catatkanlah rasamu di
BUKU TAMU
Noor Suraya


BUAT MENYAPU SI AYER MATA
adalah antologi cerpen-cerpen NOOR SURAYA sejak tahun 1985 - 2005:
  • Ajerah
  • Anak-anak Kongsi
  • ANA
  • Burung Kenek-kenek Warna Merah Hati...?
  • Cerita Semalam
  • Cinta Hajar Atiqah
  • Cukuplah Sekali
  • Fatimah Anak Perempuan Mr. Kong
  • Hati Zana
  • Maafkanlah Aku, Adibah!
  • Sayang Emak, Zeti!
  • Sepucuk Surat Cinta dari Lembah Kundasang

    Jemput ke...
    Rumah Kecil Tiang Seribu
    Nyanyian Tanjung Sepi

    Ulas Buku:
    Seribu Satu Malam


    Penerbitan
    Jemari Seni Publishing



    E-Novel
    NOOR SURAYA
    @kaksu

    KeBUN MiMPi...


    SURAT UNGU UNTUK NUHA

    edisi cetak

    ~ titipkan pesan buat J@J@
    di jendela ini...~



  • << January 2006 >>
    Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
    01 02 03 04 05 06 07
    08 09 10 11 12 13 14
    15 16 17 18 19 20 21
    22 23 24 25 26 27 28
    29 30 31


    Bacalah 10 Bab Dulu
    J@J@ & DIN




    Oktober 2009
    [1][2][3][4]
    November
    [5][6][7][8][9][10]


    tudung periuk pandai menari,
    menari lagu putera mahkota;
    kain yang buruk berikan kami,
    buat menyapu si ayer mata....


    NYANYIAN TANJUNG SEPI (2006) diterbitkan oleh CESB




    KERANAMU AIN... (2001) diterbitkan oleh CESB


    "Jika mencintaimu membawa hukuman mati... aku sudah lama mati, Ain."
    [Nik Ahmad Adam]




    BIRU UNGU CINTA (2003) diterbitkan oleh CESB



    "Seandainya terus mencintai Seera adalah suatu dosa... ampunilah keterlanjuranku itu, Tuhan."
    [Abdul Fattah]




    RINDUNYA KIAN MEMBARA (2004) diterbitkan oleh CESB



    "Pabila berkata tentang cinta, kita bagaikan tidak teringin jadi dewasa...."
    [Dr Farhana Haji Abu Bakar]




    TANAH ANDRIYANA (2002) diterbitkan oleh CESB



    "Asap api embun berderai,
    Patah sayap haluan perahu;
    Niat di hati tak mau bercerai,
    Kuasa Allah siapa yang tahu?"



    GURINDAM JIWA: HATI ANDRIYANA (2007) diterbitkan oleh Jemari Seni Publishing












    Who links to me?



    18 Sept. 2007

    If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



    rss feed




    Friday, December 30, 2005
    SURAT UNGU UNTUK NUHA [1]

     

    SURAT UNGU UNTUK NUHA
    oleh:  Noor Suraya
    =:: sebuah e-novel ::=


    :: SATU ::
    EDISI BELUM EDIT

    surat undangan ungu
    hatiku bertambah pilu...

    o~O~O~O~O~o

    Walimatulurus
    Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

    Dato' Engku Idrus bin Engku Muslim
    dan
    Datin Raja Zalifah binti Raja Johari

    Menjunjung kasih mempersilakan
    Yang Berbahagia Tan Sri/ Puan Sri/Dato'/Datin/Tuan/Puan/Cik

    Adinda Nuha binti Tajul Ariffin
    .................................................................................
    dan seisi keluarga ke majlis perkahwinan anakanda kami

    Dr. Engku Faisal bin Engku Idrus
    dengan
    Dr. Raniya Wafa' binti Haji Mustaffa

    Pada hari Sabtu, 31 Disember 2005 bersamaan 29 Zulkaedah 1426
    Di kediaman kami:
    376, Lorong Mawar Merah, Country Height, 43000 Kajang, Selangor Darul Ehsan

    Semoga dengan kesudian & kehadiran Yang Berbahagia Tan Sri/ Puan Sri/Dato'/Datin/Tuan/Puan/Cik akan bertambah seri lagi majlis ini dan diberkati Allah hendaknya

    Wassalam

    Atur Cara Majlis
    Jamuan makan: 12 – 5 petang
    Bersanding: 3 petang

    o~O~O~O~O~o

     

    Kad undangan warna ungu lembut itu Nuha tatap sekali lagi sebelum menutup beg sandangnya.  Disimpannya kad indah yang meracuni hatinya sejak dua minggu itu dalam diari warna merah hati pemberian Faisal.

    "Nuha, abang ada surprise?"  Jerit Faisal dua minggu yang lalu di depan rumahnya.
    "Ia, apa?"

    Dihulurnya kad bersampul ungu untuk Nuha dengan muka berseri-seri.  Hati Nuha turut berbunga.
    "Kad apa?  Hari ni bukannya birthday Nuha."  Katanya dengan penuh takjub.  Apatah lagi kad ungu tu berbau harum lagi.
    "Bukalah... kad undangan."
    "Kad undangan?"
    "Ya, abang akan berkahwin... harap Nuha suka dengan pilihan abang.  Namanya Raniya Wafa'."  Kata Faisal sambil tersenyum sehinggakan tidak cukup mulut.

    Tiba-tiba Nuha rasa hendak pitam pada saat itu juga.  Namun Nuha cuba seindah mungkin untuk membalas senyuman Faisal. 

    "Mesti datang... kad ni khas untuk Nuha sahaja tau, bukan kena share dengan ayah dan ibu, Nuha.  Dari abang khas untuk Nuha sahaja."  Katanya sebelum berlalu apabila telefon bimbitnya berdering.
    "Maaf, Nuha.  Kakak Raniyamu... telefon."  Katanya sambil tersenyum-senyum lagi meninggalkan Nuha yang semakin sebak.

    Setelah bertahun-tahun menyimpan hati secara diam-diam pada Engku Faisal, akhirnya Nuha ditinggalkan juga.  Sampainya hati Faisal memilih perempuan lain.  Tidak pernahkah terdetik di hatinya, yang Nuha pernah (dan masih ada) menyimpan perasaan kepadanya selama bertahun-tahun ini.  Apa kurangnya Nuha?  Kalau Raniya Wafa' ada dua mata, dia pun begitu!   

    Tinggal berjiran bertahun-tahun... tetapi Faisal tetap tidak mengerti perasaannya.  Kenapa ya, tangannya tidak pernah cukup untuk memeluk gunung.  Kenapa ya, tangannya tidak pernah panjang untuk memetik bintang.  Kenapa ya, matanya tidak pernah cukup kuat untuk memanah cinta di hati Faisal sejak bertahun-tahun ini.  Mereka berkawan sejak sekolah menengah.  Walaupun Faisal bukan sebaya dengannya, tetapi mereka tatap akrab.  Sejak dulu... mereka sering berkongsi cerita.  Mereka boleh berbual-bual berjam-jam di tepi pagar, sehingga ibu menjerit menyuruhnya masuk ke rumah.

    Nuha menangis untuk sekian kalinya pagi itu.  Dia akan pergi jauh.  Jauh dari dia....

    [Bersambung]


    ANEKDOT:
    Dah lama tidak menulis e-novel, rasa kekok nak mulakan lagi...


     

    Posted at 12:52 pm by noorsoraya
    Comments (4)  

    CINTA HAJAR ATIQAH

    Under Construction

    harap maaf

    Posted at 09:26 am by noorsoraya
    Make a comment  

    Saturday, November 19, 2005
    Dari Rumah Kecil Tiang Seribu


    Oppsss, kartun ini tak ada kaitan dengan KaKMoN yang menjadi kesayangan ramai tu ya :) dan budak-budak comel yang dua orang tu BUKANNYA Lutfan dan Leynah yang berlakon – adegan pegang tombak – dalam NYANYIAN TANJUNG SEPI tu...

    Posted at 07:23 am by noorsoraya
    Comments (4)  

    Friday, September 02, 2005
    AJERAH

    oleh: Noor Suraya
     
     
    cerpen ini belum dimuat turun, maaf ya :P

    Posted at 10:43 am by noorsoraya
    Make a comment  

    Thursday, July 14, 2005
    CERITA SEMALAM


    oleh: Noor Suraya

    Aku membetulkan lipatan cadar pengantin Azah. Cantiknya, Azah. Dari sebalik cermin aku memerhati wajah lembut Azah yang sedang disolek. Rina dan Zaihan bergilir-gilir menyapu bedak di pipi Azah. Sesekali Azah menolak tangan Zaihan.
    "Sudahlah, aku dah macam Cina opera," katanya. Kami ketawa.
    "Nak cantik atau tidak?" aku mengusik.
    Azah cuma tersenyum.
    "Kalau tak mekap tebal sikit, nanti gambar tak fotogenik," kata Rina, sungguh-sungguh.

    Menurutku, Azah sudah cukup lawa. Tak perlu bersolek tebal-tebal pun, dia pasti nampak fotogenik, walaupun dengan lensa kamera jenis apa pun. Pakaiannya sungguh sederhana, baju kurung moden daripada 'lace' warna krim diserikan dengan tudung labuh dari warna serupa.

    "Tahniah Azah," kata Hanah, yang baru muncul dengan sekotak hadiah. Hanah juga menghadiahkan kucupan di pipi gebu Azah.
    "Awas cat basah," kata Zaihan, sambil membetulkan solekan Azah semula. Kemudiannya Hanah mencium kami semua.
    "Maaf lambat, aku tak dapat cuti awal dan penerbangan tertunda pula. Rugi aku tak ada masa majlis berinai semalam," kata Hanah, yang bertugas sebagi pegawai penyelidik di Universiti Pertanian, cawangan Sabah.

    Ah betapa cepatnya masa berlalu. Rasanya baru sahaja – aku, Azah, Rina dan Zaihan – di alam remaja. Tiba-tiba kami dikejutkan dengan kad undangan Azah. Hujan tidak, angin tidak, tiba-tiba Azah buat cerita yang menggegarkan dunia kami.

    Kami berlima rapat sejak di tingkatan satu lagi. Sama-sama suka berkelahi dengan budak lelaki. Kami ni antilelaki biar pun bagaimana baik atau tampan pun mereka.
    Walaupun begitu, Rina dan Hanah tidaklah seradikal kami. Manakala Zaihan lebih terikut-ikut keletah kami – aku dan Azah - saja. Azahlah 'presiden' kelab tolol tu. Sementara aku ni sebagai 'setiausaha tetap' selalu sahaja mereka cipta pelbagai hal untuk menyakiti budak-budak lelaki di kelas kami.

    Kami selalu bergaduh dengan Azli yang sering mencari-cari siapa yang tidak solat Zuhur di surau. Mentang-mentanglah dia tu orang kuat surau dan menjadi kesayangan ustaz.... Dia tak belajar agaknya, yang orang perempuan ni setiap bulan diberi 'cuti' khas oleh Tuhan.

    Sesekali kami suka membuli Khairudden, pelajar Melayu genius kelas kami. Sebagai Penolong Ketua Pengawas sesi petang, dia selalu ugut hendak tulis nama aku dan Azah yang suka makan dalam kelas. Malangnya, budak pemalu dan pendiam tu tidak pernah berani melaksanakan ugutannya tu.

    Kami selalu menyiasat kes yang mengarut-ngarut: sama ada Cikgu Salim seterika bajunya atau tidak, dan apa yang Cikgu Zarina buat lepas sekolah. Kami lah yang dulu dapat menghidu cerita tentang hubungan asmara Cikgu Rose dengan Cikgu Mahadir. Itu semuanya berlaku semasa kami di tingkatan satu dan dua, semasa kami sedang gila membaca novel penyiasatan Nancy Drews dan Hardy Boys. Alangkah indahnya masa lalu.

    "Bukalah tudung tu, sekali umur hidup nak melawa apa salahnya," desak saudara Azah, selepas bersalam dengan Azah.
    Azah tidak mengendahkan permintaan saudaranya tu, dia cuma tersenyum sambil membetulkan letak tudungnya semula.

    Sejam lagi istiadat ijab kabul akan berlangsung dan Azah akan bergelar 'puan'. Sejak tadi ramai ahli keluarga Azah, berharap Azah akan menanggalkan tudungnya. Tapi aku pasti, tak seorang pun akan berjaya berbuat demikian.

    Aku ingat lagi, dulu semasa Ustaz Hamzah suruh kami memakai tudung; kami melenting. Ketika itu, tidak seorang pun pelajar perempuan Islam di Tingkatan 4 Sains 1 yang bertudung, meskipun kami berbaju kurung setiap hari ke mana-mana. Masing-masing ada gaya tersendiri.

    Azah dengan rambut ikalnya separas bahu; Hanah pula fesyen 'baby doll' begitu juga Zaihan; Rina dengan fesyen dandan dua ala 'Red Indian'; dan aku sediri pula, potong pendek macam 'Lady Di'. Puas Azli mengingatkan kami tentang dosa dengan membaca hadis dan ayat al-Quran, tapi kami buat tak kisah pun.

    Setahun kemudian, semua pelajar 5 Sains 1 terkejut bila aku bertudung. Entah tiba-tiba sahaja hatiku terbuka. Alhamdulillah, kata Azli dan Khairudden. Perubahanku diikuti oleh Hanah, Zaihan dan kemudiannya Rina. Cuma Azah yang tertinggal.

    Tapi lihatlah sekarang, Azah mendahuluiku bertudung labuh. Sedangkan aku, masih macam dulu; yang menyedihkan lagi... akhir-akhir ini tudungku semakin pendek dan berwarna-warni. Sudah sampai masanya aku mesti berubah, bertudung labuh!

    Tiga tahun di ITM, mengubah Azah. Dia sudah tidak gila-gila lagi. Namun begitu apabila bersama kami, dia masih Azah yang kami kenal dulu. Lima tahun di Sydney, Australia, menjadikan Hanah seorang Muslimah sejati. Dia berjubah dan bertudung litup. Zaihan pun sewaraq Hanah, meskipun tidak berjubah.

    "Salina, apa khabar?" Nora mengejutkan aku.
    "Alhamdulillah." Kami berpelukan seketika.
    "Ah, Nora semakin jelita tak hairanlah kalau ada yang makan hati," usikku.

    Sejak dulu, Nora memang ramai peminatnya. Sebab itulah dia tidak terpilih menjadi ahli kelab kami (padahal, kalau diajak pun dia tidak berminat). Sebabnya cuma satu: Nora tidak sanggup melupakan 'peminat-peminat'-nya tu. Aku lantas memeluk Mim dan Zana seerat-eratnya. Walaupun mereka bukannya ahli 'Kumpulan Setia Berlima' tetapi mereka juga adalah rakan-rakan sedarjah yang kami kasihi, yang kami ingati.

    Selepas habis tingkatan 5, semuanya membawa diri. Zana ke UTM; kini menjadi guru dan mengajar di Bintulu, Sarawak. Nora menjadi kerani Bank Simpanan Nasional Alor Setar. Sementara Mim masih di ITM, menyambung kursus Acountancy – tak habis-habis belajar; rungut Zaihan. Inilah kali pertama kami berlapan dapat berkumpul sama-sama lagi setelah tujuh tahun tidak berjumpa.

    Bilik pengantin Azah menjadi riuh rendah. Teruk Azah kena usik. Masing-masing nak bergambar dengan dengannya. Aku tumpang gembira, tapi terasa ada yang tidak kena denganku. Aku rasa suatu kehilangan. Baru saja enam bulan sudah, sebelum aku 'graduate' dan dapat kerja, Azah, Hanah dan Zaihan menziarahi aku di kampus. Ketika itu Azah kata dia masih solo dan akan solo untuk beberapa tahun lagi, jodohlah katakan. Azah sendiri tidak pernah kenal dan berkasih dengan Mazlan.

    "Siapa pula lepas ni," tanya Mim, yang sudah ada calon suami; yang sama-sama belajar dengannya.
    "Sudah gaharu cendana pula," usik Zana, sambil menyiku aku.
    "Bukan aku, tau," kataku cepat-cepat, apabila semua mata memandang aku.
    "Aii, jangan kata... tengok Azah ni... angin tidak, hujan tidak... tapi dia yang mendahului kita. Aku yang menjadi 'Miss 5 Sc. 1' tiga penggal berturut-turut pun kalah." Usik Nora disusuli dengan ketawa.
    Azah senyum juga. Senyuman selamat tinggal masa remaja.

    "Oii, kelab kamu dah kekurangan ahli lah ni. Nak cari 'presiden' baru?" tanya Zana tiba-tiba.
    Oh, rupanya dia masih ingat kelab tolol kami tu.
    "Bukan 'presiden' saja yang hilang, ada yang nak letak jawatan juga, ni," kata Rina.
    Zaihan dan Hanah tersenyum, terasa diperli.
    "Nora nak ganti ke?' tanya Rina yang sudah bertunang.
    "Eh, aku dari sekolah lagi tak berminat dengan kelab kaki gaduh dengan budak lelaki kau orang tu," kata Nora.
    "Aku tak rela jadi andartu," sambung Nora. Candanya diiringi dengan ketawa kecil.

    Hatiku tersentuh. Azah juga tidak menyampuk lagi. Mukanya bercampur-campur antara gemetar dan gembira. Sesekali dia mengerling jam tangan Mim, yang duduk di sebelahnya.
    "Lagi setengah jam, Azah," kata Mim, cuba bercanda lagi.

    Aku tahu , Azah cukup dewasa untuk menentukan haluan hidupnya. Mazlan, bakal suaminya itu Pegawai Perancang Ekonomi. Pasti mereka secocok, sama-sama kerja kira duit kata Zaihan semalam. Azah yang bekerja sebagai juruwang di Bank Islam tu, ketawa. Aku dan Zaihan memang datang lebih awal. Kami ni bukan sekadar rakan karibnya tetapi ada bau-bau bacang juga dengan Azah. Tambahan pula aku ni kan, mewakili keluargaku yang tidak dapat menghadirikan diri.

    "Aku ulang semula, bila lagi giliran kau, Salina." Tanya Mim.
    Semua orang diam. Masing-masing menunggu jawapan daripadaku.

    "Jangan semua nak tanya aku," kataku serba salah.
    "Yalah, dia kan pemangku 'presiden' bila Azah keluar ni, tak payahlah tanya dia," perli Nora.
    "Bukan aku."
    Aku jadi gelabah.
    "Oh, kalau tak nak jadi 'presiden' seumur hidup, cakaplah siapa pilihanmu. Tak kan itu pun nak berahsia," usik Mim lagi.

    Aku cuma membisu sambil melihat jam di meja solek. Akad nikah 20 minit lagi. Dadaku yang berdebar-debar lebih. Aku merenung mereka dengan sayu. Selepas ini kami semua akan berpisah lagi. Entah bila pula dapat berkumpul semula. Kenduri Azah ni kebetulan bulan raya, semuanya pulang bercuti.

    Aku merenung Azah semula.
    "Kau bila lagi, Salina?" tanya Azah semalam, ketika aku dan Zaihan leka menjahit labuci di tudungnya. Aku pura-pura ketawa besar. Zaihan mengenyit matanya.
    "Dari dulu kami susah nak tahu apa yang tersirat dalam hati kau, Salina," kata Azah, dengan tangan berbalut inai.
    "Cakaplah, kita ni kan dah macam adik beradik." Pujuknya lagi.
    "Tengok tu Zaihan, orang kalau dah nak kahwin, dia nak semua orang di sekelilingnya kahwin juga," pintas aku sebelum Azah habis bercakap.

    Zaihan ketawa risik punya risik aku tahu, lepas Azah, Zaihan menunggu giliran sahaja untuk bersatu. Begitu juga dengan Hanah dan Rina, masing-masing sudah ada pilihan sendiri. Tentulah Azah risau, melihat 'setiausahanya' masih sendiri. Mungkin dia rasa bersalah, menanam semangat anti begitu, kepadaku dulu.

    "Jangan tunggu lama-lama, kita dah nak masuk suku abad. Zaman mak-mak kita dulu sudah beranak tiga. Perempuan... kalau sampai umur 26 tahun masih juga solo, peluang nak kena barah rahim tinggi," kata Zaihan, lepasan sarjana Zoologi dari California.

    "Eh, kau ingat kerja sebagai wartawan tak payah kahwin, tak payah berkeluarga," kata Azah.
    Amboi, berubah betul, bekas 'presiden kelab' kami ni.
    "Aku tak kata begitu, adik-adikku ramai. Apa pun aku mesti utamakan mereka," jawabku.
    "Alasan lah tu," kata Zaihan, memandangku penuh curiga.

    Mujurlah Mak Cik Yah, emak Azah menyelamatkan aku. Tiba-tiba dia masuk ke bilik dan mula bising. "Eh, pengantin tak boleh tidur lambat, nanti esok tak berseri."
    Dia membuka inai di jari Azah. Dan aku terus pura-pura tidur. Zaihan dan Azah kemudiannya terpaksa tidur juga, kerana tiada kawan untuk mereka 'nasihati' lagi. Kami tidur bertiga.

    "Eh, jangan banyak angan-angan." Nora menyiku.
    "Orang kalau sedang bercinta tentu banyak berangan, tak percaya tanyalah aku," kata Nora lagi.
    "Aku bukan nak berahsia, aku ni memang bujang senang," kataku sambil ketawa.
    "Takut aku," celah Rina, yang menjadi tutor di ITM, Arau. Mim memegang tanganku.
    "Eh, sejuknya tangan. Orang kalau sedang berbohong memang sejuk tangannya." Usik Zana sambil meraba telapak tanganku.

    Aku memandang Azah. Cuma dia yang tidak mengusik aku. Adakah dia sudah tahu rahsia hatiku? Sudahkah dia tahu segala-galanya? Memanglah dia temanku yang paling akrab, tetapi aku tidak pernah bercerita apa-apa pun kepadanya sejak dulu. Apatah lagi apabila kami belajar dan bekerja di tempat yang berasingan pula. Kalaulah Azah tahu 'setiausahanya' sudah berpaling tadah sejak lima tahun dahulu, alangkah malunya aku!

    "Eh, tak kanlah di USM tak ada orang yang suka pada kau," tanya Hanah, mencari kesempatan. Aku menggeleng.

    "Aku tak percaya wajah pan-Asia macam kau ni tak ada peminat, itulah suka jual mahal," kata Nora.
    "Aku tak kan pernah lupa profil gadis 14 tahun yang hampir-hampir muntah apabila menerima surat pertama dari abang 'senior'," ujar Mim, diikuti dengan gelak ketawa. Aku pun turut ketawa mengingatkan peristiwa dulu tu.

    Aku ingat lagi surat dari Zek tu diedarkan di seluruh Tingkatan 2A1. Teruk aku kena ejek. Dan kalaulah mereka tahu sehingga sekarang pun aku masih fobia begitu, tentu teruk aku kena 'hentam' dengan mereka pagi ini!

    Aku masih gementar, takut dan rasa nak muntah apabila menerima huluran perkenalan atau surat daripada lelaki. Wah, begitu besarnya pengaruh 'kelab' tolol tu kepadaku?

    Aku kan seorang wartawan. Aku ni pula bekas pelajar 'journalism'. Bulan Julai ini genaplah usiaku 25 tahun. Tapi aku masih berkelakuan seperti budak-budak saja.

    Kalaulah mereka tahu, aku tidak berani ke kuliah semata-mata sebuah salam perkenalan dari seorang bakal guru, pecahlah perut mereka ketawakan aku. Kalau mereka tahu, aku gagal dua 'paper' kerana hampir dipaksa bertunang dengan pilihan orang tua, pasti mereka kata aku ni pondan. Kalaulah mereka tahu, aku juga pernah demam apabila menerima surat cinta dari seorang teman sekursus, pasti si Nora suruh aku mandi bunga.

    Aku tidak pernah takut bertemu dengan Pak Menteri atau mengendalikan kes-kes jenayah untuk ruangan akhbar. Dari dulu, aku memang berani bertekak dengan 'budak lelaki' mana-mana pun, di mana-mana pun. Cuma sehingga kini yang paling menakutkan aku ialah apabila: kena 'approach' dengan budak lelaki. Lutut aku rasa nak tanggal kerana menggeletar.

    Itulah aku, Salina Arief Mansor. Salina yang boleh beraksi di depan seribu penonton dalam pertandingan Debat Antara Universiti. Salina yang pernah mewakili sekolahnya dalam pelbagai jenis pidato dan pertandingan perbahasan. Kenapa ya, aku mempunyai dua peribadi yang berbeza? Diakah puncanya?

    "Sudah lah tu, kamu semua tak beri perhatian kepada aku yang menjadi pengantin ni," kata Azah seakan merajuk. Terima kasih Azah kerana menyelamatkan aku dari terus kena 'ambush' ni.

    "Assalamualaikum," kata Azli. Di belakang Azli, isterinya yang sedang sarat mengandung.
    "Tak pakai jilbab pun, dulu dialah sibuk kempen kita," kata Zana perlahan.
    "Mujurlah dia bising, kalau tak kita masih buka aurat," pintas Hanah, Zaihan mengangguk setuju.

    Majlis akad nikah berlangsung pada pukul 10.45 pagi, hanya dengan sekali lafaz akad sahaja. Kami mengaminkan doa dan mencium Azah. Sahlah Azah menjadi isteri Mazlan Hanif.

    Dalam celah-celah kesibukan Mazlan dan kerabatnya masuk ke bilik menyarung cincin berlian di jari manis Azah, aku terpandang Khairudden. Aku tergamam, lututku mula menggeletar dan tanganku berpeluh sejuk. Mimpikah aku? Dia sedang mendukung erat anak berwajah 'mat saleh'. Budak yang berumur hampir tiga tahun itu mencium pipinya bertalu-talu.

    Anak dia? Oh, itu kan isterinya: berambut perang dan memakai baju kurung batik tulis warna oren.

    Air mataku jatuh berderai. Kenapa dia mesti datang merosakkan kegembiraan ku pada saat ini? Tujuh tahun aku menunggunya tanpa sebaris kata. Tak pernah seorang pun yang tahu. Tak pernah seorang pun tahu... tentang isi hatiku selama ini. Siapakah yang akan percaya, dialah yang aku tunggu selama ini. Dialah di hatiku.

    Walaupun dia tidak pernah menjanjikan apa-apa, namun menerusi Azli aku tahu dia menyukaiku. Kukuhkah itu, untuk membuat aku menunggunya sehingga tujuh tahun? Kesetiaanku selama ini berkecai. Den, bukan sahaja belajar di UK tetapi juga kahwin dengan orang UK, kenapa aku tak pernah tahu? Kenapa beritanya tak pernah sampai kepada kami?

    Ah, bodohnya seorang Salina Arief Mansor, menenun angan-angan kepada 'dia' yang tidak pernah tahu. Dengan berbekal doa, aku menggantung seluruh harapan. Rupa-rupanya dia telah hilang rasa. Dulu masa Azli memberitahuku hasrat Den, memang aku marah. Tentulah Den ingat harapannya tidak bersambut. Kemudian rasa aneh itu berputik di hatiku. Aku memang tidak berani berterus-terang. Tetapi aku ingatkan Den sedar. Aku sudah tidak nakal-nakal lagi dalam kelas. Aku tidak lagi mengusik atau bergaduh lagi dengan mereka. Aku sudah mulai menjadi seorang wanita!

    Sayangnya, selama ini aku cuba menafikan dan memujuk diri bahawa tanpa sepatah kata dari Kota London, sebenarnya bukan menunjukkan dia telah melupakan aku. Mengapakah aku tidak menghapuskan 'teori' itu sejak tujuh tahun dulu. Kenapa aku begitu leka membuai rasa yang tak pasti? Air mataku jatuh tiba-tiba.

    "Janganlah sedih melihat masjid dibina," kata Zaihan sambil menepuk bahuku.

    Aku senyum walaupun hatiku rasa nak pecah, dengan penuh yakin dan berbekalkan doa, aku tolak yang lain semata-mata menunggunya. Mungkin ada hikmah lain yang Tuhan janjikan untukku. Hmm, selama ini aku membiarkan rasa 'phobia' takut pada semua lelaki untuk mengekalkan kesetiaanku padanya. Tetapi pengakhiran ceritanya tidak seperti yang aku harapkan.

    Aku berserah pada-Mu, Tuhan. Berilah aku sedikit lagi kekuatan untuk meraikan Azah.

    Den menyerah budak comel tu kepada isterinya. Anaknya melambai ke arah kami. Khairudden juga tersenyum kepada kami. Kepadaku? Salina, jangan nak perasan lagi! Selepas bergambar, mereka membawa Azah ke depan.

    Aku tidak berminat untuk mengikut lagi. Aku mencapai beg tangan dan kamera Nikon menuju ke bilik belakang. Aku cepat-cepat mengemas beg. Memasukkan bunga telur yang Mak Cik Yah kirimkan untuk ibu. Cuti tinggal dua hari lagi. Aku bercadang untuk balik ke KL lebih awal. Berehat. Merawat luka.
    "Eh, nak balik dah?" tanya Zaihan.
    "Aku kerja esok," bohongku, dengan rasa sungguh berdosa.
    "Kata nak ke Langkawi dulu," kata Zaihan.
    Pada mulanya, aku memang nak mengiringi Azah bertandang ke rumah mentuanya di Langkawi. Lepas tu kami boleh berehat-rehat sebelum terbang dari sana ke KL.

    "Aku baru ingat, tok aku kata, orang tak kahwin lagi tak boleh iringi pengantin, nanti tak kahwin terus," kataku, cuba melawak.
    "Azah nak jumpa kau. Dia ajak makan sehidang dengan pengantin... cepatlah semua ada. Kita berlapan, Azli dan isterinya, juga Khairuden 'reunion'." Kata Zaihan sambil menarikku ke depan. Aku mencapai beg tangan dan kamera semula.

    Aku duduk di sebelah Azah. Di sebelah Mazlan, Khairuden. Di hadapan Den, isterinya yang sedang berbual dengan lelaki berjambang.

    Aku makan juga, meskipun susahnya nak menelan. Rupanya, teruk juga ya patah hati ni.

    Azah menghulurkan tisu daripada Khairudden. Aku nampak tulisan di dalamnya. Sambil memandang Zaihan yang sedang berbual dengan isteri Azli, aku cepat-cepat membaca.
    Cik wartawan, aku ingin 'mengeditmu' – Khairudden.

    Aku hampir ketawa membaca perkataan 'edit' tu. Maknanya 'sunting' dalam bahasa persuratkhabaran. Sunting tu maknanya 'lamar' dalam kamus Melayu. Kemudiannya aku marah, sudah beranak-pinak, masih nak berjenaka denganku macam tu.
    "Khairudden serius Salina, itu yang aku cuba nak beritahuku kau semalam," bisik Azah.
    "Tapi budak tu dan..."
    "Daniel, anak abangnya dan Sarah tu kakak iparnya. Azli kata, dia tunggumu sejak dulu. Tapi kau jual mahal, lagipun mana dia berani... kau kan 'setiausaha kelab' kita," kata Azah.

    "Den baik Salina, terimalah dia. Dia terbang balik ni... khusus untuk berterus-terang dengan kau tentang hasratnya yang terpendam." Pujuk Azah, kemudian menghabiskan nasinya.

    Sebenarnya Azah tidak tahu, aku tidak perlu dipujuk-pujuk lagi. Aku sudah takut untuk jual mahal lagi. Aku memandang Khairudden yang telah banyak berubah. Khairudden senyum dan mengangguk. Aku membalasnya. Rasa bahagia menyelinap seluruh nuraniku, Alhamdulillah. Azli menunjukkan ibu jari ke arah kami, tanda puas. Terima kasih Azah! Terima kasih Azli!

    "Jangan kata tidak." Pinta Den sungguh-sungguh dalam riuh bunyi kompang.

    T A M A T


    Cerpen ini pernah disiarkan di NONA, 1 Februari 1992. Saya suka cerpen ni. Cerpen ini mengingatkan saya pada teman-teman di SM Jitra (1978 – 1982). Draf cerpen ni saya tulis sebaik saja pulang dari majlis perkahwinan teman tersayang, Nur Azaliah binti Ahmad Zainy. Bagaimanapun saya hanya menulisnya semula awal tahun 90-an dan kemudiannya mengirimkan ke majalah NONA.

    Posted at 02:20 pm by noorsoraya
    Comments (10)  

    Friday, June 10, 2005
    ANAK-ANAK KONGSI

    Oleh: Noor Suraya

    “CIKGU! Cikgu Ain Najwa!”
    “Oh, Cikgu Hanif! Apa halnya?”
    “Cikgu mengelamun! Tentu ingat orang yang jauh,” usik Cikgu Hanif.
    Memang pun aku sentiasa ingat orang yang jauh sebab di sini bukanlah negeriku.

    “Cikgu bertugas minggu ini, bukan?”
    Najwa mengangguk.
    “Ada pelajar sakit. Mungkin kena gastrik,” kata Cikgu Hanif sambil memandang Najwa.
    “Siapa?”
    “Juana, murid Dua Merah.”
    “Oh!” sahut Najwa sambil menelan air liur.

    Sebentar sahaja kenangan pagi tadi bagaikan iklan TV berulang-ulang lagi dalam fikiran Najwa. Hampir dua waktu Najwa mendera Juana berdiri di luar bilik darjah. Juana yang hanya berskirt singkat tanpa stoking terpaksa berpeluk tubuh sambil menggigil di tepi longkang. Cuaca pula sejuk sekali pagi tadi. ditambah pula dengan hujan yang mula turun rintik-rintik. Tetapi peduli apa, Juana yang tidak menyiapkan latihan Matematik! Dia wajar menerima hukuman untuk itu.

    Bermula dengan Juana, habis seluruh kelas menerima leteran Cikgu Najwa.
    “Badan saja besar, tulisan macam kuman,” jerkah Cikgu Najwa kepada Nyadang.
    Nyadang yang tidak lagi berani memandang Cikgu Najwa cuba menahan tangis. Cikgu Najwa kemudiannya, mencari-cari kesalahan murid lain. Umang masih teresak-esak kerana disergah sebab lama ke bilik air. Apabila tidak ada perkara lain untuk Cikgu Najwa marah, Asnan yang pendiam dan rajin itu pun digertakkannya kerana mata pensel yang tumpul. Cikgu Najwa dengan senang hati membiarkan Kates dan Stanlie berdiri dengan sebelah kaki selama setengah jam di atas kerusi kerana meniru.

    Kenapa mereka menjadi mangsa untuk aku melepaskan rasa sakit hati ini? Hampir dua bulan sejak habis maktab, dan kena ‘posting’ di daerah ini, aku telah bertukar menjadi singa. Ah, aku sendiri tidak kenal diriku lagi.
    “Salah Jabatan Pendidikan juga kenapa hantar aku ke tempat bukan pilihanku,” keluh hati kecil Cikgu Najwa.

    “Umang kata, cikgu yang denda Juana tadi.” Suara garau Cikgu Hanif menikam jantung Cikgu Najwa.
    Nantilah, Umang, sudah pandai mengadu rupanya.
    “Dia yang tak siapkan kerja rumah. Bukan sekali ini, boleh dikatakan setiap hari. Macam mana saya nak sabar lagi, “ kata Cikgu Najwa kepada Cikgu Hanif, cuba menyembunyikan rasa bersalahnya.

    Cikgu Hanif memandang sinis ke arah Cikgu Najwa yang menjadi serba salah. Guru muda ini macam tidak percaya apa yang dinyatakannya. Geram betul!

    * * * * *

    Cikgu Najwa memangku Juana dalam hujan lebat. Wajah Juana semakin pucat. Takutnya kepada Cikgu Najwa mengalahkan takutnya kepada hantu. Mujurlah Cikgu Hanif ada bersama. Kalau tidak Juana telah lama sesak nafas, menahan gementar. Cikgu Hanif yang penyayang serta sabar itu, memayungkan mereka ke arah kereta.

    Kini barulah Cikgu Najwa mula rasa bersalah kerana mendera Juana pagi tadi. Tempias hujan menerpa wajahnya dan pecah berderai bersama air mata yang tidak dapat ditahan-tahan lagi. Sebaik sahaja masuk ke dalam perut kereta Cikgu Hanif, Cikgu Najwa mencapai kertas tisu dan mengeringkan mukanya yang basah. Rasa asin air mata jatuh di bibirnya.

    Kereta buruk Cikgu Hanif terhinggut-hinggut meredah hujan yang semakin lebat menuju ke Poliklinik di Jalan Oya.

    “Lain kali makan dulu sebelum ke sekolah,” kata misi dengan senyum manis. Juana cuma diam. Dia tidak berani berjanji, tambahan pula apabila hujan-hujan begini. Ayah biasanya tidak bekerja.

    Cikgu Hanif mengendong Juana ke kereta semula. Sementara Cikgu Najwa mengambil ubat dan kemudiannya datang ke kereta.
    “Juana balik rumah dan berehat dulu. Kalau dah sembuh baru datang ke sekolah,” kata Cikgu Najwa lembut dan memujuk. Juana akhirnya, sudah berani senyum sumbing kepada guru yang paling ditakutinya itu.

    Cikgu Hanif juga ikut tersenyum. Dalam diam, Cikgu Hanif mengakui Cikgu Najwa sebenarnya baik dan bersifat keibuan. Cikgu Hanif selalu sahaja mendapat aduan terutamanya daripada murid-murid darjahnya mengenai ‘kekejaman’ Cikgu Najwa. Kata Umang, Cikgu Najwa garang mengalahkan mendiang datuknya yang kononnya pernah menampar cucu Raja Brooke. Tetapi pada saat ini, tidak benarlah aduan Kates dan Stanlie, tidak tepatlah cerita Nyadang mahupun Marelin dan seolah-olah bohonglah Juana serta karutlah omongan Buan selama ini. Cikgu Ain Najwa di sebelahnya ini tampak begitu baik dan sungguh anggun.

    “Kenapa kita balik ke sekolah semula?” tanya Cikgu Najwa.
    “Rumah Juana dekat sekolah,” kata Cikgu Hanif sambil menunjuk ke arah rumah-rumah pekerja binaan yang terpacak dekat tapak sebuah kompleks membeli-belah.

    “Rumah kongsi?”
    Cikgu Hanif mengangguk. Hujan masih lebat, namun hujan di hati Cikgu Najwa lebih hebat melihat rumah Juana seperti itu. Cikgu Hanif melambai ke arah rumah Juana. Sejurus kemudian, dua orang budak lelaki menerpa ke luar.

    “Ayah ada?” tanya Cikgu Hanif kepada kedua-dua budak yang telah basah kuyup.
    Cikgu Najwa menghulurkan payung. Mereka menggeleng.
    “Ayah tak ada, emak pun belum pulang lagi,” kata budak lelaki yang lebih besar daripada Juana, mungkin abangnya.
    “Cikgu cuma hendak hantar Juana, dia sakit,” kata Cikgu Hanif.
    Kedua-dua saudara Juana tadi nampak terkejut dengan kata-kata Cikgu Hanif. Mata beralih ke belakang. Cikgu Hanif membuka pintu tempat duduk belakang. Si abang cepat-cepat mendukung Juana. Cikgu Hanif memayungkan mereka ke rumah. Sementara di adik pula mengambil beg plastik berisi alat tulis dan buku-buku Juana. Cikgu Najwa sempat juga menghulurkan plastik berisi ubat.

    Cikgu Najwa merasakan kakinya kaku untuk ke rumah Juana. Dia tidak sanggup melihat keperitan hidup anak muridnya yang sering didera di kelas. Dengan cepat si adik yang nampak malu-malu, menghadiahkan sebuah senyuman kepada Cikgu Najwa dengan bibirnya yang biru menahan kesejukan. Dia kemudiannya turut berlari ke rumah yang terletak paling hujung dan menghadap ke sekolah serta meninggalkan Cikgu Najwa menanggung rasa pilu sendiri.

    Ah, betapa berbezanya kehidupan Juana berbanding dengan dirinya yang dibesarkan sebagai anak Datuk Ibrahim dan Datin Sakinah! Jerit hati kecil Cikgu Najwa.

    Sementara menunggu Cikgu Hanif, Cikgu Najwa sempat mengira dalam sederet terdapat lapan buah rumah kongsi di situ. Setiap keluarga nampaknya cuma dipisahkan oleh satu dinding nipis. Rumah yang beratap zink dan diperbuat daripada kayu lapis itu lebih kecil daripada bilik Najwa di Damansara Heights. Ain Najwa menjadi semakin terharu. Rasanya keinsafan menyelubungi hati nuraninya.

    ‘Aku ni memang tak pernah tau bersyukur. Masih tak sudah-sudah merungut; kenapa mereka hantar aku ke sini. Paling teruknya, sehingga kini aku masih mengharapkan agar abah dapat mencari kabel membawa aku keluar dari Bumi Kenyalang ke KL secepat mungkin. Memanglah aku tak betah tinggal di Sibu ini, tapi sebenarnya aku sendiri yang terlalu sombong dan angkuh untuk cuba menyesuaikan diri.

    Tiba-tiba Cikgu Najwa menjadi malu dengan dirinya sendiri. Di KL siapalah yang pedulikan guru sekolah rendah sepertinya. Kebanyakan murid-murid ada tuisyen di luar. Kita baru hendak mengajar yang ini, mereka sudah tahu bab yang paling ke depan. Ain Najwa sudah merasakan semua itu semasa latihan praktikal di Petaling Jaya dahulu. Kalau yang baru masuk darjah satu pula, sudah lancar membaca – menulis – mengira. Inilah yang membuat kita kehilangan modal jika masih hendak mengajar ikut sukatan. Sedangkan di sini, mereka benar-benar memerlukannya. Tidak bolehkah dia berkorban sedikit. Membuang sedikit rasa sombong dan angkuh untuk mengajar mereka yang lebih memerlukan?

    Hujan sudah mulai reda ketika Cikgu Hanif kembali semula ke kereta. Kemeja warna merunnya separuh basah. Sambil tersenyum kepada Cikgu Najwa, dia cuba menghidupkan enjin kereta, tetapi gagal. Cikgu Najwa ketawa.

    “Beli Proton Wira, cikgu,” usiknya.
    “Nak beli memang senang. Banyak bank yang boleh memberi pinjaman, tapi saya tak sanggup menanggung hutang,” tegas Cikgu Hanif, yang sudah enam tahun berkhidmat di Sarawak.

    Cikgu Hanif berasa agak kecil hati. Buruk-buruk kereta ini pun, hasil duit simpanannya yang halal. Cikgu cuba menghidupkan semula enjin kereta Fiatnya, namun masih tidak berhasil. Walaupun telah dicuba berkali-kali, keretanya masih kaku di situ.

    “Saya balik ke sekolah dulu, lepas ni ada kelas,” kata Cikgu Najwa. Dia terus meninggalkan Cikgu Hanif yang masih terbongkok-bongkok membetulkan keretanya, tanpa menunggu kata izin daripada Cikgu Hanif.
    “Thanks!” jerit Cikgu Najwa dari jauh tanpa sebab.

    * * * * *

    “Itu ke guru bahasa Orang Putih dan Ilmu Hisab?”’
    “Itu ke?”
    Juana mengangguk-angguk.
    “Juana kata, guru perempuan itu jahat. Tapi abang tengok dia baik, dia cantik,” kata Delahan.
    “Memang Cikgu Najwa cantik tapi garangnya mak datuk! Dia nampak baik tadi sebab dia takut kepada guru kami. Cuba kalau Cikgu Hanif tak ada...” kata Juana sambil ketawa. Tiap-tiap hari Juana menceritakan keburukan Cikgu Najwa kepada Delahan.
    “Oh!” sahut Delahan dengan rasa separuh percaya dengan cerita-cerita Juana selama ini.

    “Juana, ubat ini hendak makan banyak mana?”
    Delahan membuka penutup botol ubat sambil tangan kanannya memegang sudu kecil yang sudah bengkok pemegangnya.
    “Yang ini makan kalau sakit, yang ini cuma satu sudu saja dan yang ini... tak payah sebab pahit.”
    Juana ketawa sambil melarikan diri. Delahan mengejar Juana dengan botol ubat di tangannya. Juana masih ketawa. Adik mereka Dahari pun turut ketawa. Sekejap sahaja Juana dapat ditangkapnya. Rumah sesempit ini, sejauh manalah mereka dapat berlari dan bersembunyi. Kalau orang kentut perlahan pun dapat dikesan oleh telinga.

    “Cepatlah makan ubat, jangan main-main lagi,” kata Delahan seakan-akan jauh hati.

    Delahan berasa sedih. Walaupun sudah berusia lebih sepuluh tahun, dia masih buta huruf. Juana selalu berjanji hendak mengajarnya membaca dan menulis. Namun janji tinggal janji. Balik dari sekolah, Juana terpaksa mengasuh adik kecilnya, Juita. Sementara dia sendiri sibuk membantu emak dengan kerja-kerja rumah yang lain.

    Sebelah malam pula, ayah mengajar mereka sekeluarga mengaji al-Quran dan mengenal serta menulis huruf Jawi. Kalau ayah letih, mereka semua dipaksa tidur awal. Emak langsung tidak benarkan mereka menyalakan lampu minyak tanah, emak bukan saja takut terbakar, tetapi mereka harus berjimat. Gaji ayah sebagai buruh binaan bukannya banyak. Kalau tidak bekerja, tiadalah gaji. Sekadar tiga belas ringgit sehari untuk mereka bertujuh, Delahan sedar, ayah tidak mampu menyekolahkannya seperti Juana.

    Kadang-kadang dia berasa kesal berkorban untuk Juana dahulu. Sepatutnya, dia yang bersekolah, bukannya Juana. Malulah kalau orang lelaki tidak tahu membaca. Tiba-tiba timbul rasa cemburu terhadap Juana. Tetapi apabila teringat adiknya yang selalu sakit-sakit dan ingin sangat ke sekolah, hatinya menjadi ikhlas. Dia rela membantu di rumah. Biarlah Juana yang merasai segala keseronokan sebagai murid. Tahun depan, kalau ayah berduit tentu Dahari pula masuk darjah satu. Kemudian Daud, selepas itu Juita. Sedangkan dia sendiri akan menjadi buta huruf untuk selamanya. Akukah yang bakal mewarisi kerja ayah nanti? Delahan diburu rasa bimbang.

    Ayah belum pulang lagi. Tentu sahaja dia tidak bekerja hari ini. Hujan-hujan begini kerja-kerja konkrit tidak dapat dijalankan. Delahan memandang bangunan yang belum siap di hadapannya. Ayah sentiasa melarang mereka bermain di bawahnya. Kadang-kadang mereka terlupa juga larangan ayah. Pada waktu petang, jika ada masa lapang, dia ikut juga kawan-kawannya main perang-perang di situ. Juana pula selalu main ‘cikgu-cikgu’ bersama anak Pak Senawi dekat situ juga. Habis dinding bangunan separuh siap yang belum bercat itu dicontengnya. Bagaimanapun apabila anak Abang Han, jiran mereka, cedera parah akibat terhempas dinding runtuh, mereka adik-beradik sudah tidak berani lagi ingkar pesan ayah.

    Hairan ke mana pula ayah ini? Agaknya masih menunggu hujan betul-betul reda. Emak pun belum lagi. Biasanya pukul dua petang emak sudah ada di rumah. Juana sudah nyenyak tidur di sebelah buaian Juita. Daud yang berusia empat tahun, masih terbaring keletihan selepas puas bermain hujan pagi tadi. Dahari seperti biasa menunggu emak di tangga pada waktu-waktu begini.

    Selalu juga emak membawa sesuatu apabila pulang. Sejak emak bekerja sebagai pencuci pinggan mangkuk di kedai India Muslim di seberang jalan sana, mereka jarang kelaparan pada waktu petang. Ada saja yang tauke kedai itu bekalkan untuk mereka. Antaranya yang paling mereka suka – roti canai. Walaupun itu cumalah lebihan jualan tetapi bagi Delahan dan adik-adiknya, makanan itu sungguh enak. Kata emak, kalau roti itu masih panas-panas, rasanya lebih sedap dan lembut berbanding dengan yang emak bawa balik.

    Kasihan emak, dalam penat-penat hendak dapat anak lagi pun masih kena bekerja. Ayah kata, kalau Delahan besar sikit, bolehlah ganti emak kerja di kedai itu. Sebenarnya Delahan rasa dia sudah cukup dewasa. Dia sudah mampu menjadi ‘emak’ kepada adik-adiknya, apabila emak keluar bekerja. Ayah juga menyerahkan tanggungjawab mengawasi Juana, Dahari, Daud dan Juita kepadanya. Kalau emak sakit, dialah yang merawat emaknya. Jadi Delahan rasa, dia sudah bersedia untuk segala-galanya untuk keluarga.

    Selama ini kerja yang lebih berat daripada itu pun, dialah yang melakukannya. Siapa yang mengangkut air berulang kali dari pili yang berdekatan, kalau bukan dia. Setakat untuk membasuh pinggan mangkuk, dia memang cekap. Tiap-tiap hari itulah kerjanya di rumah.

    “Emak balik! Emak balik!” jerit Dahari.
    Mendengar jeritan Dahari, Daud menerpa ke arah pintu. Juana terbangun dari tidur. Dahari memandang tangan emak. Tidak ada plastik makanan seperti kelmarin. Juana menelan air liur. Dahari hampa. Daud kecewa. Ketika ini, Delahan rasa ingin cepat-cepat bekerja di kedai mamak tu supaya dia boleh makan roti canai panas-panas, dan membawa balik roti itu banyak-banyak untuk adik-adiknya.

    Melihat empat pasang merenungnya, Saftuyah faham hasrat anak-anaknya. Tetapi apakan daya, hari ini orang ramai, tidak ada jualan yang berbaki. Mujurlah tangisan Juita membuatnya boleh naik ke rumah tanpa soal jawab. Saftuyah terus menghidupkan dapur kayu. Sudah pukul tiga, perut anak-anaknya belum berisi.

    * * * * *

    Sejak Cikgu Hanif bercerita fasal keluarga Juana, Cikgu Najwa selalu memerhati mereka. Ramai juga anak-anak kongsi tinggal di situ. Mereka sering bermain di luar pagar sekolah. Sekarang ini sudah jadi rutinnya, menunggu bas berdekatan dengan pohon ketapang berhampiran dengan rumah Juana. Pemandu bas nombor empat itu telah cam muka Cikgu Najwa. Jadi dia sering menyembunyikan hon dan Cikgu Najwa tidak pernah tertinggal bas.

    Cikgu Ain Najwa pura-pura membaca sedangkan ekor matanya liar mencari Juana adik-beradik. Entah kenapa, Cikgu Najwa rasa tertarik untuk lebih rapat dengan mereka, terutamanya dengan Delahan. Menurut Cikgu Hanif, bapak Juana rakyat Indonesia yang berasal dari Acheh. Ibunya pula berketurunan Iban yang telah memeluk agama Islam. Kata Cikgu Hanif lagi, Juana bersekolah pun atas ihsan Guru Besar sekolah mereka sahaja. Juana tidak ada dokumen yang sah. Sebagai anak-anak kongsi, mereka berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain setiap kali bangunan tegak berdiri. Kadang-kadang belum lagi dapat tapak baru, rumah mereka terpaksa dirobohkan kerana rumah-rumah kongsi akan mencacatkan keindahan bangunan baru yang mereka sendiri dirikan.

    * * * * *

    “Cikgu! Cikgu!”
    Aku mencari arah suara yang halus tadi.
    “Oh, inilah Delahan, bukan?” tanyaku.
    Dia mengangguk.
    “Buku cikgu jatuh.”
    Dia mengambil buku yang jatuh dan menyerahkan kepadaku.
    “Ambillah.” Aku memberi semula buku cerita itu kepadanya. Dia menolak. Aku menghulurkan lagi.
    “Tak payahlah, saya tak tau membaca,” kata Delahan sambil memandangku dengan rasa malu.

    Aku berasa hairan. Anak-anak abangku dalam usia begini, bukan sahaja sudah boleh menguasai bahasa Melayu dengan baiknya, tetapi juga mahir berbahasa Inggeris. Mereka sudah boleh membaca ensiklopedia dan cekap bermain ‘scrable’. Aku yang lepasan TESL ini pun mudah dikalahkan anak saudaraku itu. Tiba-tiba, di hadapanku ada budak yang tidak boleh membaca, walaupun sudah berumur lebih sepuluh tahun, aku kira! Apa yang sekolah telah buat kepada budak-budak seperti ini? Apa sudah jadi dengan 3M?

    “Saya tidak pernah ke sekolah cikgu,” kata Delahan seperti faham apa yang tersirat di dalam hatiku.
    “Oh!” Perjudisku terhadap KBSR terkubur di situ.
    “Juana tak tolong ajar?” tanyaku.
    Delahan menggeleng lagi. “Dia tak ada masa, cikgu.”

    “Cikgu boleh tolong kamu.”
    Dengan mudah sahaja aku sudah berjanji. Rasa simpati mengatasi segalanya. Semalam menerusi telefon aku sudah beritahu abah, aku sudah tidak perlu ‘kabel lagi. Aku sedia tinggal di sini sehingga tempohnya. Abah ketawa dan mengusik. Kata abah, tentu aku sudah terpikat dengan orang Sarawak.

    Aku tidak menafikannya dan tidak pula mengiakannya.
    “Tunggu cikgu esok pukul 12.30 di sini. Pukul satu baru bas cikgu datang, jadi kita dapat belajar sama-sama. Insya-Allah setengah jam saja.”

    Muka Delahan menjadi cerah. Aku berasa sungguh gembira. Dari jauh, aku nampak Juana mengelek adiknya di pinggang kanan. Dia masih tidak mesra denganku di sekolah, mungkin masih fobia dengan wajah singa di mukaku. Anak-anak kongsi yang lain masih melekat di pagar sekolah menyaksikan murid-murid lawan bola di padang. Walaupun habis badan mereka tercetak dengan corak jaring pagar yang persegi, mereka tidak kisah. Panas-panas begini mereka rela tanpa baju dan berpayungkan matahari, berdiri tegak di situ. Lasak sungguh.

    “Terima kasih, cikgu.” Bas nombor empat memisahkan bicara kami.

    * * * * *

    Cikgu Ain Najwa telah menghimpun baju-baju lama anak-anak saudaranya dalam kotak. Tentu Delahan dan adik-adiknya suka mendapat pakaian lama Adib dan Arisyah yang berjenama dan masih cantik-cantik lagi. Baju sekolah rendah Arisyah pun disusun rapi di dalam kotak itu. Buka sekolah nanti, Juana tidak perlu memakai skirt singkat lagi. Cuti terasa lama betul. Tidak sabar Cikgu Najwa hendak pulang ke Sarawak. Abah dan mama ketawa melihat gelagat Najwa. Awal-awal cuti sudah membungkus-bungkus hendak balik.

    “Dah kena guna-guna ke anak abah ini,” usik abah ketika melihat Najwa menyelongkar bilik bacaan. Mama yang duduk menemani abah di sofa sesekali memandang Najwa.

    “Macam mana dengan rancangan balik ke Semenanjung?” sambung abah, walaupun sudah tahu keputusan puteri bongsunya.
    “Tak payahlah, bah. Wawa suka kat Sibu,” kata Najwa ikhlas.
    “Macam itulah anak abah.”
    Abah yang pernah menjadi ahli majlis Dewan Negara menepuk bahuku bangga.

    Aku sudah ada rancangan yang terpendam di dada. Habis tempoh berkhidmat di Sarawak, aku hendak sambung buat ijazah sama ada di dalam atau di luar negeri, aku belum pasti. Sebab itulah aku menolak hasrat Syed, anak kawan abah. Mungkin belajar dan mengajar cuma alasan. Sebenarnya ada perkara lain yang membuat aku tertarik untuk terus berkhidmat di Sarawak.

    Aku terus menyelongkar buku-buku lama semasa di sekolah rendah dahulu. Buku-buku itu dan buku cerita kanak-kanak ini akan aku sedekah kepada Delahan. Abah dan mama sudah faham hasratku dan mereka tidak menghiraukannya. Walaupun buku-buku itu tidak menggunakan tatabahasa yang betul, tetapi tidak menjadi hal. Delahan cuma hendak membaca bukannya hendak masuk periksa Bahasa Melayu. Asalkan ada bahan bacaan sudah cukup untuk melancarkan bacaannya.

    Bagi Cikgu Najwa, Delahan seorang anak yang istimewa. Dia terang hati. Dalam masa tidak sampai dua bulan, dia sudah lancar membaca. Bagaimanapun yang mengecewakan Cikgu Najwa, dia masih tidak tahu menulis. Belajar di bawah pohon ketapang membuat Cikgu Najwa tidak berkesempatan mengajarnya menulis. Lagipun sebagai guru Bahasa Inggeris dan Matematik, kebolehannya mengajar bahasa ibunda sendiri memang terbatas. Yang penting, Delahan sudah boleh membaca dan Cikgu Najwa sudah cukup bangga. Noktah.

    * * * * *

    Tahun ini Cikgu Najwa menjadi guru Darjah Satu Biru. Kesibukan murid-murid mendaftar pagi tadi membuat Ain Najwa tidak sempat ke Darjah Tiga Merah menemui Juana. Kotak-kotak yang diangkut dari Semenanjung kelmarin, terletak di bawah meja. Rosedah sejak tadi nampak sahaja muka Najwa asyik bertanya. Apa isinya? Kain batik yang hendak dijual? Bayar berapa kali? Cikgu Najwa cuma senyum dan membiarkan Rosedah berteka-teki.

    Kalau tangan kanan hendak buat kebajikan, kalau boleh biar tangan kiri pun tidak tahu. Sedangkan aku tidak, abah dan mama tahu, abang kakak dan ipar-duai pun maklum. Malah sudah terhebah kepada anak-anak buah dan pembantu rumah kami. Malu aku pada Tuhan, buat kebajikan sebesar kuman sudah tercanang sana sini!

    “Sejak balik dari Semenanjung ini, sombongnya!” kata Rodedah sambil mencubit pipi Cikgu Najwa.
    Cikgu Najwa ketawa dan membetulkan semula letak tudung kepalanya. Rosedah pun ketawa. Najwa meninggalkannya untuk masuk ke kelas.

    Dalam kesibukan melayan murid-murid baru, Cikgu Najwa sempat menjengah ke tingkap. Bangunan kompleks membeli-belah sudah tegak berdiri walaupun belum bercat. Dia sudah tidak dapat melihat rumah-rumah kongsi lagi kerana terlindung. Apabila loceng waktu rehat berbunyi dia bergegas ke kelas Juana. Juana tidak ada di situ. Di kantin? Dia tidak pernah ke kantin. Sakitkah dia?

    Selepas membantu beberapa murid darjah satu ke tandas, Cikgu Najwa mencari-cari Cikgu Hanif. Ain Najwa nampak tadi, namanya masih tertera sebagai guru Darjah Tiga Merah. Hati Cikgu Najwa berdebar, sudah lebih sebulan tidak nampak rupa orang Kedah itu.

    “Najwa!”
    Aku berpaling, Cikgu Hanif segera ke arahku.
    “Puas saya cari.”
    Aku diburu rasa gembira. Dia mencari aku? Seorang wanita dengan lemah lembut mengikutnya dari belakang.

    “Juana tak datang?” tanyaku tanpa menghiraukan Ustazah Aizah di sampingnya. Pagi tadi Guru Besar telah memperkenalkan ustazah baru itu di bilik guru. Aku tidak sempat mendengar keseluruhan biodatanya. Yang aku ingat dia tu orang sini.

    “Mereka sudah pindah. Bukankah bangunan itu sudah siap?”
    aku betul-betul hampa. Penat mengusung kotak-kotak itu dari KL dan ke sekolah masih terasa, sudahlah kena tambah cukai sebab lebih timbangannya.
    “Ke mana?”
    “Dengarnya, bapa Juana bekerja di tapak binaan untuk Lapangan Terbang Sibu yang baru dekat Durin pula.”
    “Jauhnya!”
    “Ini ada surat untuk Najwa. Kawan Juana yang serahkan kepada saya tadi.”

    Ustazah Aizah senyum kepadaku. Aku membalasnya meskipun terselit sedikit rasa cemburu. Dia nampak begitu rapat dengan buah hatiku. Umurnya mungkin sebaya denganku, 22 tahun. Aku mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Hanif sambil membelek sampul surat tulisan Juana. Guru mana yang tak ingat tulisan Juana yang besar-besar macam butir jagung dan comot pula!

    “Oh, ini kenalnya....”
    “Dah kenal, Ustazah Aizah,” celahku, rasa cemburu memuncak lagi.
    “Dah kenal isteri saya?”

    Jantungku seakan berhenti berdenyut. Mahu tidak mahu aku memaksa diriku untuk bersalam lagi dengan isteri Cikgu Hanif untuk kali keduanya pagi ini.

    Cikgu Hanif dan Ustazah meninggalkan aku. Tiba-tiba kepala aku rasa sakit dan hatiku sedih tidak menentu. Wajahku menjadi semuram wajah Syed ketika aku menolak niatnya dulu.

    Syukurlah, apabila melihat surat Delahan di tangan, hatiku terhibur, walaupun sedikit. Tentu isinya pun Juana yang tolong tulis. Aku membuka dengan berhati-hati. Biar jangan terkoyak seperti hatiku. Aku terus-terus memujuk hatiku supaya jangan membiarkan air mataku jatuh berderai.

    Tulisan JAWI! Macam mana aku hendak tahu isinya? Dahulu aku selalu marah murid yang tidak tahu membaca bahasa Inggeris. Ketika ini, aku marah kepada diriku sendiri, kerana tidak tahu membaca tulisan khazanah bangsa Melayu yang begitu terkenal di Nusantara suatu ketika dahulu. Aku, mendewa-dewakan bahasa penjajah, menggunakan tulisan ‘Mat Saleh’ itu dan melupakan tulisan yang sungguh indah dan unik ini! Aku mula merasakan ‘Melayu’ku tidak lengkap tanpa tahu tulisan Jawi.

    Delahan memang tidak tahu menulis Rumi tetapi dia mahir membaca dan menulis Jawi. Itu aku maklum. Guru yang dipuja-pujanya ini sebenarnya buta huruf Jawi. Aku melipat semula surat tiga halaman itu dengan penuh tanda tanya. “Takkanlah aku nak minta Ustazah Aizah bacakan untuk aku? Kalau menyuruh orang lain, nanti seluruh sekolah tahu, Cikgu Najwa rupanya buta huruf Jawi.”

    Aku meneliti surat bersampul biru itu sekali lagi.
    Di depannya tertulis:
    Kepada
    Cikgu Ain Najwa yang dikasihi.

    Di belakangnya tertera:
    Daripada
    Muridmu – Delahan Sharif.

    “Cuma itu yang dapat cikgu baca, Delahan. Selebihnya akan cikgu tahu apabila cikgu belajar tulisan Jawi.”

    T A M A T


    Cerpen ini memenangi Tempat Kedua Sayembara IX – Hadiah Cerpen Esso-Gapena 1994. Majlisnya berlangsung di Hotel Hilton, dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Datin Paduka Rafidah Aziz. Tiket penerbangan untuk dua orang dari Sibu – Kuching - KL (pergi balik) ditaja oleh Kerajaan Negeri Sarawak. Terima Kasih, Sarawak!

    Saya suka cerita ini kerana latarnyai, diambil dari tempat yang sebenar. Panel anugerah menyukai rentetan peristiwa, plot dan ‘setting’ cerita saya ini. Cerpen ini dianggap istimewa oleh panel penilai kerana kontrastif latar belakang dua watak yang dipertembungkan. Mereka memuji penulis kerana berhasil ‘keluar masuk’ dalam dunia Juana dan keluarganya dan merasakan segala keperitan itu! Menurut panel penilai lagi, cara gaya bercerita yang bersahaja dan mudah menjadikan cerpen ini senang diikuti serta mengusik perasaan hati.

    Posted at 04:13 pm by noorsoraya
    Comments (3)  

    Friday, June 03, 2005
    auni nasi ayam

    under construction, sorry :(

    Posted at 12:08 pm by noorsoraya
    Comments (2)  

    Thursday, June 02, 2005
    BURUNG KENEK-KENEK, WARNA MERAH HATI...?

    oleh : Noor Suraya

    Setiap kali inilah persoalan yang timbul. Betul ke aku ini cucu nenek? Kalau ya, kenapa aku dilayan seperti penumpang kelas tiga di rumah besar ini. Dulu aku sedikit pun tidak kisah dengan layanan nenek. Dulu kami tinggal di rumah yang berasingan, di bandar yang berasingan pula. Bagaimanapun sejak ayah meninggal, kami terpaksa berpindah ke rumah besar nenek.

    Rumah ini sungguh unik. Usianya melebihi 150 tahun dan dibuat daripada kayu cengal dan meranti. Halaman rumah ini juga luas, seluas padang bola di sekolah baru aku. Bilik-bilik pun banyak dan begitu juga dengan jendelanya. Kebanyakan jendelanya ada ukiran kayu yang cantik-cantik. Malah kadang-kadang aku terfikir, nenek sungguh berani tinggal berdua sahaja dengan pembantunya yang setia, Mak Leha, di rumah yang menggerunkan ini. Bagiku, rumah yang tidak bercat ini sungguh menyeramkan.

    Dulu semasa ayah masih ada, kami akan menziarahi nenek pada setiap hari Raya sahaja. Nenek tidak menyukai kami. Walaupun ibu merupakan satu-satunya anak perempuan nenek tetapi nenek tidak menyukainya. Nenek lebih menyayangi Pak Long, anak sulungnya. Aku selalu gementar apabila ke rumah nenek. Nenek bukan sahaja cerewet tetapi sangat garang. Tetapi nenek sebenarnya cuma garang dengan aku dan Kak Lida, tidak dengan anak-anak Pak Long.

    Aku dapat rasa perbezaan sikap nenek terhadap kami, berbanding kasih sayangnya yang tidak berbelah bahagi untuk anak-anak Pak Long. Nenek ada nama timang-timangan yang khas untuk mereka. Kak Nina dipanggil Sayang. Kak Zura pula digelar Intan dan Laila pula sebagai Manja. Rumah Pak Long berdekatan sahaja dengan rumah nenek.

    Jadi sejak dulu lagi rumah nenek menjadi markas untuk anak-anak Pak Long bebas bermain. Sedangkan kalau dengan kami nenek akan berleter, rumah ni bukannya tempat untuk berlari-lari. Sedari awal lagi aku tidak menyukai nenek. Entah kenapa ada dendam yang tidak dapat aku luahkan. Mungkin kerana nenek tidak suka pada ayah dan ibu menyebabkan aku jadi berdendam pada nenek.

    Sejak aku mula menjadi penghuni tetap rumah besar nenek, jiwa ku tidak tenang. Nenek adalah anak orang kaya pada zamannya. Dia biasa dilayan seperti anak-anak raja. Kini aku pula menjadi seperti salah seorang dayang-dayang nenek sahaja. Semua kata-kata nenek merupakan ‘titah perintah’ nenek. Tiada siapa yang berani ingkar. Aku hairan melihat ibu begitu taat pada nenek walaupun nenek sering memarahinya. Ibu tidak pernah melawan perintah nenek.

    Ibu selalu berkata, “Macam mana pun nenek tetap emak ibu. Dialah yang melahirkan ibu, Husna.”

    Aku kagum melihat sikap ibu yang begitu sabar. Sedangkan aku sendiri dapat rasakan tidak lama lagi pasti akan meletus perang besar antara aku dan nenek. Cuma hari, tarikh dan masanya belum ditentukan lagi ….

    * * * * *

    Pagi Sabtu itu datang seperti selalu. Pagi-pagi lagi aku sudah bangun. Di rumah ini tiada siapa pun yang bangun lewat.
    “Bangun awal murah rezeki,” kata ibu selalu.
    Pesanan nenek kepada ibu kini diserapkan kepada aku dan Kak Lida pula. Ibu telah mula bekerja sebagai penolong pengurus di ladang kepunyaan nenek. Mak Leha pembantu rumah nenek sibuk dengan kerja-kerja dapur sejak pagi tadi. Aku sudah bersarapan dan bercadang untuk membantu Mak Leha mengemas.

    Cuaca pagi itu indah sekali. Burung-burung berterbangan di dada langit yang biru. Sang Burung bersiul dan berkicau tanpa henti. Cuaca yang ceria di luar sedikit pun tidak menggembirakan aku. Aku terkenang kepada ayah yang telah pergi. Ayah … Husna tidak suka tinggal di sini, bisikku dalam hati. Tetapi inilah wasiat ayah, kami mesti kembali tinggal dengan nenek apabila ayah meninggal. Alangkah bertuahnya Kak Lida kerana dia tinggal di asrama. Kak Lida boleh bebas dari cengkaman nenek. Sedangkan aku ….

    Aku teringat peristiwa semalam yang masih menghantui aku. Pak Long sekeluarga makan malam di sini. Selepas makan, kami berkumpul di ruang tamu. Nenek mengeluarkan kotak kayu berukiran dari biliknya. Aku duduk bersimpuh dekat ibu, sambil memerhati nenek membuka kotak barang kemas itu. Alangkah cantiknya barang-barang pusaka itu.

    Nenek mula membahagi barang-barang kemasnya. Kak Nina mendapat rantai labuh dengan loket batu delima yang cantik. Kak Zura pula mendapat dua bentuk gelang antik dari emas padu. Malah Laila yang sebaya dengan aku pun mendapat subang berlian. Aku sendiri terliur melihat kerongsang tiga serangkai nenek. Kerongsang untuk disemat kepada kebaya itu, cantik buatannya.

    Nenek langsung tidak memandangku. Kerongsang indah itu diserahkan kepada Kak Nina. Gadis berusia 15 tahun itu, mencium nenek. ‘Berilah padaku, aku juga cucu nenek.’- Jerit hatiku.

    “Sayang kongsi dengan Intan dan Manja,” kata nenek.
    Nenek seolah-olah cuba menyakiti hatiku. Walaupun aku baru berusia 12 tahun, tapi aku juga ada baju kebaya. Kerongsang itu memang padan betul dengan kebaya merahku. Kebaya yang arwah ayah beli itu, baru sekali aku cuba. Aku baru bercadang-cadang untuk menyuruh ibu belikan aku kerongsang tiga serangkai.

    “Asma, mak tak bagi apa-apa lagi untuk kau anak beranak. Yang dulu mak bagi masa kau kahwin pun, ayah budak-budak ni gadai sampai lelap.” Kata nenek sebelum menyimpan kotak kayu dalam biliknya semula.
    Aku lihat muka ibu berubah. (Aku tahu juga tentang itu, ibu sudah bergadai-bergolok untuk membiayai perubatan ayah sejak bertahun-tahun.) Kasihan ibu dimalukan begitu depan keluarga Pak Long.

    Ibu yang menjadi anak perempuan nenek selama 33 tahun pun tidak dapat apa, inikan pula aku. Tetapi melihat Mak Long mendapat bahagiannya, aku jadi cemburu semula. Tak adil betul, ibu kan anak nenek. Mak Long tu kan sekadar menantu nenek. Aku menyimpan dendam lagi.

    * * * * *

    Sejak nenek sakit ni, hatiku berbelah bagi. Ada rasa senang kerana tidak dileteri. Tetapi timbul juga rasa simpati. Suara nenek pun tidak sekuat dulu lagi. Jika tidak setiap petang:
    Husna, jendela sudah tutup?
    Husna, jemuran sudah diangkat?
    Husna, kelambu sudah digantung?
    Husna, ayam sudah di reban?
    Husna, pagar sudah dikunci?
    Husna, pokok bunga sudah disiram?
    Husna INI. Husna ITU. Semua Husna.

    Kalau hendak menyuruh semua Husna. Kalau hendak disayangi tentulah anak-anak perempuan Pak Long, rungut hatiku.

    Sebenarnya tidak perlu diulang-ulang pun aku sudah tahu tanggung jawabku. Sejak berpindah tinggal bersama nenek di sini, itulah tugas tambahan aku. Selepas makan nasi, akulah yang mengemas meja dan membasuh pinggan mangkuk. Sebahagian tugas-tugas Mak Leha, tanggung jawab aku juga. Kalau tidak nenek akan menyalahkan ibu, tidak pandai mengajar anak perempuan, konon.

    Nenek masih di katil. Sudah dua hari nenek demam. Aku tidak berani mendekatinya. Dia akan marah kalau aku ke biliknya. Macamlah aku hendak mencuri kotak barang kemasnya. Dari anjung depan aku dengar nenek batuk-batuk sahaja. Mak Leha, pembantu rumah nenek masih di luar agaknya. Mungkin menyapu daun-daun pokok jambu di belakang rumah. Semalam hujan lebat, tentu banyak daun dan buah jambu yang gugur. Aku cuba membaca buku cerita. Tetapi batuk-batuk nenek makin kuat dan menggangguku. Hatiku berbahagi dua.

    Ada suara menyuruh aku menjenguk nenek.
    Ada suara menyuruh aku mengabaikan nenek.

    Dalam berperang dengan diriku. Aku dengar ada benda jatuh. Aku cepat-cepat ke bilik nenek.

    “Hei, ambil aku air suam.” Kata Nenek, sambil memandangku.
    Nenek lebih suka membahasakan dirinya sebagai ‘aku’ kalau dengan kami. Kami bukan sahaja tiada nama timangan macam anak-anak perempuan Pak Long malah kadang-kadang dipanggil ‘Hei’ atau ‘Hoi’.
    Aku cepat-cepat ke dapur. Mencari termos air suam. Kemudian membawanya kepada nenek. Tanpa mengucapkan terima kasih, nenek meneruskan tidurnya.

    Aku hairan dengan sikap nenek. Kalau dengan Kak Nina, Kak Zura dan Laila nenek boleh bermanis muka. Menunjukkan mesra. Memuji mereka berulang kali. Tetapi dengan kami sebaliknya, nenek akan masam mencuka apabila terpandang wajah aku atau Kak Lida.

    Walaupun dia membenci kami, dia tetap nenek kami.
    Walaupun sebesar mana marahnya kami kepada nenek, dia tetap nenek kami.
    Itulah pesan ibu selalu. Inilah yang membuat aku rasa serba salah, antara dendam kepada nenek. Dengan rasa tanggungjawab yang diamanahkan oleh ibu untuk aku.

    * * * * *

    Nenek batuk dan kadang-kadang mengerang kesakitan. Aku bergilir-gilir menjaga nenek dengan Mak Leha dan ibu. Sebelah malam pun begitu, kami berganti-ganti tidur dengan nenek. Semenjak nenek sakit, balik saja dari sekolah, akulah yang ditugaskan menemani nenek. Tentu sahaja mula-mula tugas itu menjadi beban ke padaku …. Cucu-cucu kesayangan nenek yang bertiga itu sudah lama tidak kelihatan. Bayang-bayang mereka pun tidak nampak.

    Aku memandang jam. Sudah sampai masanya nenek makan ubat.
    “Nenek makan lah bubur ni. Sudah sampai masanya nenek makan ubat.” Kataku perlahan. Tentu sahaja tidak mesra.
    Nenek membuka matanya. Aku jadi simpati melihat matanya yang sayu. Mukanya cengkung sehingga kelihatan kedut-kedut kasar di wajah nenek. Rambut nenek juga kusut kerana banyak dibawa tidur. Sudah dua minggu nenek terlantar.

    “Sayang ke?”
    Hatiku jadi cemburu. Biar macam mana pun, Kak Nina yang langsung tidak menjenguknya itulah yang diingat selalu.
    “Husna, nenek.” Tegasku.
    “Intan dan Anja mana?” Tanya nenek lagi.
    Mahu sahaja aku menjerit di telinga wanita itu. – “Sejak nenek sakit, mereka tidak pernah datang.” –

    Aku melihat perubahan pada wajah nenek. Mungkin tidak suka memandangku. Hatiku tersentuh. Walaupun aku belum cukup dewasa, aku tahu juga pedihnya apabila kecil hati. Mujurlah ibu seorang yang penyayang dan adil. Aku dan Kak Lida tidak pernah merasa tersisih atau merasakan salah seorang dilebihkan.

    Mahu sahaja aku meninggalkan nenek seorang diri. Membiarkan dia sakit tanpa ditemani. Baru padan muka. Nenek memang tidak pernah adil pada aku. Aku ada banyak alasan untuk tidak menjaga nenek. Misalnya, nenek pernah marah padaku berhari-hari lamanya walaupun hanya sebiji cawannya pecah, sedangkan dalam almari ada berpuluh cawan lagi. Nenek akan berleter panjang kalau aku berani masuk ke biliknya. Sedangkan anak-anak Pak Long bukan setakat bebas masuk ke bilik itu, malah dapat main berlari-lari pula. Nenek tidak adil.

    Untuk menggembirakan hati kami yang sakit, aku dan Kak Lida mencipta pantun-pantun lucu untuk mengejek nenek secara diam-diam. Tentu sahaja tanpa pengetahuan ibu ….

    Burung Kenek-kenek, ada warna merah,
    Masuk bilik nenek, nenek jadi marah.

    Burung Kenek-kenek, ada warna kuning,
    Masuk bilik nenek, tengok nenek pening.

    Burung kenek-kenek, ada warna kelabu,
    Masuk bilik nenek, nenek terus serbu.

    Burung kenek-kenek, ada warna putih
    Masuk bilik nenek, jenguk nenek letih.

    Burung kenek-kenek, warna merah hati,
    Masuk bilik nenek, lihat nenek MATI.


    Kerana pantun itukah nenek sakit tidak kebah-kebah. Aduh, aku sekadar bergurau-gurau sahaja. Sekadar melepaskan rasa marah. Malah aku tidak pernah tahu pun adanya burung kenek-kenek. Kalau lagu ‘Kenek-kenek Udang’ adalah. Itu pun aku tak tahu apa maksudnya.

    Husna memandang nenek. Mereka saling bertukar pandang. Husna mendekatkan sudu kecil berisi ubat di mulut nenek. Husna menyuap ubat berwarna oren itu ke mulut nenek. Husna sudah lupa dia benci dan dendam kepada nenek tua yang terlantar di depannya.

    “Oh,Tuhan, kau sembuhkanlah nenek.” pinta Husna sungguh-sungguh.
    “Kalau nenek sembuh, aku janji tidak akan nyanyi lagi lagu Burung Kenek-kenek, Warna Merah Hati …”

    * * * * *

    Nenek telah sembuh dari sakitnya setelah lebih dua bulan terlantar di tempat tidur. Nenek tidak perlu dirawat di hospital kerana sakitnya tidak serius. Sakit orang tua sahaja, kata Doktor Rashed. “Sakit nak bermanja, dengan Husna,” bisik doktor tua itu separuh mengusik. Hati jadi berbunga.
    Bagaimanapun sejak nenek sembuh aku jadi janggal. Tiba-tiba aku dibebaskan dari tugas menemani nenek. Aku sudah tidak diperlukan lagi. Aku bukan lagi ‘jururawat peribadi’ nenek. Juga bukan dayangnya lagi. Nenek sudah tidak memanggilku lagi….

    Anak-anak Pak Long mula menghampiri nenek semula. Dengan senyum manis dan manjanya mereka mengelilingi nenek. Memicit-micit lutut yang sudah sembuh. Menyisir rambut yang sudah sedia rapi. Mengupas buah seperti tangan nenek sudah lumpuh. Semasa nenek sakit dan rindukan mereka pelbagai alasan diberi. Nina ada ujian, nenek. Zura banyak homework, nenek. Laila kena berlatih koir, nenek. Mereka ada-ada sahaja alasan untuk mengelak daripada menjaga nenek.

    Aku jadi rindu pada arahan-arahan nenek.
    Husna, picit kaki nenek!
    Husna, kupaskan buah untuk nenek!
    Husna, suapkan ubat nenek!
    Husna, nenek nak buang air!
    Husna, sisir rambut nenek!
    Husna, pimpin nenek ke anjung
    Husna ITU. Husna INI. Semua Husna.

    Husna jadi seronok bersama nenek. Husna mula berkongsi cerita dengan nenek. Nenek pula mula berkongsi pengalaman dengan Husna. Mereka telah berkongsi resipi-resipi lazat keluarga. Tetapi semuanya tidak kekal lama, baru sahaja dia hendak rapat dengan nenek … nenek sembuh semula. Bukankah dia yang mendoakan nenek cepat sembuh?

    Husna mula rindukan bau minyak angin nenek. Husna teringin lagi untuk menyisir rambut nenek yang panjang dan beruban. Apalagi memicit kaki dan lengan nenek. Menyuapkan bubur ke mulut tua itu. Juga menemani nenek ke bilik air.
    Cakaplah siapa yang bersihkan najis dulu? Tentu bukan Sayang, bukan Intan dan bukan Anja. Namun hari ini lihatlah nenek duduk bermesra dengan si Sayang, si Intan dan si Anja …. Husna rasa tersisih dan tersinggung. Nenek masih tidak berubah. Kasih sayangnya hanya untuk anak-anak Pak Long!

    Perlahan-lahan Husna berjalan ke anjung rumah. Dia ingin lihat matahari terbenam. Dulu … sebulan yang lalu (apabila nenek sudah mampu bangun dari tidur) dia selalu menemani nenek melihat matahari terbenam. Sinar tembaganya sungguh cantik. Mereka suka melihat burung-burung pulang ke sarang. Indahnya saat itu.

    Husna teringat janji nenek semasa dia masih sakit. Nenek akan menemani Husna melihat bulan mengambang apabila nenek betul-betul sembuh nanti. Bukankah lusa 13 hari bulan dan bulan akan mula mengambang? Masihkah nenek ingat pada janjinya?

    * * * * *

    Husna duduk keseorangan di anjung rumah. Membuka jendela dan membiarkan cahaya bulan menerobos masuk sebebas-bebasnya. Sewaktu kecil dulu, Husna selalu menyangka di bulan tinggalnya tuan puteri. Budak perempuan yang baik akan menjadi puteri. Husna teringin menjadi tuan puteri.

    Husna rasa sunyi dan sepi. Kak Lida tidak pulang minggu ini. Ibu pula sekarang ini sibuk dengan urusan ladang. Mak Leha masih bercuti. Sedangkan nenek masih berkurung di biliknya.

    Husna asyik menatap indahnya bulan ciptaan Tuhan tanpa sedar nenek berdiri di belakangnya.
    “Husna.”
    Husna beralih ke belakang. Dia tidak mudah terkejut. Rumah ini tidak lagi menggerunkannya lagi. Melihat wajah nenek, Husna jadi gembira.
    “Puas nenek mencari Husna. Kenapa Husna tidak ke bilik nenek lagi? Nenek jadi rindu.” Kata nenek perlahan, tetapi menusuk lembut ke hati Husna.
    “Maaf, nenek lupa janji kita di sini. Bukankah belum 15 hari bulan.” Kata nenek lagi.
    “Walaupun baru 13 hari bulan, bulan sudah mengambang penuh, nenek.” Balas Husna.

    Nenek memandang Husna. Hati Husna selembut hati ibunya. Nenek bangga memiliki cucu sepertinya. Husna baik hati, rajin dan sabar melayan segala karenah nenek. Marah nenek kepada ibu Husna telah berakhir. Dulu nenek sekadar berkecil hati kerana Asma meninggalkannya dan berkahwin dengan Hakem dalam usia muda. Sekarang nenek mula sayang kepada mereka. Kasihan sungguh, tidak semena-mena anak-anak Asma dan arwah Hakem menjadi mangsa kemarahannya selama ini, keluh nenek.

    Betapa luhurnya budi dan kasih sayang Asma dan Husna kepadanya. Semasa dia terlantar sakit merekalah yang merawatnya. Husnalah yang bersengkang mata menemaninya saban malam. Husnalah yang tahan dengan cerewetnya. Sedangkan cucu-cucu kesayangannya; Nina, Zura dan Laila jarang menjengah. Husna ikhlas, walaupun dia tidak pernah hadiahkan apa-apa kepada Husna. Husnalah cucu sejati. Nenek jadi terharu mengingati kebaikan Husna.

    “Terima kasih Husna, nenek sangat sayang pada Husna.” Kata nenek sambil memeluk erat Husna.
    Air matanya mengalir deras, membasahi bahu pijama Husna.
    “Kaulah jantung hati nenek!”
    Husna jadi girang. Betullah dia bukan Sayang, Intan atau Manja nenek tetapi dialah ‘Jantung Hati’ nenek. Tempat yang penting dalam jasad nenek. Husna rasa sungguh bahagia dan terharu.

    Husna tidak kecil hati lagi kalau dia tidak memiliki kerongsang tiga serangkai nenek. Yang penting, sahlah dia sudah berdamai dengan nenek. Malam ini juga dia akan menulis pada Kak Lida.

    (Kak Lida, ingat tak pantun kita? Kini cuma satu rangkap yang tinggal. Tetapi bait pantun itu sudah Husna baiki. Dengar ya kak…)
    Burung kenek-kenek, warna merah hati,
    Masuk bilik nenek, lihat si jantung hati!

    T A M A T




    Cerpen ini memenangi, Hadiah Penghargaan Cerpen Kanak-kanak Mobil – DBP 1998. Telah diimuatkan ke Antologi Cerpen Laman Opah, terbitan Dewan Bahasa & Pustaka (1999) dengan suntingan "lihat nenek MATI" kepada "nenek tiada lagi" dan "dilayan seperti penumpang kelas tiga" kepada "dilayan seperti orang asing"

    Cerita ini buat saya sedih, tetapi 'ending'-nya dibuat 'happy ending' begitu kerana ini cerita kanak-kanak. Ketika saya menulis cerita ini, saya rasa... saya telah memuatkan pengalaman sendiri di sini... cuma pengalaman saya lebih sedih? Atau Husna itu bukannya cerita saya? Entah kadang-kadang kita tidak pernah memahami perasaan sendiri....

    Posted at 11:46 am by noorsoraya
    Comments (8)  

    Wednesday, June 01, 2005
    CUKUPLAH SEKALI!

    Oleh: Noor Suraya


    Umur aku 25 tahun. Sejak awal lagi aku tidak mahu berkahwin dengannya. Bagi diriku, tiada siapa yang boleh ganti Abdul Hadi dalam hidup ini. Aku masih sanggup menanti Adi lebih tujuh tahun, walaupun kami tidak pernah berjanji apa-apa. Dan yang lebih menakjubkan lagi untuk sekian lamanya, tidak pernah ada khabar berita daripada Adi – tetapi aku masih setia dan tak pernah jemu-jemu menunggu....

    Bagaimanapun apabila aku di tahun akhir, kesetiaan aku teruji apabila Nazrin bersungguh-sungguh melamarku. Dia teman sekursusku dan ingin aku tegaskan di sini, dia orang Pantai Timur! Nazrin mula memikatku sejak aku di tahun dua lagi, tapi aku tidak pernah hiraukannya. Aku sendiri tidak tahu apa yang dia pandang ke dalam diriku... kerana aku tiada apa-apa keistimewaan pun. Nazrin tu baik orangnya... penyabar dan suka berkelakar. Aku selalu terhibur dengan jenaka dan gelagatnya.

    Semua orang senang kepadanya. Dia begitu pandai menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan pun. Dia begitu istimewa dan memikat siapa sahaja... tetapi tidak aku! Sikap periangnya yang begitu seperti cuba menutup kesedihan di hatinya. Lalu tiba-tiba aku diminta untuk membalut lukanya. Sejak awal, aku dapat tahu dia pernah dikecewakan.... Sebenarnya, aku tidak pernah mau percaya cinta kali kedua seorang lelaki.

    Nazrin lain, semua orang berkata begitu. Dia ‘gentle’ dan bertanggung jawab, kata mereka. Itu aku tidak pernah nafikan. Apabila ada kerja-kerja studio sehingga larut malam (malah kadang-kadang sampai ke subuh), dialah yang temankan kami: Yatie, Kagee, Salma, Hasina dan aku, pulang ke asrama masing-masing. Dalam gelap dan sunyi dinihari di kampus – dia seolah-olah panglima yang sedang mengawal tuan-tuan puteri ‘berangkat ke keraton’. Dia tidak pernah sekalipun mengambil kesempatan ke atas kami. Tutur katanya sopan, budinya terpuji. Lalu kadang-kadang aku terpesona dengan seluruh kebaikannya.

    Namun sikap kelakarnya yang kadang-kadang tak tentu arah – membuat aku sendiri tidak faham, yang mana satu serius dan yang mana satu jenaka. Itulah yang membuat dia gagal menandingi Adi. Dia masih bukan apa-apa jika dibandingkan dengan ‘Hadiku’. Adi yang telah aku simpan hatinya sejak hatiku mula dijentik dengan rasa cinta, bertahun-tahun yang lalu.

    Adi lebih bijak dan serius serta pendiam (tetapi kena pada tempatnya). Jadi secara dasarnya, walaupun antara aku dan Adi memang banyak bezanya. Namun Adi tetap memikat hatiku. Adi tu lebih meminati ‘English’, Matematik Tambahan dan Fizik. Sementara aku lebih suka Bahasa Melayu dan Biologi. Tentu sahaja Adi bertuah kerana terpilih ke UK, mengikuti kursus ‘Quantity Survey’ selaras dengan minat dan cita-citanya.

    Sedangkan aku? Aku pula, gagal menjadi seorang doktor seperti mana cita-cita asalku. Lalu aku terpaksa melalui jalan jauh yang jauh - meneruskan pengajian di tingkatan enam, dan selepas ‘graduate’ dari universiti aku bekerja sebagai ‘copy writter’ untuk sebuah syarikat iklan yang terkenal – Leo Burnett. Setelah beberapa lama kemudiannya, aku dilantik menjadi akaun eksekutif di syarikat iklan yang sama. Gajinya memang lumayan... dan aku mulai menempa nama di Kuala Lumpur ni.

    Dan tanpa sedar masa pun terus berlari – untuk sekian kalinya, Nazrin terus-terus melamarku. Aku jadi serba salah. Walaupun kami sehaluan – maksud aku, sama kursus serta mempunyai latar belakang pendidikan yang hampir-hampir sama di universiti – tetapi dia tidak pernah sama dengan Adi di hatiku.

    Aku tidak tahu, kenapa sampai jadi begitu... Ketika di sekolah dulu, Adi bukannya kacak di pandangan mata orang tetapi dia tetap ‘handsome’ di penjuru mataku. Rambutnya hitam dan kerinting macam mi Maggie saja. Badannya agam: tinggi dan tegap – jadi tak hairanlah kalau dia senantiasa terpilih mewakili pasukan ragbi daerah (pasukan ‘All Brown’). Kulitnya hitam kata semua orang... cerah juga, menurut kata hatiku. Yalah, hitam-hitam si buah manggis walaupun hitam ku pandang manis.

    Mukanya berjerawat pula... tetapi masih segak, bagiku. Bibir Adi lebih tebal berbanding pelajar lain, kata orang. Namun dalam hati, diam-diam aku tuduh mereka semua amalkan dasar ‘apartheid’ terhadap Adi. Bagiku dia sudah cukup tampan, terutamanya kerana dia memiliki sepasang lesung pipit yang cukup menawan. Bagiku, Adi istimewa dalam ‘darjahnya’ yang tersendiri! Sampai bila-bila pun akan aku ingat raut wajahnya tu.

    Aku tidak pasti bila aku mula ada hati pada Adi. Sebelumnya, kami memang musuh ketat. Betullah kata pujangga: antara benci dan cinta cuma ada suatu jarak yang halus. Mulanya kami sering bertengkar, lama kelamaan entah kenapa, kami jadi malu-malu pula. Kami tidak lagi bertegur sapa dan bergaduh seperti dulu. Adi jadi bertambah-tambah pendiam. Dia sudah tidak mengusik aku lagi. Teman-teman rapatnya kata, Adi suka padaku. Suka kepadaku? Cinta!

    Awalnya tentulah aku marah. Mahu sahaja aku ketuk-ketuk kepalanya yang sekaki lebih tinggi daripada aku tu. Kemudian perasaan aneh itu terus menular di hatiku. Diam-diam aku menyukainya hingga saat ini. Aku faham sifat Adi yang pemalu. Tentu saja dia sukar meluahkan segala yang tersirat dalam jiwanya, pujuk hatiku setiap kali terkenang pada Adi.

    Akhirnya aku terpaksa memberitahu Zureena, sahabat karibku semasa zaman sekolah, tentang Adi.
    “Apa Adillah, kau suka Adi ...” Zureena mengucap panjang.
    Mata Zureena terhenti daripada memerhati kedua-dua anaknya, setelah mendengar pengakuanku.
    “Haa, baru sekarang kau nak cakap pada aku? Kalaulah Nurazah, Ruzita dan Hanim tahu dulu... teruk kau,” sambung Zureena, kemudian ketawa kuat.

    Di sekolah dulu kami memang anti pelajar lelaki. Di dalam kelas selalu sahaja meletus perang saudara. Masing-masing nak jadi top dalam kelas... juara dalam semua bidang. Kami ni kononnya terpengaruh dengan ‘woman’s lib’ di Barat. Namun biasanya aku yang pemalas ‘study’ ni tak pernah berperang dalam pelajaran. Aku akan serahkan tugas mencabar ini pada Zureena dan Hanim atau Ruzita yang sememangnya bijak serta rajin pula. Aku dengan Nurazah kalau setakat nak berbahas dengan mulut dan bertegang leher memang mahir. Maklumlah kami ni pasukan debat sekolah yang kena ‘reject’. Itu sahajalah kemahiran kami, menjadi loyar buruk.

    Adi adalah musuh tradisi kami (tentu sahaja sebelum aku mula jatuh hati kepadanya). Adi memang seorang yang ‘genius’, dari tingkatan satu sehinggalah di tingkatan lima, tempat pertama dia yang bolot. Dia juga pernah muncul sebagai ‘best student’ dalam SPM, namanya terpampang besar dalam dada akhbar (dan aku tumpang berbangga dalam diam-diam). Sebelum meneruskan haluan masing-masing dulu tu, aku masih digiat-giat dengan Adi sementara Hanim pula dengan Shafiq. Zureena mungkin tak percaya aku betul-betul ‘take serious’ dengan usikan mereka lalu terus memendam rasa halus dan aneh itu sehingga bertahun-tahun lamanya.

    “Dillah, untuk apa kau tunggu pada yang tak pasti seperti Adi tu. Entahkan di luar negara tu... dia ada ‘girlfriend’ keliling pinggang. Sedangkan Dillah kat sini setia tak bertempat.” Kata-kata Zureena terasa begitu tajam tertusuk ke gegendang telingaku.

    Aku cuma diam. Semenjak jadi mak-mak ni, Zureena memang kuat berleter dan suka menasihati kawan-kawannya. Dari seorang ‘botanist’ dia kini bertukar menjadi kaunselor pula – suka menasihati orang saja. Luculah, Zureena sorang ni. Zureena sungguh bahagia kini. Ada suami yang ‘understanding’ dan sepasang anak yang comel. Kini mereka sekeluarga sedang menanti kelahiran orang baru lagi.

    Zureena tidak bekerja meskipun memiliki ijazah dalam bidang Botani dari Amerika Syarikat. Zureena mahu anak-anaknya membesar di depan matanya, bukannya di tangan orang gaji. Dia selalu berkata dengan bangganya, “walaupun aku tak jadi ahli botani tapi lihat halaman rumah aku dah macam ‘botanical gardens’... cukuplah tu, apa yang aku nak lagi?”

    Sekarang si Tengku Farizlah yang terpaksa membayar balik pinjaman pelajarannya. Mujurlah suaminya tu anak tauke batik sutera dari Terengganu. Kalau tak kerana tu pun, Zureena kan anak orang kaya... hal kewangan bukan masalahnya, sejak dari dulu. Sedari dulu Zureena tidak pernah takut untuk berbelanja.

    Zureena tak perlu meminta atau mendengar nasihat orang. Zureena selalu tahu apa yang mesti dia lakukan. Semasa di US bertemu dengan Tengku Fariz; lalu apabila dilamar Tengku Fariz... Zureena terus setuju. Zureena tidak perlu berfikir panjang untuk membuat keputusan walaupun baru sebulan dia mengenali kerabat diraja Terengganu tu.

    Zureena tidak seperti aku. Aku begitu sukar untuk membuat keputusan. Aku sering memikirkan yang buruk lebih banyak daripada yang baik. Aku harus fikir tentang adik-adikku yang menjadi yatim piatu. Dapatkah Nazrin menerima mereka? Dapatkah Nazrin menerima hakikat sebahagian besar daripada pendapatanku hanya untuk adik-adik dan keluarga di kampung Yalah, aku masih mempunyai seorang nenek yang menjadi tanggungjawabku. Kerana itulah aku gagal memberi jawapan kepada lamaran Nazrin. Dan Nazrin yang ‘tak tau bahasa’ tu terus-terus melamarku dan tidak pernah faham erti ‘TIDAK’. Aku akhirnya terdesak dan meminta pendapat pakar (kononnya); si Zureena... si Kaunselor Cinta.

    “Kenapa tah, Achu Dillah tak cakap siang-siang lagi dia suka pada Paksu Adi, jika tidak tentu umi dah jodohkan mereka... itulah kedua-duanya tu pemalu sangat.” Zureena pura-pura memberitahu Asyraf dan Nadira untuk mengusik aku.
    Anak-anaknya itu berkerut tidak faham dengan mesej umi mereka! Bulat saja mata hitam mereka merenung umi, tetapi masih tidak faham.

    “Terimalah Nazrin, Dillah. Cinta akan datang kemudian.” Kata Zureena.
    “Dia pun apa kurangnya. Malah, aku tengok lebih tampan dari Adi... yang muka macam tak siap tu!”
    “Amboi, sedapnya kata kat orang... awak tu mengandung Zu, cakap tu biar berlapik sikit.” Kataku sambil mencubit pipinya.
    Zureena ketawa kuat sambil memegang perutnya yang memboyot tu. Kemudian dia cepat-cepat beristighfar berkali-kali.

    “Dillah, Nazrin dah bersungguh-sungguh tu. Hal adik-adik kau tu, letak ke tepi dulu. Cari dirimu sendiri, Dillah. Aku pasti kalau Nazrin sayangkan kau, dia tentu tiada masalah menerima adik-adik kau tu. Berilah dia peluang, sekali saja... dan kau tak akan menyesal,” sambung Zureena lagi.
    Mudahnya Zureena memujuk. Sebagai anak tunggal Zureena sentiasa memandang enteng dalam semua hal, bisik hati kecilku.

    “Kalau Adi yang lamar, tentu kau tidak berfikir panjang lagi, bukan?”
    Aku mengangguk dengan rasa sungguh malu.
    “Kenapa?”
    “Aku memang suka dia.” Untuk pertama kali aku berani berkata jujur pada Zureena dan diriku sendiri.
    “Hipokrit!” Balas Zureena sambil mencubitku.

    Zureena tidak pernah tahu selama ini aku tidak pernah berkawan dengan sesiapa untuk terus setia pada Adi. Aku mahu apabila aku bertemu Adi semula, hatiku masih suci. Hati yang tidak pernah terusik itulah yang akan aku serahkan pada Adi semuanya.

    “Jangan jadi bodoh, bukankah selama ini tidak pernah ada apa-apa pun terjadi antara kau dan Adi. Aku rasa masa sekolah pun begitu. Tak tahu pula, kalau ada apa-apa yang kau sembunyikan daripada aku.” Zureena memohon kepastian sambil tersenyum sinis. Aku menggeleng dengan rasa sungguh malu.
    Yalah, mana tak malu... kerana Adi tidak pernah menghubungiku pun... tetapi hati yang tidak tahu malu ini terus menyimpan rasa kepadanya. Bodoh betul! Tapi aku suka menjadi bodoh begitu.

    “Kalau dia betul-betul suka kau, dia pasti menghubungi kau sebaik saja sampai di London... dah lama benar ni, bukannya baru setahun-dua. Dillah... Adi bukannya buta huruf untuk menulis... mungkin dia tu jenis buta hati! Tidak pernah tahu di tanah airnya sendiri seorang gadis menanti dan mencintainya separuh mati,” perli Zureena lagi.
    Mata Adillah mula berair dengan kata-kata Zureena itu.
    “Tulislah! Luahlah! Apa yang Adi nak malu sangat tu?” Sambungnya lagi dengan nada yang tinggi.

    Aku sedar dengan kata-kata Zureena, tetapi itu tidak sedikit pun menggugat rasa setiaku kepada Adi. Aku mempercayai naluriku melebihi kata-kata orang dalam membuat keputusan. Biasanya naluriku tidak pernah berbohong. DEGIL, itulah perkataan yang paling tepat untuk aku, kata Zureena. Aku menangis mendengar kata-kata Zureena. Aku mengharapkannya untuk memperkukuh lagi kasih sayangku kepada Adi... sebaliknya, Zureena cuba meruntuhkan benteng hati yang aku bina selama ini. Aku jadi jauh hati.
    “Itukan sekadar usikan kawan-kawan... semuanya ‘nonsense’, Dillah,” sambung Zureena lagi.

    Aku menangis lagi kerana geram.
    “Menangislah Dillah, kau tu memang perlu disedarkan. Mungkin kadang-kadang pelangi hanya untuk dilihat bukannya untuk dipegang, Dillah. Keluarlah dari mimpi. Kau sebenarnya cuba memahat langit dengan bayang-bayang dan menghias mimpi dengan angan-angan.” Tegas Zureena dengan mata yang tidak berkelip.
    Amboi bukan main lagi bahasanya. Itukah Zureena yang pernah aku kenal dulu? Yang selalu meniru karanganku di sekolah? Tiba-tiba dia jadi terlebih pandai menyusun madah, dengan kata-kata indah bak penyair... mengalahkan aku sendiri, ‘guru’-nya tu?

    “Berapa? Berapa ringgit Nazrin upah kau untuk menyakiti hatiku, merubah kesetiaan dan fikiranku?”
    Aku tahu Tengku Fariz tu sepupu Nazrin, sebelah bondanya. Agaknya Nazrin mempergunakan Zureena untuk memujuk aku. Kalau tak masakan dia bersungguh-sungguh begini.

    “'Come on’ jangan jadi bodoh, Dillah. Aku tidak pernah meminta sesen pun untuk kebahagiaan sahabat yang paling aku sayang,” balas Zureena sambil mendakap aku dengan penuh kasih sayang.
    Memang betul tu, Zureenalah yang menemukan Hanim dan Syafiq semula. Tetapi kenapa dia tidak memainkan peranan untuk menjodohkan aku dengan Adi? Kenapa dia tidak memahami perasaan aku?

    Aku memandang Zureena semula, cuba meraih simpatinya. Senangnya hatiku melihat Zureena bahagia, dan kini dia cuba pula membuat aku bahagia pula. Perlukah begitu? Kan jodoh tu kerja Tuhan.... bolehkah aku berbahagia dengan Nazrin sedangkan selama ini hanya Adi di hatiku. Hatiku sendiri sudah berpenghuni sejak dahulu, mana mungkin Nazrin dapat mengisinya.

    “Tengok Nurazah tu, perkahwinannya lagi teruk... keluarga yang atur, tetapi mereka bahagia juga. Kau dan Nazrin sudah lama kenal, dah tahu hati budi masing-masing. Adillah, kenapa mesti tunggu lama-lama?” Zureena merenungku semula, menagih balasan kata.

    “Seronoknya jadi Hanim dan Syafiq. Masing-masing memendam rasa, Hanim ke Australia – Syafiq ke UTM, bila mereka bertemu semula, kini masing-masing menunggu hari bahagia,” kataku tiba-tiba.

    Sedangkan aku masih menunggu Adi – entahkan aku yang terkenang-kenang orang benci pun aku tak tahu. Aku cuba memberi ‘hint’ kepada Zureena untuk menjodohkan aku dengan Adi, bukannya dengan Nazrin. Aku menggunakan cara yang paling konservatif. Aku masih malu untuk berterus-terang dengan Zureena tentang hasratku itu.... Tolonglah Zureena mengerti, carilah Adi untuk aku, bisik hati kecilku.
    “Cuma kau yang masih begini,” kata Zureena, matanya masih menunggu jawapan aku – jawapan yang tak pasti tentang hubunganku dengan Nazrin.

    Zureena memang pandai memujuk. Di sekolah dulu, dialah yang menjadi dalang menghantar surat layang kepada Puan Midah (guru senaman yang garang macam harimau lepas beranak tu). Dan akulah yang dipujuk-dipaksa menulis surat itu. Dan akibatnya; kami semua menderita didenda mencuci semua tandas kerana rancangan kami diketahui guru disiplin.

    Kini Zureena menggunakan pengaruhnya lagi:
    “Kalau Nurazah, Ruzita dan Hanim tahu pun mereka akan marahkan kau, kerana menunggu Adi tu. Apalah yang ada pada Adi tu, Dillah,” leter Zureena lagi.
    “Zureena, jangan mengata Adi... aku marah tau,” kataku sambil senyum, untuk mengelak suasana menjadi tegang. Aku pura-pura tersinggung atau sebenarnya, aku memang benar-benar aku sedang tersinggung?
    “Kalaulah aku tahu di mana Adi, tentu sahaja aku ceritakan tentang kau yang merana di sini. Sungguh, Dillah!” Kata Zureena.

    Aku tersentuh dengan kata-katanya. Nurazah yang berada di sana pun (suaminya pegawai diplomatik di sana) tak pernah bercerita tentang Adi. Pernah juga kami dengar dia sambung ‘masters’ dan kerja kat sana... tapi tak jelas di mana. Aku ni kan perempuan, tentulah di luar adat dan keberanianku untuk mencarinya serta meluahkan apa yang tersirat dalam lubuk jiwaku selama ini. Bukankah perempuan hanya mampu menyembunyikan perasaannya, menggadai cinta yang bersarang hanya kerana sebuah harga diri.

    Akhirnya aku terima Nazrin. Mungkin dah jodoh (itulah ‘escapism’ yang sering aku kata untuk memujuk diriku sendiri). Aku belajar menjadi isteri yang solehah. Nazrin memberi masa untuk aku melupakan Adi. Dan akhirnya, sedikit demi sedikit aku dapat melupakan cinta pertamaku (bolehkah dikatakan cinta? kalau tidak pernah bersambut pun!). Aku dan Nazrin bahagia sungguh, dan Zureena tumpang gembira dengan kebahagiaan kami.

    Mulai dari saat aku menjadi isterinya, segala perhatianku hanyalah untuk Nazrin dan rumah tangga kami. Nazrin sendiri pun faham dengan tugas-tugasku di syarikat periklanan sebagaimana aku sangat faham dengan tugas-tugasnya sebagai seorang wartawan. Betul kata Zureena, cinta kan datang sendiri jika kita membiarkannya ‘beralun’ secara semula jadi ... jangan sesekali mengelak daripada dicintai dan mencintai. Terima kasih Zureena, terima kasih untuk nasihatmu dahulu....

    Alangkah bahagiannya tatkala aku sedar, cintaku hanya untuk Nazrin seorang. Dan rasa indah itu dirantai pula dengan sikap mentua yang sayang dan menganggap aku seperti anak sendiri. Tuhan, apa lagi yang kuharapkan selain daripada keredaan-Mu.

    = = = = =

    Lalu waktupun terus berlari. Rupa-rupanya aku terlalu cepat memuji hari. Pelangi tak pernah berbau, igau dan mimpi bukanlah seperti hujan dan panas dan aku akhirnya gagal menarik Nazrin dari terus mencintaiku untuk selamanya. Aku gagal. Apatah lagi setelah sekian lama berkahwin kami belum pun dikurniakan cahaya mata pengikat kasih. Bagi Nazrin anak lambang maruahnya!

    Jadi... Nazrin mula merungut tentang kerja-kerjaku. Sebenarnya aku telah cuba sedaya upaya menguruskan rumah tangga kami dengan teratur. Sejak hampir tiga tahun perkahwinan ini, aku bangun sebelum pukul lima pagi. Mengemas, membasuh... yalah, kerana Nazrin mahu baju-bajunya dibasuh dengan tangan, menyeterika, sediakan sarapan pagi dan mengejutkan Nazrin untuk solat subuh (suamiku itu, tu liat sungguh untuk bangun pagi setelah bekerja tak tentu masa). Kini, Nazrin langsung tak mahu lagi membantuku dengan kerja-kerja dapur. Aku telah kehilangan Nazrinku yang dulu.

    Sedih sungguh ... kadang-kadang untuk meminta air sejuk segelas pun Nazrin mesti menjerit dan mengarah aku. Aku faham Nazrin penat, tetapi Nazrin juga harus tahu aku juga penat. Aku tidak punya masa rehat langsung, tambahan pula apabila klien banyak karenah. Masa aku sungguh padat. Kalau sehari aku dapat tidur empat jam dengan nyenyak, itu merupakan bonus bagiku. Amat jarang aku berpeluang mendapat bonus begitu.

    Balik rumah terus masak untuk ‘dinner’. Nazrin tidak mahu makan di kedai biarpun betapa sibuknya aku. Lagipun aku sendiri memang simpati pada Nazrin. Waktu tengah hari, dah la terpaksa makan di luar... takkan sebelah malam pun harus makan di luar lagi! Lagipun mak mentua aku sudah berpesan, cara nak ikat hati suami mestilah melalui air tangan isteri – biarkan dia selalu makan masakan kita. Barulah kasih sayang tu berkekalan. Kata-katanya aku junjung....

    Emm, tapi... orang lelaki ini apabila tahu kita sayangkan dia, mulalah nak mengada-ngada. Nazrin pun macam tu. Nazrin langsung tak mahu bertolak ansur dengan aku dalam soal masakan. Setiap hari hendak menu Pantai Timur yang renyah-renyah sahaja... ayam percik, nasi dagang, nasi kerabu putih-kuning-hitam... semuanya dia hendak aku masak! Hobinya kini cuma satu; komen masakan aku dan bandingkan dengan masakan meknya. Kata dia; solok ladaku tak lemak, singgang aku macam air mineral – payau, nasi kerabuku dihiris kasar sampai tergantung di kerongkong dan cek mek molekku langsung tak molek!

    Aku pun tahu rasa kecil hati. Kalau mula-mula kahwin dulu, telur goreng dan ikan sardin pun, dia sedap dan memuji-muji masakanku. Sekarang masa indah tu sudah tiada lagi. Kadang-kadang aku ingin mengamuk tetapi aku takut jadi isteri yang nusus. Berdosa besar, tak bau syurga, pesan nenek selalu. Semakin memendam, semakin tertekan rasanya.

    Apabila aku kerja ‘over time’ dia akan merungut tak menentu. Seolah-olah baru semalam kami menjadi suami isteri. Seolah-olah dia tak tahu itulah bidang tugasku selama ini. Kalau dia berkahwin dengan seorang akaun eksekutif syarikat periklanan, itulah kerjaku. Dulu sebelum aku membuat keputusan untuk berkahwin dengannya, aku pernah usik dia; kalau nak isteri yang sentiasa duduk di rumah pilihlah yang tak kerja atau yang kerja cikgu. Tapi Nazrin tak setuju: “I suka isteri yang ‘challenging’. Jangan nak bagi alasan... nak berdolak-dalik dengan pinangan I ni, Dillah, katanya.

    Akhir-akhir ni Nazrin pun dah pandai komen tentang duit yang aku hantar untuk adik-adik. Sedangkan Nazrin pun maklum, Zaharin akan tamat pengajiannya dalam bidang ‘engineering’ bulan April ini, Atirah lepasan TESL UPM tu sudah ‘posting’ cuma belum dapat gaji lagi, Zali pula baru di tahun dua kat UIA, sementara Aliah akan menghadapi SPM. Kadang-kadang dia menunjukkan sikap tidak ramah – dengan adik-adik iparnya tu, yang sesekali mengunjungi apartmen kami ini. Kecilnya hatiku bila dia buat begitu kepada darah dagingku. Tidak menyukai mereka seperti tidak menyukai aku, isterinya.

    Kini Nazrin ‘complaint’ dah lama kami sewa ‘apartment’ ini – sepatutnya kita dah mampu kumpul duit untuk bayar muka rumah sendiri. Ini nak beli baju sehelai pun Dillah tak mampu. Mujurlah makan I ‘support’ kalau tak, tak tahu lah – rungut Nazrin. Seolah-olah aku begitu bergantung hidup kepadanya, dan kalau dia tak beri aku makan... aku akan mati kebuluran. Seolah-olah aku ini, sentiasa menyusahkannya. Aku ni kan... isterinya, sudah menjadi tanggungjawabnya memberi aku makan dan pakai. Janganlah nak mengungkit! Malu dekat Tuhan.

    Lagipun, bukan lama lagi aku nak bantu adik-adik; apabila Zaharin dan Atirah bergaji, mereka sudah janji nak tanggung segala bebanan aku tu. Harap-harapnya sebulan dua lagi. Lepas ni tentu sahaja aku sudah mulai mengimpikan untuk memiliki rumah sendiri! Tolonglah beri aku sedikit lagi pengertian, Nazrin ... jerit hatiku berulang kali.

    Nazrin seperti lupa pada janji-janji manisnya dulu. Dia mula meragui kejujuran dan tindak tandukku. Dan yang paling menyedihkan, dia mula ungkit tentang Adi, yang aku sendiri telah lama cuba lupai. Semuanya ini, bermula daripada ‘reunion’ anjuran Nora, Majmin dan Adam. Aku masih ingat lagi bagaimana kami perang besar kerana Adi.

    Aku pada mulanya memang malas nak pergi ke majlis tu; walaupun ini adalah pertemuan kali pertama selepas sepuluh tahun, kami semua berpisah selepas SPM dulu. Dengan rumah tangga yang bergoyang, aku sebenarnya tak mahu bertemu sesiapa pun; segan. Aku mula bimbang kalau kawan-kawan akan dapat menghidu, keretakan rumah tanggaku yang baru setahun jagung tu.

    Bagaimanapun apabila kad undangan tiba, Nazrin tiba-tiba beri lampu hijau. Pergilah, boleh ‘rest’. I tak dapat ikut ... ‘busy’... kan menteri nak buat ‘press release’, isu tol tu. You tumpanglah Tengku Fariz dan Zureena ke sana ya. Aduh, bagaimana ya... aku begitu ‘naive’ untuk tidak mengetahui segala rancangan Nazrin, ketika itu.

    = = = = =

    Seronoknya kami dapat jumpa kawan-kawan lama. Masing-masing sudah berkeluarga dan sudah ada arah tujuan. Tidak sangka Gurmit Singh yang mengarut dengan lagu Hindustannya tu dulu telah kahwin dengan model terkenal serta menguruskan syarikat perfileman sendiri. Setahu aku filem terakhirnya (selepas dia beritahu judul tadi), tak laku pun di pasaran. Kononnya, filem terbaru arahannya sedang 'box office' dan akan ditayangkan di Indonesia. Padahal semua orang tahu, bukannya senang filem kita nak masuk pasaran Indonesia. Nak buat lawak pun, biarlah logik sikit. Aku ni kan kerja dalam industri media massa juga. Hal-hal gosip-mengosip ni aku tahu juga, walaupun tak banyak. Tapi aku malas nak kutuk kerjanya tu. Ali Mamak? Tak pernah dengar pun, Ali Setan adalah. Gurmit, Gurmit... pandai suka dia mencipta cerita!

    Nora yang bukan main ‘slim’ dan pandai jaga badan tu kini semakin tembam setelah beranak empat. – Engkau semua peduli apa, suami aku suka! – katanya apabila orang komen bentuk badannya yang cuma kecil sedikit daripada tong dram tu. Yani pula telah berkahwin dengan seorang Datuk duda dan kini bergelar Datin. Dengan usia yang begitu muda, dia sudah ada tiga orang anak tiri yang sebaya dengannya. Asalkan aku bahagia... cukuplah, katanya.

    Setelah lebih satu dekad, inilah pertama kali aku melihat Adi semula. Dia bukan seperti dulu. Dia kini: Tinggi – kacak dan matang – dia nampak lebih berwibawa daripada dulu. Aku terkejut memandangnya. Kalau semua orang tahu, beginilah potensi Adi selepas tinggal di UK bertahun-tahun lamanya tu, tentu sahaja semasa zaman sekolah dahulu, ramai yang akan jatuh hati kepadanya. Dan jika masa itu bisa berulang, tentulah aku terpaksa bersaing dengan Nora dan Majmin yang jelita dan ramai peminat tu untuk merebut Adi dulu. Yalah, tentu sahaja kedua sahabatku itu tak akan melepas peluang, menanam modal waktu tu untuk mendapat suami seperti Adi, pada hari ini. Aku ketawa sendiri.

    “Eh, Dillah muka macam Adi ni ada peluang untuk jadi model iklan syarikat kau, tak?” tanya Nora, berseloroh.
    Adi mendekati kami yang sedang duduk berbual dalam bulatan.
    “Apa khabar, Adillah?” tanya Adi lembut dan penuh sopan.
    Majmin menyiku aku dan mengenyit matanya.

    Kemudian Adi berlalu dari situ dengan anak kecil yang comel.
    “Anak dia ke? Yang mana satu isterinya?” Tanya Hanim, sambil memegang perutnya yang sarat mengandung, anak kedua.
    “Itu anak Adam lah... dia belum kahwin,” jawab Majmin.
    “Mana kau tahu?” tanya Nurazah, masih kurang puas hati dengan jawapan Majmin.
    “Aku tahulah, dia dengan suami aku kerja sekali... dengar ceritanya dia masih menunggu seseorang,” kata Majmin, terus mengusik, sambil memandang ke arah Adillah.
    “Orang kacak dan punya duit macam dia tu pun, ambil masa yang lama untuk pikat orang,” rungut Nora.

    Adillah melihat Adi dalam kelompok rakan-rakan mereka. Sesekali Adi memandangnya. Setiap kali mata mereka bertemu, Adillah akan menunduk. Dillah tidak rindu lagi pada kenangan silamnya, ingatan Dillah masih tetap utuh milik Nazrin. Biar seribu Adi yang datang, ingatannya tetap kepada Nazrin. Benarkah Adi pernah menungguku dulu, seperti kata mereka. Betulkah aku sedikit pun tidak ralat, kerana tidak terus menunggu Adi? Jiwaku sedikit terusik, tiba-tiba....

    “Kau tentu perasan tadi, siapa yang dia tunggu... kan di antara kita tadi dia cuma tegur Dillah, tentulah Dillah cukup istimewa baginya. Bukannya kita! Kau masih ingat waktu kita muda-muda dulu, mereka pernah diusik-usik, manalah tahu kalau-kalau...” kata Majmin, sambil memandang tepat ke arah Dillah lagi.

    Darah Dillah berderau ... adakah Min dapat membaca rahsia hatinya dulu. Kalau ya, pasti seluruh dewan ni akan tahu, sebentar nanti.
    “Jangan mengarutlah Min, Dillahkan dah kahwin... janganlah ungkit kisah-kisah lama tu... tak baik lah macam tu,” kata Zureena yang membisu sejak dari tadi.
    “Manalah aku tahu, Dillah datang sorang dan mana pula aku tahu dia dah kahwin... lagipun janganlah sensitif sangat ni kan ‘reunion’.” Kata Majmin.
    “Salah aku juga, kahwin tak jemput Min,” sampuk Adillah cuba meleraikan kekalutan teman-temannya.
    Majmin senyum, Adillah membalas senyuman ‘damai’ Majmin.

    Apabila acara sebelah malamnya berlangsung, cuma Adi dan Dillah yang tiada pasangan. Dillah duduk di penjuru hotel sambil membaca majalah. Rakan-rakan lain sibuk dengan pasangan masing-masing di tepi kolam renang, menikmati BBQ. Adillah sudah hilang selera makan. Kenapalah dia datang ke majlis ini. Pada saat ini dia hanya ingin termenung di beranda apartmennya, merenung bulan sabit di tengah malam dan menangis sepuas hati.

    “Janganlah membaca, apa salahnya kita berbual-bual.
    Sapaan Adi mengejutkan Adillah dari majalah yang sedang ditiliknya.
    “Saya nak ambil makanan dulu,” kata Dillah untuk mengelak daripada berbual-bual dengan Adi. Dia kan isteri orang. Tak fasal-fasal, timbulnya fitnah. Lalu sejak kelmarin lagi, dia cuba mengelak bersemuka dengan Adi. Bohonglah kalau dia kata, yang dia sudah betul-betul dapat melupakan Adi seratus peratus. Adillah beristighfar di dalam hati.

    “Duduklah sekejap, dari siang tadi banyak yang saya nak cerita dengan Adillah... tapi Adillah mengelak terus....”
    “Atau, ada yang marah? Tak kan lah bercakap dengan kawan lama pun si dia marah!”
    “Kita kawan lama ke?” Soal Adillah.
    Kemudian mereka sama-sama ketawa.

    “Sejak pulang ke sini, saya selalu juga baca rencana tulisan Adillah dalam ‘paper' dan ‘magazine’, tapi tak sangka rupanya Adillah juga terlibat dalam periklanan,” kata Adi. Dillah cuma diam. Adi hilang arah. Dia tidak tahu nak kata apa! Tak tahu hendak berbasa-basi lagi!
    “Adillah... saya minta maaf,” kata Adi tiba-tiba.
    “Kenapa?”
    “Seksa jiwa Dillah dulu.” Katanya perlahan.
    “Siapa pula bawa cerita karut ni? Kita tak pernah janji apa-apa kan, mana mungkin jiwa saya terseksa. Saya sangat bahagia dengan Nazrin, suami pilihan sendiri!” marah Dillah. Dia sendiri tidak tahu kenapa tiba-tiba dia harus bercerita tentang kebahagiaannya dengan 'suami pilihan sendiri' itu.

    Di kepalanya teringat Zureena. Sampai hati Zureena membuka pekung sahabatnya sendiri. Bukankah menjaga rahsia orang tu, adalah amanah yang dituntut dalam Islam. Rasa menyesal memberitahu Zureena tentang rahsia hatinya hari tu, mengganggu hati nuraninya pada saat ini.
    “Syukurlah, Adillah berbahagia dengan Nazrin kini. Itu sudah cukup untuk membuat saya tumpang gembira,” kata Adi mendatar.
    Adillah jadi malu, Adi mengetahui segala isi hatinya dulu. Zureena... sampainya hati awak!

    “Jangan tuduh Zureena, dia tak bersalah langsung. Saya yang bertanya hal Adillah pada Zureena setelah kembali dari UK dulu. Rupanya saya ni langkah kiri,” kata Adi, seperti faham apa yang berlegar di minda Dillah ketika ini.

    Dia seperti ingin berkata, Adillah... percayalah, kamu tidak pernah bertepuk sebelah tangan! Dia hanya terlewat enam hari selepas Adillah membuat keputusan meninggalkan zaman gadisnya. Adillah dan Nazrin berkahwin tergesa-gesa, kerana Nazrin bimbang Adillah akan menukar keputusannya semula. Itulah cerita Zureena, apabila Adi memaksanya bercerita.

    Aduh, rupanya naluri Adillah sebelum ini, tidak pernah berbohong, kata hatinya sendiri. Namun masa telah merubah segalanya. Aku adalah milik mutlak Nazrin! Biar berkali-kali Abdul Hadi yang datang, setia aku tetap pada Nazrin, taat aku masih pada suamiku. Biarpun Nazrin tidak lagi seperti yang aku kenal dulu, dia tetap istimewa di hatiku ini. Aku tetap sayang kepadanya. Walaupun kasih sayangnya semakin dingin, aku pasti ini hanya untuk sementara saja, mungkin Nazrin banyak sangat masalah. Yalah, kerjanya sebagai wartawan memang ‘tough’. Lagipun dia tentu sudah tidak cukup kuat menerima tohmahan orang, yang aku tak bisa melahirkan zuriat untuknya.

    “Masa telah lama berlalu, cerita karut zaman kita budak-budak itu sekadar menjadi kenangan indah. Betapa bodohnya kita masa tu, menyimpan angan-angan yang begitu... jodoh tu kan, kerja Tuhan. Suatu hari nanti saya pula akan tumpang gembira mendengar Adi bahagia di samping gadis bertuah,” kata Dillah. Adi tidak menjawab apa-apa.
    “Ataupun sebenarnya sekarang pun si dia sudah ada... sengaja tak nak tunjukkan kepada kita orang,” kata Dillah, tulus ikhlas.

    Adi diam. Dari dulu Adi sengaja tak mahu ganggu Adillah belajar. Biarlah sama-sama habis studi dulu. Apabila Adi sudah ada kedudukan, barulah dia berani melamar buah hatinya tu. Adi bimbang kalau bercinta lama-lama dan duduk jauh-jauh pula; takut putus di tengah jalan. Rupanya strateginya silap. Tujuh tahun adalah satu jangka masa yang lama. Tanpa kata janji yang pasti, tentulah Adillah tak sanggup menunggu. Perempuan dengan usia adalah sinonim yang tak dapat dipisahkan. Adi tak salahkan Adillah dalam hal ini. Dialah yang lambat menambat hati buah hatinya itu ....

    Pernah juga dulu, berkali-kali dia cuba menulis surat kepada Adillah... tapi dia tak pernah berani mengeposnya. Mengapa pengecut sangat? Kini apabila burung telah terbang... lada yang dipipiskan sudah tidak bermakna lagi.

    Adi memandang wajah Adillah yang telah menjadi milik orang. Walaupun mukanya agak pucat, namun keayuannya masih terserlah. Dengan tudung warna kuning susu diserikan pula dengan baju kurung sutera warna merah bata dan kuning gading dengan corak abstrak dari batik tulis, dia betul-betul seorang perempuan Melayu terakhir bagi Adi.

    Adi bukannya nak ganggu rumah tangga Adillah. Sesungguhnya, Adi rasa senang Adillah bahagia. Untuk dirinya sendiri, dia tidak pernah menyalahkan takdir. Tentu ada hikmah di mana-mana yang gagal ditafsirkan oleh manusia. Tapi untuk melupakan Dillah dengan sekelip mata, itu di luar kemampuannya sebagai insan yang lemah. Sejak dapat tahu Adillah sudah menjadi hak orang lain, Adi sedang ‘mengajar’ dirinya untuk reda menerima ketentuan Allah dan 'belajar' jatuh hati pada gadis lain pula. Sayangnya, hatinya masih enggan berpaling....

    Yalah, perasaannya untuk Adillah bukan baru semalam dia simpan. Sudah tertakung dalam hatinya, bertahun-tahun lamanya... sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya – seperti kompas yang memandu arah pelayarannya.

    = = = = =

    Semuanya berakhir dengan gembira, kecuali apabila pulang ke rumah Isnin itu, Nazrin ingin tahu yang mana satu Abdul Hadi dalam gambar yang kami rakamkan ramai-ramai depan mural sekolah. Aku tanpa syak apa-apa menunjukkannya.
    “Kacak. Kacak” Kata Nazrin berbau cemburu.
    Nazrin cuba memancing kemarahanku dan kemudian menuduh aku derhaka. Nazrin sengaja cuba memecah-belah hubungan kami yang telah sedia retak.

    Tidak lama kemudian, barulah aku tahu, Nazrin sebenarnya bertemu semula dengan kekasih lamanya Wan Marlisa Dato’ Wan Helmi. Pilunya hatiku. Aku rasa dipermainkan. Patutlah perangainya tiba-tiba berubah. Segala kesetiaan dan kejujuranku menjadi sia-sia. Kenapa tidak berterus- terang saja. Bukannya dengan cara cuba mengungkit hal yang bukan-bukan. Dalam dua hari aku ke majlis ‘reunion’ tu, Nazrin mengambil kesempatan untuk mengadakan majlis ikat janji dengan Wan di Kuantan. Amboi siap dengan majlisnya sekali... meriah sangat.

    Kebetulan rakan sepejabat aku tinggal dekat rumah Wan di Kuantan memberitahuku: “Aku terkejut betul, Dillah... bila nampak suami Dillah yang bakal menjadi menantu Dato’ Wan Helmi tu.” Kerana aku tidak yakin dengan cerita yang dibawanya, Jihan siap tunjukkan gambar pertunangan tu.

    Oh, rupanya apabila Nazrin sudah tidak jujur, dia ingat semua orang sudah tidak jujur lagi. Bodoh betul aku ni, tidak pernah mengesyakinya sedari awal. Aku tidak pernah sedar, hubungan mereka – Wan dan Nazrin - telah berlangsung hampir separuh dari tiga tahun usia perkahwinan kami. Yalah, sejak Wan Marlisa kembali ke Malaysia. Pandainya berpura-pura. Dahsyat sungguh! Sampainya, hati....

    Biarpun keluarga Nazrin masuk campur, Nazrin tetap menceraikan aku. Alasannya, Wan tak mahu bermadu. Nazrin lebih sayangkan perempuan gatal-gatal manja tu daripada aku. Amboi, Dillah sedapnya mengata orang. Tak takut dosa pahala ya, jerit hati kecilku. Sedih! Sedihnya..... Dan aku sendiri pun ada harga diri (orang dah tak suka buat apa pipi ni nak tersorong-sorong lagi). Zureena dan Tengku Farizlah menjadi orang yang paling sedih dengan untung nasibku.
    “Maafkan aku Dillah, aku yang paksamu dulu,” kata Zureena.
    “Sekurang-kurangnya kahwin juga aku, tak lah aku bergelar andartu,” selorohku untuk menyedapkan hati Zureena yang terus-terus rasa bersalah.
    Biarpun Zureena sebenarnya, tidak pernah tahu, ‘title’ janda itu lebih menakutkan aku untuk mengharungi dunia yang penuh fitnah ini.

    = = = = =

    “Dillah masih ingat Adi?” Tanya Zureena.
    Aku malas memberitahu Zureena, Adi pernah telefonku dua kali, bertanya kalau-kalau dialah yang menjadi punca penyebab rumah tanggaku hancur. Tentu sahaja aku jawab tidak – meskipun kebenarannya tetap ada. Kehadiran Adi memudahkan Nazrin mencari alasan untuk menceraikan aku kerana ingin kembali semula kepada kekasih yang pernah meninggalkannya dalam duka yang panjang suatu ketika dulu. Sepatutnya sedari dulu, aku jangan percayakan cinta kedua seorang lelaki!

    Aku cuma diam dan membiarkan Zureena berceloteh.
    “Dia selalu bertanya tentang Dillah, dia tahu Dillah bersendiri kini.” Kata Zureena sambil menyenduk pelbagai makanan.
    Jamuan makan malam di Hotel Istana itu juga mengundang pelbagai tokoh koperat. Zureena menemani si Tengku Fariz di sini. Sedangkan aku dan Jihan mendapat undangan daripada seorang klien. Dapat makan 'free' siapa nak tolak, kata Jihan semalam sewaktu memujukku untuk menemaninya hari ni.

    “Dia tahu yang kau begitu setia... cuma jodoh kamu berdua yang tak ada.” Adillah menundukkan matanya sambil memerhati ‘lobster’ yang dibakar dengan mentega di atas gril. Bau asap yang bercampur dengan mentega, menjentik seleranya untuk mencuba. Tetapi keinginannya dihalang oleh celoteh Zureena yang tak sudah-sudah. Dia ingin cepat-cepat melarikan diri dari segala persoalan yang dibawa oleh sahabatnya itu. Sudahlah Zureena, aku sudah jemu mendengarnya. Soal nikah kahwin ni, mahu saja aku simpan dalam laci kenangan aja.

    “Sebenarnya dia menyuruh aku menyampaikan perasaannya kepadamu, tetapi aku tidak berani lagi Dillah. Aku suruh dia ‘contact’ kau sendiri. Percayalah Dillah, dia akan menghubungi kau dalam minggu ni. Aku sekadar memberi amaran awal, supaya kau tak panik,” bisik Zureena, di antara Datin Rosidah dan Puan Sri Zaitun.

    “Zu... Nazrin juga telefon, dia juga ingin kembali semula,” kataku tiba-tiba, Zureena tidak jadi melangkah.
    “Bagaimana dengan isterinya, Wan Marlisa yang jelita tu?”
    “Kononnya dia tak bahagia... dia kehilangan aku.”
    “Apa kata kau?”
    “Cukuplah sekali!”
    “Pada Adi?”
    “Zureena, dalam usia di 30-an ini ... sebagai seorang janda pula... aku tidak pernah bermimpi lagi. Bukankah kau selalu mengingat aku agar sedar daripada mimpi-mimpi. Mimpi hanya mainan masa dan sesungguhnya masaku telah berlalu, Zureena.”
    “Jangan pesimis begitu Dillah. Jangan kata begitu pada Adi ya, Dillah. Inilah masanya kamu berdua meneruskan kasih yang tak kesampaian dulu tu,” kata Zureena sambil mengenyit matanya padaku. Dia segera ke meja Tengku Fariz dengan pinggan penuh berisi makanan.

    Kata Zureena, kalau aku mengecewakan Adi, sebenarnya aku mengecewakan hatiku sendiri. Benarkah begitu? Masih bersemikah cintaku pada Adi? Lalu hati kecilku yang satu lagi dengan lambat-lambat menjawab, cukuplah sekali Adillah, cukuplah sekali....



    T A M A T


    Saya senang sekali dengan tajuk dan cerita ini. Mungkin kerana watak-watak yang saya bentuk di sini datangnya dari dunia sebenar yang kemudiannya saya 'fiksyenkan' saja. Dalam cerita ni, saya sekadar menukar nama watak asal dan plotnya adalah hasil kreativiti saya. Saya selalu saja merasakkan Adillah yang bernasib malang itu, adalah saya... walaupun dalam hidup sebenar, saya dan 'Adillah' adalah dua insan yang berbeza dan perjalanan hidup kami tidak serupa pun :)

    Posted at 08:56 am by noorsoraya
    Comments (6)  

    Tuesday, May 31, 2005
    MAAFKAN AKU, ADIBAH!

    Oleh: Noor Suraya

    Aku meletakkan mug berisi coklat susu di sebelah Baha. Baha masih tekun melakarkan garis-garis halus pada kertas pelan. Seperti selalunya, Baha langsung tidak mengendahkan kehadiranku. Aku berdiri tegak di sisinya, sambil melihat tangannya yang cekap melukis. Lama-lama aku menjadi bosan, Baha hanya pentingkan kerjanya.

    Menjadi isteri Baha bukannya mudah. Aku orang kampung. Aku tidak pandai menyesuaikan diri dalam majlis, apatah lagi kalau majlis rasmi. Baha selalu komen ... Adibah pasif. Pasif tu apa? Baha kata aku konservatif, tak sporting dan entah apa-apa lagi komennya, aku pun tak faham. Yang pastinya, aku kecil hati.

    Akhir-akhir ini aku menjadi semakin bosan. Kadang-kadang aku rasakan aku ni ‘babunya’. Dalam rumah ini semuanya Baha yang atur. Tidak ada suatu pun yang tidak mengikut cita rasa dan pilihan Baha dalam rumah banglo setingkat ini kecuali, memilih aku sebagai isterinya.

    “Ada apa lagi, Adibah?” tanya Baha, yang masih tekun menggaris, rupanya sudah lama aku mematung di sisi Baha.

    Aku tahu, aku mengerti, Baha memang pantang diganggu ketika sedang bekerja atau ‘study’. Aku kenal benar dengan sikap Baha yang sibuk dan suka buat-buat sibuk. Kerjanya sebagai arkitek dan pensyarah sambilan, membuat Baha tidak ada masa langsung untuk menghiburkan aku.

    Rutin Baha setiap hari sentiasa padat. Selepas sembahyang subuh, dia terus berjoging. Kemudian akan ke pejabat – hampir Maghrib baru pulang. Hari Selasa, Rabu dan Jumaat ada kuliah di sebelah malam. Kalau tiada majlis atau seminar yang perlu dihadiri pula, Baha akan terus berkurung di bilik kerja sehingga pukul dua, tiga pagi.

    “Ada apa lagi, Dibah?” tanya Baha, lalu membetulkan lampu mejanya.
    “Oh, tak Dibah cuma tengok pelan ni,” kataku.
    “Dibah faham ke?”
    Baha mengangkat mukanya. Dia tersenyum sinis kepadaku. Mentang-mentanglah aku cuma sekolah setakat Darjah Enam saja, dia ingat aku ni bodoh sangat.
    “Manalah Dibah faham, Dibah ni kan tak belajar sampai luar negara.” Perliku.
    “Ke situ pula,” kata Baha.

    Baha menghirup coklat susu daripada ‘mug’ biru tua – warna kegemaran Baha. Aku mula beredar.
    “Oh, ya Dibah, Dato’ Ibrahim dan Datin Dahlia jemput kita ke rumahnya... anak mereka nak ke England, dia nak buat kenduri, Maghrib esok,” kata Baha cepat-cepat, tanpa memandangku.

    Aku menoleh ke arah Baha.
    “Dibah tak nak pergi. Abang Long pergilah sorang.”
    “Dah dua kali Dibah tidak tunaikan undangan mereka,” kata Baha serius.
    “Kenapa Dibah,” sambung Baha lagi.
    Baha merenung tajam. Aku menjadi serba salah. Benci apabila Baha renungku begitu.

    Antara aku dan Baha memang macam pipit dan enggang – tak setaraf. Meskipun Baha, sepupuku itu orang kampung macam aku juga. Namun taraf pendidikan dan kedudukan Baha sekarang telah memisahkan kami.

    Aku ni berbahasa Melayu baku pun tak cekap. Apatah lagi nak cakap ‘orang putih’. Aku juga tak pandai makan dengan pisau, sudu dan garpu. Aku tak tahu berbincang tentang isu semasa, politik atau apa saja yang menjadi bualan Baha ketika bertemu dengan rakan-rakannya.

    Itulah yang membuat aku rendah diri. Terutama apabila berada di kalangan isteri rakan-rakan Baha. Aku tidak seperti Dr. Nora, isteri rakan sekerja Baha. Isteri Encik Idham tu, pandai berjenaka dan bercerita. Semua orang suka kepadanya. Aku juga tidak seperti Madam Teoh yang ramah dan fasih berbual dalam enam bahasa.

    Aku selalu jadi kaku, beku dan serba salah apabila terpaksa berbual dengan mereka. Semuanya ini membuat aku lebih betah tinggal di rumah daripada mengiringi Baha ke majlis-majlisnya. Dan aku pasti Baha tentu lebih seronok kalau aku tidak ikut serta.

    “Kenapa Dibah,” ulang Baha lagi.
    Aku tersentak semula.
    “Dibah tak mahu malukan Abang Long nanti,” jawabku selamba.

    Baha sudah duga, itulah jawapan Dibah. Setiap kali itulah alasannya. Memang Adibah selalu memalukannya di majlis. Tetapi kawan-kawan Baha tahu siapa Dibah dan mereka tidak kisah. Malah mereka selalu marahkan Baha kerana selalu meninggalkan isterinya di rumah.

    "You never give her a chance to join us,” kata Mr. Teoh.
    “Betul tu, selalu simpan isterinya kat rumah, dia ingat isterinya barang antik."
    "That’s girl baru 18 lah Che Baha oii. Of course she love to have fun. Jangan kurung dia dalam sangkar saja,” tambah Dr. Nora.

    Baha membuka kaca mata bulatnya. Dia merenung wajah isterinya yang masih muda remaja. Adibah semakin kurus sekarang ini. Emak selalu berpesan, jangan sia-siakan Dibah. Adik sepupunya itu anak yatim piatu.

    Mak Su dan Ayah Su, meninggal dalam kemalangan jalan raya ketika Adibah baru berumur enam tahun lagi. Sejak itu neneklah pelihara Adibah. Rumah nenek tidak jauh dari rumah Baha. Jadi sejak kecil, Adibah sudah kenal Baha. Malah Baha sentiasa memanjakan Adibah kerana Baha tidak ada adik perempuan. Tapi sekarang semuanya telah berubah.

    Selepas Baha pulang dari luar negara, dua tahun yang lalu, semuanya bertukar. Susah baginya untuk mengasihi dan menyayangi Dibah sebagai isteri dan kekasih. Bukan kerana kasih sayang sebagai adik masih tebal dan kekal di hatinya tetapi kerana Baha masih mengingati Laila, rakan seuniversitinya.

    * * * * *

    Baha sangat sayangkan nenek. Tiada suatu pun kehendak nenek yang tidak diturutinya. Malah kadang-kadang patuhnya itu tidak bertempat. Misalnya, untuk mengahwini Adibah. Dia terima Adibah. Walaupun pada ketika yang sama dia masih mengingati Laila.

    Mereka berkasih sejak di sekolah menengah lagi. Laila meninggal dunia ketika Baha hendak berangkat ke Australia untuk pengajian ‘master’, tujuh tahun dulu. Mereka sudah merancang untuk berumah tangga, sebaik sahaja Laila menamatkan ‘housemanship’nya di Hospital Universiti ketika itu.

    Sejak Laila pergi, Baha tidak terfikir untuk beristeri. Dia lebih pentingkan cita-citanya. Dan kini Adibah menjadi mangsa di atas kepedihan Baha. Kasihan Dibah terpaksa menanggung kesedihan Baha sepanjang hampir setahun perkahwinan mereka itu.

    Memandang usialah, nenek terus mendesaknya. Nenek percaya Baha dapat menjaga Adibah. Baha cucu sulung kesayangan nenek. Dan nenek tahu Baha sayangkan Dibah. Adibah yang baik, lembut dan penyabar tu memang dibesarkan bersama-sama Baha. Namun, nenek tidak pernah tahu, di hati Baha cuma ada Laila.

    Baha terus memandang Dibah.
    “Kenapa pula Dibah mesti malukan Abang Long,” tanya Baha lembut, setelah lama berdiam diri.
    Soalan bodoh, fikir Baha, kemudiannya.
    “Dibah... Dibah tak pandailah nak campur-campur dengan isteri kawan-kawan Abang Long,”
    Alasan yang sama seperti selalunya, bisik Baha.

    Aku meninggalkan Baha dan menuju ke ruang tamu. Aku duduk di atas sofa warna biru tua.
    “Adibah,” jerit Baha.
    Aku tidak menghiraukan jeritan Baha. Selama ini Baha tidak pernah meninggikan suara kepada aku. Aku semakin kecil hati. Baha berjalan pantas ke arahku, jarinya masih menggenggam pensel.
    “Kenapa Dibah?”
    Baha cuba berlembut, apabila dilihatnya mata Dibah berair. Aku menahan esakan. Aku jadi benci dengan kelemahan diri sendiri.

    “Abang Long, Dibah rasa kita tak boleh bersama lagi. Apa yang Dibah buat serba tak kena. Dibah tak pandai sesuaikan diri dengan cara hidup Abang Long,” kataku tergagap-gagap, dan menyesal kemudiannya.

    Suara isterinya yang sayu dan perlahan itu menikam hati Baha,

    “Dibah berehatlah dulu, nanti kita bincang,” pujuk Baha.
    “Dibah nak bincang sekarang. Dibah nak selesaikan saat ini,’ tegasku.
    “Dibah,” tegas Baha sambil memandangku.
    “Dibah dah jemu Abang Long. Dibah tak mau hidup dalam bayang-bayang Laila. Dibah tak boleh jadi macam Laila. Laila yang pandai... Laila bakal doktor, Laila cantik, Laila keibuan dan Laila segala-galanya.”
    Aku mengesat air mata.

    “Dibah adalah Dibah. Dibah tak mahu jadi Laila. Dibah nak ada hak, ada bahagian dalam hati abang long,” kataku puas.

    Baha terpaku. Adibah sudah melampau. Hantu apa yang telah merasuk wanita penyabar ni, bisik hati Baha. Dibah sudah pandai membantah... protes. Apa lagi yang Dibah hendak? Kan semuanya sudah tersedia untuknya.

    Baha sediakan bilik khas untuk Dibah melukis batik dan menenun sutera. Baha beri segala kemudahan untuk Dibah memperkembang kemahiran dan minatnya. Adibah boleh buat kerja bila-bila dia suka – semahunya tanpa gangguan.

    Baha tidak halang Dibah balik ke Kuala Terengganu kalau Dibah rindukan nenek. Malah kalau ada cuti, Baha yang hantarkan sendiri.

    Kalau Dibah nak belajar lagi Baha sanggup cari tutor. Tapi Dibah enggan. Dibah tuduh, Baha malu beristerikannya yang cuma belajar setakat sekolah rendah. Baha geram dan marah dengan gelagat Dibah terutamanya, bila Dibah mula ‘demandings’ dan pandai ungkit tentang Lailanya.

    “Adibah, Abang Long mesti siapkan pelan tu dulu, nanti kita bincang.” Baha meninggalkan aku sendirian. Aku mengeluh kesal.

    Aku berjalan ke bilik kerja berdekatan dapur. Terdapat lima buah bilik semuanya, bilik hadapan menjadi bilik kerja Baha lengkap dengan perpustakaan, di sebelahnya bilik tidur. Sebuah lagi bilik tetamu yang berhadapan dengan bilik solat.

    Aku memilih bilik yang berdekatan dengan dapur sebahagian tempat menyimpan kesepian, kesedihan dan kedukaanku. Melukis batik dan menenun kain sutera adalah sebahagian cara untuk melekakan aku daripada semuanya ini. Perlahan-lahan aku membuka tingkap yang menghadap padang golf. Hujan renyai-renyai dan malam yang kelam, membuat padang golf kelihatan samar-samar.

    Semalam, kata Adik Nur dalam suratnya, berdekatan dengan kampungku pun hendak dibina padang golf. Ramaikah pelancong yang hendak menggunakannya? Ataupun rakyat negara kita sebenarnya cuba menguasai permainan ini pada tahun 2020... Wawasan 2020? Ah, apa yang aku faham tentang pembangunan?

    Aku membiarkan tempias hujan menyapa pipiku. Aku mendekati pemidang kain dan cuba mencari ilham untuk baju batik Baha – istimewa sempena ulang tahunnya yang 32 Jumaat nanti.

    Selalunya, kawan-kawan atau kenalan Baha sering menempah batik atau kain sutera daripadaku, kadang-kadang aku juga membuat batik untuk hiasan dinding pejabat.

    Aku seronok apabila Baha mengantungkan karyaku di bilik pejabatnya. Baha selalu memuji bakatku. Aku bangga mempunyai pendapatan sendiri dan boleh mengirimkan duit tiap bulan untuk nenek, hasil daripada usahaku ini.

    Masa dulu-dulu, ketika aku berumur sepuluh tahun, aku telah menjual karya. Bahalah pembeli pertamanya.

    “Kawan-kawan Abang Long, tentu cemburu melihat baju batik ini,” kata Baha, apabila pulang untuk cuti semesternya.
    Abang Long bayar aku $5 untuk lukisan batik di kemeja putihnya.

    “Ini Dibah kasi, bukannya nak jual,” kataku manja.
    "Ambillah, buat beli warna atau kain."
    Baha meletakkan not warna hijau tu dalam tanganku.
    "Kalau Abang Long ada banyak duit, tentu Abang Long beli dengan pelukisnya sekali," gurau Baha.
    "Baharudeen, tak baik usik begitu," tegur nenek.

    Aku ketawa melihat Baha kena marah.

    * * * * *

    Sebenarnya itulah kesilapan paling besar yang Baha telah buat. Memberi duit yang besar nilainya kepada budak seusia sepuluh tahun, membuat aku bertekad untuk berhenti sekolah dan menumpukan perhatian kepada seni batik dan sutera.

    Aku ingin menjadi pelukis dan penenun yang berjaya. Dan yang paling malangnya lagi, sikap prihatin Baha kepadaku dulu – telah disalah tafsir – membuat nenek percaya Baha mengasihi aku bukan sebagai ‘adiknya’.

    Alangkah bahagianya mengenang masa lalu. Kami sungguh mesra dan akrab seperti saudara kandung. Setiap kali Baha bercuti dari asrama, dia sering menemani aku dan nenek menenun sutera sehingga jauh malam. Baha suka duduk di beranda dan memandang ke arah laut. Kadang-kadang Baha akan mengesek biola pusaka arwah Tok Wan.

    Di waktu petangnya, kami akan berjalan di gigi pantai. Baha selalu menanam semangat supaya aku berjaya sebagai usahawan. Walaupun begitu, Baha memang marah aku berhenti sekolah.

    Kini segala-segalanya tidak tercapai. Sekolahku tidak tamat. Cita-citaku cuma sekadar menjadi impian. Rumah tangga kami muram. Masing-masing dengan haluan sendiri. Baha dengan cita-citanya, aku dan minatku – masing-masing seperti pelarian.

    Baha masih mengenang Laila dan aku cemburu kepada Laila yang tiada lagi tu. Sebenarnya aku bukan meminta apa-apa kecuali sebuah pengiktirafan sebagai seorang isteri. Aku cuma mahu dihargai. Salahkah aku? Kenapa Baha mesti menafikan hak aku?

    Baha lebih senang berbual dan berbincang dengan para pelajarnya daripada bercakap denganku. Aku semakin kecewa dengan sikap Baha. Kadang-kadang aku terfikir, mengahwini Baha merupakan satu kesilapan besar yang telah berlansung.

    Kenapa Baha tidak seperti Abang Long Baha yang aku kenal dulu. Abang Long yang sentiasa menyayangi Adibah. Ah, masa telah merubah segalanya.

    Aku sentiasa berdoa dan menanti, agar suatu hari nanti Baha akan mengakui perkahwinan ini bukannya sekadar memenuhi hajat nenek... tapi kerana Baha juga sayangkan aku. Oh, masih adakah suatu hari itu, setelah kami bergaduh tadi?

    Aku tak marah jika Baha terus-terus mengingati Laila, kerana aku sedar, siapalah aku. Tapi janganlah sampai anggap aku ni orang asing, tak berhak untuk dikasihi. Seolah-olah semua kasih sayang Baha cuma milik Laila, dan semuanya itu telah terkubur bersama kekasihnya itu.

    Kenapa Baha mesti memberitahu aku tentang Laila? Dan kini aku terpaksa bersaing dengan Laila, untuk merebut hati suamiku sendiri. Dan sehingga kini Laila yang menang. Aku tidak pasti perlawanan ini ada berapa pusingan dan pada pusingan yang manakah aku akan menang?

    Aku tidak dapat tidur sepanjang malam. Mujurlah suara azan Subuh yang mendayu-dayu dari masjid yang berhampiran telah mengejutkan aku daripada angan-angan. Sedar-sedar Baha sudah menungguku untuk berjemaah, seperti kebiasaannya.

    Aku mencium tangan Baha, selepas dia berdoa panjang. Aku menyidai telekung di ampaian besi yang terlekat di dinding. Masing-masing membisu.

    “Adibah tak tidur?”
    Aku menggeleng
    “Dibah, Dibah nak kembali kepada nenek?” Kata Baha kemudiannya.
    Air mataku berjurai lagi.
    “Abang Long langsung tak sayang Dibah?”
    Bagiku, setiap detik... kasih sayangku kepada Baha semakin menebal.
    “Abang Long... sampainya hati,” kataku menahan sebak.
    “Bukankah Dibah yang pinta semalam?”
    Aku betul-betul kecewa dengan kata-kata Baha.

    “Dibah akan tetap bersama Abang Long, kecuali Abang Long mengehendaki Dibah pergi,” tegasku, tak malu.
    Baha terpaku. Kasihan Dibah, dia benar-benar terluka. Baha menjadi kesal.
    “Dibah sayang Abang Long,” tanya Baha.
    Aku mengangguk malu.
    “Abang Long pula?”
    Baha cuma diam.

    “Dibah, berilah masa untuk Abang Long. Kerana Dibah pun tahu, sebelum Dibah ada Laila.”
    Aku cemburu mendengar nama Laila keluar lagi dari mulut suamiku. Tetapi aku bersyukur, kerana Baha jujur.

    Bukankah Nabi Muhammad sendiri pun lebih sayangkan, Aisyah daripada isteri-isterinya yang lain. Tapi... akulah satu-satunya isteri Baha yang sah, tidak Laila! Bukankah Nabi Muhammad juga tidak pernah melupakan Khadijah seumur hidupnya, walaupun Khadijah sudah wafat ketika itu.

    Malah Aisyah... sendiri cemburu. Aisyah cemburu bertempat kerana dia isteri Rasulullah. Sedangkan taraf Laila sekadar kekasih... aku ni isteri Baha, rungut hatiku. Berilah Baha masa, aku memujuk rasaku, insya-Allah.

    “Dibah benci, Dibah marah kepada Abang Long?”
    Aku menggeleng.
    “Terima kasih, Dibah. Insya-Allah... Abang Long tak akan mensia-siakan hati Dibah,” kata Baha ikhlas.

    Baha mengesat air mata Dibah dengan hujung jarinya. Baha menghulur senyum kepadaku, aku membalasnya dengan seribu rasa sejuta harapan.

    Adibah, aku tidak pasti sampai bilakah aku dapat sayang kepadamu, tanpa gangguan bayang-bayang Laila. Antara kau berdua terlalu berbeza dan aku tidak akan lagi terus-terus membuat perbandingan.
    Tuhan, ampunilah aku, tunjukkanlah hamba-Mu ini jalan yang terbaik.

    Insya-Allah, abang tidak akan menghampakan mu, Dibah. Allah sentiasa bersama-sama kita dengan al-Rahim-Nya. Maafkan aku, Adibah.

    TAMAT



    Apa yang saya suka sangat dengan cerpen ini? Rasanya kerana cerpen ini pernah tersiar dalam majalah Keluarga, mungkin! Banyak nama-nama yang ada di sini saya ulang guna dalam novel-novel saya yang lain tanpa sedar. Ramai yang kata cerita ini berakhir dengan kegembiraan... tetapi pada saya, cinta tidak semudah itu untuk ditukar ganti bagi Baha... saya jadi simpati pada Adibah! Lagipun tajuknya juga telah membawa konatasi yang negatif kan....

    Posted at 08:40 am by noorsoraya
    Comments (4)  

    Previous Page Next Page