EPISOD 1
AKU, DIA & KAMI

Kata orang cinta itu buta?
Selalu dah duk hafal premis tu... sehinggalah aku bertemu dia
Sekarang ni aku sedang buta... kerana memilih dia, bukannya orang lain
Kata orang cinta itu meruntuhkan dinding rasa
Tak pernah percaya kata-kata tu... sehinggalah matanya merenung aku pagi itu
Mulai saat itu, aku rasa hati aku sudah sesat tiada jalan pulang
Kata orang cinta paling agung... cinta Layla kepada Majnun
Hampir saja percaya dengan kata-kata itu... sehinggalah aku memilih dia!
Cinta Jaja pada Din tu lah yang teragung... Cinta Din pada Jaja? Huh, tak tau lah!
Cerita ini, sebuah cerita biasa, tetapi aku sengaja menjadikannya luar biasa kerana aku menyukai dia lebih banyak daripada dia menyukai aku! Itulah yang aku rasa. Aku Si Jaja terpaksa menebal rasa untuk melamarnya... rasanya spesies macam aku yang hidup dengan ego tak pernah susut, tak mungkin pernah melakukan perkara begitu dalam kurun mana pun... TETAPI itulah yang telah aku lakukan. Memalukan... tetapi tak kisah, asalkan aku dapat kahwin dengan dia. Hhm, JAJA!!! Sungguh mengaibkan, premis mu itu.
Hmm... macam mana nak mulakan cerita ni ya? Sebab cerita ni tidaklah sesusah mana, tetapi sengaja aku susah-susahkan juga apabila ramuan hati dan perasaan aku 'gaul' sekali sebagai wadah cinta. Aku tidak boleh berharap lebih... kerana cintaku seluas lautan tanpa sempadan sedangkan kasih dia... aku tak ukur lagi! sedih, sedih!
Tetapi aku nak bercerita juga. Aku memang suka bercerita... aku suka cakap banyak, agaknya kerana itu dia tidak menyukai aku... kerana dia seorang yang pendiam... pendiam sangat... pendiam macam semut, eh ada ke peribahasa begitu?
Jadi macam mana aku nak mulakan? Mungkin aku boleh cerita fasal 'aku', 'dia' dan kemudian 'kami'?
Aku
Nama aku Faiza. Faiza anak Doktor Badrul Hisyam. Tetapi sejak kecil semua orang panggil aku Jaja. Menjadi kakak sulung kepada tiga lagi adik, Nini (Marini), Lala (Adila) dan Wassim. Wassim tu anak kesayangan umi, semua dia buat... semuanya betul. Maklumlah anak lelaki seorang. Aku pun disayangi umi, aku anak sulung umi... aku lahir sewaktu abah dan umi masih menjadi doktor siswazah di Hospital Besar Alor Setar lagi. Aku ni macam, hmmm... kenangan yang tidak mungkin dilupakan... kononlah tu, aku ni tanda mata cinta mereka yang pertama. Chewah.
Aku ni menjadi anak buah kesayangan ramai, terutamanya Uncle Aqmar, teman baik abah dan umi sejak sekolah tu. Kemudian aku ni juga cucu sulung untuk Tok dan Nenek. Jadi faham-faham ajalah... kedudukan aku sebagai anak sulung tujuh keturunan. Sejak kecil aku selalu aja menang dan suka membuli adik-adik aku, Nini dan Lala. Lalu sejak kecil, aku mudah sahaja dapat apa yang aku nak. Abah dan umi tak pernah berkira... hidup aku tahu gembira sahaja dua puluh empat jam... sehinggalah aku bertemu dia!
Dia
Nini ketawa tak cukup mulut apabila aku beritahu, aku nak kahwin dengan anak Ustaz Mustafa a.k.a Ustaz Pa'. Nama dia Burhanuddin. Amboi, nama dia... macam ciri-ciri orang mengaji di Pondok Gunung Semanggol tahun enam puluhan sahaja, kata Nini. Kalau tidak fikirkan aku di tempat awam, mahu sahaja aku stapler mulut Nini biar dia tak boleh bernafas terus.
Aku bercerita lagi. Dan ini bahagian yang Nini tidak tahan, "Dia kerja sebagai guru sastera Arab di Parit Buntar." "Guru sastera?" Nini sudah terkejut tak tahu bertingkah.
"Kak tahu tak, kak kerja apa sekarang ni? Kak tu Media Planner di Universal McCann tau... bukannya jual Yong Tau Fu dekat medan selera sebelah Kak Bedah tu!"
"Kalau jadi Media Planner, kenapa?"
"Kak tak boleh suka-suka hati nak duduk Parit Buntar... dia yang kena pergi KL. Dia nak ke, hidup di KL... dia tu orang Baling la kak. Dia tu lepasan Universiti al-Azhar pula tu."
Hish, adik aku yang sorang ni... memanglah tak boleh diharap, bukannya nak menolong beri semangat... nak berkongsi masalah pun dia dah surrender. Tak pernah ada benda yang positif diharapkan keluar dari mulutnya yang comel tu.
"Habis nak kak jadi macam Nini, kerja guru... nak kahwin dengan guru... dah tu satu sekolah pula tu. Macam sempitnya dunia." Kata aku, mengejek Nini yang baru bertunang dengan rakan sekolah menengahnya dulu, yang kebetulan pula mengajar sama-sama dengannya di Kuala Nerang.
Apa salahnya Media Planner nak kahwin dengan Cikgu Sastera Arab... kat mana salahnya? Aku menyoal dia berkali-kali.
"Banyak masalahnya kak... percayalah cakap Nini. Dia anak ustaz!"
"Awat, anak ustaz tak boleh kahwin dengan anak doktor ke? Kalau mak dia suri rumah, tak layak ke bergading dengan umi kita yang doktor tu? Umi okey apa, umi kan jenis open minded."
"Tak sekufu...."
"Kat mana?"
"Menantu ustaz kenalah pakai tudung!"
Aku diam, Nini pun diam. Sekian waktu selepas itu Nini bertanya:
"Kat mana kak jumpa dia?" Dia macam sudah merestui pilihan aku, ataupun dia rasa serba salah mengores hati aku fasal menutup aurat tu. Aku membetulkan skirt labuh yang ditiup angin... menghirup teh tarik Pak Ya di gerai sebelah Pusat Pakar Perubatan Darulaman. Kami menunggu dengan sabar abah dan umi habis kerja... ingin aku khabarkan kepada mereka: "Jaja sudah ada pilihan hati!"
...jadi kat mana ya, aku jumpa dia? Spesies pakej lelaki terakhir Malaya ni aku jumpa kat mana?
Kami
Cerita kami bermula dari sini....
[Bersambung]