BAB A (xiv): ADNIN

Adnin Ini Lila Datang...
Oleh: 003 – LILA (PENULIS BERSEKUTU)
LILA TIBA di perkarangan rumah Tok Bonda ketika azan Asar sayup-sayup kedengaran dari surau berdekatan. Kelihatan beberapa buah kereta besar menjalar megah di laman rumah agam Tok Bonda. Hati Lila sudah dipalu resah. Apa yang berlaku sebenarnya? Langkah kaki yang diatur mula terasa pincang. Paluan rentak jantung yang bagaikan mahu terkeluar dari rongganya menyebabkan langkah Lila sudah mulai longlai.
Lila terpaksa pesongkan arah tuju daripada terus menapak ke rumah Tok Bonda, Lila halakan langkah kaki ke rumah Kak Ajah yang terletak di belakang rumah Tok Bonda. Kalau benar perkiraan Lila, pintu di bahagian tepi yang menghubungkan rumah agam Tok Bonda dengan rumah kak Ajah dibiarkan tidak berkunci. Inilah laluan yang Kak Ajah gunakan untuk keluar masuk ke laman Tok Bonda. Harap-harap Ali dan Aisyah ada di rumah, jadi Lila tidak perlu menjengukkan muka ke rumah Tok Bonda dahulu.
Lila perlu tenangkan hati terlebih dahulu sebelum menenangkan hati Adnin. Amboi, Lila confidentnya macamlah Adnin tu perlukan buah fikiran Lila! Tapi yang sebenarnya, Lila tidak berani nak menghadapi apa-apa sahaja kenyataan yang bakal terjadi di rumah Tok Bonda itu. Lila gerun nak memikirkan nasib Adnin. Lagipun Lila tak berani nak buat telahan dengan cerita-cerita Honey lewat telefon malam tadi.
Lila kami masih di rumah Adnin... telefon balik kalau free, ada masalah berbangkit. Sian Adnin, sian Adnin.
Pesanan ringkas kiriman Honey itulah yang membawa Lila ke Hentian Duta, mendapatkan tiket bas Transnasional menghala ke utara tanah air.
Pada awalnya Lila hanya nak buat tak tahu saja pada pesanan SMS kiriman Honey. Yelah, honey tu bukannya boleh percaya sangat. Kadangkala Honey tu lebih dramatik berbanding dengan khabar yang nak dikongsinya. Tapi memikirkan rasa tidak enak yang sedari semalam menghuni hati Lila, apatah lagi apabila kiriman SMS Honey itu juga terkait sama dengan Adnin, Lila memutuskan untuk menelefon Honey dan itulah asalnya yang membawa Lila ke sini.
Nasib Lila memang baik, tak perlu beri salam, kelibat Si Ali sudah menyambut Lila. Ali yang gebu itu sedang leka bermain dengan Felix si kucing hitam kesayangan Kak Ajah. Memberi salam, dan tanpa menunggu Ali mempelawa masuk, Lila mempelawa dirinya sendiri masuk ke rumah Kak Ajah. Aisyah sedang menonton TV ketika Lila melangkah masuk ke dalam rumah Kak Ajah. Hanya pesanan SMS yang Lila kirimkan pada Kak Ajah memberitahu bahawa Lila sudah selamat sampai dan Lila mohon keizinan untuk tumpang solat Asar.

SEKETIKA, usai solat hati sudah sedikit tenang dan fikiran sudah mulai lapang, Lila cuba menelefon Zie, tapi talian sibuk. Lila cuba pula dial nombor Honey, juga sibuk. Uiks memang 'sibuk' sungguhkah depa nih? Langsung tak mahu 'sambut' Lila? Lila cuba hubungi Jidah, langsung masuk dalam pesanan suara. Isk apa Lila nak buat ni?
Dalam dok termangu tak tahu nak buat apa, tiba-tiba pesanan SMS balasan daripada Kak Ajah menerpa masuk. Apalah Kak Ajah ni, orang dah selesai solat barulah nak beri izin. Hehehe agaknya tadi sibuk melayan 'karenah' Tok Bonda kut sampai tak perasan pesanan SMS Lila.
Kawan Adnin nak datang merisik. Akhtar namanya. Lila kenal ka?
SMS kedua daripada Kak Ajah sedikit sebanyak merungkaikan persoalan yang bermain di benak Lila. Ooo ada orang nak datang merisik! sekejap… MERISIK?? Adnin?? Mata lila sudah buntang!
Kenapa malam tadi Honey tak sebut pun pasal budak Akhtar? Laaa bagaimana Honey nak beritahu… belum sempat buka hikayat hp Lila dah kong! Lepas tu ingat nak telefon Honey balik, langsung Lila terlupa. Yang sempat Honey khabarkan, kalau boleh minta Lila datang ke rumah Adnin. Ni antara hidup dan mati Adnin, itulah antara kata Honey yang masuk dalam kepala Lila. Belum sempat Lila tanya lanjut… talian terus senyap sunyi. Alahai…
Rupa-rupanya pasal 'Akhtar' nak datang. Patutlah semuanya kalut semacam jer. Tok Bonda ni, kalau perkara yang melibatkan Adnin semuanya jadi kalut. Rasanya berita tentang bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Gong Badak yang menelan kos pembinaan sebanyak 280 juta ringgit yang tak sampai setahun itu dah menyembah bumi pun tak sekalut berita Tok Bonda nak menerima 'tetamu yang tak di undang' nih. Kadang-kadang Lila terfikir, sampai bila Tok Bonda nak 'kurung' Adnin dalam sangkar emas dia tuh.
Tambah mengalutkan lagi keadaan kalau ada 'campur tangan' Tok Umi, dan Tok Bonda pula mudah benar termakan 'umpan' Tok Umi yang tidak sudah-sudah menjadi batu api Tok Bonda. Lila bukannya tak tahu, Tok Umi tu, dia ada agendanya yang tersembunyi. Ada ka patut dia nak kenen Adnin dengan abangnya yang dah jadi bujang terlajak tu? Tak patut sungguh! Dah la asal ada saja lelaki yang berhenti depan rumah Tok Bonda, mesti dia nak tahu siapa gerangan. Hatta bai yang jual karpet pun dia sibuk nak tanya sapa? Takut benar dia kalau ada kaum yang berstatus 'lelaki' yang ada kaitan dengan Adnin. Tok Bonda pula, suka la dia sebab dia tahu dia ada 'tangan kanan' yang membantunya memantau setiap gerak geri Adnin. Alahai… kesiannya yang jadi mangsa adalah Adnin!
Tapi kan, kenapa Lila tak ada gambaran tentang Akhtar ni ya? Siapa dia yang tiba-tiba menjadi 'tajuk utama berita' kat rumah Tok Bonda ni? Atau ini sebahagian daripada komplot antara Zie dan Honey? Budak berdua tu bukannya boleh percaya ada saja olah nak buat Tok Bonda kena heart attack. Dah tahu Tok Bonda tak suka kalau datang bab lelaki disuakan juga pada Tok Bonda.
Kadang-kala terfikir di benak Lila, bagaimana ya orang seperti Tok Umi yang vogue itu boleh jadi kawan baik pada Tok Bonda yang sangatlah 'rigid' itu? Tok Umi yang 'berwarna-warni' bagaikan warna pelangi sedangkan 'warna' Tok Bonda cuma dua, hitam atau putih. Itulah kalau nak dibuat perbandingan antara Tok Umi dan Tok Bonda, sangat kontra bagai langit dan bumi tapi mereka boleh jadi dua sahabat yang sangat akrab. Agaknya itulah istimewanya mereka, saling jadi pelengkap. Iya lah rahsia hati kan siapa yang dapat duga?
Apa yang Lila harus buat ni?

[Bersambung...]
Catatan:
Terima kasih Lila untuk entri yang manis... marilah sama-sama countdown 5, 4, 3, 2, 1 .... HABIS