EPISOD 10
Aku, Aku & Mereka

CERITA INI, SEBUAH CERITA BIASA, tetapi aku sengaja menjadikannya luar biasa, kerana sebagai penglipur lara dalam cerita Panji aku sendiri... aku ingin sekali membawa cerita ini ke depan dan belakang sesuka hatiku.... Lalu begitulah yang akan aku lakukan dalam episod ini. Aku akan membawa siapa yang sudi membaca cebisan kisah ini makan angin jauh-jauh dulu... padahal ceritanya sekadar, KL Sentral pergi Pasar Seni aja.
Berkahwin dengan Che' Din bukannya menjadi rahsia lagi. Dalam episod-episod awal sebelum ini pun sudah terserlah ceritanya begitu. Tetapi 'bagaimana' ia terjadi, akan terus menjadi rahsia. Rahsia bagaimana pula Din yang dilamar Jaja bersedia menggenggam tangan tok kadi hari tu pun, tidak akan pecah dalam episod ini. Mana ada cerita lagi, kalau awal-awal kita sudah dedahkan segalanya... mana cerita akan menjadi asyik, kalau semuanya sudah terbongkar? Lalu untuk episod terakhir ini, Jaja nak bercerita bermula di tengah dahulu. Apa pula yang akan jadi selepas episod ini sehingga habis cerita ini, tetap menjadi rahsia... *menjeling ke arah kaksu* ...sehinggalah kaksu sedia membukukan cerita Jaja ini!!!
Teringin sangat nak cerita fasal pengalaman Jaja pulang berhari raya ke rumah Din di Baling hari tu. Baling ni walaupun bandar kecil, tetapi sarat dengan sejarahnya. Bukalah lipatan sejarah, dan lihatlah begitu ramai pemimpin pernah datang ke sini kerana Baling bandar yang penuh kontroversi. Dan kalau datangnya musim pilihan raya, kawasan ini menjadi kawasan yang panas. Bangku parlimen dan kerajaan negeri sering bertukar parti. Inilah Baling yang unik... begitu jugalah dengan Che' Din. Che' Din budak Baling.

Macam yang pernah Jaja cerita dulu, Din lulusan Universiti al-Azhar, Kaherah. Bidangnya Kesusasteraan Arab. Dan Din ni memang pandai mengaji al-Quran dengan suara yang memukau. Subhanalah sedapnya. Dan namanya, Burhanudin Helmi dipilih bukannya daripada calang-calang orang, nama pemimpin pra-kemerdekaan dari Gunung Semanggol. Itulah, Si Jaja yang buta sejarah ni pun balik belek semula sejarah tatkala mengenali Din. Adik-beradik Din, menggunakan nama pemimpin-pemimpin yang warak-warak pada zaman sebelum merdeka lagi. Nantilah Jaja ceritakan tentang mereka. Jadi rancangan Jaja kalau ada anak nak kasi nama biasa-biasa, moden-moden jangan haraplah... di rumah ini, semua nama pejuang Islam termateri. Ada seorang anak saudara Din, namanya Mahmoud Ahmadinejad, abangnya pula nama Ahmed Hoosen Deedat. Jadi kalau kita masuk ke rumah keluarga Din, kita bagaikan sedang belajar sejarah. Kita harus kenal semua kenal nama tokoh-tokoh... kalau tak, kita macam hidup zaman lain aja.
Jadi, betulkah Jaja sedang menjadi sebahagian daripada mereka ini? Mampukah Jaja. Jaja yang sebegini, bolehkah 'larut' dalam keluarga ini? Layakkah Jaja? Tidak cuba, tidak tahu... wah, inilah kelebihan Jaja! Datang bab Din, Jaja sedia cuba jaya semua benda.
Ibu Din. Dia perempuan yang dihormati Din dalam dunia ini. Dia seorang perempuan penyayang, yang telah melahirkan lima orang anak lelaki dan seorang perempuan. Ibu Din, Che' Melor (jangan ketawakan nama ibu mertuaku ini... Melor tu kalau nama modennya, Jasmin atau Yasmin saja... jadi apa bezanya... cuma ibu bapa Che' Melor nak guna nama asli dalam bahasa Melayu, lalu jadilah dia Che' Melor) ni, sejak dulu lagi suami dan anak-anaknya adalah keutamaannya hidupnya. Berhenti menjadi ustazah sekolah agama rakyat semata-mata ingin membesarkan anak-anaknya dengan tangan sendiri.
Kalaulah Din suruh aku buat begitu, sanggupkah aku? Belum lagi. Mujurlah berhenti kerja tidak termasuk dalam lima syarat Din selama ini. Mujurlah. Mujurlah. Aku belum bersedia lagi... tapi kalau Din suruh, tentu sahaja aku taat. Oh, apa sudah jadi dengan seorang Jaja ni?
Rumah Din jauh sedikit dari Pekan Baling. Di belakang rumahnya ada sejalur bukit juga. Kata Din, anak-anak lelaki yang memandang bukit, jiwanya kental dan kuat. Sejak kecil mereka adik-beradik disuruh melihat bukit pagi dan petang. Lihat sahaja pejuang-pejuang Afghanistan tu -- pahlawan bukit -- beraninya sampai Soviet Union boleh pecah belah, dan yang tinggal hanyalah Rusia... dan peperangan itu membuat negara beruang merah terus bankrap.
Justeru, tip nombor satu untuk menjadi isteri yang disayangi Din, Jaja mesti belajar sedikit politik dunia Islam dan sejarah semula. Jaja tidak mahu malu, apabila Din bercakap tentang Taman Babylon, Jaja bercakap tentang Botanical Garden pula. Jangan pula Din bercakap fasal Salahuddin Al Ayubi, Jaja bercakap fasal Jalaluddin Hassan pula. Selain tu Din suka cerita-cerita al-Quran. Jaja lebih suka kalau Din hendak kaitkan sesuatu dengan apa-apa kejadian, Jaja dapat cepat-cepat menyampuk dengan mengingati sirah nabi.

Macam minggu lalu lah, apabila Din bercakap... opsss, sebelum tu Jaja nak cakap, Din ni bukannya jenis yang cakap banyak. Tetapi untuk memancingnya bercakap banyak sedikit daripada biasa, Jaja mesti menyampuk pada bidang yang dia suka. Sejak tu la Jaja sudah beli peta Jerusalem, dan menghafal nama-nama daerah pembahagian Yahudi – Kristian - Islam. Jaja mula memahami apa bezanya gerakan Hamas, dan yang mana satu Hizbullah... parti Fatah pula yang mana? Kalau tidak tahu semua ini, janganlah suka-suka nak ajak Din berbual lama. Kalau sekadar nak cerita, bulan ni Sogo ada sales ke, Jaja suka la dengar lagu Anwar Zain atau Sheila Majid yang terbaru ke ataupun Mira si isteri Suhaimi beli sofa warna apa... semuanya Din sekadar mengangguk sahaja, menyampuknya tidak! Sabar ajalah. Sabar! Che Din aku memang satu dalam sepuluh.
Jangan nak cuba-cuba bercita-cita nak beli perabot apa-apa dari pamflet, sebab dia akan membuatnya sendiri, dan halus pula buatan dia. Jangan pula cuba-cuba nak ajak Din makan luar berkongsi satu gelas dua straw, sebab sebut sahaja makanan apa... pandai aja dia memasaknya pula. Jangan juga cuba-cuba nak ajak dia pergi panggung wayang bersenang-senang sambil makan popcorn dan Coca Cola... mudah aja dia suruh kita duduk tengok VCD di rumah, dia akan buat bertih jagung tu sendiri dalam perisa apa yang Jaja suka! Teringin nak minum Coca Cola...? Ya ampun, menyebutnya pun tidak di rumah ini kerana dia anti-Israel dan anti-Amerika peringkat ketiga (tak serius sangat sampai nak bom negara tu)! Jadi, Jaja sudah mulai membuang sedikit demi sedikit kebiasaan yang dahulu 'menyeronokkan' itu dan cuba tenggelam dalam dunia rasa Che Din.
Opsss, Jaja nak keluar sekejap... balik nanti Jaja sambung lagi bab 10 ni ya...
Ini Jaja sambung lagi, dah lupa dah nak bercerita apa? Sambung cerita fasal pertama kali ke Baling, ya? A'ah... selepas habis saja kenduri, ayah dan emak Din berangkat ke Mekah.
Jadi inilah pertama kali Jaja menjejak kaki ke kampung Din. Dan inilah kali pertama Jaja akan menyambut hari raya di kampung Din. Dulu pun, majlis menyambut menantu tidak dibuat di Baling, sebaliknya dibuat di Pantai Johor, dekat-dekat Alor Setar ni sahaja. Ya lah siapa suruh hendak buat kenduri cepat-cepat! Dengan itu, untuk hari raya tahun ini... sejajar dengan salah satu daripada lima syarat Din: selagi ayah dan emak Din masih ada, Jaja akan ikut Din pulang menyambut akhir puasa dan menyambut hari raya di Baling. Pada saat mendengar syarat pertama, Jaja tidak pernah memikirkan buruk baiknya itu terus bersetuju. Bodohnya Jaja!
Eh, bukannya bodoh. Rules & Regulation... cinta itu, harus ada tolak ansur. Tetapi kenapa harus Jaja saja yang bertolak ansur, ni?
Dan apabila Din minta lima syarat daripada Jaja... Jaja bodoh-bodoh aja mengisi, satunya: perkahwinan dalam taman. Bodoh kan? Belajar tinggilah juga, datang bab ini jadi bodoh pula. Majlis dalam taman itu sekadar untuk dikenang seumur hidup, tetapi beraya di rumah mertua setiap tahun, perkara yang harus dilalui setiap tahun. Itulah puncanya, kenapa Jaja harus pulang ke Baling seminggu sebelum puasa dan hari raya tahun 2006 ini. Itulah prasyarat keempat, yang dipersetujui dengan Din.
RUMAH DIN luas juga, dan ada banyak bilik. Setiap anak yang sudah berkeluarga memiliki bilik sendiri, kecuali Din. Bilik Din sudah dimiliki anak-anak saudara perempuannya yang sudah mulai baligh. Sejak Din ke Mesir, dia sudah tidak memiliki bilik sendiri. Setelah dia pulang ke sini, biliknya tidak dikembalikan semula. Jadi, nanti kami akan menumpang di bilik kakak perempuan Din. Kata Din lagi apabila kakaknya pulang nanti, kita akan fikirkan di mana harus berteduh. Itulah, katanya sesaat tadi, sambil matanya menjeling ke arah rumah pondok atas pokok. Jaja sudah semakin gerun kalau tiba-tiba dia terpaksa bergelandangan seperti Robinson Crusoe pula. Kalaulah Lala dan Nini tahu, tentu sahaja dia akan ketawa tidak cukup mulut, dan kalau Wassim tahu pasti dia ingin juga tinggal di atas rumah pondok atas pokok itu bersama Jaja.
Air mengalir dari bukit di belakang rumah itu disalurkan untuk kegunaan seisi rumah. Tak ada yang harus berbayar. Sejuknya air, rasanya manis... tidak berbau klorin. Tetapi selamatkah? Kata Din, insya-Allah kami sekeluarga membesar dengan meminum air dari lereng bukit aja. Kalau tidak pun, menggunakan telaga depan tu. Telunjuknya membawa mata Jaja ke sana. Bawah pokok asam jawa tu... dekat-dekat situ ada kolam ikan sebagai sumber protein. Emak Din membela, ayam itik, juga kambing dan lembu. Kerbau? Kerbau ada juga, balas Din bagaikan mengerti apa yang ada dalam hati Jaja waktu itu.
Kami sampai waktu sudah petang, sebelum azan Asar dilaungkan. Waktu itu, emak Din dan anak-anak saudaranya sedang sibuk di dapur. Wanginya bau air gula merah mereneh dengan daun pandan, menusuk hidung. Sedapnya. Waktu berbuka, beberapa jam lagi.
"Emak buat lopes agaknya," kata Din, sambil mengusung beg ke dalam, sebelum melaungkan salam. Sudah beberapa detik mereka sekadar berdiri keluar, sambil memandang sekeliling. Menikmati persekitaran rumah Din yang mempesonakan.
Hati Jaja semakin bergetar, takutnya nak jumpa emak orang ini, paling akhir mereka bertemu tiga bulan dulu. Abang kedua Din buat kenduri sunatkan anak sulungnya, emak dan ayah Din datang KL untuk dua malam. Tetapi mereka tidak singgah pun di rumah Jaja, sekadar bertemu di rumah abang Din dekat Serdang saja. Sebelumnya sesekali Jaja sekadar bercakap sebulan sekali, itu pun tatkala Din memberikan gagang telefon kepadanya, untuk berbalas salam seminit dua dengan Che' Melor. Lalu setiap kali kata-kata skema Din terpacul keluar, "Mak nak cakap dengan Faiza." Jaja sudah diburu resah... selebihnya, yang pasti Jaja dan Che' Melor tersangat asing. Tidak juga Che' Melor tu garang, tetapi entah... macam ada saja yang tidak beres dalam hati Jaja. Ketakutan bertemu emak orang, rasanya lebih serius daripada bertemu dengan doktor gigi, gamaknya. Takutlah, takutlah... Jaja takut. Ketakutan menjadi agenda terpenting apabila datang bab bertemu mertua ni. Tetapi ketakutan itu tidak pernah terluah pada Din. Ya lah, anak orang Jaja hendak, emak orang Jaja takut pula.
Che' Melor meluru ke depan diiringi cucu-cucunya. Wajahnya berseri-seri melihat anaknya. Menantunya? Ah, dia tetap memeluk dan mencium kanan, kiri dan kanan pipiku. Tanpa sedar, cerita Jaja yang sebahagian ini bermula dari sini. Bukan kerana emak mentua Jaja kejam... tidak juga kerana saudara mara Din yang tidak pandai mengambil hati Jaja. Tidak juga hal keluarga sebelah Jaja menjengkelkan Din. Tetapi masalahnya, masalah Jaja. Masalah Jaja untuk menyesuaikan diri dengan Din, dengan emak dan ayah Din, dengan saudara mara Din... dan persekitaran Din.
Aku yang tersalah pilih, atau beginilah takdirku untuk seumur hidup? Aku mencintai dia, tetapi cukupkah hidup dengan cinta? Cerita aku bukannya berakhir selepas aku berjaya mengahwini Din, tetapi bermula selepas aku dikahwininya...

Inilah ceritaku, cerita biasa yang sengaja aku luar biasakan... selamat membaca Jaja Menantu Che' Pa... dalam versi penuh? Bila? Tanyalah kaksu... sebab dia kan tukang tulisnya... tugas Jaja sekadar untuk bercerita, dan bercerita semahunya!
NOTA:
- terima kasih kerana sudi membaca, walaupun terpaksa menunggu lama
- buku ini kaksu akan terbitkan, cuma lambat cepat tidak dapat kaksu tentukan sahaja... kalaulah panjang umur
- kaksu rasa, kaksu terpaksa cuti sabatikal lagi untuk beberapa waktu, sebelum menulis semula di blog ini...
salam kasih sayang,
kaksumu