catatkanlah rasamu di
BUKU TAMU
Noor Suraya


BUAT MENYAPU SI AYER MATA
adalah antologi cerpen-cerpen NOOR SURAYA sejak tahun 1985 - 2005:
  • Ajerah
  • Anak-anak Kongsi
  • ANA
  • Burung Kenek-kenek Warna Merah Hati...?
  • Cerita Semalam
  • Cinta Hajar Atiqah
  • Cukuplah Sekali
  • Fatimah Anak Perempuan Mr. Kong
  • Hati Zana
  • Maafkanlah Aku, Adibah!
  • Sayang Emak, Zeti!
  • Sepucuk Surat Cinta dari Lembah Kundasang

    Jemput ke...
    Rumah Kecil Tiang Seribu
    Nyanyian Tanjung Sepi

    Ulas Buku:
    Seribu Satu Malam


    Penerbitan
    Jemari Seni Publishing



    E-Novel
    NOOR SURAYA
    @kaksu

    KeBUN MiMPi...


    SURAT UNGU UNTUK NUHA

    edisi cetak

    ~ titipkan pesan buat J@J@
    di jendela ini...~
  •    

    << May 2015 >>
    Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
     01 02
    03 04 05 06 07 08 09
    10 11 12 13 14 15 16
    17 18 19 20 21 22 23
    24 25 26 27 28 29 30
    31


    Bacalah 10 Bab Dulu
    J@J@ & DIN




    Oktober 2009
    [1][2][3][4]
    November
    [5][6][7][8][9][10]


    tudung periuk pandai menari,
    menari lagu putera mahkota;
    kain yang buruk berikan kami,
    buat menyapu si ayer mata....


    NYANYIAN TANJUNG SEPI (2006) diterbitkan oleh CESB




    KERANAMU AIN... (2001) diterbitkan oleh CESB


    "Jika mencintaimu membawa hukuman mati... aku sudah lama mati, Ain."
    [Nik Ahmad Adam]




    BIRU UNGU CINTA (2003) diterbitkan oleh CESB



    "Seandainya terus mencintai Seera adalah suatu dosa... ampunilah keterlanjuranku itu, Tuhan."
    [Abdul Fattah]




    RINDUNYA KIAN MEMBARA (2004) diterbitkan oleh CESB



    "Pabila berkata tentang cinta, kita bagaikan tidak teringin jadi dewasa...."
    [Dr Farhana Haji Abu Bakar]




    TANAH ANDRIYANA (2002) diterbitkan oleh CESB



    "Asap api embun berderai,
    Patah sayap haluan perahu;
    Niat di hati tak mau bercerai,
    Kuasa Allah siapa yang tahu?"



    GURINDAM JIWA: HATI ANDRIYANA (2007) diterbitkan oleh Jemari Seni Publishing









    Who links to me?



    18 Sept. 2007


    If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



    rss feed




    Friday, May 15, 2015
    [iii] Surat Ungu untuk Nuha


    Alang sedang menarik teh dari kole ke kole sewaktu Nuha keluar dari bilik air dengan rambutnya berbungkus tuala, seperti Pak Bai yang jadi jaga dekat Bank HSBC di Sungai Petani tu. Dia diam sahaja. Hatinya masih luka. Sejak tadi kes beg kotak ayah kepada Haji Yatim yang gedabak depan almari masih berlegar di kepala.

    Namun...

    Hidungnya tidak dapat menipu; hidungnya sudah tergoda dengan nasi lemak bungkus dan teh tarik yang masih berasap di atas meja bulat di dapur. Sehinggakan suara itik angsa yang sedang melintas di bawah ampaian tidak dihiraukan.

    Oh, pakcik ni sudah basuh dan ampai kain rupanya, rajin dan baiknya dia! puji Nuha dalam hati pada suaminya. Kuranglah satu kerja rumah Nuha hari ini!

    "Makan," pelawa Alang dengan muka manis. Wajah yang buat Nuha selalu marah-marah dan pada masa yang sama pula Nuha akan rindu kepadanya jika terpaksa berjauhan itu, dia pura-pura tidak hiraukan.

    Sampainya hati sang suami buat begitu kepada Nuha. Jangan ingat Nuha ni tak ada hati dan perasaan ya. Main suka-suka hati nak halau Nuha, jangan lupa bil elektrik rumah ni Nuha yang bayar tau. Kalau Nuha tak ada bergelap aja Alang nanti.

    Nuha, amboi eknya dia... padahal semua keperluan lain rumah tangga yang Alang lunas setiap bulan tu melebihi bil elektrik yang tak sampai RM50 Nuha bayar tu sahaja. Itu pun sebab Nuha tak suka Alang pergi pejabat pos.

    Sebab???

    Alang suka senyum pada kerani pejabat pos baharu yang putih melepak tu. Jadi sebab tu la, alasan pejabat pos dekat dengan klinik desa Nuha, Nuha jadikan alasan yang munasabah untuk beratur setiap bulan.

    "Nuha, makan!" 

    Eh, elok pula suara dia lepas 'halau Nuha' dengan beg gedabak tu. Tolongla Nuha pun ada beg jenama Samsonite.

    "Tak lapar."

    "Rugi la, nasi lemak ni Alang beli dekat Tikam Batu. Tak nak sudah, nanti, Alang habiskan semua." Katanya sambil duduk di bangku kayu, dan angkat tangan untuk baca doa.

    Jam di dinding sudah pukul 8 pagi. Sewaktu Nuha nangis pagi tadi, dan tertunggu-tunggu Alang pulang, dia tertidur kembali. Kalau hari Nuha tak boleh solat, dia memang suka sambung tidur sejam lagi daripada sepatutnya waktu dia bangun. Alang dah tahu pun, perangai Nuha yang satu tu. Dan selama ini Alang tidak pernah kompelin.

    Sebenarnya, Alang jenis yang suka bangun awal, sebab itu dia ada begitu banyak masa. Dan sikap positif itu, sentiasa menjadi ikutan si isteri!

    Oooo, patutlah balik lambat dari masjid pagi ini, orang pergi beli nasi lemak sampai ke Tikam Batu, Alang ni. Mata Nuha sempat menjeling bungkusan di atas meja: 1, 2, 3.... 6. Amboi, hendak makan sampai enam bungkus sorang-sorang. Tak takut perut jadi boroi ka?

    Nasi lemak di sini murah sahaja, bungkusan dia kecil-kecil dan harganya cuma 50 sen. Dalam sebungkus tu, ada telur rebus yang dibelah empat, dan sambal tumis pilihan: ikan bilis (B), udang (U), sotong kering (S), ikan masin (IM) atau pilihan istimewa gulai udang dengan kacang panjang (GU).

    Alang memang baik hati, ada ikan masin dan sotong kering, itu nasi lemak kesukaan Nuha. Tetapi hatinya mesti kuat, jangan mudah tunduk hanya dengan sebungkus dua nasi lemak. Alang tu ada sikap lemah gemalai apabila dia hendak mendera orang. Ingat tu! Ingat yang Alang yang sedang hendak 'halau' Nuha dari rumah; Nuha jangan sesekali tarik diri daripada rancangan hendak belajar, biarpun apa ugutan Alang.

    Tapi Nuha tak mahu kes hendak sambung belajar ini, buat rumah tangga Nuha yang bahagia selama ini berantakan...

    Tarik nafas Nuha! Tenangkan diri!

    Sebenarnya, bukan senang nak suruh Alang pergi sampai ke Tikam Batu untuk beli nasi lemak kesukaan Nuha ni, kalau tiada sebab. Adakah ini jamuan perpisahan mereka atau apa? Sekali lagi rasa sebak memalu-malu dadanya. Sampainya hati Alang.

    Tetapi...

    Akhirnya, Nuha duduk di kerusi. Tempat di mana Alang sudah letakkan teh tarik dan camca serta nasi lemak kesukaan Nuha. Di mana lagi dia dapat temui lelaki prihatin seperti Alang, si lelaki yang boleh buat dia tersenyum dan menangis serentak. Alang seperti ayah Nuha, yang sangat pandai jaga dan ambil hati ibu Nuha. Berpuluh-puluh tahun berkahwin ayah-ibu manja dan mesra seperti pengantin baharu sahaja. Ayah bukannya jenis yang serius seperti abah Alang.

    Mata Alang-Nuha bertentang sejenak. Mata isterinya yang merencong seperti kucing siam itu Alang tenung sekali lagi. Bagaimana dia dapat sarapan seorang-seorang di rumah ini, setiap hari tanpa Nuha yang manis. Tengok muka tak sapu bedak macam ni pun, Alang lihat sudah cukup indah. Hidup tanpa Nuha, bagai siang tanpa matahari, dan malam tanpa bintang!

    Nuha jadi segan diperhatikan begitu, walau bukan tak biasa Alang memerhatinya begitu, tetapi dia tetap seorang perempuan: kadang-kadang rasa malu tetap ada. Cepat-cepat dia terus mengalih perhatian pada nasi lemak sambal tumis ikan masin. Sudah suam nasinya.

    "Eh, tak baca doa?"

    "Alang dah baca, Nuha kongsi ajalah." Balas Nuha yang sudah kantoi, sebab terus makan sampai tak ingat dunia.

    Tiba-tiba dia berkata, "Alang buat kenduri, beli dan hantar keliling kampung." Yalah, sebab tu, dia awal-awal lagi sudah ke gerai tu, sebelum orang sekeliling rumah ini merancang menu untuk pagi Jumaat ini. Habis empat puluh bungkus nasi lemak kakak itu dia borong. Segera dia asingkan sambal tumis kesukaan Nuha terlebih dahulu. Nuha walau kecil begitu, dia boleh makan nasi lemak ini sampai tiga bungkus sekali hadap. Sama bahagian dengan Alang.

    "Sebab?" Nuha sudah membuka nasi lemak gulai udang dengan kacang panjang pula. Walau hatinya sebu, tapi selera makannya masih menyala.

    "Nuha kan dapat tawaran? Kenalah buat kenduri kesyukuran."

    "Semalam, kata tak boleh?"

    "Kenduri kesyukuran sebab dapat tawaran, bukannya sebab boleh pergi! Tengok tak dengar Alang cakap betul-betul, nanti nak belajar macam mana, cikgu cakap tak dapat tafsir baik-baik."

    Nuha mencebik, suka-suka hati nak uji tahap IQ Nuha pula pagi ni. Mata Nuha sudah jadi panas, bila-bila sahaja dia boleh nangis sekali lagi.

    "Pergilah, kalau nak pergi." Balas Alang mendatar. Dia sudah tidak mahu biar Nuha berteka-teki lagi.

    "Alang halau Nuha la ni." Air matanya sudah jatuh ke bibir, dan gulai udang jadi asin tiba-tiba.

    "Eh, pula dah! Apa pula halau, kalau halau tak kan siap buat kenduri."

    Nuha terus jadi pening. Metafora atau apa ni? Tolonglah... Nuha tak faham.

    "Beg besar depan almari tu siapa punya?"

    "Awat? Alang pinjam beg abah."

    Beg bapa abah waktu pergi haji zaman kapal layar dengan nama dalam tulisan cat yang besar itu masih menjadi tanda tanya. Untuk siapa beg tu, nak buat apa?

    "Untuk Nuha?" soal Nuha.

    Mengarut sungguh, Alang ni. Dan... Alang masih tidak menjawab pertanyaan isterinya.

    "Eh, Nuha kalau studi pun duduk rumah ayah di Kajang. Tak perlu bawa beg apa-apa. Memang Alang nak halau Nuha, kan? Baik mengaku. Lagipun kemasukan bukan bulan Mei ni, September nanti. Mengakulah. Katakan Alang tak suka ke Nuha lagi."

    Alang diam. Nuha sudah menangis.

    Kenapa bertahun-tahun kahwin pun Nuha masih tak percaya Alang sayang dia sungguh-sungguh. Alasannya, Nuha tidak cantik macam orang. Alasannya, Nuha tidak dapat beri Alang anak-anak. Dan... semalam ada alasan baharu, Nuha tak ada ijazah!!!

    Nuha tolonglah, Alang kahwin dengan Nuha sebab Alang sayang Nuha, itu sahaja. Tak ada alasan lain! Dan kalau sayang, kita sedia terima apa sahaja tanpa syarat!

    Nuha sudah betul-betul hilang selera makan.

    "Kalau Nuha tak ada nanti, suka la Alang. Boleh cuci mata, keliling kampung." Kata Nuha. Dia akan jadi cemburu dengan hidup Alang di sini nanti. Siapakah wanita yang akan menggantikan Nuha, menemani Alang sarapan setiap pagi.

    "Nuha ni awat? Alang bagi izin belajar pun Nuha mengamuk lagi." Susah betullah kalau kahwin dengan budak kecil ni. Nuha matang kalau datang bab dia jadi jururawat, tetapi bab jadi isteri... macam ni la. Amboi, Alang... dia tu matang ke, semalam pun sudah kena syarah dengan Bad dan Li'a... baru ada sedar diri sikit!

    Mata mereka bertentang sejenak. Habis, beg tu?

    "Nuha tak akan pergi kalau, kalau Alang tak ikhlas kasi." Ya, itu keputusan Nuha saat ini. Dia membuka nasi lemak yang terakhir, sambal tumis sotong. Teh tarik Alang belum dia rasa lagi. Selalunya Alang memang pakar buat teh di rumah ini!

    "Alang dah kasi dah. Tapi mana Alang tahu, lambat lagi Nuha akan pergi. Ingatkan esok lusa." Balas Alang. Hatinya jadi senang sekali. Kasi pun macam tak ikhlas kan!

    Ohhh, jadi dia ada masa lagi untuk tunjuk kasih sayang pada Nuha, sampai Nuha tidak jadi sambung belajar. Rindu tau kalau Nuha tak ada. Alanggggg... pun beri izin separuh hati saja ni. KL tu jauh tau, nak balik ke sini kena naik bas, kereta api, kereta sewa, basikal semua ada!

    Yalah, mana dia tak bimbang buatnya ada sesiapa jatuh hati ke Nuha dan goda Nuha dalam kelas, atau dalam kereta api... mahunya Alang mati beragan sebab sedih. Dia tidak mampu hidup sendiri kalau Nuha tak ada! Alang tidak mahu hidupnya sedih macam ayah kandungnya sendiri, yang mati kesedihan kerana tidak dapat hidup bersama dengan emak Alang. Alang cepat-cepat membuang cerita sedih itu, pagi ini.

    "Beg tu...?" tanya Nuha, tak habis-habis lagi.

    "Awat dengan beg?"

    Jadi, ini persoalannya orang nangis tak sudah-sudah. Oh, jadi Nuha pun tak boleh kehilangan Alang ya? Baru tahu...!

    "Oh, abah suruh himpun baju-baju lama dan hantar ke khemah pelarian. Alang kan..."

    Nuha mesti tidak tahu, sekarang ni Alang sedang sibuk untuk membantu NGO -- Myanmar  Ethnic Rohingya Human Rights Organization Malaysia.

    Kasihan mereka, mereka bukannya pendatang tanpa izin, tetapi golongan pelarian yang menjadi mangsa pembersihan etnik di Myanmar.

    Nuha, jadi sedih tiba-tiba, teringat akan anak-anak kecil yang terpaksa menyabung nyawa dalam perahu-perahu kecil di lambung ombak untuk menyelamatkan diri dari kekejaman manusia.

    Nuha dan Alang saling berpegang tangan: dengan cerita sedih pelarian Rohingya pagi itu. Tidak patut betul mereka tamak makan nasi lemak sehingga tiga bungkus seorang, sedangkan saudara seagama mereka ada yang tidak cukup makan!

     -TAMAT-

    Ps: kalau blog ini masih rosak kaksu akan menulis semula di http://noorsuraya.blogdrive.com atau blog lain. Selamat membaca.


    Posted at 8:28 am by noorsuraya

    Mak Cik Raja
    May 23, 2015   06:00 PM PDT
     
    Afifah,
    Ohhh, orang Kota Kuala Muda :D ya, cerita SUuN selalu bawa kaksu balik ke negeri Kedah yang kaksu rindu.
    Afifah
    May 15, 2015   11:58 AM PDT
     
    Assalamualaikum Kak Su,
    Cerita Alang dan Nuha ni rasa dekat sangat dihati... Saya orang kota kuala muda. Jadi bila baca surat ungu untuk nuha, macam terbayang- bayang kampung...Sebab tu surat ungu untuk nuha jadi novel kesayangan sejak beli dulu. Bila rindu kampung, mesti ulang ulang baca lagi... Terima kasih Kak su, untuk kesinambungan cerita alang dan nuha... Harap2 akan ada lagi sambunganya....
    Mak Cik Raja
    May 15, 2015   11:15 AM PDT
     
    Zaha :)
    Masam-masam manis depa dua ni.

    Nor Ash,
    Tak tau la ni, musim-musim GSt ni ada lagi nasi lemak macam tu, dah lama tak balik SP T_T.

    Azatulfilda,
    Kaksu pun, tu yang sesekali buka wayang ni.
    AZATULFIDA ZAINUDDIN
    May 15, 2015   10:41 AM PDT
     
    Rindu sungguh dgn Alang dan Nuha!
    nor ash burn
    May 15, 2015   10:23 AM PDT
     
    terliur la baca Nuha makan nasi lemak pelbagai lauk tu.. di sini kita makan nasi lemak lauknya selar atau ayam goreng, kacang goreng, telur, sambal ikan bilis dan timun saja..
    zaha
    May 15, 2015   09:47 AM PDT
     
    Manis...
    Rindu Alang Rebus Tak Empuk dan Nuha
    Mak Cik Raja
    May 15, 2015   09:42 AM PDT
     
    Zeehan,
    Mak Cik Raja pun sayang dia:D

    Yah, kat sini lemak bungkus dia mahal, sebab mewah lauknya.

    Farhana, tak ada apa pun, sekada suka-suka sempena hari juruawat.
    Wan Empok
    May 15, 2015   09:40 AM PDT
     
    Kaksu, terima kasih sebab buat saya senyum pagi ni. (Baca sambil tunggu roti canai). Sakeena mesti tau nasi lemak Tikam Batu tu.
    zeehan
    May 15, 2015   09:40 AM PDT
     
    nak komen terima kasih dan sayang kak su saja..
    Farhana Ghazali
    May 15, 2015   09:39 AM PDT
     
    kikiki... gitu ke kesah nye beg besar tu.. Nuha la yg salah sangka.. btw, sambungan ni sangat menarik...
     

    Leave a Comment:

    Name


    Homepage (optional)


    Comments




    Previous Entry Home Next Entry