertunas juga untuk Suffiah, kini dia sudah tuba rasa itu. Kalau dengan Busu atau dengan abangnya, Piyan sanggup lagi merebut Suffiah tetapi tidak dengan Wari. Dia sudah seperti kembar siam dah dengan sepupunya itu. Hati mereka bagaikan melekat dua, dan tidak ada sesiapapun yang berani menyakiti hati seorang lagi... kerana kepedihannya terasa satu.
Dialah yang terlambat. Hasratnya petang semalam, waktu hantar basikal... dia ingin 'berkias sesuatu' dahulu dan lihat angin monsun bertiup dari arah mana – melihat bagaimana reaksi cucu Tok Chik Nah dahulu. Kemudian barulah dia berani berbicara fasal bulan, bintang dan matahari. Sekarang kata-katanya sudah terpadam semuanya.
Adakah kerana itu Suffiah diam sahaja. Dia juga ada hati pada Wari dan kini dia sedang belajar menjadi bakal tunang orang yang setia?
Suffiah sudah dirisik orang! Piyan mengeluh.
Padan sahaja Suffiah dengan Wari. Seorang kacak dan seorang cantik. Wari lulusan Sains Komputer daripada Universiti Sains Malaysia tu sudah bekerja tetap di Tanah Andriyana. Bukan macam dia yang hanya jual ikan! Mana orang KL hendak pandang orang yang badannya hanyir ikan senantiasa.
Piyan menjeling ke belakang. Melalui cermin di sisinya. Matanya leka memandang. Anak Pak Ngah Burhan memang cantik. Tetapi yang membuat Piyan terpikat kepada gadis itu, hanya kerana sikapnya. Bukan kerana wajahnya semata. Wajahnya itu faktor yang keempat, barangkali. Yalah siapa tidak teruja pada kecantikan.
Dia jadi kagum dengan Suffiah rela menemani neneknya di sini semata-mata untuk belajar masak. Widyawati pun tak suka turun ke dapur. Padahal adiknya itu orang Langkawi sahaja. Suffiah tu ringan tulang tolong neneknya siang malam. Jemarinya kecut-kecut menghiris buah gelugur, sedikit pun dia tidak merungut. Kulitnya sudah gelap sedikit dek kena panas berjemur di luar kerana buat kerja-kerja kampung tidak pula dia alah. Sentiasa ceria sahaja dia tu. Kalau mengaji Quran suara Ainnul Suffiah sedap sangat. Burung-burung pun bagaikan terpesona mendengar lantunan suaranya melafazkan ayat-ayat Allah; inikan pula Piyan.
Ainnul Suffian tu penyayang dengan budak-budak. Apalagi ya... ya... Suffiah suka berbaju kurung, buat dia jadi gadis Melayu yang tiada tolok bandingnya di daerah ini. Susah dah hendak cari budak-budak perempuan yang sedia berbaju kurung setiap hari kan. Baju kurung dia pun warna cantik-cantik. Suffiah macam Kak Aliya, yang manis berbaju kurung.
Cantik dan indah!
Sebab itu kalau terpandang Suffiah, selalu sukar untuk Piyan lepaskan matanya cepat-cepat. Dia suka melihat wajah Suffiah, baju kurung Suffiah, jemarinya yang runcing tanpa cincin itu.
Astaghfirullah. Dia sudah melampau, memandang buah hati Wari tu.
"Tempat rebus laksa dah siap ke?" tanya Tok Chik Nah tiba-tiba.
"Dah... Wari kata dah." Matanya memerhati ke belakang, kalau-kalaulah Suffiah suka mendengar nama Wari. Tak ada respons. Mata Suffiah seperti tiada perasaan.
"Piyah, apa yang Piyah nak suruh tok cakap dekat Abang Piyan tadi?"
Apa? Debar tetap ada, walaupun dia lelaki.
"Oh, nanti nak minta Abang Piyan teman Piyah jumpa Abang Wari sekejap." Kata Suffiah dari arah belakang.
"Kenapa?" Musykil.
"Piyah nak pinjam Internet nak isi borang UPU aja." Kata Piyah.
"Okey." Ingatkan fasal apa tadi.
Suffiah kembali memandang laut yang kehijau-hijauan. Sekejap lagi mereka akan memasuki daerah Tanah Andriyana. Inilah kali pertama Piyah ke sana.
"Piyan, nanti tanya emak... untuk makan pengantin... ayam golek tu hendak pukul berapa? Dan berapa ekor, na." Kata Tok Chik Nah.
"Esok baru emak balik." Jawab Piyan. Dia membelok pikapnya ke sebelah kiri jalan. Atau Suffiah malu, pakai cantik-cantik lagi wangi... kena naik pikap ikan? Logiknya ada juga! fikir Piyan.
"Siapa yang hendak kahwin ni? Soalan ini sejak semalam tiada jawapannya. Hati Suffiah diburu resah tak berpenghujung.
"SAPAmengaji elok-elok dan ubah juz dia... nanti Kak Piyah belanja aiskrim." Suffiah menaburkan 'rasuah' pada anak kecil yang comel-comel itu. Segaknya mereka berbaju teluk belanga dan kurung berwarna-warni. Kalau disuruh beratur memanjang boleh buat kumpulan nasyid dah ni.
Kanak-kanak itu sudah menjerit gembira. Panas-panas begini makan aiskrim seronoklah.
"Cornetto ya Kak Piyah!" jerit Deeja dan Amma serentak.
Suffiah mengangguk sambil tersenyum. Telunjuk diangkat ke bibir.
"Syhhh, slow sikit depan Muqaddam kena sopan santun. Ini ayat Allah ni," pesan Suffiahsambil tersenyum. Telunjuk yang tadi diletakkan di bibir diletakkan semula di riba. Panas petang tumpah atas wajahnya yang putih kuning dan terserlah manisnya dia. Dari jauh Busu sudah tersengih-sengih atas buaian yang diikat pada pohon beringin.
Dengan suara yang tidak sedapnya itu dia melagukan lagu daripada filem Bawang Merah Bawang Putih. Saat dia sedang nyanyikan lagu bagi watak Seniwati Latifah Omar, dia sebenarnya sedang berlagak kononnya dialah Nordin Ahmad.
pohon beringin tegaknya tinggi
kalau rendah menyapu bumi
menghibur aku, menolong aku
bertiuplah angin bayu...
"Busu, apa ni... budak-budak duk mengaji di dalam dia duk menyanyi kat luar pulak dah."Kata Wari yang sedang membantu Tok Chik Nah memunggah asam gelugur dari baldi untuk dijemur sekali lagi di atas pangkin yang mereka makan tadi. Wari ni sebenarnya sedang bersiap-siap hendak balik dah. Dia sedang menunggu ayah dan ibunya serta Wawa menumpang solat. Nenek Suffiah masih dalam rumah. Ada hajat yang emak ingin minta Tok Chik Nah tolong.
Wari sudah serba salah. Hatinya sudah berbelah bagi. Sejak nampak Ainnul Suffiah hatinya sudah berkata yang lain. Sambil-sambil tangannya bekerja. Telinga Wari sempat mendengar suara cucu Tok Chik Nah yang sedang membetulkan bacaan kanak-kanak di situ. Tenang sahaja suara itu, sedap pula.
laju-laju... buaiku laju.
Busu menyanyi lagi. Busu ini sengaja khianat, dia bimbang Wari akan bertambah terpesona dengan Suffiah kalau terus-terus mendengar suara lunak dari anjung rumah tu. Jadi dia terus menyanyi...
pohon beringin dahannya rendang
akar berjalur cecah ke bumi
hati ingin hidup gemilang
"Busu, nanti putus tali tu, Piyah dah tak boleh naik dah," tegur Tok Chik Nah yang baru keluar daripada pintu dapur dengan nyiru di tangan. Yalah, Busu tu sudah satu tan, buatnya tali tu putus siapa nak gantung semula. Petang-petang Piyah suka duduk di situ, sambil berbual dengan Alin.
Di belakang Tok Chik Nah ada ibu Wari dan Wawa. Busu ni la, penat sungguh kalau dia singgah di sini. Apabila dah boleh mai sini susah hendak disuruh balik. Kalau rajin macam Wari atau Piyan tak apa. Ini pemalasnya.... Ya Rabbi! bisik Tok Chik Nah.
laju-laju... buaiku laju...
Dia terus bangun. Yalah nanti kasihan Suffiah sudah tak boleh membuai di sini. Aku ingin kahwin dengan Ainnul Suffiah.Lirik yang akhir itu, dia sekadar sambung dalam hati sahaja. Mahunya Tok Chik Nah katuk kepalanya dengan pencakar rotan yang bersandar dekat pokok nyiur tu aja. Atau nenek Suffiah tu pukul dia dengan nyiru di tangannya tu terus.
Busu menjauhkan diri daripada Tok Chik Nah sedikit. Dan menggamit Wari ke arahnya.
"Wari, Piyah tu jangan hang duk usyar dah... Piyan dah booked." Ideanya datang tiba-tiba. Wari dengan Piyan tu sepupu yang rapat sangat. Apa-apa yang disukai Piyan, Wari akan mengalah. Begitu juga sebaliknya.
"Bukan dia dengan Bella ka? Hang kata tiap-tiap hari jumpa?"
"Bella tu pelanggan ikan dia, takkan la dia nak suka dekat tauke Restoran Bella Tomyam tu pulak. Hari-hari dating tu bukannya fasal apa, dia kena pi hantar ikan kat situ saja!" kata Busu.
Mata Wari kembali ke arah asam gelugur. Separuh percaya, separuh tidak. Sebabnya tadi beria-ia Busu bercerita macam bersungguh sahaja Piyan makan dengan Bella setiap hari.
Leganya Busu. Hampanya Wari.
Tok Chik Nah kembali lagi ke arah mereka. Busu sudah berhenti menyanyi. Kepingan asam gelugur yang Suffiah hiris dengan Tok Chik Nah kelmarin dia pepak sikit-sikit. Sejak tahu asam tu Suffiah yang hiris, dia pun jadi lalu aja makan – buat snek.
"Sakit perut nanti Busu," larang Tok Chik Nah. Ha la nak masak pun orang bubuh sekeping dua sahaja, yang Busu pi buat keropok siapa suruh?
Sekejap sahaja Wari sudah kembali ke kereta, ayah menunggunya di sana. Dan dia pula menunggu ibunya yang masih bersalam-salam dengan Tok Chik Nah. Kalau sudah tiada pilihan begini, rancangan ibunya hendak minta tolong Tok Chik Nah merisik cucu Penghulu Hasyim tu jadilah. Dia tidak berkenan sangat dengan Thalatha, kalau dengan adik dia Jumaaton bolehlah juga. Tapi sejak nampak anak Pak Ngah Burhan yang sudah dewasa ini, hatinya terpaut sungguh-sungguh. Emak pun macam sudah berkenan tadi.
Tapi... kalau dah Piyan sudah suka, baiklah dia tidak mencuba. Lagipun kalau tidak kerana Piyan pun... kalau sudah Suffiah tu hendak sambung belajar, mahunya empat, lima tahun lagi mereka bertunang. Lama tu... entah-entah kalau sudah di luar negara Suffiah ni berkenan dekat orang lain macam mana?
* * *
SUFFIAH membilang dalam hati anak murid tok hari ini, sembilan orang sahaja. Nanti dia nak paksa Busu beli aiskrim kat pekan. Busu ni, sudah makan kenyang pun tak reti-reti balik rumah, Suffiah melihat jam di dinding. Sudah hampir pukul empat. Tinggal dua orang lagi, Megat dengan Aqil sahaja.
Kalau aiskrim Cornetto RM2.50 satu, sembilan orang baru... RM22.50 aja, Busu mesti nak upah dia juga! Ah, beli yang murah ajalah kat dia... beli aiskrim Malaysia warna merah. Suffiah ketawa dalam hati. Suffiah suka sangat aiskrim Cornetto... tidak sampai hati pula kalau hendak memesan yang sedap untuknya, budak-budak ni dia beli yang murah-murah pula. Amma dan Deeja sudah menjerit hendak aiskrim kon tu dah! Kasihan.
Tetapi duitnya tinggal RM30 ini sahaja.
Harap-harap babah hantar elaun sedikit la, dia sudah kering sangat. Tak kan lah, nak minta daripada tok pula. Kasihanlah dekat tok.
Pak Ndak Yassin sekeluarga sudah pulang. Dia datang tu sengaja hendak ziarah tok. Menurutnya tok tadi, dia hendak minta tok tolong buat ayam golek untuk makan beradab. Tapi Suffiah tak tahu siapa yang nak kahwin. Dengar macam Makcik Siah yang minta tolong. Emak Abang Piyan? Siapa yang hendak kahwin. Hairanlah. Janganlah Abang Piyan pula, mahunya Piyah lari balik KL malam ni juga!
"Busu," panggil Suffiah. Dia berdiri di muka pintu, sambil menyeluk saku baju kurungnya.
"Apa Piyah?" Muka Busu sudah berseri-seri macam dia dilamar Suffiah lagaknya.
"Tolong beli Cornetto, perasa campur-campur sebelas na.Lebih tu untuk upah Busu tolong beli. Cepat na, budak-budak ni dah nak habis mengaji dah. Piyah nak buat kenduri arwah untuk tok wan ni," kata Suffiah.
"Fasal Piyah, beres. Busu dulu kalau dapat ustazah lawa mengajar mengaji macam Piyah ni mesti pandai punya, ni..." kata Busu ke arah tok yang sedang mengalih-alihkan asam gelugur di pangkin depan. "Ustazah tua... dan tak lawa!"
"Piyah nak habark dekat Tok, Busu kutuk dia!" Suffiah cuba menakut-nakutkan Busu.
Busu cepat-cepat berlalu. Dia meminjam basikal Suffiah.
Suffiah duduk semula, mengajar Megat pula. Budak-budak lain tekun sahaja melancar untuk kelas esok pula. Hatinya tenang sangat, hari tiada siapa yang buat hal. Shabudin tak datang, Megat mati kutu la sorang-sorang.
Suffiah sudah hampir tersengguk sehinggalah dia dengar suara Rafi menjerit, "Sadaqallahulazim."
Ustazah pun terlena. Astaghfirullah al-Azim.
Seorang demi seorang menghadap dan mencium tangan Suffiah. Ucapkan terima kasih kerana mengajar mereka mengaji hari ini. Seronok juga jadi guru, tetapi babah mahu dia buat arkitek pula. Tapi jadi guru pun malas. Terasa macam nak jual ikan dengan Abang Piyan pun tak pa dah. Gatal!
* * *
SUFFIAH membetulkan langsir jendela yang ditiup angin, menerpa mukanya. Adik-adik mengaji sendang bermain di luar. Menunggu aiskrim yang belum-belum juga sampai. Matanya beralih sesaat memandang ke arah jalan, kalau-kalau Busu sudah kembali, kedainya tidak jauh mana. Tetapi mana tahu Busu singgah di mana-mana pula.
Tiba-tiba matanya tumpah pada lelaki yang sedang menjinjing beg plastik ke arah rumah tok. Hatinya bergetar. Dia jadi tidak tahu bertingkah. Dia mulai rasa malu dengan perasaannya. Kenapa ada rasa begini, dia muda lagi... belum pun 19 tahun. Cinta tidak mengenal usia, Suffiah. Pujuk hatinya, mengurangkan rasa bersalah.
Tapi babah bersetujukah dengan pilihannya hanya seorang penjual ikan? Tok Mama tak pengsan ke, melihat bakal cucu menantunya ini. Cucu perempuannya cuma Suffiah seorang. Amboi Suffiah, baru tengok orang sudah memandang masa depan dah!
Jauhnya merancang anakEncik Burhan ni!
"Assalamualaikum. Tok Chik Nah." Pandangannya tumpah sedikit ke arah Suffiah yang manis berbaju kurung kuning air berbunga kecil warna perang itu. Gadis manis itu sudah di ambang pintu rumah.
"Lambatnya... nasi dah habis semuanya," usik tok.
Piyan senyum sahaja. Dia sudah kenyang makan di restoran Bella.
Lambat-lambat Ainnul Suffiah berjalan ke arah neneknya dengan Abang Piyan.
Piyan menghulurkan beg plastik aiskrim ke tangan tok.
"Apa?"
"Busu kata Piyah pesan, nak buat kenduri."
"Aiskrim?"
"Patutlah budak-budak ni habis mengaji pun tak balik lagi, Kak Piyah beri upah rupanya!"
"Mana Busu?"
"Dia sakit perut, dia telefon saya suruh ambil di kedai, dan suruh hantar kat sini."
"Jangan hendak tuduh tok masak tak betul pulak. Dia yang makan banyak. Lepas tu duk pepak asam gelugur ni." Tok Merungut.
Tok mula memberi kon aiskrim tu satu sorang. Baca bismillah, pesan Tok Chik Nah. Selebihnya lagi diserahkan semula pada Piyah dan Piyan.
"Tok?"
"Tok tak suka makan sejuk-sejuk... nanti mandom!"
"Tak kan kut?"
"Saja. Hampa orang muda makanlah."
"Tok makanlah... Piyah buat kenduri untuk tok wan hari ni. Piyah dah kenyang." Kata Suffiah, sambil berlalu ke tepi pangkin. Menyesal tak suruh beli 12 aiskrim. Piyan membantu tok mengalihkan asam gelugur. Tok masuk ke dalam sekejap, mencari beg plastik. Piyan pesan asam gelugur dua kilogram. Aiskrim perasa coklat itu Tok Chik Nah hendak simpan dalam peti ais dahulu. Nanti-nanti baru dia makan.
"Piya nak kongsi?" Abang Piyan memberanikan diri bertanya. Tak kan nak makan tak pelawa tuan rumah.
Suffiah menggeleng. Padahal dia teringin sangat. Dia duk tunggu Busu balik, berapa kali dia menelan liur.
Cornetto vanila campur karamel dengan kacang pecah itu memang kegemarannya.
Abang Piyan menghulurkan not merah tiga keping kepadanya semula.
Apa? Suffiah bertanya dengan matanya.
"Abang Piyan yang belanja. Kenduri untuk tok wan ni, pahalanya Abang Piyan hadiahkan untuk Piya!"
Suffiah jadi keras macam pohon beringin. Terharu sangat!
"Makanlah aiskrim ni, nanti chayark. Lebih baru bagi dekat Abang Piyan perabis." Dia tahu tentu Suffiah geli hendak berkongsi aiskrim dengannya. Suffiah tu macam adiknya sahaja. Tak apa-apanya hendak berkongsi makan.
Suffiah mengangguk untuk maksud 'teringat', tetapi Piyan faham sebagai 'tak teringat'!
Tak apalah orang makan tak teringat dekat kita! Nak buat macam mana! Betullah kata Busu tadi, emak Wari dah booked Piyah. Emak dia dah datang merisik dengan Tok Chik Nah tadi. Kata-kata Busu tu banyak benarnya. Biasalah dia selalu akan beralah pada Wari! Dia akan tumpang gembira untuk Wari. Cuma kasihanlah sebab Piyah hendak sambung belajar lagi.
Tok Chik Nah sudah menghampiri mereka semula dengan beg plastik.
"Tok Chik Nah, esok saya mai ambik pagi na! Tak pa kita naik pikap saja? Gheta abang nak guna!" kata Piyan.
Tok mengangguk.
Ainnul Suffiah tiba-tiba jadi sedih tanpa sebab....
[Bersambung...]
Catatan:
Baca cermat-cermat ya, sehari satu latar, stok entri ini untuk tiga hari ya :)
SUDAH BEGITU banyak kisah cinta indah yang dia pernah dengar, janganlah kisah cintanya berakhir dengan kesedihan. Inikan cinta pertama, dan cinta pandang pertama. Kata orang the first cut is deepest; macam tajuk lagu Cat Steven kesukaan babah, yang kini turut menjadi kesukaannya juga. Kenapa babah suka lagu yang diterbitkan tahun 1967 itu, padahal ibu kan cinta pertamanya?
Dia menyukai Abang Piyan.
Tetapi....
Suffiah geram dengan Busu yang asyik bermain mata sepanjang tengah hari ini. Tengok sahaja ke arah kerabu paku rawan yang dibawa oleh Mak Ndak Som, hatinya turut jadi rawan jua. Suffiah rasa macam Busu hendak pakai taktik kotor untuk pikat dia. Contohnya, dia sekat Abang Piyan datang hari ini. Jadi dia jangan tunjuk tak suka apalagi benci pada Busu sungguh-sungguh, buat dia calit minyak senyonyong... fuh mahunya Suffiah jadi kahwin dengan dia belum keputusan STPM keluar lagi. Nauzubillah.
Ngeri.
Fikiran Suffiah sudah mengembara sehingga ke negeri jin dan raksasa. Dan salahsatu daripada raksasa tu ialah Si Busu Busuk Hati. Dia memanglah... semua gelaran menggambarkan wataknya yang pelbagai, Busu Gendut sebab dia gemuk. Busu Bongkok Sabut, sebab dia memang bongkok sikit pun, Busu Bukan Keanu Reeves... sebab memanglah dia bukan pelakon Hollywood kesukaan Abang Adli itu.
Tetapi...
Riuh rendah dia bercerita pada Alin minggu lalu, "Masa Busu pergi Hollywood dulu, Keanu Reeves tu duduk sebelah dengan hotel yang Busu sewa... peminat Keanu Reeves tertukar, ingat Busu tu dia. Maklumlah sebelum jual ikan ni, Busu putih dan kacak sangat." Ceritanya merujuk pada masa dia terpilih ke program pertukaran pelajar sewaktu dia di tingkatan empat dulu, terpilih ke Florida.
Alin mencebik waktu itu, dan mengangkat keningnya pada Suffiah, dan Suffiah sambung mencemuh dalam hati. Suka cakap besarlah Busu ni. Aduh mimpi dalam mimpilah Busu ni, peminat tertukar konon... musykil sungguh, sempat lagi dalam setahun tu... dia yang duduk di Florida merantau sampai ke Hollywood siap singgah tidur di Beverly Hill, konon roomate abang angkat dia tu, kampungnya dekat Bel Air. Banyaknya dia 'bom' orang dengan cerita-ceritanya itu. Kasihan sahaja makcik-makcik yang beli ikan yang keluar daripada pulau ini pun tidak pernah tu, percaya bulat-bulat dengan kelentongnya.
Sebutlah aja fasal negeri mana, daerah mana, siapa nama... kalau fasal US Busu kenal semuanya. Tak satu kisah pun yang dia tidak terlibat menjadi hero dalam cerita-cerita dia tu. Dia ingat Suffiah ni asal dari Pantai Tuba yang tak pernah keluar-keluar dari pulau terpencil tu, sejak lahir kut. Padahal sepertiga daripada dunia telah Suffiah lawati. Kalau tidak dengan babah pun, dengan Tok Mama yang suka bercuti tu dia ikut. Daripada 50 negeri Amerika Bersatu itu; sepuluh sudah pun dia pernah menginap. Jangan hendak kelentong dia fasal California, Washington, Texas... kalaupun Busu pernah tinggal waktu belajar di Alabama pun. Dan pada pendapat Suffiah pula, Florida tempat tinggal Busu dulu tu dengan Cuba dekatlah berbanding hendak ke California.
Pakar kelentong!
"Sikit saja Suffiah makan," kata Mak Ndak Som.
"Kenyang dah, tadi sambil masak Piyah sambil makan juga." Suffiah macam sudah lihat dah muka berseri Mak Ndak Som yang ingin buat dia menantu dengan tujuan ingin merapatkan hubungan Mak Ndak Som suami isteri dengan babah dan ibu. Dia tidak mahu Mak Ndak Som jatuh hati dan berkenan kepadanya. Lebih baik diburuk-burukkan diri sendiri sebelum orang lain berkenan. Sebab Piyah sudah ada Piyan, dia tidak mahu mana-mana calon lain.... Piyah tak mahu orang lain berkenan dekat Piyah kecuali Piyan. Tetapi Bella tu siapa?
Bella?
Ah, dia tidak mahu mudah melatah selagi dia tidak tahu hujung pangkal. Selagi semuanya tidak jelas, dia masih ingin simpan kasihnya pada Piyan.
Mak Ndak Som memandang ke arahnya lagi. Suffiah sudah mulai tidak selesa. Dia mula mengumpul pinggan-pinggan yang dah kosong untuk dibawa ke dalam.
Amboi, Piyah orang baru pandang... sudah pandai-pandai tuduh Mak Ndak Som berkenan nak buat menantu.
Yalah, sekilas ikan cencaru, Piyah tahu dah gerai ikan mana yang Piyah beli. Hahaha... sukalah main-main tukar-tukar peribahasa macam ni!
Cencaru....
Tengok tu Busu, dia ambil lagi seekor cencaru, sudahlah Piyah cadang hendak simpan dekat Abang Piyan, dia sengaja khianat. Dah kenyang pun dia sumbat lagi. Grrr.... Makan duk polok sampai kembung pipi. Kemudian matanya mengerdip sahaja, bagi Piyah marah. Sudah-sudahlah tu makan ikan tu.
"Patutlah slim aja Suffiah, tak gebu macam Wawa." Wawa berhenti memandang ibunya. Sedihlah apabila emak kata dia gebu, kerana gebu adalah kata lain bagi gemuk atau gedempol pada Che' Som.
"Ha la, Som... Piyah ni pandai makan tidur sahaja, tengok pipi tu dah kembung macam jambu bol dah." Tok menambah, bagaikan faham apa yang tersimpan dalam hati Suffiah. Dia juga mengerti arah fikir Som dan dia bukannya tidak suka pada Wari, tetapi Suffiah ni masih nak sekolah. Lagipun pula, Suffiah ni bukannya cucu dia seorang, Puan Asmah ada hak yang sama juga. Dia tidak mahu memandai-mandai. Cukuplah kata-kata hina yang Puan Asmah lafaz waktu dia meminang Wahidah untuk Burhan dahulu.
"Pipi kembung tu la cantik, Busu suka, macam sepadan saja dengan Busu," kata Busu Budak Busuk.
Suffiah tarik muka. Sebelum dia bangun.
"Busu ingat dak Tok Chik Nah kata apa kelmarin, Pak Ngah Burhan tak suka anak dia kecik-kecik duk ada goprent, dia nak hantar Piyah belajar ke England." Cepat-cepat dia mencantas niat Busu, Wari dan Som! Waktu itu Piyah sudah berjalan membawa pinggan mangkuk kotor untuk dibasuh. Tetapi telinganya sempat menangkap. Budak-budak mengaji sudah masuk sorang demi seorang di ruang depan tu.
Sedang beramai-ramai baca, "Allahumaftah alaina hikmatakawan syur alaina...."
MANA Abang Piyan? Kenapa Busu datang sendirian, siap tolong sorong basikal mini Suffiah lagi. Sejak dengar Busu kata, "Nanti Busu habark, tapi rasanya Piyan janji nak makan dengan makwe dia Bella," ...dia sudah mulai curiga.
Jangan-jangan Busu buat onar. Busu bukan boleh harap sangat. Entah-entah dia tak cakap pun tok ajak makan. Padahal tadi Abang Piyan berbisik pun dekat Piyah, nanti kalau makan ikan cencaru ni jangan lupa dekat dia. Maknanya Abang Piyan teringin nak makanlah tu. Busu ni tak boleh jadi ni!
Tadi Abang Piyan janji nak hantar basikal Piyah, alih-alih suruh Busu Gendut ni hantar. Suffiah sudah merajuk. Habis dia mengutuk fizikal Busu pula. Astaghfirullah.Buatnya nanti Tuhan menguji dia kena kahwin dengan Busu, mampus. Tak-tak, Busu handsome muka pun ala-ala Keanu Reeves kecuali hitam aja, pujuk hatinya... macamlah malaikat tidak mencatat dosa daripada kata-katanya tadi.
"Busu dan Abang Piyan dah sampai?" soal tok yang sudah solat zuhur di anjung rumah. Pinggan-pinggan berisi makanan untuk diletakkan atas meja sudah tersaji dalam dulang. Dua dulang semuanya. Satu untuk orang perempuan, satu lagi untuk orang lelaki. Tapi selera Suffiah yang tadi berkobar, hilang disapu panas tengah hari.
"Busu sorang saja!" balas Suffiah sambil berlalu daripada jendela dapur. Semua pinggan mangkuk dalam singki sudah dia basuh semuanya. Pak Ndak Yassin dan Mak Ndak Som dan anak-anaknya sedang tunggu di luar, bawah pokok buluh. Suffiah segan hendak ke sana, dia segan pada Abang Wari sebenarnya. Dulu-dulu masa kecil dia pernah kenal anak Pak Ndak Yassin tu rupanya. Itu pun sekali sahaja, dan dalam sekali itu pula tercatat cerita yang amat memalukan.
Abang Wari dan Wawa, ajak dia ikut tangkap ikan di bendang dekat-dekat Kampung Padang Mat Sirat. Sekarang ni, dia sudah tidak tahu arah mana kampung itu lagi. Skirtnya kembangnya (pareo) pernah tertarik masuk dalam roda basikal. Dan alih-alih waktu basikal itu tersekat tersumbat pareo dan dia pula jatuh terlentang di jalan... Malulah nak teringat balik, yang tertinggal hanya seluar pendek dengan blaus pendek sahaja.
Mujurlah masa tu, memang dia jenis yang suka pakai seluar pendidikan jasmani dalam skirt tu. Kalau tidak tak tahulah macam mana nak diunjukkan mukanya. Mana lagi tangan berdarah dan lutut melecet kena sagat tar jalan. Waktu itu dia dalam darjah lima. Darjah lima pun dia sudah tahu malu tau.
Sejak itulah dia suka memakai baju kurung. Kalau apa-apa terjadi – kainnya terlondeh ke, kainnya koyak ke – baju kurungnya akan melepasi kepala lutut. Dan kebiasaan yang baik itu akhirnya menjadi rutin. Biarlah dia diejek pakai macam bawa kelambu pun. Dia selesa sangat berbaju kurung.
Lalu sejak tadi Suffiah mengekor aja ke mana-mana tok kerana malu. Dua kali Abang Wari memandang dan senyum kepadanya, dua kali juga muka Suffiah memerah mengingatkan pareo batik warna biru tertarik dek roda basikal itu.
"Bawalah makanan tu ke luar Piyah, lambat-lambat nanti perut Pak Ndak Yassin hang sebu pulak." Kata tok sambil menyanggul rambutnya. Diselitkannya bunga inai sebelum dikenakan tudung.
"Assalamualaikum," suara Busu bergema dari luar.
"Wa'alaikumsalam. Elok sangat Busu mai, nak tolong bawa dulang ni bawah pangkin tu." kata Piyah sambil menghulur talam besar warna putih dengan bunga raya besar warna kuning dan merah di tengahnya.
"Amboih, Piyah abang balik kerja penat-penat bukan nak ajak masuk minum ayark aih...teghuih dia sughuh abang buat kerja." Busu berkata manja-manja gatal. Umpama suami berkata kepada isterinya yang sedang marah entah kenapa. Kening tebalnya diangkat tinggi. Hati Suffiah sudah jadi meluat. Tak sukalah kat Busu ni, macam mana hendak berbuat baik.
"Busu!"
"Ya Tok Chik Nah!" Busu tersedak sedikit apabila sedar yang Tok Chik Nah duduk belakang pintu sahaja.
"Pak Ngah Burhan tak suka anak dia Busu usik-usik macam ni," kata Tok Chik Nah, kalau dia kata yang dia tak suka... manakan hairan Si Busu kepadanya.
"Ya, ni talam nak letak tak mana." Busu cepat-cepat berlalu ke dalam. Dia senyum sahaja.
Suffiah ke belakang mengambil talam sebuah lagi. Air minum dan tempat basuh tangan semuanya, sudah pun Wawa dan ibunya bawa ke depan tadi.
"Ada lagi?" Suara Abang Wari muncul di depan pintu. Suffiah segera memberi talam dan masuk semula ke dalam rumah. Dia tidak mahu pandang pun Abang Wari.
Akhirnya Suffiah melenggang dengan termos sederhana besar berisi nasi yang ditanak dengan dapur kayu. Senduk dan pinggan sudah Busu dan Abang Wari bawa tadi. Jam sudah membawa ke pukul dua petang. Lewat benar dah untuk makan tengah hari ini. Sekejap lagi tok sudah berpesan suruh dia ajar budak-budak mengaji. Harap-harap tidak ramai yang datang. Letihlah, rasa hendak baring sahaja lepas makan nanti. Harap-harap Pak Ndak Yassin sekeluarga tidak duduk lama.
Busu mengenyitkan matanya. Cepat-cepat dia cari tempat yang bertentangan dengan tempat Suffiah bersimpuh. Hati cucu Tok Chik Nah sudah terbakar seluruhnya. Kalau ikut hatinya, mahu sahaja ketuk kepala Busu dengan senduk kayu ni. Suffiah injak sedikit. Tetapi matanya bersapa dengan wajah Abang Wari pula. Seleranya betul-betul mati. Daripada berdepan dengan Abang Wari, baik dia duduk bertentang mata dengan Busu!
Suffiah segera menyendukkan nasi pada semua orang. Untuk Busu diletakkan sedikit, dan dicampurkan sedikit kerak lembut yang kebetulan tertarik waktu dia mengaut daripada periuk tadi.
Busu tersenyum senang apabila Suffiah menghulurkan pinggan kepadanya. Cantik sungguh anak Pak Ngah Burhan ni. Dulu-dulu kecil-kecil pun sudah cantik, semakin besar semakinlah cantik. Ikut sebelah ibunya, kalau ikut sebelah Tok Chik Nah tentulah tidak secantik mana. Kena saja baju kurung kuning air berbunga-bunga kecil perang muda ini dengan badannya yang langsing.
Hati Busu sudah tertarik... tetapi dia macam sedar sahaja, Piyah tu suka pada Piyan. Mujurlah Piyan tidak tahu, kalau tidak bahaya ni. Dia akan cuba rapatkan Piyan dengan Bella sehinggakan Piyan tidak nampak hati Piyah!
Mission impossible bermula....
[Bersambung….]
____________________
Catatan:
1.Sudah habis edit Pada Angin Aku Berpesan, oleh Adeliah… dengan senyum meleret. Esok sudah boleh mulakan misi seterusnya, Versuskarya Hlovate. Harap ada masa untuk curi-curi tengok Busu, Piyan dan Piyah di sini.
2.Sudah baca buku Nasron Sira Rahim, Nama Atas Kertas tak lagi? Juga buku kedua Iman Xara terbitan Jemari Seni, Rumput Masih Hijau? Bacalah... kalau JS yang keluar, kita pilih dan 'petik' macam kita memetik ulam yang segar untuk dimakan tau. Kita tidak buat lambakan... tetapi kita pilih yang terpilih, insya-Allah.
3.Tidak sabar tunggu buku Pingu Toha terbaharu siap... 143, sejak JS terbit dua buah buku sebulan kita sibuk sangat.
4.DAN siapa yang belum baca buku kaksu dengan JS, Surat Ungu untuk Nuha, Jaja & Din serta Panggil Aku Dahlia... kaksu tak 'ampun' tau ahaks....
BUSU SIMPAN telefon bimbit Piyan dalam bekas duitnya semula. Piyan sedang berulang alik mengisi ikan pesanan Resort Tanah Andriyana dalam lori kecil ayahnya. Waktu-waktu tengah hari begini ikan naik dari jeti, dan dia akan sibuk sekali. Apatah lagi, bilamana esok Kak Aliya memesan 20 kilo ikan untuk majlis di resortnya.
"Temenung berapa sekilo hari ni?" soal Busu. Pesanan daripada Suffiah dia masih simpan dalam kerongkong. Suka juga dia, kalau Piyan tidak dapat memenuhi undangan Tok Chik Nah. Kasihan pula, kalau Bella tertunggu-tunggu di restoran. Piyan mestilah memilih untuk makan di rumah Tok Chik Nah. Nenek Piyah tu memang pandai masak, kalau makan di rumah dia, tidak cukup kalau dua kali kalau menambah.
"Mahal dua puluh sen dari kelmarin, tadi mujur sardin murah. Rezeki Kak Aliya, hang nak pergi ke majlis petang esok?" Mujur ada ikan sardin. Selepas mencuba beberapa jenis ikan, Mak Ndak Som sudah tahu, ikan sardin sedap dibuat kuah laksa Kedah berbanding parang, selangat mahupun temenung.
Busu diam sejenak. Esok Kak Aliya hendak buat laksa untuk makan-makan di taman kecil belakang resortnya. Sebenarnya, Kak Aliya hendak memperkenalkan cara membuat laksa untuk pengunjung Tanah Andriyana Resort. Kebetulan bulan sudah, jatuh dalam bulan Muharam... jadi resort Kak Aliya buat bubur Asyura. Sibuk sahaja tolong kacau. Tok Chik Nah tu macam 'chef' residen di resort Kak Aliya. Dua jenis Asyura mereka buat, jenis Kedah dan Kelantan. Yalah, Makcik Wan Maryam tu orang Kelantan, tentu sahaja dia hendak perkenalkan Asyura pedas di situ juga.
Resort Kak Aliya ni menarik sangat. Kalau resort orang lain menggunakan segala tarian, muzik dan permainan sebagai cara tarikan pelanggan, tetapi sudut budaya resort Kak Aliya menumpukan aspek canting batik, tunjuk cara lukisan dan kad ucapan, dan seni masakan Melayu pula.
"Mestilah, dah lama aku tak tengok Tok Chik Nah beraksi dalam tunjuk cara membuatlaksa basah." Dalam kampung mereka ini, cuma tok Piyah tu aja yang tinggal lagi pandai masak serba-serbi.
Kak Aliya dan Abang Hadi, fokus mereka hanya pada resort serta galeri lukisan sahaja. Padahal kalau mereka buka cawangan Tanah Andriyana dengan konsep memperkenalkan budaya Melayu begitu kat mana-mana pun boleh jalan. Busu tak faham jalan fikir Abang Hadi yang pernah buat MBA dan pernah ada ijazah sarjana Ekonomi tu. Sederhana sahaja keinginan mereka suami isteri. Kata Abang Hadi, dia sudah bahagia dengan cara hidupnya. Kata Kak Aliya, dia tidak mahu meninggalkan tanah moyang Andriyana.
Cara fikir merekalah yang buat Busu menumpukan perhatian dalam perniagaan ikan ni. Industri perhotelan dan restoran di sekitar Langkawi ini memerlukan stok ikan yang banyak, jadi perniagaan ini yang dia pilih, selepas gagal jadi jurutera. Kalau ikut malu, sudah lama dia berhijrah ke Kuala Lumpur.
"Lepas hantar ikan ni, ingat nak singgah rumah Tok Chik Nah sat kutip biji jangus... esok petang nak bakar biji-biji tu. Ramai-ramai tolong pecahkan kulitnya, nanti ramai-ramai boleh makan sama-sama sambil menunggu laksa masak." Kata Piyan.
Busu tersentak. Opps, buat dia tengah makan, Piyan datang... lepas tu, Tok Chik Nah kata... Busu kata tadi Piyan tak dapat datang macam mana?
"Boleh aja aku kutip." Balas Busu mendatar sahaja.
"Aku nak kena hantar basikal Piya ni."
"Letak saja dalam lori tu, nanti aku bagi. Rumah aku kan sebelah tu saja."
"Ek, macam tak bagi aku pergi tu awat?"
"Dah la, hang kan sibuk, benda-benda kecik biarlah aku tolong."
"Busu kebaikanmu buat aku curiga." Kata Piyan ala-ala Nordin Ahmad dalam filem-filem keluaran Cathay Keris.
Busu ketawa. Piyan terus menyemak telefon bimbitnya. Ada satu panggilan dari rumah Tok Chik Nah. Sedari dulu, ketawa yang begitu ada maknanya.
"Kenapa Tok Chik Nah telefon?"
"Dia ajak kita makan di rumah dia. Si comel tu telefon." Kata Busu alah dengan pandangan Piyan. Tidak pernah dia dapat merahsiakan apa-apa daripada Piyan, sekejap aja terburai semua perkara.
"Oh, hang tak nak aku pergi ka?"
Busu ketawa.
"Idak le." Sahut Busu dalam dialek Parit pula. Opahnya asal dari Perak pun.
"Tak pa lah, hang pergilah. Kirim salamlah dekat Tok Chik Nah." Kata Piyan sambil ketawa.
"Tapi... hang nak makan kat mana tengah hari ini?" soal Busu sambil tersengih.
Gerai ikan sudah mereka serahkan pada pekerja untuk berkemas dan menutupnya. Gerai tu sekadar tempat mereka habiskan waktu, kalau tidak ada order-order besar yang lain. Maklumlah bos, kalau apa yang kuli boleh buat, baik serahkan sahaja. Begitu Busu berkata, setiap kali Piyan lambat menutup gerainya. Busu bolehlah, dia memang bos betul. Tapi Piyan pembantunya itu, adiknya yang sedang tunggu SPM. Kasihanlah, Azmil Mustaffa tu sedang belajar bawa kereta... ganggu sahaja nak suruh itu ini kepadanya.
"Kat mana?" ulang Busu. "Bella." "Okey, jangan tuduh aku tak ajak!"
"Basikal ni?" soal Busu, matanya memandang ke arah basikal mini Suffiah dalam lori tu. Hari ini, Busu menemani Piyan ambil ikan.
Piyan sudah menghidupkan enjin lori kecil itu. Busu duduk di sebelah sebagai kelindan. Jeti kecil ikan di tinggalkan. Langit biru, awan bersisik indah. Perjalanan ke Tanjung Rhu diiringi angin laut yang panas.
Ya, basikal? Piyan juga menyoal.
Rafeah Buang sedang melagukan Hatiku Kau Curi, dan Busu tumpang jadi korus tidak kena undang pada seni kata: hatiku kau curi dengan sepenuhnya... itu.
Hatiku kau curi
Dengan sepenuhnya
Entah bagaimana
Kita bertentang mata
Air yang ku minum
Bagaikan tak lalu
Datang bersimpuh wajahmu
Di dalam mimpi ku
Abby Fana mengekek gembira diusik SMS pendengar di radio Sinar.FM. Piyan terasa sahaja hendak melarang Busu mempamerkan suara soprano yang tidak jadinya itu. Bingit la. Suara enjin buruk lori ayah ni lagi sedap tau. Tapi, kalau ditegur dia merajuk... dan mula nyanyi lagu asli Tanjung Puteri cara rock Loving Bone, lagilah tension. Kalau rock kapak betul tak apa, ni... rock... batu, mana sedap!
Mujurlah, ada sepasang camar yang terbang seiring laju lori, terpesona dengan suara Busu. Paling-paling ada juga audiens untuk 'konsert' live dia ni.
Catatan: 1. Selamat malam daripada Piyah: cintaku jauh di pulau! 2. Okey kena masuk opis semula, nanti bos tahu kaksu curi tulang duk berkampung di Langkawi pula... ahaks
"NOMBOR DIA?" Tok Chik Nah tersentak seketika sebelum menjawab.
"Tu tok tulis dekat kalendar kuda tu. Sophan Sophian." Katanya merujuk kepada Kalendar Tahun 1998. Tapi tidak dibuang sebab ada semua nombor penting. Macam grafiti dekat Tembok Berlin suatu waktu dulu pula kalendar ni. Ha la, rumah ni sudah babah buat cantik-cantik, tiba-tiba dicacatkan dengan contengan nombor telefon semua orang di sini!
Amboi tok, semua kat sini dia bubuh nick name ringkas sahaja – Leman Gas, Udin Sarang Burung, Mak Piah Belacan Tumbuk, Cik Som Somtam, Pin Lembu (ait, Pin Lembu?... ooo Pin jual lembu kut), Joyah Kemetot, Wong Renjong, Sufiyan Abang, Siti Halwa Maskat – tup-tup nama Abang Piyan dia tulis nama penuh. Tak boleh ka tulis Piyan Ikan ka?
Atau Piyan Segak ka?
Gatal!
Sophan Sophian?
Macam pernah dengar aja nama ni.
"Nama dia tu, nama pelakon... adik Abang Piyan tu nama Widyawati. Mak Abang Piyan hang dulu gila tengok gambar Indonesia. Mula tu dia suka gambar Hindustan lama, kakak Piyan yang sulung nama Asha Parekh. Hat nombor dua, Sharmila Tagore." Tok bagaikan mendengar soalan hati Suffiah lagi.
Tok Chik Nah ketawa teringat akan adik kepada Som tu. Mujurlah anak-anak dia segak-segak... kalau tak malu saja budak-budak tu kat sekolah. Ha la, dua kali Sharmila Tagore menangis kat bahu Tok Chik Nah sebab kena ejek nama dia pelik. Ada ke budak-budak lelaki kelas dia panggil dia Mila Tauge, sebab tak reti nak sebut Ta-Go-Re itu, yang sepatutnya... bunyi 're' di belakang tak dilepaskan pun. Siah ni memanglah, kalau nak bubuh nama anak tu... ikutlah lidah Melayu!
Mujurlah anak dia tak ada nama Rano Karno ke, Benjamin S, Rishi Kapoor, Sunil Dutt, Dhamendra ka... tapi Sophan Sophian tu... yang aniaya.
"La ni Makcik Siah suka cerita apa, tok?" Tok Chik Nak tersentak!
"Cerita Korea pulak dah!"
"Ya ka???"
Buat nanti anak dia ada nama Lee Dong Wook, Jang Geun Seuk, Choi Ji Woo pula nanti! Piyah tertawa dalam hatinya.
"Jangan bimbang, Makcik Siah hang dah tutup kedai... dah tak boleh beranak dah. Dah tua pun." Kata tok sambil ketawa. Lapan orang anak dia. Ramai tu!
Sudah dua minggu Suffiah di sini, tapi dia belum jumpa dengan Makcik Siah dia. Sudah berbelas tahun tak jumpa. Entahingat ke tak dia dengan emak Piyan tu. Siah sibuk dengan urusan hendak buat kenduri anak dia tu. Sibuk menjahit, sampai seluruh rumah dia tukarwarna hijau mangga telur. Nanti waktu ke rumah sebelah perempuan dengarnya, mereka nak pakal serba kuning pula. Ni sudah seminggu dia ke tanah besar, sibuk memanggil adik-beradik sebelah suami dia pula. Sejak anak dia besar-besar ni, hidup Siah dan Hassan dah senang dah! Syukurlah!
Tok ni macam orang mudalah. Faham saja dia dengan arah soalan Ainnul Suffiah. Pandai saja dia baca fikiran orang! Bahaya ni. Tok ada kelebihan read minds orang macam cerita X-Men ni. Kalau dia tau Piyah suka kat Piyan macam mana?
Biarlah dia tahu, baru senang sikit. Zaman sembunyi hati dah tak sesuai dah Piyah oi! Zaman sembunyi air mata bawah pantai sudah berlalu. Hatinya menasihatinya dalam loghat KL.
"Cepatlah telefon dia, nanti dia pi makan kat gerai mana-mana pulak. Makcik Siah hang tak ada rumah ni. Ajak Busu sekali."
"Busu tak mau la, dia suka kacau Piyah!"
"Piyah, banyak kita masak ni... kasihan Busu," kata tok. Sambil angkat gulai dari dapur. Lama-lama atas dapur boleh hancur pula ikan puyu ni. Ikan sungai isinya lembut. Tak ingat pula tanya Wari tadi, kat mana dia tauk ikan-ikan ni? Bendang siapa?
Dan terus dia gantikan dengan periuk berisi beras pula.
"Nanti tok kena pesan kat dia jangan duk usik Piyah. Dia suka ajak Piyah kahwin dengan dia... depan-depan orang ramai. Piyah tak suka!" adu Piyah.
"Ha la, nanti tok marah dia!"
Tapi kalau dengan Sophan Sophian tu, Piyah tak pa la tok... Piyah suka!
"Tapi... kesian kat Busu tu... dahlah tak pass mengaji kat Amerika. Kalau hang duk buat cengi dengan dia, tentu dia kecik hati!" kata tok memujuk. Busu tu pun satu, dia asyik duk guna modal dia mengaji Amerika tu la, nak penaik diri dia depan orang... zaman di mana sijil boleh beli ni, dia ingat orang hairan ka kalau orang kata depa mengaji Amerika.
Kesian Busu, penatlah abah emak dia buat kenduri masa dia nak pi belajar engineeringdulu. Alih-alih duk jual ikan kat market, pasar malam la pulak. Nasib orang la. Asal kerja yang halal, kerja apa pun tak pa. Asal pandai hormat orang tua, tak pass periksa pun tak pa.
"Piyah tak suka la tok!" ulang Suffiah lagi.
"Ha la, nanti tok habark kat dia!"
Tapiii...
Pelakon Sophan Sophian yang sebenar tu elok lagi ka berbanding dengan Abang Piyan saya tu? soal Suffiah sambil tersenyum. Petang nanti kena pi surf di Internet rumah Alin tengok muka pelakon tu.
Babah tak kasi dia bawa komputer riba dan broadband... babah takut dia asyik melayari Internet, tak tengok tok.
TOK CHIK NAH masukkan minyak masak Cap Seri Murni dalam periuk tanah sederhana besar. Sesenduk penuh; kalau sikit... rempah tak garing sempurna, gulai akan berbau dan rasa maung pula. Minyak panas, dimasukkannya halba campur sejemput, daun karapulai.
karapulai
Lepas naik bau sedikit dan halba campur macam dah mula meletup-letup sedikit... segera dimasukkan bawang merah, bawang putih yang Suffiah mayang nipis tadi. Lepas dah garing bawang tu, segera dia masukkan rempah giling tadi. Dia menunggu depan dapur kayu itu sehingga rempah tu garing betul-betul sebelum dia tambah air asam jawa. Lepas ini barulah boleh dia bubuh santan.
Suffiah memerhati dengan cermat. Sebelum dia menyambung semula kerja memerah santan. Dah nak masuk tiga kali perah ni, kena guna air sikit-sikit supaya pati dia cantik kata tok tadi.
"Tok nak bubuh santan pekat dulu ka? Atau santan cair?" tanya Suffiah setelah selesai perahan untuk kali ketiga. Tok ni kan... dah ada cara senang, dia suruh kukur nyiur pula. Beli sajalah santan kat market, apa la yang susah sangat. Tak payah nak perah-perah macam ni! Buat lenguh tangan dan jari sahaja.
"Piyah, nyioq kita ada banyak... buat apa nak beli santan." Tiba-tiba Tok Chik Nah bersuara.
Aiit, tok dengar ka, Piyah tengah mengutuk dia di dalam perut Piyah ni?
"Apa Piyah tanya tadi?" Tok beralih muka daripada periuk, dengan sudip masih melekat di periuk. Waktu rempah nak garing macam mana ni, mana boleh nak tinggal api macam ni sahaja. Dia keluarkan sikit kayu daripada tungku. Biar api tak kuat sangat. Rempah ni kalau sudah hangit, sekupang pun tak guna.
"Nak guna santan yang pekat ke, yang cair ni." Tanya Suffiah sekali lagi.
"Kalau gulai, guna santan pekat dulu. Biar pecah minyak. Baru sedap. Kalau buat sayur lemak, santan pekat tu kita bubuh akhir. Lepas yang cair mendidik elok. Barulah tak berketul kuahnya, dan santan tak pecah." Jawab Tok Chik Nah. Panjang lebar. Kalahlah Chef Wan bab beri petua ni!
Okey, ni tip penting ni!
"Ooo." Nanti mesti catat.
"Piyah, kalau santan cair tu, yang kita perah kali kedua, ketiga... kita panggil 'kemancar'... ikut bahasa Malaysia! Kemancaq kata orang Kedah." Amboi, tok... kelas bahasa pun dia ajar sama ke? Ingat reti kelas masakan saja.
"Sapa nak mai ni?"
"Sepupu babah Piyah. Itulah jarang-jarang balik sampai tak kenai dah sedara-mara belah sini." Balas tok dengan muka manis, disembunyikannya rasa terkilan dalam-dalam.
"Ni Piyah dah balik, lama pula tu. Tokkk... sebelum ni kan, Piyah sekolah." Suffiah membalas kata neneknya dengan manja.
Ikan puyu sudah Suffiah bersihkan dengan hampas asam jawa, garam dan sedikit tepung untuk membuang hanyirnya. Sekarang dia sedang sejat dalam kalo. Timun sudah dia belah dua, dibuang bahagian tengah – bijinya sedikit... serta dipotong memanjang dan dikerat agak-agak dua inci untuk dibuat rampai gulai. Cili hijau pula dia potong tangkainya separuh, dibelah dua juga tetapi tidak putus. Apa lagi bahan yang diperlukan? Rasanya itu sahajalah bahannya.
Selepas dibasuh tangannya bersih-bersih. Dia jenguk gulai sekejap; sebelum mengambil pen dan terus menyalin resipi. Nanti balik dia nak cuba buat untuk babah. Kata tok tadi, babah suka sangat gulai ikan puyu ni. Dulu-dulu babah tangkap sendiri ikan dalam bendang hujung kampung tu sahaja. Kini bendang tu sudah bertukar jadi hotel pun!
Tapi kalau di KL, hendak cari mana ikan puyu? Kalau keli, haruan, lampam ada lah.
"Nak buat apa lagi? Nak goreng ikan ni ka?" Matanya tertumpu pada tujuh ekor ikan cencaru yang sedang beratus comel dalam pinggan ayan. Isy, betulkah sekilo ikan cencaru besar-besar macam ni, tujuh ekor jumlahnya. Entah-entah, Abang Piyan beri lebih. Baguslah Abang Piyan ni, bagi sedekah pula... pemurahnya dia.
Suffiah tersenyum senang pada 'Abang Piyan' yang dia senangi.
Isy hanyir ikan puyu ni tak hilang lagi, ke? Padahal tadi sudah dia ramas tangan dalam hampas nyiur pun. Badannya terasa hanyir macam tadi balik, sedangkan dia sudah mandi siap ulang sabun sampai dua kali... alih-alih dia jadi busuk juga!
"Nantilah, Piyah. Cencaru tu sedap kalau goreng panas-panas waktu nak makan nanti. Nasi lepas ni tok tanak. Nak guna dapur kayu juga. Sedap sikit. Sayur lemak tauge tu dah tak jadi buat la. Dah ada kuah gulai ni, cukup dah!"
"Tauge banyak ni nak buat apa?"
"Nanti Piyah goreng saja tauge tu. Goreng dengan tokyu." Kata Tok Chik Nah.
bunga ulam raja
"Soksah la. Ulam ada dah, kita buat sambal la tok!" balas Piyah, dia menjenguk ulam raja di balik tingkap. Bunganya yang warna seroja dan ungu tu, buat ulam raja nampak cantik saja di panah matahari pagi. Hijau daunnya, segar mata memandang.
Fikirannya kembali pada hal tauge semula. Kalau ada orang luar nak datang, dia seganlah nak memperagakan kebolehan 'goreng tauge dengan kicapnya' yang tidak seberapanya itu.
Malulah. Lagipun nak masak tauge goreng sahaja, budak tadika pun reti masak sambil tutup mata.
"Boleh juga. Tapi semuanya pedas ni, nanti kena suruh Abang Wari hang belah nyioq muda. Piyah, tambah goreng ikan gelama masam ni juga." Kata Tok Chik Nah. Dia sudah keluarkan ikan kering tu dari peti ais.
"Ya." Balas sang cucu.
"Tengok ikan kering zaman sekarang, standardnya dia bukan main dah, orang letak dalam peti ais." Tok merungut perlahan.
Suffiah tersenyum dengan kata-kata tok. Kalau di rumah dia bukan sahaja ikan kering... asam jawa, asam keping, udang kering, ikan bilis, belacan, budu... semuanya jadi penghuni peti ais tiga pintu sebesar anak gajah tu.
Er... Abang Wari mana pula ni? Suffiah sudah rasa tidak selesa.
Tok Chik Nah pula sedang bersuara dalam hati, kalau makan bawah pangkin tu pun tentu sedap. Nanti nak suruh Piyah sajalah ajark budak-budak tu mengaji. Tengah hari ni dia nak berehat sambil sembang-sembang dengan Som dan Yasin. Dah lama tak ada anak saudara yang menziarahi. Kata saja duduk dekat. Tapi macam jauh saja. Sebab tu dia rapat dengan keluarga Piyan, sebab setiap hari Tok Chik Nah pergi market dan bertukar khabar berita. Kalau dia tak pergi, Piyan pula yang menjenguk dia di sini. Kalau teringin nak makan ayam kampung suruh saja Piyan atau abang Piyan sembelih. Baguslah anak-anak Siah tu, baik yang laki baik yang pompuan.
"Piyah, cuba pi telefon Abang Piyan, ajak dia makan sini. Pi mai pun dia nak mai hantar gerek Piyah tu."
Tok Chik Nah tak mahu Piyan datang lagi petang nanti. Tak elok kalau orang tengok nanti. Mulut orang, suka usil macam-macam. Ha la, sampai dua kali sehari budak laki mai rumah, mulut siapa yang tak mengata. Piyah tu dah anak dara, Piyan tu dah bujang teruna... dah tak lama nak jadi suami orang!
Hairan juga, tadi awat Piyan tak bubuh sekali gerek Piyah dalam loghi tu. Saja nak mai tengok Piyah ka? soal Tok Chik Nah dalam hati.
Tidak sukakah dia dengan perkembangan begini? Piyan tu kan baik budaknya. Ada bau-bau bacang pula dengan keluarga mereka. Tapi Piyah tu kan masih sekolah. Kalau nak cari jodoh pun, carilah sebelah KL nu, sedara Burhan di sini semua orang hulu, bukan macam tu Cik Puan Asma oi!
Dia malas berbalah dengan Puan Asma! Tua-tua begini dia hendak duduk tenang-tenang. Apatah lagi dia bukannya sihat sangat. Semangatnya begini hanya kerana Piyah si buah hatinya ada sahaja.
[bersambung ke... Piyah + Piyah (vi) ~ b]
********** Catatan:
Nanti-nantilah kaksu letak... dah siap pun, nanti jadi panjang sangat, susah nak baca...]
Kaksu dah jawab bahagian komen di sini, cuma belum sempat jawab dekat tagboard L
"AMBOIH, lamanya pi hantaq mata ayark, hang ingat aku makan gaji dengan hang ka, jadi tukang jaga kedai hang?" kata Busu sambil mulut muncung. Padahal waktu Piyan tiada tadi, berapa ramai pelanggan Piyan dia pujuk beli dekat tempat dia. Tu tidak termasuk, pelanggan dia sendiri lagi. Waktu belum tengah hari macam ni pun, ikannya dah tinggal sikit lagi.
"Alah Busu, macam aku tak tau... hang tu seronok kalau aku balik lambat-lambat pun." Kata Piyan sambil ketawa.
Busu ketawa sambil percik air hanyir dari baldi merah di depannya. Sambil menyanyi dengan gembiranya:
Dirinjis-rinjis... dipilis, ditepungilah tawar...
"Macam mana, umpan hang dapat ke tangkap anak ikan comei tu?" soal Busu, telinganya mengembang sahaja menunggu cerita.
"Astaghfirullah... jangan kata 'anak ikan' Busu... hang tak tau ke, konotasi dia tu tak baguih. Aku tau la, hang duduk Amerika lama... tapi, peribahasa Melayu hang kena tau juga. Jangan salah cakap, nanti merana badan." Kata Piyan, sambil mengeluarkan seekor ikan parang dari tong polistirena di tepi kanannya tempat dia berdiri.
Muka Busu berubah sejenak. Cuba memahami sejenak maksud 'anak ikan' tadi dalam bahasa ibundanya.
"Maksud aku mata air tu." kata Busu. Dia sendiri rasa bersalah berkata begitu. Kan comel saja kata 'anak ikan'? Siapa suruh orang ramai buat konotasi yang tak elok fasal frasa tu.
"Hang bawa dia balik dengan RXZ baharu hang la?" Busu cuba mengalih rasa bersalahnya.
"Hait! Aku tak buat macam tu la kat anak cucu orang elok-elok. Hang tau, pelana motor aku ni suci murni, tak pernah bawa mana-mana perempuan kecuali mak dan adik aku saja tau." Kata Piyan. Dia sembunyikan bab yang dia pernah juga membonceng Tok Chik Nah... tapi tok Piyah tu duduk sebatu jauhnya dari Piyan. Tu pun terpaksa, sebab Tok Chik Nah berebut hendak ke Kuala Perlis. Bot dia tinggal berapa minit lagi nak berlepas. Hari tu, lori kereta semua tak ada. Ayah dan abang guna, tinggal motosikal baru tu sahaja. Jadinya... YB Chik Nah la tukang rasmi motosikal baharunya tu. Kalau Busu tau, mahunya dia ketawa sampai asar nanti tak habis. Busu bab mengutuk orang, siapalah yang boleh challenge dia?
Piyan mula menyusun ikan bawal elok-elok. Bawal hitam dari Laut China Selatan sebelah kanan, bawal dari Siam sebelah kiri. Bawal dari Siam ni, murah sedikit harganya, tapi yang dari Laut China Selatan lebih lemak isinya, dan lebih sedap.
"Habis hang bawa dia balik bawa apa?"
"Pembetulan, aku hantaq dia balik." Tegas Piyan. "Dan... aku bawa lori ikan ayah aku!" sambung Piyan lagi.
Busu sudah ketawa sampai terhinggut bahunya yang bongkok sikit tu.
"Anak Tuan Burhan mahu ka naik lori buruk tu?"
"Eh, Busu hang ingat aku pi dating ka... aku hantaq dia balik. Tok dia aku kenai sejak aku tadika lain, ada bau-bau bacang dengan keluarga aku... hang jangan duk putar belit storie... na."
"Kalau macam tu tak pa, senang la aku nak tackel dia... sebab hang dah anggap dia sedara." Dulu abah Piyah tak jadi kahwin dengan emak Busu. Jadi dialah nak kena langsungkan 'kisah' tidak kesampaian tu. Kenapa 'kisah' dan bukannya, 'kasih'... Busu?
Piyan tersenyum pada Busu. Ooo, itulah sebabnya.
"Dia dah kata ka, dia suka ke kat hang ke Busu?"
"Suka tak suka, aku pernah duduk Amerika. Mak pak dia mesti pandang juga aku ni!"
"Ikut hang la..." Piyan ketawa lagi. Malas hendak layan Busu. Acu saja nampak budak cantik, suka saja dia hendak mengusik. Lama-lama semua gadis takut nak singgah beli ikan di sini. Kalau orang tak singgah sini, gerai ayah Piyan pun terbabit sama. Busu ni, kalau tak ingat dia kawan sejati sejak darjah satu... memanglah nak kena dengan aku dah!
"Eh, bulan depan jadi ka?"
"Jadi, mak aku siap semua dah. Hang ikut la."
"Boleh, boleh... aku memang suka kalau dapat tawaran jadi pengapit."
"Hoi, sapa suruh hang jadi pengapit. Hang jadi pak turut saja."
Busu ketawa dan ketawa lagi.
"Belah kita pakai warna kuning tau. Hang cari baju siap-siap. Jangan pakai warna pink macam kenduri Kak Mila dulu tu dah la. Yang malu nanti aku!" sambung Piyan.
Busu pun menyambung ketawa. Teringat peristiwa enam tahun dahulu, waktu dia belum ke Amerika. Ada ke patut, sebab tak ada baju warna merah darah... dia pakai baju-T pink untuk majlis akad nikah Kak Mila. Semua mata memandangnya.
"Aku cukup tak suka dengan majlis yang ada tema warna."
"Aku pun! Makanya kalau hang kahwin nanti jangan nak suruh aku pakai baju warna apa-apa. Aku ada tema sendiri." Balas Piyan.
"Oh, tadi... sepupu hang mai."
"Sapa?" tanya Piyan. Di Langkawi ini, sepupu-sepapatnya ada di mana-mana.
"Wari! Dia nak order ikan untuk buat laksa." Kata Busu.
Geram. Tadi dia pujuk la punya pujuk Wari beli dengan dia tadi, tapi Wari kata... lain kali pula. Keluarga Piyan ni rapat sangat adik-beradik dia. Kalau seorang buka bisnes, yang lain support semacam aja. Tak beli dengan orang lain dah.
"Awat dia tak telefon aku?"
"Nak telefon macam mana, hang tak bawa telefon... masa hantar mata ayark tadi!"
"Hush, cakap pelan sikit. Tak elok kalau orang dengark, Busu." Kata Piyan.
"Hang takut Bella tau ka?"
Percakapan mereka putus begitu sahaja, sebaik sahaja ada dua wanita menghampiri gerai Buku, hendak membeli ikan keli. Busu sudah tersengih gembira. Mereka beli dekat dia, bukannya dekat Piyan yang smart.
"Hang dah baca ke ayat seribu dinar hari ni?" kata Busu sebaik sahaja pelanggannya berlalu. Duit hasil jualan dua kilo ikan keli tadi dia masukkan dalam kotak plastik gelap.
Piyan mengangguk.
Hari ini ayat seribu dinar yang Piyan hembus tak berkesan la. Itulah akibatnya baca ayat Allah tapi penghayatan kurang. Apa taknya tadi Piyan berdua-duaan dengan perempuan dalam lori tu. Memanglah tak baik Piyan. Biarpun yang suruh hantar Piyah tadi Abang Joni dan Kak Joni, tapi... tapi Piyan memang sudah ada hati nak hantar Piyah pun. Busu nampak wajah ada udang di sebalik batu Piyan waktu tu.
Busu hang cemburu ka? Piyan tu, besar kuman pun tak pernah iri dengki kat hang!
"Rezeki tu Allah bagi. Ayat tu usaha kita, dan aku bergantung pada Allah seratus peratus... bukan pada ayat tu. Hang ni macam tak dengar apa Ustaz Saufi nasihat fasal amalan ayat-ayat ni!" kata Piyan.
Sedih sangat apabila lihat kedai-kedai makan, premis perniagaan orang Islam dan bukan Islam di bahagian utara Kedah ni, suka sangat letak gambar Sultan Abdul Hamid sebagai pelaris perniagaan. Mana perginya orang majlis nak semak amalan-amalan syirik macam ni.
Tu dia, Ustaz Piyan nak bersyarah dah pula...
Busu ketawa kecil. Dalam hati dia berkata, dia tidak pernah dengki apa-apa pada Piyan sejak dulu pun. Mereka sahabat dunia akhirat.
[Bersambung vi...]
______
Catatan:
Wah, kaksu pun macam ingin tahu sahaja cerita ni berjalan ke arah mana, macam 10 bab tidak cukup untuk mengungkap semua cerita. Tak malu kan?
Macam seronok aja nak habiskan cerita ni, tapi kerja banyak sangat...
Tok Chik Nah sedang membongkok menggiling rempah untuk gulai ikan puyu. Tiba-tiba sahaja menunya bertambah. Mulanya dia sekadar nak buat cencaru sumbat cabai, lepas tu nak masak lemak tauge dengan fucuk tengah hari ini. Makan dengan ulam-ulam pun sudah berselera dah. Tiba-tiba sahaja Som seisi keluarga nak datang pula. Ada benda penting dia cerita. Fasal Wari ka? Budak tu memang dah cukup umur nak jadi suami orang dah! Kerja pun dah bagus. Tapi dengan sapa yang sesuai, ka dia dah ada pilihan? Awat depa nak mai?
Tiba-tiba saja Yasin dan Som nak mai makan nasi sini, tak pernah-pernah?
Awat?? Ka fasal Wawa?
Pesannya melalui telefon tadi, "Mak Chik Nah buat la gulai ikan puyu rempah giling na. Nanti saya suruh Wari hantar ikan puyu." Kata isteri anak saudaranya itu. Itulah yang tiba-tiba sahaja dia kena menggiling ni. Bukannya susah pun hendak buat awas rempah gulai ikan air tawar ni: pakai cabai kering, ketumbar biji, kunyit hidup, jintan putih, jintan manis sahaja. Kadang-kadang Tok Chik Nah suka bubuh halba sikit, bagi naik bau... tapi kadang-kadang dia elak guna. Cengih la bau dia kalau tak kena dengan ikannya.
Tok Chik Nah titiskan air sedikit sebelum sambung menggiling lagi. Sikit lagi sahaja rempah ni nak lumat. Ikan puyu ni baru saja tadi anak teruna Yasin bagi. Hidup lagi ikan-ikan tu, sengaja dia tak nak siang lagi, sebab nak tunjuk pada Suffiah cara bersiang ikan puyu. Burhan dah minta tolong dia ajar pada Suffiah urus rumah tangga. Bimbang anak perempuannya itu tidak pandai ke dapur. Entah kenapa tiba-tiba sahaja Burhan dan Wahidah tukar cara untuk mengajar Ainnul Suffiah. Daripada memberi manja seratus peratus, dia nak tukar anak daranya jadi 'orang perempuan' seratus peratus. Mimpi apa?
Tok Chik Nah tak ada masalah pun nak ajar Suffiah. Budak tu terang hati, dan dia bukannya jenis tak suka duduk kampung. Berbanding cucu-cucu perempuannya yang lain, yang dah remaja dan dewasa tu... Suffiah ni pandai ambil hati tuanya. Tidak pernah Suffiah merungut kalau diajak ke dapur. Mukanya senyum sahaja.
anak-anak bukhari waktu kecil
Kalau Marlisa, Jeslina dan Jasmina anak Bukhari, minta maaflah kalau mahu mengupas bawang sekilo dengan muka manis macam Suffiah. Tok Chik Nah yang memiliki tujuh orang cucu perempuan itu memang sayang lebih pada Ainnul Suffiah. Cuma sayangnya tu tidak ditunjuk di depan cucu-cucunya yang lain. Apatah lagi, kalau ada cuti apa-apa... Si Suffiah ni jarang dapat balik di sini. Besannya sering ajak Suffiah makan angin ke sana ke mari; sebab Suffiah inilah satu-satunya cucu perempuan Puan Asma. Anak perempuannya seorang, cucu perempuannya pun sorang. Itulah yang buat besannya asyik 'mengawal' Suffiah kat dia sorang sejak dahulu.
"Pak Joni la, dia jurus Piyah dengan ayark ikan. Ni tengok setengah lencun Piyah. Tak nak la pi market lagi esok!"
Chewah Piyah, betul ke tak nak market esok?
"Ha la, esok soksah pi dah. Biaq tok pi." Sahut Tok Chik Nah, kasihan melihat cucunya sudah berbau macam gerai ikan.
Alah, tok ni... Piyah acah saja. Tok ni la, tak reti hati orang muda. Bukan Piyah kata betul-betul tak nak pergi. Suffiah menjawab dalam hati!
"Lain kali jangan duk tumpang dah reta orang jantan macam tu. Tak elok anak dara dok kerabat naik gheta loghi... tak ketahuan macam tu, Piyah." Tok Chik Nah berhenti menggiling. Matanya memandang Suffiah yang manis. Dah besar dah budak ni, itulah agaknya sebab Burhan nak dia belajar masak makan, nanti kalau kena hidup berdikari senang... kalau nak kahwin pun senang.
"Bukan Piyah yang suruh, dia yang nak antaq." Isy, tak berani pula nak sebut nama si mamat tu... sebab nama dia berbau 'cinta' di bibir Suffiah.
"Gerek Piyah pi mana?" soal toknya. 'Gerek' tu 'basikal', Suffiah tak pernah pakai kata tu. Kata Alin, orang hulu saja kata 'gerek'... Abang Piyan kata basikal, jadi Abang Piyan bukanlah orang hulu la. Hatinya berbunga senang, kalau setakat orang kampung okey lagi. Tapi kalau hulu sangat, tok mama mana beri. Dulu babah nak kahwin dengan umi pun, puas jugalah 'berperang'... biarpun babah tu sekolah sampai ke Cardiff. Biarpun babah tu kalau cakap Inggeris, Queen Elizabeth pun kalah. Itu orang tak pernah dengar bahasa Perancis babah lagi, keturunan Napoleon Bonaparte pun akan kagum.
Gara-gara tok kata 'gerek' tu merujuk pada 'basikal' nyaris-nyaris aja tok dituduh orang hulu. Cuma hanya kerana itu, hubungan babah dan umi hampir berantakan.
Pada Suffiah, Suffiah ni hanya orang biasa... dia orang marhaen. Dia ingin ada pasangan yang sama marhaen dengannya. Cinta marhaen!
"Nanti petang abang tu hantar."
Ait, Piyah, 'abang tu'...? Isy, isy tak sangka... pandainya dia berlakon depan tok.
"Sudahlah Piyah... pi mandi, nanti jadi kudis... orang pinang jadi murah pulak orang letak, tok mama marah kat tok pulak!" usik tok.
Teringat pula zaman dia meminang Wahidah dulu, tanah kat baruh tu terpaksa dijual kerana mahalnya hantaran Wahidah. Sengaja Puan Asma mahu perkahwinan tu gagal. Itu sebabnya diletaknya hantaran mahal-mahal, supaya Burhan tidak mampu. Tapi jodoh anak keduanya tu kuat, jadi juga Burhan-Wahidah berkahwin. Sekarang ni bukan sahaja tanah di baruh tu sudah Burhan beli balik atas nama Tok Chik Nah, tetapi rumah ni pun Burhan bina baharu siap dengan beli tanah di sekelilingnya untuk Tok Chik Nah bercucuk tanam dan bela kambing dan ayam.
Burhan tu bagus budaknya. Isterinya pun dia didik sayang dekat Tok Chik Nah sungguh-sungguh, macam sayang ke emak sendiri. Anak-anak mereka pun sayang dan kasih pada Tok Chik Nah serupa macam mereka sayang pada Puan Asma. Baguslah Burhan dengan Wahidah ni. Isy puji anak sendiri pulak dah!
Tok Chik Nah memasukan rempah giling dalam mangkuk ayan warna kuning. Kemudian dia menuang ikan yang dibawa Piyah dalam singki. Plastik tu dimasukkan dalam tong sampah bawah dapur. Isy, sotong pun dia beli? Nak masak apa pula ni?
"Awat suruh depa bersiang siap-siap ni?" Suffiah yang sudah siap memegang tuala tidak jadi melangkah ke bilik air.
"Senang sikit!"
"Chek oiiii, tok ni nak ajark Piyah bersiang ikan. Kalau macam ni, sampai bila Piyah nak pandai?"
Mata Suffiah terkebil-kebil. Tok nak suruh Piyah bersiang ikan pulak? Tapi tok kalau dah ada kemudahan buat apa kita nak susahkan diri? Nanti luka tangan kena tulang ikan pula, murah pula hantaran Piyah... Piyah sudah ketawa dalam hati.
"Piyah oii, kalau hang kahwin dengan Piyan tu tak pa la, hang tak belajar bersiang ikan." Leter tok. Mengusik. Dia tak tahu yang cucunya itu asyik duk mengamin dalam hati aja dengan kata-katanya itu.
Tapi kan Piyah, kalau hang kahwin Piyan... hang la yang kena pi tolong dia di market, hang la yang kena tolong bersiang ikan pelanggan tu, jadi kalau hang mula belajar dari la... bila lagi, no? Hati Suffiah sedang menggodanya dalam loghat Utara pula.
Yalah, tak boleh tak belajar ni... dia kan sedang berusaha untuk menjadi isteri 'tukang ikan' ini.
'Tukang'? Orang Utara ni kan, semua pekerjaan golongan marhaen dia labelkan sebagai 'tukang'.
"Tok tak pa la, lain kali Piyah suruh abang tu jangan bersiang dah!"
"Aittt, tadi Piyah kata tak mau pi market dah!"
Tok ni tak reti-reti hati orang muda! Hatinya menjawab lagi.
Wajah Suffiah bersemu merah.
[bersambung.... v]
Catatan:
Cuba teka... Som-Yasin, dan Wari ni siapa?
Nak belajar buat gulai ikan puyu? Tunggu sat na, sat lagi lepas Piyah mandi... tok ajar hangpa na.
"Berani juga Piya ambil form six. Orang kata STPM susah!"
"Susah juga, banyak paper kena studi, walaupun subjeknya lima saja yang Piya ambik." Wah, loghat Kedah dia semakin bagus ni! Suffiah sudah hampir lulus jadi orang Utara.
"... tapi masa SPM dulu result Piya tak elok, tak boleh minta matrik. Pastu, minta apa satu pun tak lekat...." Suffiah bukan hendak merendah diri, tapi Piyah mahu Abang Piyan tahu... Suffiah dengan Abang Piyan kalau duduk sama rendah, berdiri sama tinggi... walaupun Abang Piyan tu cuma jual ikan sahaja.
"Oooo." Jawab Abang Piyan.
"Form six ni, last dice la!" Isy, reti ke Abang Piyan ni frasa last dice.
"Lepas ni nak buat apa?" Piyan bertanya lagi.
"Macam nak buat law, tapi tak tau lagi... babah suruh buat architecture ke townplanning ke." Kata Suffiah. Matanya masih di depan. Tidak berani dia mengerling ke arah Abang Piyan.
Yalah, sebab abang dah buat medic, adik pula dah buat biomedic, syarikat arkitek babah dan umi tu siapa nak waris!
Tapi kan... sekarang ni sejak dia suka pi market, macam teringin saja nak buat Sains Marin. Cuma sebab dia budak arts, peluang dia tidaklah cerah. Tapi kan, kalaulah buat Sains Marin bolehlah kerja dekat Langkawi ni, nanti senanglah kalau nak 'bina rumah tangga' di tepi pantai... dengan Abang Piyan. Lagi seronok kalau ambik subjek Sains Rumah Tangga... terus jadi isteri bestari. Gatal!
Suffiah mengaru kakinya yang sudah mula gatal. Berulang kali. Tidak sempat hendak jaga gengsi dah. Tadi lepas kena air ikan, Abang Piyan menawarkan diri untuk hantar dia pulang. Jadi kini dia dalam perjalanan balik ke rumah tok dengan anak lori ikan Abang Piyan la. Cis, first date dalam lori ikan pulak. Hanyir lori bau ikan satu hal, tapi dia sendiri pun sudah hanyir bau macam ikan duyung.
Tapi kan, kalau dengan Abang Piyan, ke Etopia pun Piyah sanggup! Naik tongkang ke rakit ke, Piyah mahu!
Jangankan ke Gunung Fujiyama
Puncak Himalaya ku ikut kamu
Jangankan ke Kemboja
Ke Etopia ku ikut kamu
Kalau memang kau cinta aku
Ke Kutub Utara aku ikut kamu!
Itulah lagu kesukaan Mbak Wirda sambil masak di dapur. Pembantu umi yang setia itu, sudah lapan tahun tidak pulang ke Semarang. Lagu Endang S. Taurina tu dia ulang-ulang sejak Suffiah kecil... sampai Suffiah pun hafal juga.
Cuma satu sahaja, liriknya salah... Gunung Fujiyama tu, sepatutnya kata Gunung Fuji je, sebab 'Yama' dalam bahasa Jepun ialah 'gunung'. Itulah yang Kak Ajah sebelah rumah cakap. Dia kan pernah kerja kilang Sony lama juga. Tapi Mbak Wirda mana mahu percaya cakap Suffiah!
Apa yang Mbak Wirda buat waktu pagi-pagi begini? Abang sudah ke Ireland. Adik pula sudah berlepas ke Melbourne tahun lalu. Kasihan Mbak Wirda, dia sudah tak ada sesiapa lagi untuk dia layan bergaduh. Anak-anak lelaki Tuan Burhan sudah meninggalkannya.
"Lama ke Piya duduk dengan Tok Chik Nah ni?"
"Lagi dua bulan setengah."
"Oooo." Kata Abang Piyan sambil memberhentikan anak lorinya di bawah pohon ketapang.
"Dah sampai. Kirim salam dekat Tok Chik Nah, nanti petang... Abang Piyan hantar basikal Piya. Lain kali hati-hati." Kata Abang Piyan.
"Terima kasih." Kata Suffiah.
"Sama-sama kasih, Piya tak malu ke naik lori?"
Suffiah menggeleng. Piyan tersenyum, lalu meneruskan perjalanannya semula. Lambat-lambat nanti habis pelanggannya diculik Busu. Piyan tersenyum teringat akan Busu; kawan baiknya sejak darjah satu itu.
Segera pula Ainnul Suffiah berlenggang dengan raga ke belakang rumah tok. Raga berisi ikan, terasa berisi bunga pulak.
Catatan:
Selamat malam daripada Piyah untuk pembaca malam ni :)