BAB A (xiv): AKHTAR
Mana O Mana Pipi Merahku

Oleh: 004 – HONEY (PENULIS BERSEKUTU)
HONEY syak pipi merah Honey mesti ada seseorang yang telah songlap, ia la, takkanlah pipi merah tu pandai berjalan dan bersembunyi di mana-mana. Honey memang sayang pipi merah tu, jauh tau Honey pesan pipi merah tu. Dah la penat memesan daripada Kak Ajah yang pura-pura bisu tu belum hilang, alih-alih pipi merah tu pula yang lesap! Nyampah.
Honey, kita ada masalah yang lebih besar berbanding Misteri Kehilangan Pipi Merah, bisik Zie. Tok Bonda dan Tok Umi baru aje keluar. Air mata Adnin pun, belum lagi kering... alih-alih yang menjadi keutamaan Honey hanyalah hal blusher yang dia pesan dari Toko Sarinah, Jakarta tu sahaja!

"Honey cuba ingat balik, mana tau Honey salah letak ke" ...akalnya yang waras cuba memujuk. Mindanya masih berpusat pada masalah utamanya: blusher. Masalah Adnin tiba-tiba jadi sepele di matanya. Honey sudah diserang penyakit meroyan nombor 3: gila mekap!
Seingat Honey hari tu, masa di rumah Adnin dua minggu yang lalu uncang mekap (sebenarnya, beg mekap) Honey memang ada, Honey letak di atas katil Adnin, alih-alih uncang mekap tu ada pula dekat-dekat tingkap. Hairannya, macam mana uncang tu boleh berpindah? Rasanya yang keluar masuk bilik Adnin cuma Honey sorang saja. Jidah, Zie dan Lila di bilik sebelah. Atau... orang lain yang ada pun cuma Kak Ajah tapikan... Honey rasa macam nak tuduh Tok Umi saja yang larikan pipi merah tu. Cubalah tengok cara Tok Umi berhias tadi. Honey ada besar alasan la kenapa Honey kena tuduh Tok Umi.

Pertama: Kalau Honey tuduh Kak Ajah memang tak sesuai, sebab Kak Ajah tu mana pandai pakai barang-barang mekap ni, lain la kalau disuruh pilih sayur, yang itu kak Ajah terror.
Kedua: Warna tu... memang warna itu la warna pipi merah Honey, warna yang bertempek kat pipi Tok Umi tadi. Honey sangat pasti. Jadi, Honey mesti siasat, Honey mesti scan pipi Tok Umi walau dengan apa cara sekali pun. Mesti.
Ini yang membuatkan semangat 46 Honey lagi berkobar-kobar nak undi keluar Tok Umi. Geramnya Honey! Patut la tiba-tiba pada hari tu Tok Umi asyik berkepit dengan Honey, pada hal kalau dia tahu geng Adnin bertandang ke rumah Tok Bonda selalunya, Tok Umi mesti terlebih sudu daripada tuan rumah. Ada saja perkara yang Tok Umi akan hasut Tok Bonda supaya kami-kami ini tidak betah di rumah Tok Bonda lama-lama, tapi hari itu lain pula ceritanya.

Tiba-tiba saja Tok Umi jadi manis dengan Honey. Panggil Honey baik-baik, semua benda nak ditunjukkan kepada Honey sehinggakan kebaya merah jambu Honey pun tok umi hendak cuba menyarung ke badannya. Kussss semangat. Itu belum dikira Tok Umi cuba melentikkan bulu mata Honey lagi.
Rupa-rupanya baik Tok Umi, baik bersebab. Tok Umi ada misi lain. Tok Umi nak klonkan Honey rupanya... uwaaaa tak nak la. Mana boleh Tok Umi buat macam tu, Honey bukan kunci almari yang boleh dipenduakan. Isyyy… tok umi nih la. Mana boleh ada dua Honey. Satu versi tua dan satu lagi versi muda. Ya ampun. Kenapa la dengan Tok Umi ni.
Walau apa pun, Honey mesti selamatkan pipi merah Honey tu semula, kesian pipi merah tu ditonyoh ke pipi Tok Umi yang macam peta. Tak sesuai langsung!

[Bersambung...
Catatan:
Selamat bercuti untuk semua yang ambil kesempatan untuk bercuti sempena cuti sekolah.