EPISOD 8
Dia, 'dia' & Cinta

WAH, BAU SUP untuk steamboat menggoda sungguh. Hmm, sedapnya. Tatkala melihat udang, sotong, isi ikan dan macam-macam lagi makanan laut berbaris di dalam pinggan besar di atas meja, perut Jaja sudah melaung minta di isi. Sedapnya, sedapnya.... Tetapi sebaik sahaja matanya terpandang Abang Long di meja itu, selera makan Jaja menjunam empat puluh lima darjah.
Bukannya dia tidak menyukai Abang Long. Bukan! Mereka kenal sejak kecil juga. Anak saudara Uncle Aqmar tu, pernah datang berhari raya ke rumahnya beberapa kali. Kenallah, walaupun tidak rapat mana: sekarang ni lagilah... kerana sejak dia ke US, berapa tahun yang lalu... inilah kali pertama mereka berjumpa lagi. Abang Long memang persis Uncle Aqmar sewaktu muda. Kacak. Selain genius, dia juga anak yang patuh pada keluarga. Buktinya, walaupun sudah bertahun-tahun di US, dan bertemu dengan begitu ramai perempuan berambut perang dan bermata hijau-biru... apabila datang bab mencari jodoh, dia memang anak ibu: dia pulang ke Malaysia mengikut pilihan ayah dan ibunya.
Jaja bukan tidak sedar usaha abah dan Uncle Aqmar menjodohkan mereka berdua. Walaupun Jaja juga kadang-kadang bermata biru-hijau, berambut perang-burgundy DAN secara logik akal, sepatutnya Jaja tidak akan pernah melepasi prasyarat menjadi menantu pilihan, tetapi dia tetap disenaraikan sebagai calon 'orang rumah' Abang Along sejak awal. Kalau selama ini daripada hanya sekadar menyebut-nyebut tentang hal penjodohan sahaja, kini... abah dan Uncle Aqmar telah melangkah lebih serius dengan membawa tuan punya badan ke meja makan pula. Itulah yang membuat Jaja rasa tidak selesa. Jaja kan pernah berkata tidak, kenapa jawapan itu tidak diterima sebagai satu penolakan. Kan sudah jelas binti sah... Jaja tak nak!

Kenapa ya dari dulu Abang Long tidak dijodohkan dengan Nini sahaja, kata Jaja tadi sewaktu menyisir rambutnya yang panjang si muka cermin. Ketika itu mereka sedang bersiap-siap untuk ke rumah Uncle Aqmar, Lala di birai katil tersenyum nakal. Nini dengan Abang Long memang sepadan: Nini tu bersopan-santun, solat tak pernah tinggal. Puasa sunat Isnin-Khamis tu menjadi amalan dia sejak remaja. Bukannya macam Jaja yang tak senonoh, bisik hatinya.
"Kak, Nini sudah ada Pauzi sejak dulu." Kata Nini sewaktu menyematkan peniti ke tudung coklatnya tadi. Pauzi dieja dengan 'P' bukannya 'F'... jangan lupa tu, usik Jaja dalam hatinya... sedari tadi, dia ingin bersekongkol dengan Lala ketawakan Nini. Tetapi tidak sampai hati pula. Dia tidak ingin merosakkan mood Nini yang sedang bersukacita.
Dan malam ini, Cikgu Pauzi Si Nini mendapat undangan makan steamboat di rumah Uncle Aqmar juga. Abah sendiri menelefon mengundang bakal menantunya tadi. Siap emak bapa Pauzi pun dijemput sama. Mujurlah rupa-rupanya Pauzi orang dekat-dekat sini sahaja. Namun untuk malam ini emak bapa Cikgu Pauzi tidak dapat hadir.
Nini menjadi semakin lega, tatkala tahu mereka bukannya orang lain, rupa-rupanya kenalan abah juga. Nini sudah tersengih sejak tengah hari membawa ke Maghrib... mengingatkan cintanya tiada halangan, malah mendapat restu pula.
Tengoklah, moderen sungguh abah dan umi. Sangat terbuka. Kalau boleh abah nak buat cepat-cepat sahaja kenduri Nini, kata abah tadi pada umi. Abah tidak suka Nini dan Pauzi berkawan lama-lama. Abah dan umi tidak tahu agaknya, mereka sudah berkawan sungguh lama... sebelas tahun! Tetapi kata umi pula, "selagi Jaja tak lepas, tak boleh la." Umi!! Mana boleh umi berfikiran kolot begitu tiba-tiba. Kalau Jaja tak berkahwin, aniaya sahaja Nini dan Pauzi. Janganlah dia menjadi penghalang kepada hasrat hati adiknya itu. Sian Nini....
Tiba-tiba cerita Taming in the Shrew karya Shakespeare melintas di fikirannya. Mungkinkah kerana itu, Abang Long mendapat undangan juga pada malam ini? Janganlah aku dianggap Kate dan Nini pula menjadi sweet Bianca! Dan mereka sudah terdesak dan perlu mengahwinkan aku dengan siapa sahaja yang terlintas di fikiran, asalkan Nini boleh berkahwin. Jaja terkedu... rasa kecil hati melanda tiba-tiba. Janganlah aku menjadi Kate, kata Jaja sekali lagi dalam hati. Watak Kate dari manuskrip tahun 1593 dalam cerita Shakespeare itu menggerunkan.
Padahal walaupun Jaja tidak menyukai cerita Shakespeare berbanding cerita hikayat-hikayat Melayu dan panji, tetapi cerita daripada penulis Inggeris yang satu ini dia sangat suka. Apatah lagi apabila menonton lakonan Richard Burton dan Elizabeth Taylor yang sungguh memukau.

Sejak siang tadi Lala dan Wassim sudah bersemangat nak lihat Abang Ngah! Sejak dulu, Nini selalu sahaja catat sana sini nama 'Pauziah' tu, namun tak ada siapa yang sangka... itu nama Pauzi yang sudah diperempuankan supaya si busy body Wassim dan si penyibuk Lala tidak tahu. Setiap kali nak balik ke asrama, ada saja bekalan untuk ditapau pada 'Cik Pauziah' bestfriend dia tu. 'Cik Pauziah' konon! Semua orang kena tipu hidup-hidup dengan Nini... terutamanya, Si Lala penyiasat persendirian yang tak bertauliah tu.
Lala tu, alahai... bahaya sungguh! Kalau dia tahu, habislah umi dan abah pun akan tahu. Nini memang berkongsi bilik dengan Lala. Namun tidak lama juga, sebab Nini belajar di sekolah asrama penuh. Sewaktu Nini tidak ada, habislah barang-barang Nini digeledah Lala. Tetapi rahsia Nini tidak pernah pecah, sebab Nini akan labelkan semua perkara yang berkaitan dengan Pauzi sebagai 'Pauziah'. Pandainya Nini menyimpan rahsia.
Tatkala melihat Pauzi duduk bersopan sebelah abah yang semeja dengan Uncle Aqmar tu, Jaja tersenyum. Oh, inilah 'Pauziah'!! Malah pernah juga sesekali Jaja tolong mengepos kad untuk 'Encik Pauziah' a.k.a Cikgu Pauzi ini. Tak sangka, tak sangkanya! Pandainya Nini bersandiwara. Kononnya Jaja dan Nini sister cum bestfriend, tetapi dengan Jaja pun Nini sembunyikan... tak patut!
Mereka – Nini & Cikgu Pauzi - sama-sama belajar dari tingkatan satu hingga lima di MRSM Kuala Berang. Kebetulan pula sekarang ini mereka akan sama-sama mengajar di Kuala Nerang. Sweetnya. Jaja jadi terharu melihat setianya cinta Nini dan Pauzi. Terasa dia pula yang lebih-lebih bersemangat untuk terus setia pada Ustaz Din juga. Bodohnya, Jaja... sebab Din tidak pernah tahu, ada seorang budak perempuan yang sedang jatuh hati kepadanya separuh mati! ejek hatinya. Jaja terkedu sesaat. Tatkala teringat perihal Puteri Zahirah, Jaja terkedu bersaat-saat. Hati Jaja bagaikan sudah terbelah dua.

Selepas membaca doa, masing-masing telah memulakan aktiviti celup-mencelup makanan laut dan sayur-sayuran dalam sup. Meja panjang di luar rumah itu ada empat set periuk steamboat yang sedang menggelegak. Abang Long duduk sebelah Annas Aziz. Melayan dengan sabar anak Uncle Aqmar. Anak Uncle Aqmar yang sindrom down itu, memang banyak kerenah. Tidak ramai yang akan sabar dengan perangainya itu. Tetapi Uncle Aqmar dan Makcik Dara, sayang sangat kepadanya. Abah dan umi pun begitu. Mereka semua sabar sahaja. Tetapi Jaja tidak sesabar itu, kadang-kadang dicubit juga Annas Aziz tanpa pengetahuan siapa-siapa. Bagaimanapun tatkala teringat yang betapa Uncle Aqmar sayang kepada Jaja, rasa bersalah mengikutnya ke mana-mana.
"Jaja, nak udang ni?" tanya Abang Long, dengan tangan memegang chopstik dan jaring untuk mencelup di tangan. Matanya memandang Jaja di depannya sejenak. Dia masih menggunakan bahasa Melayu dengan fasih seperti dulu. Jaja menggeleng, padahal dia suka sangat udang. Lalu pada saat ini, dia harus pura-pura tak makan udang. Dia kononnya tak suka pada udang pula!
"Sotong?" Jaja menggeleng lagi.
"Alergi?" tanya dia lagi, hairan.
Jaja menggeleng juga.
"Apa alergi pula, kak suka makan sotong dan udanglah." Sampuk si penyibuk... Lala Doktor Syam. Budak Lala ni, orang kurung dalam peti baru dia berhenti bercakap kut.
"Dah kenyang." Balas Jaja.
"Kenyang apa pula, kak... dari tengah hari kak tak makan pun." Pintas Lala. Betullah Lala ni, kalaupun kemaruk nak ada abang ipar pun, tak payah lah nak jodoh-jodoh kami tidak tentu arah begini.

Sejak tadi Jaja mengelak untuk bercakap dengan Abang Long. Selama ini Jaja tidak pernah rasa tidak selesa di meja makan dengan sesiapa pun. Tetapi malam ini, berbeza sangat. Dari jauh dia dapat melihat mata abah dan umi asyik sesekali mengerling ke arahnya.
Sejak dia jatuh cinta pada Din, kalau boleh dia tidak mahu bercakap dengan mana-mana lelaki dah. Dia ingin mengukuhkan kesetiaannya. Jaja dah gila bayang! Dah parah!
Hari tu pun Suhaimi sudah menegur. Katanya, Jaja jadi pendiam tiba-tiba! Lepas tu Si Mira duk berdeham-deham pula. Geram betul dengan Mira. Kalau Mie tahu fasal Din, memang Mira lah dalangnya!
Abang Long 'mengail' macam-macam dan memasukkan ke dalam piring Jaja.
"Thanks." Jawab Jaja sepatah. Lala mengerdipkan matanya. Lala ni nak kena ni, balik nanti tahulah Lala, marah Jaja dalam hati.
"Sama-sama."
Abang Long baru aje balik bercuti. Dia tinggal di US dan bekerja dengan NASA. Dan cerita tentang ibu Abang Long ingin mencarikannya jodoh dengan gadis Melayu bukanlah rahsia lagi. Dan yang paling merimaskan, Jaja memang sudah menjadi salah seorang daripada calonnya... tersenarai paling atas. Jaja hanya perlu berkata 'ya' sahaja untuk menang tanpa bertanding, mengikut kata Lala siang tadi. Tetapi kenapa ya hati ini tidak pernah tertarik pada kilauan cahaya. Nini dan Lala kata dia menolak tuah...!
Apa kurangnya Abang Long. "Nanti kak boleh tinggal di US, dan kita boleh pergi ziarah juga." Sampuk Lala, yang tidak pernah tahu... bahawa hati perempuan bukannya seperti lampu yang ada suis: mudah dibuka ditutup. Lala masih mentah, manalah Lala tahu betapa cinta itu sesuatu yang sungguh aneh!
"Ja, nanti ada benda yang Abang Long nak cakap. Jangan balik lagi ya, Ja...." kata Abang Long perlahan sangat, tetapi terasa kuat di telinganya. Jaja terasa hendak menangis. Perutnya sebu semula, dan dia terasa akan demam lagi. Aku tidak mahu memilih dia, kerana aku sudah ada 'dia'....
[Bersambung...]
______________
Catatan:

Lagi dua episod aja... :) sebelum kaksu berhenti menulis. Terasa bagaikan
ingin bercuti sabatikal dua tiga bulan...