depan kelabu dan pedih memilu waktu-waktu bukan lagi temanku
Nuha memerhati pergelangan tangan Alang yang terbelah luas kerana terkena mata pisau ketika mengoyak sabut kelapa di halaman rumah Badli petang tadi. Kalau sudah tahu tidak pandai buat, kenapa ingin mencuba? Ingin menunjuk-nunjuk kepada siapa pula? Marlia? Mana perginya fikiran Alang ketika membuat kerja-kerja berbahaya begitu!
Nuha tahu Alang sedang menunggu tindakannya. Nuha segera mengambil sarung tangan getah berwarna putih kekuningan itu; memakaikannya di kedua-dua belah tangannya. Entah kenapa perasaan ingin membalas dendam tiba-tiba muncul di benaknya. Terasa ingin menjahit luka yang panjang dan dalam tu tanpa menyembur ubat kebas, terlebih dahulu. Tegarkah dia? Tegarkah dia berbuat begitu kepada pesakitnya.
Pesakitnya? Tetapi si pesakit ini hanyalah Alang, Nuha. Ya, Alang... Alang Rebus Tak Empuk. Alang si Musuh ketatnya. Alang yang sering mengusik hati perempuannya. Alang yang sering mendabik dada, yang sering mengatakan dia gagah dan tidak pernah rasa sakit... setiap kali menyakiti hati orang itu. Itulah yang Nuha rasa setiap kali melihat mata Alang berlagu senang, ketika berjaya menyakiti hati Nuha.
Nuha sudah memberhentikan darah yang sedang mengalir. Rasanya tanpa menjahit pun, luka itu pasti akan tercantum... terkatup juga. Telah diletakkan metil spirit pada luka yang dalam tu. Bukannya parah pun, buat gempar sahaja si Alang ni. Mengada-ngada!
Nuha! Setengah inci kamu kata tidak dalam, Nuha? Baru sahaja kelmarin dulu kamu menjahit luka di jari Te'a, adik Li'a. Luka Te'a tidak sedalam mana dan tidak sepanjang mana berbanding luka di tapak tangan kiri Alang hari ini. Bukan main ya kamu, Nuha... sanggup bertopengkan status 'jururawat' kamu tu, untuk menyakiti hati Alang. Dan satu lagi... sanggupnya kamu biarkan Alang begitu, Nuha! Akhirnya, Nuha berkompromi dengan hatinya. Tidak perlu jahit!
"Tak perlu jahit?" soal Alang, apabila melihat Nuha menyimpan peralatannya di dalam almari. Sepatutnya Kak Imah yang 'standby' hari ni, tetapi Kak Imah tak ada pula di rumahnya hari ini. Kak Imah tinggal di berek klinik desa ini sahaja. Selalunya kalau ada 'on call' dialah yang sukarela membantu. Tetapi petang ini, ibu kepada empat orang anak tu tiada di klinik. Kerana itulah Nuha - tiba-tiba - dipanggil untuk merawat Alang.
"Sikit saja... pakai minyak gamat pun boleh?" "Balut pun tidak?" pintas Badli. Nuha tidak menjawab. Nuha cuma mengangkat bahu. Nuha mengeluarkan gulungan 'bandage' dan kapas semula. Minyak warna kuning dari botol hitam dibawa dalam dulang dekat Alang semula. Iodin tu tidak seharusnya mengenai, 'tisu' yang terkoyak di dalamnya.
Mata Badli dan Alang saling bertatapan. Baya masih menunggu di luar. Sejak tadi Alang tidak benarkan dia masuk. Semudah itu Baya ketawa, semudah itu juga Baya akan menangis. Itulah yang membuat abah ragu-ragu untuk membenarkan Baya mengambil kursus perubatan. Baya, Baya... hanya kerana perkara sekecil itu, Baya boleh menangis sehingga penuh air mata segelas. "Berapa lama, baru baik?" sambung Alang pula. "Tak tahu!" jawab Nuha. "Kalau dah tak tahu... jahit sajalah!" balas Alang. "Tangan kiri aja... Cik Muzzammil masih boleh 'sign' cek, lah." Balas Nuha. Nuha sedar sejak akhir-akhir ini Alang memang bertanggung-jawab dengan hal ehwal Kilang Beras Haji Yatim; termasuk menguruskan akaun syarikat.
"Nuha, saya perlukan tangan kiri saya ini segera sembuh." Tegas Alang. "Kenapa? Nak buat apa?" Nuha sudah tidak tahan hati. Terasa dia ingin ketawa sahaja melihat muka cemas Alang. "Nuha, saya ni kidal." Balas Alang. Ya, dia perlukan tangan kiri ni. Jika tidak bagaimana dia dapat menyiapkan kerja-kerjanya di kilang; dan apatah lagi untuk menulis sajak-sajaknya.
Nuha jadi malu sejenak, tadi fikirannya sudah melayang ke tempat lain. Kalau tangan kiri tentu sahaja untuk urusan 'cuci-mencuci' dan urusan untuk 'tandatangan cek Bank Negara' sahaja. Itulah yang Pak Man usik kepada anak lelakinya yang patah tangan kiri minggu lalu. Kak Imah ketawa saja dengan jenaka Pak Man tu.
"Yalah, saya jahitlah ni." Balas Nuha, lalu mengeluarkan benang warna ungu tua. Luka ni sebetulnya tidak perlu dijahit pun, sikit sangat. Tetapi kalau dia sudah diberi peluang untuk 'merealisasikan' impian dendam yang tidak pernah usai itu, apalah salahnya.
Di ambilnya jarum yang sudah siap disteril dari sampulnya. "Tak sembur ubat apa-apa dulu... ubat kebas ke, ubat bius ke?" tanya Badli masih tidak puas hati. "Tak payah, bukannya caesarean ni. Luka biasa sahaja... prosedur biasa sahaja." Balas Nuha, hatinya sudah dihujani rasa gembira. Oh, teringin nak dijahit sangat ya? Sebenarnya kalau Alang ke hospital mereka ada alat untuk gam aja belahan luka ni. Sayangnya, di klinik desa ini, stok 'gam' tu belum sampai lagi.
"Tapi lukanya panjang, Nuha." Kata Badli, macam si ayah yang bimbangkan anaknya dilukai. Badli, Badli... yang awak rampas buah hati Alang tu, awak tak risau pula ya, kata hati Nuha. "Betul Nuha, Kak Li'a nampak lukanya panjang, nih." Sambung Marlia yang sejak tadi diam sahaja di samping Badli, suaminya. Entah kenapa dia pun harus datang melihat Alang yang sedang sakit. Ya, sakit... tapi sakit sikit aja, Li'a. Betulkah ke Nuha, sakit sikit saja. Tak teruk sangat, balas hati Nuha cuba menyedapkan hati sendiri.
Ya, memang panjang pun, Li'a. Tetapi kamu sakiti hati Alang, lagilah dalam dan panjang lukanya, bisik hati Nuha semula. entah kenapa dia tumpang simpati pada Alang setiap kali melihat Badli-Marlia sedang berbahagia.
Nuha, kenapa 'bussy body' sangat. Alang tak kata apa-apa, malah mendoakan lagi - kebahagian mereka - kamu yang lebih-lebih!
"Tak sakit ke? Kalau tak sembur dengan ubat kebas ke, ubat bius ke?" soal Badli semula. Badli, suka hati akulah nak buat keputusan yang bagaimana. Kalau tidak yakin dengan jahitan aku, tunggulah doktor datang pukul 10 pagi esok. Ni sudah pukul enam petang. Tidak ada mana-mana doktor yang akan kembali ke kampung ni untuk urusan 'sepele' begini. Jadi Encik Badli, Puan Marlia dan Encik Alang... akulah doktor dan akulah 'nurse' di sini. Jangan nak cakap banyak!
Badli dan Marlia sudah berundur ke belakang semula.
"Nuha, kalau awak nak balas dendam... pilihlah hari lain sahaja." Bisik Alang perlahan. Pandainya Alang membaca hatiku. Tetapi Cik Alang... peluang dan hari yang baik begini bukannya datang selalu, kan! Bukannya salah, kalau menjahit tidak disemburkan dengan ubat kebas... cuma sakit sikit sahaja. Apatah lagi Alang ni lelaki; dia lelaki 'macho' konon-kononnya... jadi apa pula persoalannya?
"Berapa jarum?" tanya Alang. "Satu jarum ni ajalah... nak pakai sampai berapa jarum pula?" kata Nuha pura-pura tidak faham soalan Alang. Dia perhatikan wajah Cik Mamat Sarang Tebuan tu sekali lagi. Sabarnya, si Alang ni. Tidak tahukah dia yang aku sedang nak cari fasal ni! "Maksud saya... berapa jahitan?" "Lima ke lima belas jarum, macam tulah... tak taulah." Nuha bercakap seperti tidak pasti dengan keputusannya sendiri. Nuha suka kalau Alang jadi panik dan mula ragu-ragu dengan kebolehan perubatannya. "Banyaknya, tak perlulah jahit rapat sangat... asalkan bercantum sikit aja, dah. Saya nak sapu ubat gamat aja... biar cepat luka tu bertangkup." Balas Alang. Dia sudah tidak enak hati.
"Awak ke nurse atau saya?" balas Nuha. "Besar sangat ke kerja nurse tu," tanya Alang. "Okeylah, kalau awak tak percaya sangat dekat saya... suruhlah Badli bawa awak ke Tikam Batu... klinik swasta banyak kat situ." Nuha pura-pura jual mahal.
Alang menghulurkan tangannya. Nuha mula menjahit. Dia memandang muka Alang. Oh, takut ya? Setiap kali mata jarum dan benang terkena isi itu, setiap kali itulah dia membilang di dalam hati. ¥Jahitan pertama ini kerana; Alang pandai-pandai menukar warna Kelisanya menjadi perak metalik. ¥Jahitan kedua ini kerana; Alang pandai-pandai aja perkenalkan Faisal dengan Raniya. ¥Jahitan ketiga ini kerana; Alang mengambil tips sampai RM100 ringgit dan aku terpaksa mengikat perut untuk makan sampai cukup dapat gaji. ¥Jahitan keempat ni kerana; Alang menipu dan menyamar sebagai polis di simpang depan tu... dan roadblock; Alang kan tahu aku tidak ada lesen, dia cuba menakut-nakutkan aku... bencinya!
Nuha melihat semula wajah Alang yang sedang menahan sakit dan pedih tu semula. Dia jadi kasihan juga, tetapi rasa TIDAK kesian tu lebih banyak; rupa-rupanya.
Alang mendengus di dalam hati... tetapi bukankah sejak peristiwa mereka 'bersahur' depan hospital beberapa minggu lalu, mereka sudah jarang bergaduh? Apa lagi dendamnya? Apa lagi yang tidak kena dengan Nuha ni?
Jahitan Nuha belum pun sampai ke penghujungnya. Hati Nuha sudah diburu rasa bersalah semula.
"Alang, sedarlah sikit... sakit di tangan boleh diredakan dengan ubat kebas, tapi menjahit hati yang luka... bagaimana ya? Bagaimana untuk meredakannya? Perlu disemburkan dengan ubat apa?" bisik hati Nuha.
Tiba-tiba saja tangan Alang menggenggam kuat tangan Nuha yang berlapik dengan sarung tangan getah itu; tanpa niat. Hangat aliran darah dari tangan Alang tu berpindah ke tangan Nuha walaupun sudah berlapik sarung tangan. "Apa ni?" kata Nuha sambil mengetuk tangan kanan Alang berulang kali dengan segulung 'bandage' dalam dulang jahitannya. "Nuha, maaf. Sakit sangat, saya tidak sengaja." Kata Alang, mukanya sudah berubah kerana betul-betul malu. Bukannya niat begitu; dia bertindak tanpa sedar kerana terlalu sakit. Alang segera menarik tangannya yang sedang dijahit oleh Nuha.
Jahitan yang kelima... masih belum selesai. Dengan kekoknya, Alang memotong benang yang masih bersambung dengan jarum itu dengan tangan kanannya. Dia segera berlalu pergi: tanpa ucapan terima kasih. Nuha belum lagi menjahit luka hatinya yang kelima. Marlia dan Badli saling berpandangan.
Sejak itu, dia tidak pernah nampak Alang untuk beberapa hari.
telah aku ciptakan sebuah puisi namun kau tetap tidak mengerti
Alang memerhati sekawan itik berenang di tepi kolam dekat rumahnya. Angin timur menghembus lembut. Padi sudah menguning sepenuhnya. Cantiknya, macam hamparan emas. Teringat kepada sawah padi Wan Empok dan Wan Malini yang bertukar menjadi emas dalam cerita dari Bukit Seguntang yang pernah dia baca beberapa tahun dahulu. Angin masih berhembus. Janganlah datang hujan lebat, pokok-pokok padinya bisa jatuh rebah. Musim menuai sudah tidak lama lagi.
Badannya masih bersandar manja pada Raja Kamariah. Sejak tadi dia dan emak tidak berkata apa-apa. Emak leka menganyam mengkuang untuk dijadikan tikar di pangkin dekat-dekat situ.
Mata Alang memerhati di rumah belakang. Rumah-rumah kecil di tepi sawah tu, macam calet sahaja. Sudah beberapa kali dia sarankan kepada abah, tak usahlah disewakan... biar aja jadi homestay. Alang boleh buat iklan dalam website di internet. Tapi abah tidak bersetuju. Sudah lama abah membina tiga buah rumah sewa di situ. Abah lebih senang menyewa rumah yang selesa tu, pada orang luar yang terpaksa bertugas di kampung mereka... dari mengikut idea 'mata duitan' Alang tu.
Kata abah dulu, rumah mereka sekarang – rumah ibu – untuk sesiapa yang akan menetap di kampung ini. Rumah belakang ni pula (yang disewa kepada orang) untuk anak-anak yang lain.
Semalam emak bertanya hal itu, adakah Alang akan tinggal di kampung ini selama-lamanya? Adakah dia pernah ada jawapan untuk semuanya itu? Keinginannya untuk mengembara, mengembur lagi. Sudahkah, rindunya usai pada kampung ini? Entahlah... ada yang mengikatnya di sini... namun keinginannya untuk pergi juga tidak pernah susut. Apa yang tidak kena dengannya?
Lalu kelmarin dia bergaduh lagi dengan abah. Abah tidak pernah memahami minat 'sasterawan negara' yang tersembunyi di dadanya. Abah hanya mencintai sawah padinya! Abah tidak suka dia membuat kerja tidak berfaedah. Tapi abah, menulis puisi bukannya pekerjaan tidak berfaedah! Ah, abah... apa-apa pun mesti dialah yang menjadi penentu hidup 'semua orang'. Kak Long Huda harus jadi guru sebab dia perempuan. Zahran, pula belajar komputer sampai dia sendiri 'terprogram' menjadi robot terus. Padahal Zahran hendak jadi petani sahaja, tetapi ketika itu program komputer gah diperkatakan orang, lalu jadilah Zahran seorang programer! Abah memang sayangkan Zahran, pujian yang melambung selama ini hanya milik Zahran.
DAN Kini abah ingin mengatur hidup Baya pula. Dalam rumah ini hanya Alang yang boleh buat sesuka hatinya; kerana emak sangat memahaminya. Namun semalam emak sudah mula menyebelahi abah.
"Mil, sudah-sudahlah mengembara... apa yang tidak kena dengan kampung ini? Apa yang Mil dapat dari mengembara tu... emak lihat puisi Alang tidak pernah sekeping pun tersiar di surat khabar!" Aduhai, emak sedang melukakan hari seorang seniman nih, bisik hati kecil Alang. "Mil jemulah, emak... asyik buat benda yang sama setiap hari. Badan Mil dah bau guni beras." Yalah, kalau dia mengembara, hidupnya tidak pernah sama setiap hari. Hidupnya lebih menarik dan bermakna.
"Tengok Li'a dan Badli... mereka dah tahu nak buat apa dengan hidup mereka. Sudah merancang masa depan. Kenapa kamu tak kahwin saja, Mil." "Mak... apa ni?" "Emak berkenan dekat Hanis tu... rajin dan baik pula budaknya." "Emak, janganlah... Mil tak berkenan pun." Alang segera teringat kata adiknya, "Kak Hanis tu juling-juling air sikit." Tetapi bukannya hal itu yang menjadi persoalannya. Alang sedar, dia sendiri pun bukannya sempurna sangat. Tetapi Hanis bukannya jenis isteri pilihan.
"Carilah siapa saja... asalkan dia sudi tinggal di kampung kita... emak akan bersetuju, Mil. Mil ambillah rumah kat belakang tu sebuah. 'Rumah ibu' ni, abah dah nak beri pada Kak Long Huda. Mereka memang nak balik tinggal di kampung ni." Emak menghulurkan senyum bahagia. Mata ibunya menatap Muzzammil dengan penuh makna. Mengharap Muzzammil tak pergi lagi.
"Kamu, Zahran dan Baya pilih rumah belakang tu aja. Biarlah Zahran pilih dulu ya, Mil." Kata Raja Kamariah memujuk, dia jadi bimbang kalau anaknya pergi lagi. "Emak... kalau Mil pindah ke rumah tu boleh, Mil tak selesa di rumah ni... setiap kali persoalan timbul, abah dengan Mil tak pernah berhenti bertelagah." Kata Alang. Raja Kamariah mengangguk.
* * * * *
"Siapa jiran baru sebelah rumah Kak Nuha, tu?" Cikgu Kadir sekeluarga telah berpindah minggu lalu dan rumah sebelah tu memang sudah tidak berpenghuni. Tetapi semalam Alang dan Baya datang mencuci-cui rumah tu, dan mula mengecatnya pula. Tentu penghuni baru akan masuk tidak lama lagi. "Alang!" "Alang? Buat apa dia pindah di sebelah rumah Kak Nuha, Baya?" "Biasalah... bertengkar dengan abah." Baya dan Nuha sedang duduk-duduk di tepi kolam ikan Badli dengan kaki terjuntai di air. Mereka sekeluarga diajak oleh Li'a untuk makan laksa petang itu. Kak Li'a buat laksa beras ala-ala Laksa Telok Kecai yang famous tu. Lepas makan mereka berdua berehat di tepi kolam sambil bercerita. Hanis dan Cikgu Afifa sudah pulang.
Nuha tersenyum. "Rupanya dia bukan sahaja suka bergaduh dengan Kak Nuha, tetapi dengan Haji Yatim juga." Lirih suara Nuha, sambil memandang ke arah Baya. Baya sedang menghafal nota Biologinya. Sementara Nuha sedang membaca novel Nyanyian Tanjung Sepi di situ.
"Tak ada sesiapa yang mengerti hati Alang tu... tapi Baya simpati dekat Alang." Nuha tidak membalas kata-kata Nurbaya. "Alang tu baik kak, cuma dia ada angin sikit aja. Emak lebih sayangkan Alang dari Angah Zahran. Itulah yang buat dia jadi begitu. Dimanjakan berlebihan... dia jadi rosak." Kata Baya sambil sesekali menepuk-nepuk kakinya ke air.
Tiba-tiba Baya teringat kepada sejenis ikan di Iran, yang tugasnya memakan kudis-kudis dan luka orang. Ikan-ikan jenis 'membersihkan' kaki orang tu, digunakan untuk tujuan perubatan di sana. Pesakit hanya perlu merendamkan kakinya di dalam kolam tu aja. Eee, gelilah.
"Kenapa angkat kaki... tiba-tiba ni." Tanya Nuha, apabila percikan air tu singgah ke bajunya. "Adalah..." kata Baya, sambil tersenyum. Dia jadi takut kepada ikan siakap Abang Badli mencium kakinya pula. Mereka sambung membaca.
Sedihnya... abah suruh dia jadi guru macam Kak Long aja. Padahal dia hendak jadi doktor... paling-paling pun jururawat macam Kak Nuha.
Nuha segera teringat ibunya di rumah. Ibu memang lebih sayangkan Kak Natasya berbanding Nuha. Itulah yang dia rasa sejak bertahun-tahun ini. Kakak sulung Nuha tu bukan sahaja cantik, tetapi kerja sebagai akauntan lagi. Itulah buat ibu bangga sangat. Nuha masih ingat lagi majlis kenduri kahwin Kak Tasya dibuat meriah sampai berbulan-bulan orang bercerita tidak habis lagi. Sayangnya, akhirnya Kak Tasya juga menghampakan ibu. Selepas Kak Tasya berkahwin dia mulai melupakan ibu. Apa-apa pun dia lebihkan keluarga sebelah suaminya sahaja. Ibu pun jarang-jarang dapat berjumpa, Nana, satu-satunya cucu perempuannya.
Apabila ibu jauh hati dengan Kak Tasya, barulah ibu teringat dia masih ada Nabila dan Nuha. Tetapi antaranya dengan Kak Bila, ibu tetap pilih kasih... kakak tengahnya itu, tetap menjadi kesayangan ibu. Ibu memang tidak sayangkannya. Bagaimanapun sejak Nuha berpindah ke kampung ini, hubungannya dengan ibu semakin intim.
"Kakak tolonglah nasihatkan Alang tu jangan pergi... sian kat emak." "Tak naklah... Baya ingat Alang tu nak dengar nasihat Kak Nuha, ke?" "Manalah tahu." "Emak kata nak kahwinkan sahaja Alang dengan orang kampung ni... supaya Alang tak pergi jauh." "Kahwinkan? Baguslah juga tu...." kata Nuha, tetapi siapalah yang nak jatuh hati kepada Alang kecuali Hanis! Sambung Nuha dalam hati.
Baya ketawa perlahan. "Ya, emak nak kahwinkan dengan Kak Nuha." "Oh, nak kenakan akak, ya." Suatu cubitan singgah di tangan Baya. Aku rela tak berkahwin seumur hidup daripada terpaksa menjadi isteri Alang tu.
"Nuha!" Suara Badli yang sedang cemas mengejutkan mereka. Nuha dan Baya berpaling serentak. "Tolong, Alang accident...." Baya sudah terkejut, dan air matanya sudah menderu. "Teruk ke?" Nuha bertanya dengan tenang. "Pergelangannya kena mata pisau, semasa mengoyak sabut kelapa." "Teruk ke, Abang Badli?" Tanya Baya sekali lagi.
{Bersambung}
ANEKDOT: Sebenarnya ada kerja menggunung, tetapi kerana sasaran kaksu nak siapkan 15 entri untuk bukan Januari... terpaksalah siarkan entri yang 'belum empuk' lagi ni :(
ALANG: Nuha, saya sudah beli novel Nyanyian Tanjung Sepi pesanan awak tu. harganya RM29.90... selebihnya tu, tips untuk sayalah. Saya beli di Pustaka Teguh Ceriteria. Saya harap selepas awak membaca Nyanyian Tanjung Sepi ni... awak... awak sepatutnya.... Alah, malaslah bercakap dengan orang tak reti bahasa ni.
NUHA: Tak reti bahasa apa? Awak cakap Jerman tentu ajalah saya tak tau...lah.
"Terima kasih, awak sepatutnya tak perlu bersusah payah tunggu... saya sampai habis tugas, di sini." Kata Nuha kepada Alang.
Semangatnya untuk lulus ujian memandu semakin berkobar-kobar sejak peristiwa semalam. Haji Yatim telah menyuruh Alang dan Baya menghantarnya ke rumah Kak Zan, selepas itu kedua-dua beradik tu pulang. Sementara Nuha pula terpaksa menemani Kak Zan ke hospital daerah dengan ambulans. Lalu Nuha tunggu sehingga Kak Zan selesai dibedah dinihari tadi. Tadi apabila keluar dari hospital untuk membeli Milo panas, dia nampak Alang di ruang menunggu. Nuha tidak berbohong, dia senang hati apabila melihat ada orang yang dia kenali di ruang legar menunggu itu. Biarpun, Alang tu musuh ketatnya; tetapi dia tetap rasa lega. Namun perasaan senang itu dia simpan separuh di dalam hati dan separuh lagi tidak bisa disembunyikan. Senyumnya tetap terukir di bibir.
Alang mengangguk sahaja. Dia tidak semangat untuk mengusik Nuha seperti selalu. Mujurlah Kak Zan masih sempat dihantar ke hospital semalam. Tali pusat anaknya sudah terbelit di leher. Kalau lambat tentu sahaja bayi itu akan kelemasan. Nuha sekadar jururawat desa, dia bukannya bidan... tentulah dia tidak tahu berbuat apa-apa sekiranya keadaan menjadi semakin gawat semalam.
Nuha menilik jam sekali lagi. Masih awal lagi. Belum pun pukul empat pagi. Gerai-gerai di seberang jalan tetap cerah dan meriah. Sesekali kedengaran bunyi ambulans yang 'memunggah' pesakit.
Nuha rasa lega sekali. Setelah semuanya selesai, barulah Nuha sedar dia lapar sungguh. Semalam dia tidak sempat makan pun. Dia baru sahaja teringat yang pada Faisal dan Raniya. Tentu mereka telah pulang ke hotel. Kedua-dua mereka menyewa di Batu Feringgi.
"Awak lapar, Nuha?" "Ya. Saya nak ke seberang jalan sana aja. Kedai-kedai makan depan tu masih cerah, tentu masih ada jual apa-apa. Paling-paling Milo panas." Kata Nuha sambil berjalan ke depan. Untuk pertama kali dalam hidupnya di sini, dia rasa lelah untuk bergaduh dengan Alang. Mungkin kerana letih ataupun dia jadi terharu kerana Alang datang dari kampung dengan bersusah payah untuk menunggunya. Padahal dia sebenarnya, boleh balik dengan 'prebet sapu' sahaja ke rumah apabila hari mulai siang sikit.
"Emak, bekalkan nasi untuk awak. Emak ralat awak tidak sempat makan malam tadi. Saya ambilkan ya, walaupun sudah sejuk... tetapi tentu masakan emak jauh lebih sedap berbanding awak makan di gerai tu." "Terima kasih." "Ya." Alang berlari ke kereta dan dalam sekejap sahaja dia datang dengan beg plastik berisi makanan.
Nuha terasa segan apabila mengingatkan semalam dia baru sahaja bergaduh dengan Alang dan dinihari ini, Alang dengan susah payah membawa gulai ikan kering kesukaannya ke sini.
"Awak dah makan?" tanya Nuha sekadar berbasa-basi. "Belum. Emak bekalkan banyak, tak habis kalau awak makan seorang." Kata Alang sambil mempamerkan lesung pipitnya yang sebelah tu dengan percuma. "Saya makan dengan awak ya, Nuha. Saya tidak berselera kalau kena makan sorang-sorang." Kata Alang. Tadi pun emak sudah berpesan untuk jaga keselamatan Nuha. Yalah, inilah tugas Nuha yang pertama – terpaksa keluar daerah menghantar pesakit.
"Kita makan depan gerai tu lah. Hah, macam nak bersahur pula." Kata Nuha, membuang malu. Padahal semalam dia sudah seronok bukan main kerana tidak perlu makan sehidang dengan Alang. Tiba-tiba dinihari ini dia terpaksa makan berdua pula. Tetapi dia sudah berjanji dengan hati. Dia tidak mahu bergaduh dengan Alang sekarang ini. Alang sopan sahaja saat ini. Esok dan hari-hari seterusnya, dia tidak berani berjanji.
Mereka duduk di meja panjang dekat lampu terang di gerai seberang jalan tu. Alang membuka penutup bekas plastik pakai buang tu. Ada tiga lauk yang Mak Raja kirimkan; sweet sour udang galah, gulai ikan kering dengan terung dan ikan tenggiri goreng. Tentu sahaja tidak banyak lauk seperti di rumah Mak Raja waktu makan malam tadi, tetapi dia tetap bersyukur.
Alang memesan dua pinggan nasi. "Mak Raja dah kirimkan nasi, ni?" "Tapi dah sejuk sangat, nanti awak tidak berselera makan... apatah lagi kalau awak makan dengan 'musuh ketat'." Balas Alang. "Siapa kata?" "Baya kata, awak kata saya 'musuh ketat' awak semalam." Nuha tertawa. Tahu tak apa!
Mujurlah nasi panas itu membuat hidangan dinihari itu terasa sedap sangat. Baiknya Mak Raja. Macam emak saudara sendiri. Bertuahnya Pipah menjadi ahli keluarga Mak Raja nanti. Alang memberi bekas nasi berisi nasi kepada adik tu. Boleh buat nasi goreng, katanya. Mentang-mentanglah dia tu 'orang buat bendang' nasi sebutir pun menjadi begitu berharga kepadanya.
"Nuha, kenapa awak tak panggil Mak Raja sebagai 'emak' sahaja seperti orang lain. Emak kecil hati, tahu tak?" Nuha malas untuk menjawab. Dia tahu Alang sedang mengenakannya. "Saya habiskan ya." Kata Nuha, mengelak daripada menjawab soalan Alang. "Awak ni kecil sahaja, tetapi makan kuat sungguh." Kata Alang. Mereka masih meratah-ratah udang dan isi ikan tenggiri. Berselera sangat. Tidak sangka dia masih berselera makan sampai begitu sekali, sedangkan jam baru sahaja menunjukkan pukul 4.20 pagi.
Nuha tersenyum. "Saya ni kecil-kecil cili api." Balas Nuha. "Ya, awak ni berani sangat. Kalau saya tak tunggu tadi... awak nak lintas dan makan kat sini lah, sorang-sorang?" Alang mengangkat mukanya, dan mata mereka bertemu. Nuha menunduk dan terus menghabiskan suapan terakhirnya. "Lihat ni, Nuha... mana ada orang perempuan pun kat sini. Awak kena pandai jaga diri. Jangan percaya pada semua orang dengan mudah." Nasihat Alang. "Dengan awak boleh percaya, tak?" "Tengok... orang beri nasihat, dia main-main pula." "Saya tanya ni?" Alang tersenyum. "Tanyalah hati awak, nak percaya saya atau tidak?"
Mereka membisu sejenak. "Saya... kena berani. Pekerjaan saya memang membuat saya kena berani." "Nuha, apa-apa pun awak mesti minta tolong pada saya, ya! Kita bergaduh tu hal yang lain, tetapi apabila awak minta tolong... saya kena bantu, Uncle Tajul dan Faisal dah serah tanggung jawab pada saya." "Kalau ayah dan Faisal tak minta tolong... awak bantu saya tak." "Bantu." "Kenapa?" "Awak tu macam Baya... macam adik saya." "Terima kasih." Tiba-tiba Nuha rasa terharu dengan kata-kata Alang.
"Awak tahukan... ayah awak sedang usahakan untuk awak balik bertugas di KL?" "Ya? Tapi... saya suka kerja kat sini!" Balas Nuha dengan muka sedih. "Walaupun tiap-tiap hari gaduh dengan saya?" "Ya, walaupun tiap-tiap hari gaduh kena dengan awak. Ayah ni, buat saya macam budak kecil... malam ni saya mesti telefon ayah." Kata Nuha. Nuha mengumpul bekas-bekas plastik yang telah kosong dan membuang dalam tong sampah. Dia tidak suka bekas plastik pakai buang, tak elok untuk alam sekitar. Tetapi untuk membawa balik dan membasuh – rajin seperti Hanis – dia malas pula.
"Awak tak nak balik... sebab segan untuk berjiran dengan Faisal?" Muka Nuha sudah berubah. "Nuha, betul ke awak suka dekat Faisal? Kenapa awak tak cakap dekat Faisal... awal-awal ?" "Awaklah punya fasal?" "Eh, saya pula?"
Nuha membasuh tangan di singki. Dan mula menghirup Milo panas perlahan-lahan. Alang pula minum kopi o pekat perlahan-lahan. "Awak yang kenalkan mereka?" "Mereka kan sepadan?" "Oh, jadi awak kata saya ni tak eloklah... hodoh sangatlah." "Elok... orang macam awak sesuai dengan lelaki handsome macam saya saja." "Eleh, perasan handsome!" "Eh, semua orang kata muka saya kacak ala-ala Hossam Ahmed Mido... pemain bola sepak tu." "Eleh, rasanya dengan kepala lutut Mido pun tak tentu lagi. Saya dah tengok gambar dia dalam paper. Tak sama pun. Awak jauh LEBIH.... tak kacak berbanding dia!" "Nuha, awak tengok kepala lutut Mido ya? Tak baik tau... aurat bagi seorang lelaki melepasi kepala lututnya."
Nuha jadi sebal, dia terperangkap lagi. Ustaz ni bukan main, pandai membelit. Padahal yang dia sedang bercakap dengan aku, yang bukannya muhrimnya... dia tidak pula memperingati dirinya sendiri.
"Awak nak pergi mana, tu?" Nuha segera membayar harga nasi dan air dan berlalu untuk melintasi jalan ke arah hospital semula. Nak harapkan si Mido Tiruan ni bayar, nanti dia charge aku berapa pula, desis hati kecil Nuha. Jururawat-jururawat pelatih di sebelah jalan sana telah terlebih dahulu menekan punat di lampu isyarat untuk melintas lintasan belang. Alang segera mendekati Nuha semula. Mereka masih menunggu lampu isyarat bertukar warna merah. Kereta masih bersimpang siur walaupun hari masih dinihari.
"Marah lagi ya?" "Bukan, saya sedang jaga aurat... tak mahu berdua-duaan dengan bukan muhrim." Balas Nuha, sambil membetulkan ikat rambutnya. "Betul tu, Nuha! Kata-kata awak tu betul semuanya." Suara Alang mendatar. "Lain kali Ustaz Mido, apabila nak menasihati orang... tiliklah diri sendiri dulu ya." "Nuha, betul. Semuanya betul. Cuma emak suruh saya bawa awak balik dengan selamatnya." Kata Mido Tiruan lagi, sambil mendahului Nuha melintasi jalan dan mereka berselisih dengan jururawat-jururawat pelatih di tengah-tengah lintasan belang tu.
"Kali ni awak nak charge berapa?" Alang terpinga-pinga tidak faham. Kemudian dia baru sedar fasal tambang tu. "Awak, saya mana ada duit bayak. Awak lainlah tauke kilang beras dan ada bendang berelung-relung. Orang kaya! Saya ni jururawat desa sahaja." "Bukan harta saya, harta abah. Saya cuma anak orang kaya. Bukan saya yang kaya! Saya sekadar menumpang kerja saja." Mereka diam semula.
"Saya nak balik dengan teksi sahaja, selepas solat subuh nanti. Awak baliklah dulu." "Nuha, nanti emak marah saya. Nanti emak tahu kita sedang bergaduh lagi." "Memang pun macam tu. Kenapa pula takut kalau Mak Raja tahu kita asyik bergaduh, sememangnya macam tu pun." Kata Nuha. Alang tidak membalasnya.
Nuha jalan beberapa langkah dan terserempak dengan orang yang mabuk dekat-dekat situ. "Adik... cantik... mari-mari." Kata pemuda tu, sambil mendekati Nuha. Lelaki yang terhuyung-hayang itu membisikkan rayuannya lagi.
Nuha cepat-cepat berjalan dekat dengan Alang. "Takut ya?" Nuha tidak menjawab. Dia malu betul kerana jual mahal dengan pelawaan Alang tadi. Memang pun Nuha takut. Tanpa perlu mengaku pun si Alang tu pasti mengerti.
"Jom balik. Sejam lebih lagi dah nak subuh. Masih sempat solat di rumah." Kata Alang. Nuha memang tidak selesa solat sebelum mandi pagi. Apatah lagi badannya sudah berbau ubat hospital. Seronoknya dapat balik terus ke rumah. Tapi rasa senang itu enggan dipamerkan kepada Alang. Nanti rambutnya yang sudah besar tu, akan semakin mengembang lagi.
"Awak duduklah di belakang, saya janji tak ambil sewa dan ambil penumpang dalam perjalanan nanti. Hari ni saya bukannya jadi prebet sapu... tetapi supir dan anak bos. Oke?" "Ya, sekejap... saya pergi cakap tengok condition Kak Zan sekejap." "Lima minit, saya nak balik cepat... esok pagi ada orang nak deal beras."
Nuha berlari ke pintu depan Hospital Sungai Petani.
Semalam apabila dia ingin memandu keretanya tanpa lesen, Alang sempat berbisik kepadanya, "Bawa kereta tak ada lesen macamlah orang kahwin tapi tak ada surat nikah!" Alang ni memang sah sewel.
ANEKDOT Kata Alang: "Pinkjambu – lesen kereta mati bukannya apa-apa Em & Klavu – tak bawa lesen pun tak mengapa... asalakan boleh memandu Nina – lesen tak ada tu bahaya, tau Kaksu – tak ada lesen, tak tahu memandu... macam mana?"
"Abang tak tahu Nuha kat sini. Mujur Alang cakap. Dah tukar nombor telefon baru pun tak beritahu abang." Sambut Faisal dengan mesra sebaik sahaja Nuha memberi salam. Pada mulanya Nuha sudah malas ke rumah Mak Raja. Alasan kurang sihat itu ingin dijaja pada Hanis dan Pipah sejak awal. Bagaimanapun selepas itu Nuha menukar fikirannya kerana ugutan surat dari Alang. Dia jadi bimbang Alang buat cerita apa-apa pula pada Faisal. Alang ni betul-betul tidak boleh harap. Dia suka bercakap apa sahaja tanpa fikir perasaan orang. Itulah yang menakutkan Nuha sejak awal.
Nuha mengangguk sambil bersalam dengan Raniya Wafa'. "Niya, ni adik kesayangan abang... Nuha." Faisal anak tunggal Engku Idris memperkenalkan Nuha kepada isterinya. Ya, aku sekadar adik kesayangan kamu. Kalaulah aku sedar perkara ini sejak awal! "Abang Faisal selalu sebut tentang Nuha, sebab tu Kak Raniya teringin sangat nak berkenalan." Kata Raniya dengan lemah lembut; suaranya gemeresik dialek Inggeris-Arab. Aku tahu Raniya ni walaupun warganegara Malaysia, dia dibesarkan di luar negara dan jarang sekali pulang ke Malaysia.
Mataku memandang Raniya sekali lagi... ya, dia memang cantik betul. Kalau dulu aku hanya terpesona dengan namanya, kini aku juga kagum dengan raut wajahnya itu. Wajah lembut dan wajah keibuan. Di khemah pelarian itu, dia merawat anak-anak mangsa perang. Kem Kandahar tu sudah menjadi rumahnya sejak bertahun-tahun. Itu yang ibu maklumkan pada Nuha sejak awal. Semua orang kagum kepada Doktor Raniya. Raniya dan Nuha tidak mungkin pernah setaraf sampai bila-bila. Dia dengan aku, seperti merak di kayangan dengan gagak di rimba. Cantiknya dia....
Betullah tu, kalaulah aku ini Faisal, tentu sahaja aku tidak akan melepaskan peluang untuk memperisteri Raniya. Dia macam puteri, bukannya macam aku sekadar anak patung Barbie. Aku melihat Alang sedang tersengih meraih kemenangan di sudut rumah. Bencinya. Aku rasa dia sudah dapat meneka hati aku sejak petang tadi. Dan Alang tentu sahaja sedar, tekaannya tepat sekali. Raniya mengucup pipi Nuha kanan-kiri-kanan seperti kebiasaan orang-orang Arab. Minyak wanginya yang lembut terasa menusuk sehingga ke hati.
Cantiknya dia. Tidak mungkin aku terlawan cantiknya rupa dan halusnya budi bahasa dengan Raniya Wafa' ini seumur hidupku. Badannya langsing, tingginya mungkin 5"7'... aku agak-agak sahaja. Sejak jadi jururawat ni, tekaan aku jarang yang salah. Kulitnya putih dan halus serta gebu. Wajahnya sukar untuk digambarkan dengan perkataan. Dia lebih cantik dari Permaisuri Rania isteri Raja Abdullah dari Jordan tu. Tidak sangka ya, di Malaysia ni ada wanita yang sangat cantik macam Doktor Raniya Wafa' ini. Sebak berkumpul sedikit di dada. Raniya yang ayu itu memandang Nuha dengan penuh mesra.
"Alang, mesti tolong jaga keselamatan Nuha, di sini." Kata Faisal. Itu sahaja yang Faisal bimbangkan sejak pertama kali Nuha memberitahunya yang Nuha ditugaskan jauh ke pedalaman.
Jaga? Aku tidak perlu seorang Pak Guard, apalagi pengawal peribadi. Pandai-pandai saja si Faisal ini.
"Jaga! Aku memang jaga, Sal. Dia nak pergi mana-mana memang aku yang hantar. Uncle Tajul memang dah serahkan tanggungjawab tu pada aku, sejak awal." Balas Alang sambil tersenyum lebar sehingga jelas kelihatan lesung pipitnya yang sebelah tu.
Betullah tu, duit aku seratus ringgit pun dikebasnya. Ingin sahaja aku hebahkan pada Faisal – pada saat ini – biar padan muka Alang. Tetapi aku tetap takut kalau dia bercerita fasal aku menangis dalam kereta api pada malam akad nikah Faisal dulu tu.
"Terima kasih, Alang." Kata Faisal dengan tenang. "Jangan cakap macam tu, sudah tanggung jawab nih." Balas Alang penuh bangga seperti baru sahaja dia selamatkan tuan puteri daripada bahaya raksasa.
Banyaklah tanggungjawab kamu tu, Alang. Duit seratus ringgit aku pun, engkau songlap semuanya, cemuh Nuha di dalam hati sekali lagi. Tapi syukurlah... kurang-kurangnya dia tidak pernah terhutang budi dengan Alang. Budinya sudah berbayar hari itu. Alang ni betul-betul macam Mat Lanun. Mujurlah hari ini aku sudah dapat gaji, kalau tidak aku terpaksa mengemis makan daripada Pipah dan Hanis aja. Dia ingatkan pabila aku tengok sawah padinya yang sedang menguning itu, aku sudah kenyang? Tidak perlu makan pun!
Faisal dan Raniya duduk bersebelahan di sofa panjang rumah Alang. Mereka saling menggenggam tangan. Walaupun tidak ketara, tetapi mataku tetap sempat merakamkannya. Inai di tangan Raniya masih berbaki. Cincin perkahwinannya sedang berkilau indah. Dia sungguh cantik, tidak mungkin Faisal memilih aku. Rambutnya disaluti tudung dengan kemas. Baju kurungnya warna merah jambu berbunga kecil itu, serasi sekali dengan tudungnya. Sedari tadi aku tidak puas memandang wajah Doktor Raniya ini.
Aku mencongak di dalam hati mencari kelebihan aku di mata Faisal. Biar secara fizikal apatah lagi secara budi bahasa, aku tidak bisa mengalahkan Raniya dalam abad mana sekali pun. Pada saat aku memandang Raniya, aku sudah mengaku kalah. Pada saat aku menatap Raniya, aku sudah tidak ingin bertanding merebut perhatian Faisal daripadanya. Aku seperti soldadu yang kalah perang. Tidak mungkin aku menang dengan puteri tunggal diplomat ini sampai bila-bila.
Tiba-tiba sahaja kami berempat diam seketika. Masing-masing seperti melayan hati sendiri. "Alang dan terutamanya... terima kasih kerana memperkenalkan aku dengan Raniya. Jodoh yang Allah tetapkan untuk aku... bermula dengan kamu memperkenalkan kami. Terima kasih, Alang." kata Faisal sambil berdiri dan menepuk-nepuk belakang Alang; tidak semena-mena.
HAH, Alang yang telah memperkenalkan mereka? Sekali lagi nafas aku sudah tersekat lagi. Pandai-pandai sahaja si Alang ni. Diri sendiri pun tidak terurus tiba-tiba jadi pencari jodoh untuk orang lain pula. Oh, jadi si Alang inilah segala puncanya. Aku akan isytiharkan perang dengan makhluk bernama Alang ni sampai bila-bila. Melihat Alang tersenyum senang, aku sudah tidak senang duduk. Oh, kamulah orangnya yang menghancur sekeping hatiku ini. Jagalah kamu!
Tetapi di mana pula ya, mereka berjumpa? Alang kan di Australia... atau paling-paling di Jerman. Bagaimana mereka – Alang dan Raniya – berjumpa pula? Nuha masih diburu persoalan yang sama berulang kali, sebelum Mak Raja menjemput 'tetamunya' untuk menjamu selera malam itu.
"Jom... makan dulu, dah nak dekat pukul sembilan ni." Kata Raja Kamariah dengan ramah.
Aku segera bersaing dengan Mak Raja; si Pengantin baru jalan beriringan dan Alang bersendirian di belakang. Beberapa tapak mereka berjalan, Raja Kamariah berhenti dan berpaling ke arah Raniya. "Raniya, Mak Long nak tanya sikit... cuba baca ijazah yang tergantung di dinding tu... betul tak... si Alang ni pass. Ntah-ntah sijil apa-apa kami lekatkan di dinding. Sejak dulu dia tak nak beri kami framekan sijil ni. Ini pun Pak Long kamu dah mengamuk, baru dia gantung sijil ni di sini." Kata Raja Kamariah. Semua mata memandang ke arah ijazah yang berdekatan dengan jam – yang tertulis dalam bahasa Jerman, tentunya.
Dan si Raniya yang fasih dalam enam bahasa bersuara. "Betullah tu Mak Long. Alang memang lulus dari Universiti Hannover dalam bidang biokimia." Kata Raniya sambil tersenyum manis. "Lega Mak Long dengar... Pak Long ingat dia tak pass... sebab tu liat sangat kalau nak suruh dia pohon kerja." "Mak, kan Alang dah cakap Alang pass emak tak pernah nak percaya... nak tanya Raniya pula." "Yalah, kamu tu suka main-main... tak ada siapa pernah tahu kalau kamu bercakap benda yang serius." Balas Raja Kamariah. "Lulus kelas apa, Raniya?" "Dua bahagian tinggi..." kata Raniya.
"Alhamdulillah, Mak Long nak buat kenduri sembelih kambing ni. Mujur kamu ada Raniya... cakap Alang ni bukan boleh pakai semuanya." Raja Kamariah rasa gembira betul, dan dia sudah tidak sabar hendak dihebahkan berita gembira ini pada suaminya yang asyik leterkan Muzzammil setiap hari. Dia bimbang Muzzammil merajuk dan lari lagi.
Nuha memandang Alang tanpa perasaan. Dia lulus rupa-rupanya. Oh, pandai juga si Alang ni ya!
"Emak betullah kata 'orang tu', emak lebih percayakan dia daripada Alang?" kata Alang sambil mengerling tajam ke arah Nuha. "Siapa kata?" "Adalah." "Betullah tu, Alang... cuba serius sikit... jangan main-main sangat. Abah tak suka!" Nuha membalas jawapan Raja Kamariah dengan senyum yang meleret. Kan aku sudah bilang, Alang. Masih tidak percaya, ya? Terima kasih, Hajah Raja Kamariah kerana memberi kemenangan percuma pada Nuha malam ini.
Nurbaya, Afifah dan Hanis sedang sibuk mengatur meja. Semuanya sudah terhidang di atas meja panjang. "Tengok orang perempuan semua rajin-rajin menolong di dapur, awak duduk di depan berbual-bual aja." Bisik Alang di tepi telinga Nuha, apabila mereka sudah mendekati meja makan, tanpa disedari oleh orang lain. "Suka hatilah... awak peduli apa, saya rajin ke... pemalas ke?" Balas Nuha perlahan. Nuha tersenyum lagi. Kenapa pula aku mesti pura-pura rajin, kalau aku sememangnya pemalas?
"Duduklah...." Pelawa Haji Yatim yang baru muncul dari belakang. Melihat abahnya tiba, Alang menjarak diri daripada Nuha.
Nuha memilih tempat duduk jauh dari Faisal dan Raniya. Wow, sedapnya... patutlah bau gulai ikan kering dengan terung ni sudah dibawa angin sejak petang tadi ke rumah Nuha. Dapur 'rumah ibu' menghala ke bilik Nuha. Jadi sejak awal lagi, apa-apa yang dimasak oleh Raja Kamariah, dapat Nuha teka. Lama-lama dia boleh gemuk hanya kerana 'makan bau' sahaja. Nuha ketawa dalam hati.
"Nuha, walaupun awak datang... saya masih berpegang dengan teori saya juga... saya dapat melihat perubahan air muka awak bila bertemu Faisal. Lebih baik awak mengaku sahajalah." Bisik Alang sambil cepat-cepat duduk di sebelah Nuha. Meja makan yang berkerusi lapan itu, sudah terisi semuanya... kecuali di sebelah Haji Yatim. Nuha mengetap bibirnya. Bencilah budak Alang ni! Pergilah duduk sebelah abah dia. Aku simpan tempat ini untuk Baya.
"Alang, apa duduk kat situ... sini. Biar Baya duduk di situ." Kata Raja Kamariah tatkala, Baya membawa nasi yang masih berasap dalam pinggan besar. Nuha cepat-cepat mengangkat ibu jari tangan kanannya di tepi meja. Mata Alang bersinar geram. Nuha mengerak-gerakkan ibu jari tangannya itu berulang kali untuk menyakiti hati Alang, sehinggalah Baya melabuhkan badannya di situ.
"Assalamualaikum." Salam dari luar berulang kali membuat mereka tidak dapat memulakan makan malam. Nurbaya segera ke depan.
"Siapa?" tanya Haji Yatim pada Nurbaya yang baru sahaja datang dari arah depan. "Apul, anak Mak Piah Bidan... cari Kak Nuha. Mak Piah minta tolong Kak Nuha pergi rumah Kak Zan, temankan sebelum ambulans datang. Mak Piah masih di Bukit Meriam, ada orang yang nak bersalin di sana. Dia telefon, hp akak... tapi tidak berangkat." Nuha segera bangun. Leganya. Dia tidak perlu makan bersama-sama Alang. Dan dia tidak perlu berbasa basi depan Faisal dan Raniya. Bagusnya takdir ni!
"Nak pergi dengan apa, Nuha?" tanya Haji Yatim. Dia tahu Nuha belum dapat lesen. "Apul bawa motor!" Balas Nurbaya. "Eh, takkan nak membonceng dengan Apul pula!" Kata Raja Kamariah. Walaupun Apul tu baru 15 tahun, tetapi dia tetap lelaki... tidak manis dipandang orang. "Alang, Baya... pergi temankan Nuha!" kata Haji Yatim. "Baya... Baya belum siapkan kerja sekolah, pagi-pagi esok cikgu dah nak kutip. Banyak abah." Balas Baya cepat-cepat.
"Makanlah sikit, Nuha! Entah-entah lambat lagi baru ambulans datang." Kata Raja Kamariah. "Tak apalah, dah tak sempat ni, Mak Raja." Kata Nuha sambil minta diri. Dia sudah nekad nak bawa Kelisanya, walaupun tidak ada lesen. Dia bukannya tidak boleh memandu... cuma tidak ada lesen sahaja. Kalau Apul tak ada lesen motor boleh menunggang, kenapa dia tidak boleh pulak!
Matahari sudah condong ke Barat. Lambaian padi yang dihembus angin petang berkibar-kibar seperti bendera. Pulang dari klinik desa petang itu, Nuha terkejut bukan main tatkala melihat kereta Faisal, tersadai dekat-dekat tangga batu rumah Haji Yatim. Apa dibuatnya di sini? Nuha terasa nafasnya tersekat-sekat sahaja apabila melihat plat kereta Honda hitam itu. Dia tidak jadi melangkah ke rumah Haji Yatim untuk membayar sewa rumah. Dia betul-betul tergaman.
"Kenapa?" suara garau dari belakang mengejutkan Nuha. "Oh, awak... bagi orang terkejut saja." "Lama tidak nampak muka awak?" balas Muzzammil. Alang Muzzammil baru sahaja balik dari bendang petang itu. Sudah menjadi kebiasaan Alang mandi dahulu di bawah tu sebelum naik ke atas rumahnya. Di tepi rumah Haji Yatim ada telaga lama. Di situlah tempat Alang 'bersiram' setiap hari. "Suka hati lah nak tunjuk muka ke tidak dekat awak." Alang tertawa. Itulah yang membuat Nuha membencinya. Tindakannya tidak dapat diramal. Kita ingatkan dia akan marah dengan jawapan kita, rupa-rupanya dia sekadar ketawa.
"Kenapa awak terhendap-hendap macam tu?" Muka Nuha sudah berubah. Terhendap-hendap? Maknanya dia sudah lama memerhati aku di tepi tangga ni? "Ni nak beri sewa rumah dekat Mak Raja." Kata Nuha mendatar, tidak ada mood untuk bercakap dengan Alang. Sejak isu fasal warna kereta dan hal tudung itu, inilah kali pertama mereka bercakap lagi.
"Bak saya tolong berikan." Nuha menghulur sampul putih berisi duit. Alang terus membuka dan mengira, sebelum menyimpan semula di dalam sampul surat. "Ya, tapi jangan songlap pula!" kata Nuha sambil ketawa dalam hati. Songlap... dia baru saja dapat perkataan itu daripada pesakit luar pagi tadi. Kata Pak Isa, anak dia suka songlap duit... apabila kita nak guna dan pergi semak di bank... sudah habis semuanya.
Muka Alang berubah tiba-tiba. "Kalau tak percaya kat saya... pergilah bayar dekat emak terus." "Bukan tak percaya, saja nak guna perkataan tu aja. Lagipun kalau awak songlap, saya boleh terus beritahu emak awak. Emak awak lebih percayakan saya daripada awak!" "Bukan emak awak... emak kita." Muka Nuha pula yang berubah. Bencilah kalau dia kena usik begitu dengan Muzzamil. Sejak Cikgu Afifa akan menjadi menantu Raja Kamariah, Nuha dan Hanis diajar supaya memanggil 'emak' juga. Kata Raja Kamariah, manalah tahu kalau-kalau mulutnya masin... dia dapat seorang menantu lagi. Menantu? Dengan siapa lagi kalau bukannya dengan Muzzammil? Nuha lebih rela dihantar bertugas di Antartika yang tidak berpenghuni tu, daripada hidup bersama-sama Alang seumur hidup.
"Tak nak naik dulu?" "Tak payahlah, emak awak ada tamu tu." Bisik Nuha perlahan. "Bukannya siapa-siapa... sepupu saya dari KL, dia datang bertandang... memperkenalkan isterinya dekat emak dan abah sahaja." "Oppss, Faisal tu sepupu awak?" "Awak kenal dia, Nuha?" balas Alang. Nuha sudah pucat lesi. Kecilnya dunia. Faisal ada kena mengena dengan Alang pula.
Lama Nuha menunggu jawapan dari Alang. "Ya, sebelah emak saya. Emak tu kakak kepada Raja Zalifah, emak Engku Faisal." "Awak kenal dia?" tanya Alang sekali lagi, masih tidak puas hati kerana Nuha belum menjawab soalannya. "Kenal. Faisal... jiran sebelah rumah saya." Balas Nuha mendatar. "Oh, kalau macam tu naiklah dulu. Dah kenal pun, kenapa nak segan pula. Pura-pura alim kucing, ya?" "Apa pula?" "Betullah tu." Pintas Alang. "Tak payah... tak payah. Jangan beritahu saya di sini ya." Kata Nuha sambil bergegas balik ke rumah.
Hah, mereka ni sepupu? Patutlah ada juga air muka yang saling bertindih. Tetapi tentu sahaja kelebihan dan kebaikan milik Faisal, semuanya. Alang cuba dapat semua yang buruk-buruk sahaja.
Nuha masih berkurung di dalam bilik. Sesekali Nuha menjenguk ke arah rumah Haji Yatim. Selagi kereta Honda tu tidak berlalu, tidak mungkin dia berani duduk di pangkin luar dengan Hanis seperti selalu. Kenapa dia jadi takut sangat untuk bertemu Faisal dengan Raniya. Sudah dua bulan berlalu, tetapi dia belum pun bertentang mata dengan Raniya dan Faisal. Dia takut sangat. Dia takut Faisal dan Raniya dapat meneropong terus jauh ke dalam hatinya yang paling dalam.
Jantungnya bergerak pantas sungguh pada saat itu. Tetapi kenapa ya, Nuha tidak pernah kenal keluarga Muzzammil sebelum ini. Padahal keluarga Nuha dengan Faisal akrab sekali. Mereka bukan sahaja tinggal berjiran, malah sudah seperti saudara mara. Kalau sesekali keluarga Faisal dari kampung datang menziarahi, keluarga Nuha juga dijemput untuk makan bersama-sama. Itulah yang menghairankannya. Kenapa dia tidak pernah kenal Alang dan keluarganya sebelum ini.
Tiba-tiba saja kedengaran suara Baya memberi salam dari pintu dapur membuat Nuha tersentak dari lamunan. Matanya mengerling jam. Sudah enam petang.
"Kak Hanis... Kak Afifa, emak ajak makan malam di rumah. Ada tetamu jauh emak nak kenalkan." Kata Baya. Aduhai, aku terasa ingin menyorok sehingga ke hujung dunia pada saat ini. Aku ingin pura-pura tidur. Tetapi waktu-waktu senja merah begini mananya aku berani. Tolonglah, janganlah aku dijemput ke sana. "Kak Hanis... Kak Nuha ada?" "Masuklah... Nuha ada, di dalam biliknya." Suara Hanis gembira sekali menyambut Baya di ruang dapur. Dia segera berhenti mayang bawang merah, apabila dijemput makan di rumah Haji Yatim malam itu. Rancangan awal untuk memasak kurma telur dilupakan serta merta.
Sahlah, Hanis sudah jatuh hati pada 'Mido Tiruan' ni. Itu Nuha sangat sedar, akhir-akhir ini. Setiap kali dia kompelin kelakuan buruk Alang pasti sahaja ditentang oleh Hanis. Lagipun sejak akhir-akhir ini, Hanis melayan Nurbaya dengan mesra sekali, bisik hati Nuha tatkala mendengar suara ceria Hanis dari dapur. Yang paling ketara sekali, Hanis sudah mula memanggil Mak Raja sebagai 'emak' juga sama seperti Pipah.
"Kak Nuha, ada sepupu Baya dari KL datang... dengan isterinya." Kata Baya. Baya sudah di bilik Nuha dan Baya sedang duduk di hujung katil. Sedari tadi Nuha pura-pura membaca buku entah apa-apa yang terletak di atas meja.
Aduhai Baya, itulah antara makhluk yang tidak ingin aku jumpa pada saat ini. Aku belum bersedia lagi. Betul-betul belum bersedia untuk melihat isteri orang yang rupawan tu. "Kak Nuha... Alang suruh panggil akak nih. Dia sudah beritahu Abang Faisal akak tinggal di sini." Cis, Alang ni... sudah dipesan jangan beritahu, itulah yang dibuatnya awal-awal lagi. Kenapalah dia ni tak pernah berhenti menyakiti hati orang. Nuha menatap wajah Nurbaya sesaat. Terasa ingin dicekiknya Alang pada saat itu juga.
"Tadi... Abang Faisal terkejut bukan kepalang, sebab sudah lama dia tercari-cari alamat Kak Nuha... rupanya akak kat sini. Dan Kak Raniya yang cantik tu pun... beria-ria sangat nak jumpa Kak Nuha tau. Jomlah kak, tengok pengantin baru." Pujuk Baya sambil meraih bahu Nuha. "Kak, kata Alang... kalau Kak Nuha tak mahu datang... berikan surat ni pada Kak Nuha. Akak dengan Alang tu ada apa-apa ke?" "Ada... apa-apa pula? Musuh ketat tu adalah." Balas Nuha tiba-tiba. Mukanya merah seluruhnya. "Kak betullah kata Alang...." "Alang kata apa lagi?" "Bila akak marah, muka akak sweet betul... sebab tulah dia suka mengusik akak supaya marah. Katanya... muka akak macam anak patung Barbie." Heh, sweet macam anak patung Barbie? Mana cantiknya muka anak patung tu. Dari kecil lagi aku tidak suka anak patung yang seksi-meksi itu. Hah. Muzzammil tuduh aku seksi? Geramnya. Walaupun aku tidak pakai tudung lagi, tetapi aku tidak pernah pakai baju yang tidak senonoh tau. Bencilah.
"Bacalah kak... 'pesanan penaja' tu?" Baya cuba bercanda, sambil matanya melirik ke arah surat yang secebis itu. "Nantilah." "Kak kata Alang lagi, sebenarnya... bukan dia... Alang Rebus Tak Empuk... tetapi akaklah... Nuha Rebus Tak Empuk. Alang tu melampau, nanti Baya cubit dia bagi pihak akak ya." Kata Baya sambil berlalu apabila terdengar suara emaknya melaung dari 'rumah ibu'.
Nuha mula membaca cebisan surat Alang. Memo apa ni panjang sangat?
Awak, Kesimpulan yang dapat saya buat ialah, awak memang ada hati pada Faisal (yalah, orang kacak dan keturunan Engku lagi). Awak merajuk sebab Faisal berkahwin dengan Raniya dan bukannya dengan awak. Oh, jadi sebab itulah awak menangis sahaja sepanjang malam dalam kereta api hari itu. Tidak fasal-fasal sahaja kepala saya kena ketuk dua kali dengan buku. Padahal saya betul-betul tidak sengaja. Awak marahkan 'nyamuk aedes'... 'ubat nyamuk awak tak mahu pasang dan kelambu awak bakar pula '.
Cik adik, kalau awak tidak datang ke rumah saya untuk makan malam nanti, sahlah segala teori saya itu betul.
P/s: Datanglah awal sikit, supaya emak nampak awak tu rajin sikit. Sekarang ini emak asyik puji-puji Hanis dan Pipah rajin masak dan kirim makanan kepadanya. Kalau awak tidak pikat hati emak mentua, tidak gunalah awak penat-penat jatuh hati dekat saya selama ini Nuha!
Cis, cuba gertak aku pula ya. Dan satu lagi, amboi bukan main ya tuduh aku cuba menggoda dia pula. Mahu sahaja aku upah peguam untuk hantar surat saman kerana fitnah mengarut ni. Alang ni memang tidak reti bahasa sungguh.
[Bersambung]
Glosari Songlap - mengelapkan Reti - tahu Tak payah - tak perlu Bak - beri
ANEKDOT: Ingin ucapkan terima kasih kepada ADINDA TULIP kerana tolong kemaskan rumah kaksu sehingga jadi begitu cantik sekali. TULIP langsir dan cat dinding tu, warna hati kaksu... ungu tu warna kesukaan kaksu. Bil renovation tu hantar pada Kak Ayu ya :p Terima kasih daun keladi, ya!
Melihat kereta Kelisa itu sampai kelmarin, aku diburu rasa marah kepada Alang Rebus Tak Empuk; tanpa titik noktah. Lalu ceritaku akan bermula dari sini. Alang membalas dendam untuk banyak perkara....
Perjalanan aku bersama Alang pagi itu diteruskan juga meskipun Cikgu Afifa dan Hanis tidak dapat menemani kami ke Bagan. Nurbaya pula tiba-tiba ada aktiviti kokurikulum pagi Jumaat itu. Melihat Alang menghidupkan enjin kereta – Mercedes model 50-an kepunyaan Haji Yatim itu – aku cepat-cepat duduk di bangku belakang. Alang tu memang sengaja memilih kereta lama warna putih gading itu, untuk menyakiti hatiku. Padahal Haji Yatim ada kereta lain yang lebih 'moden'; model terbaru. Tetapi Alang sengaja memandu Mercedes besar seperti teksi-teksi yang digunakan di sebelah utara ini, untuk membawa aku ke Bagan pagi itu. Agaknya kereta antik itu pernah digunakan pada zaman Haji Yatim mengurat isterinya, Raja Kamariah lagi.
Hatiku semakin bimbang dengan motif Alang pagi itu. Kalau kereta antik tu rosak di jalan nanti, sahlah Alang akan memaksa aku menolak kereta itu seorang-seorang. Alang tentu sahaja akan senang-senang duduk di 'bahagian pemandu', untuk menghidupkan enjin... kerana dia tahu yang aku tidak mempunyai lesen lagi.
Mujurlah aku sudah cepat-cepat berebut duduk di bangku belakang seperti Puan Besar dengan supir, pagi itu. Dan mujurlah juga si Alang tu, tidak kisah dengan tindakanku itu. Dia tidak pula kompelin apa-apa dan mukanya sedikit pun tidak berubah. Leganya. Aku sudah merasai kemenangan telah memihak kepada aku. Mercedes lama buatan orang Jerman itu ternyata masih kukuh dan masih hebat di jalan.
Bagaimanapun kesenanganku tiba-tiba berubah, apabila tiba di pertengahan perjalanan, Alang mulai buat perangai. Dia mengangkut orang yang macam-macam jenis di sepanjang jalan. Asal sahaja, orang menahan dia berhenti dan memberi mereka tumpang. Diisinya penumpang-penumpang itu di ruang belakang, ramainya bukan main... macam ikan sardin dalam tin. Geramnya.
Ada yang naik dan turun, menjadikan perjalanan kami yang sepatutnya cepat menjadi lambat betul. Apabila semua penumpang turun aku mulai kompelin.
Sambil ketawa sinis, dia berkata, "Yalah, hari ini saya bawa 'prebet sapu'." Aku betul-betul sebal dengan jawapannya. Apabila tiba masanya orang turun dan ingin bayarkan tambang, dia dengan manis muka berkata. "Tak apa, kak... tak perlu bayar. Cik adik di belakang ni sewa sebuah kereta... dia belanja semua orang hari ini."
Geramnya aku. Kalaulah aku tahu dia hendak jadikan kereta ini sebagai 'kereta sapu', tentu sahaja aku chup duduk di depan awal-awal lagi. Aku memang tidak selesa dengan penumpang yang berbagai-bagai bau dan perangai, duduk berhimpit di sebelahku... sepanjang perjalanan tadi. Aku jadi marah betul kepada Alang, di dalam hati aku terus berdoa supaya ada roadblock, dan Alang ditahan atau didenda kerana membawa 'kereta sapu'. Baru padan muka. Bencilah Alang ni.
Dia memberhentikan aku di depan bank, dan menemani aku keluarkan sebahagian lagi duit yang ayah kirimkan. Separuh lagi memang ayah telah pindahkan ke akaun 'Mido Tiruan' itu. Apalah yang ayah pandang dan percaya pada Alang ini, entahlah. Sedangkan aku sentiasa sahaja akan berhati-hati dengannya. Tanpa perlu Siti berpesan pun, aku akan memperingati diriku setiap detik waktu.
Setelah mengurus pembelian Kelisa dan bertengkar dengan Alang fasal warna Kelisa itu minggu lalu, aku ingatkan semua masalah sudah selesai. Rupa-rupanya, kereta yang sampai kelmarin itu bukannya warna pilihan aku. Silver metalic... secantik warna mutiara, kata Alang. Entah bila dia sempat menelefon dealer kereta dan menukar kepada warna kesukaannya. Kereta ini untuk aku, atau untuk dia? Pandai-pandai saja.
Alang ni memang tidak gentleman pun. Dia sedikit pun tidak seperti Engku Faisal. Alang ni teruk sangat. Padanlah dia selalu kena leter dengan Haji Yatim. Aku tidak tahu, berapa lama lagi Alang akan tahan duduk di kampung ini. Yang jelasnya, aku juga akan memainkan peranan untuk 'mengusirnya' pergi jauh dari daerah ini. Kehadirannya mengganggu ketenangan aku di kampung ini.
Apabila sampai waktu pulang dari Bagan tiba, aku cepat-cepat duduk di bangku depan. Aku sudah tidak sanggup duduk di belakang lagi. Aku jadi bimbang dia akan angkut orang lagi. Sampai aja di pertengahan jalan, Alang singgah untuk solat Jumaat dekat masjid di Permatang Sintok. Aku sudah tidak tahan hati untuk ketawa. "Kenapa?" "Muat ke rambut awak nak masuk dalam songkok?" Aku lihat muka Alang sudah berubah. "Kenapa awak tidak habis-habis dengki dekat rambut saya, padahal awak tu lagi teruk?" "Teruk? Kenapa?" "Ya, awak tu lagi teruk... awak tu tak pakai tudung dan biarkan diri awak dalam dosa!" kata Alang sambil berlalu.
Kata-katanya membuat aku tidak jadi menyambung ketawa lagi. Selama ini tidak ada sesiapa pun berani menegur aku yang tidak menutup aurat, tetapi Mat Afro ni dengan beraninya berkata begitu. Agaknya kerana itukah, Faisal memilih Raniya yang cantik dan waraq tu? Hatiku berteka-teki. Tetapi... aku sebenarnya belum bersedia lagi untuk memakai tudung dan menutup aurat betul-betul. Aku melihat muka di cermin kereta pada ketika itu. Rambut lurus separas bahu itu, aku segera ikat dengan cekak kain yang sedia terikat di pergelangan tanganku. Ya, kalaulah aku hendak memakai tudung nanti, bukannya kerana aku hendak please sesiapa. Habis tu kenapa masih berlengah, Nuha? Hatiku sinis menyoal!
Nuha, kalau begitu... pakailah kerana Allah. Hatiku terus memujuk. Hukum wajib yang telah ditetapkan oleh Allah. Ya, seperti mana apabila ayat Quran berkenaan hijab turun, perempuan-perempuan Muslimah di Mekah menarik kain apa sahaja di sekitar mereka untuk menutup aurat. Sedangkan kamu Nuha, kedai kain ada di mana-mana... tetapi masih keras hati juga.
Tengah hari itu panas betul, dan sementara menunggu Alang usai solat, Nuha mendekatkan mukanya pada penghawa dingin kereta. "Tak solat?" sapa Alang, tiba-tiba mengejutkan Nuha. "Di rumah sahaja nanti. Masih ada waktu." Nuha mengerling jam di dashboard. "Awak dulu sekolah di mana, Nuha?" Lembut sahaja Alang menyoal, agaknya sebab dia baru sahaja selesai solat, hatinya jadi baik tiba-tiba.
Namun begitu Nuha tetap curiga kepadanya. Apa pula kena mengena soalan itu dengan hidupnya? Tanya Nuha di dalam hati berulang kali sebelum menjawab. "Convent Kajang! Kenapa?" "Bila awak masuk sekolah tu, awak ikat rambut dengan reben warna apa, ya?" "Kenapa?" "Jawab sahajalah!" "Kalau tak?" "Kenapa ya, awak ni sombong sangat?"
Nuha akhirnya memilih untuk menjawab. Sudah berkali-kali Alang menuduhnya sombong. "Putih, hitam atau biru tua sahaja." "Berani tak awak pakai reben warna lain ke sekolah?" "Mana boleh, kena ikut peraturan sekolah... kalau tak markah merit saya kena potonglah." "Kalau undang-undang sekolah awak boleh patuh... hukum agama lebih-lebih lagilah, Nuha." Nuha sudah terjerat. Alang ni memang pandai membelit, kebolehan mantiknya boleh tahan juga.
Nuha tidak berminat untuk membalas. Apa yang Alang kata, memanglah betul. Bagaimana untuk menyangkal lagi? "Nuha, siapa kata 'tiada paksaan dalam agama'... tiada paksaan tu bagi yang belum menganut Islam. Tetapi kalau sudah memeluk atau berada dalam Islam, hukumnya mesti dilaksanakan... sama ada suka atau tidak. Hukum memakai tudung itu, tidak pernah ada excuse." Kata Alang sambil mula memandu dengan cermat. Nuha di sebelahnya sudah masam muka. Nuha memang malu dengan kata-kata Alang, tetapi dia tidak mahu mengaku.
"Nuha, kalau awak pakai tudung, saya akan potong rambut saya dengan kemas. Awak kan tak suka tengok rambut saya ni, kan?" "Awak! Kalau saya nak pakai tudung, saya pakai kerana Allah... tidak payah nak buat barter trade dengan rambut awak tu. Lagipun awak tu siapa? Kita tidak ada kaitan apa-apa pun. Saya sekadar menumpang sewa rumah Haji Yatim." "Oh...." balas Alang sambil tersenyum manis. "JADI... jangan ingat, ayah saya suka dekat awak... saya perlu berbaik dengan awak juga. Ayah saya hanya minta tolong awak temankan saya hari ini. DAN ini bermakna awak ada hak untuk mengatur hidup saya." Kata Nuha, tinggi rendah – tidak tentu arah. "Amboi, garangnya cik adik ni." Kata Alang terus memandu sambil tertawa.
Mereka diam sepanjang perjalanan. Tidak ada apa-apa untuk ditengkarkan lagi. Nuha sudah tidak ada semangat untuk melihat pandangan indah di sepanjang perjalanan lagi. Terasa dia ingin pura-pura tidur, tetapi Nuha takut pula dia betul-betul tertidur. Dia jadi bimbang kalau dia mamai ke apa ke... Alang akan dengar pula.
"Nak singgah makan?" tanya Alang tiba-tiba. Nuha menggeleng. "Minum?" Nuha menggeleng lagi. "Kalau macam tu, tunggu dalam kereta. Saya nak makan sekejap. Kalau nak mogok lapar pun biarlah yang berfaedah, rugi tahu. Ikan bakar di sini sedap." Kata Alang sambil berlalu ke gerai makan di tepi jalan tu. Nuha menilik jam di pergelangan tangan. Sudah pukul 2.45 petang. Dia memang lapar, dan dia terpaksa mengakui hal ikan bakar itu memang membuatnya kecur air liur. Padan muka, nak merajuk konon!
Apabila sampai di rumah, Alang meminta Nuha membayarnya lapan puluh ringgit. "Untuk apa?" "Tambang pergi balik, singgah bank dan masa menunggu awak membeli kereta... saya kan 'prebet sapu'! Tu pun kira murahlah tu. Itu tidak termasuk buah tembikai dan teh ais limau yang saya belikan untuk awak tadi." Nuha membundarkan matanya sehingga hampir terkeluar biji mata. Alang tersenyum sehingga jelas kelihatan lesung pipitnya. Kalau orang ada lesung pipit sepasang, Alang ni cuma ada sebelah lesung pipit sahaja. Sebelah kiri. Dia memang tak betul dan sewel.
"Nuha, lagipun saya bukan siapa-siapa bagi awak, kita kan orang asing... awak kan sekadar menumpang sewa di rumah abah saya." Balasnya dengan tenang lagi. Hati Nuha sudah semakin bagai digaru kerana sakit hati. Nuha menghulurkan duit seratus - not lima puluh dua keping - lambat-lambat, tanpa berani berkata apa-apa lagi. Itu sahaja duitnya yang tinggal untukku berbelanja bulan ini sebelum nak akhir bulan. Mujurlah Nuha sudah beri barang dapur untuk bulan ini. Alahai kalau tak nak makan apa?
Tanpa rasa malu lagi Alang mengambil kesemuanya. "Selebihnya... tips ya," katanya dengan muka manis, sebelum berlalu. Nuha benar-benar sakit hati, tak gentleman langsung 'Mido' ni. Senimanlah konon.
"Nuha, awak tidak tahu ke, kita ni saudara se-Islam? Tanggung jawab sebagai saudara se-Islam itu tetap saya pikul."
Kata-kata Alang itu mengikut aku sepanjang malam itu. Apabila mendengar gendangnya berbunyi malam itu. Aku mula teringat kepada kata-kata Alang siang tadi, semula. Rasa marah kepadanya, tidak pula berkurangan... walaupun kata-katanya, banyak yang betul daripada yang salah. Tatkala aku menyisir rambut yang halus dan lebat serta lembut itu sebelum keluar rumah, aku terpaksa mengaku, rasa berdosa itu menemani aku di mana-mana. Itulah yang terjadi sejak peristiwa Kelisa metalik itu, aku beli.
Tadi walaupun aku baru sahaja selesai ketawakan Alang jatuh ke dalam kolam, tetapi aku juga sedang sedih mentertawakan diri sendiri masih belum menutup aurat dengan sempurna.
Glosari Kereta sapu / prebet sapu = teksi secara haram
ANEKDOT: Selamat Menyambut Eidul Adha. Semoga lambaian Kaabah yang bergema di seluruh alam, melambai kita menunaikan rukun kelima pada waktu yang terdekat... Insya-Allah.
p/s: kaksu sudah menukar n3 ke-8; kebiasaan/kesenangan 'Mido' ialah memukul gendang dan dram pada waktu malam... bukannya, gitar. Jumpa lagi di 'surat ungu' yang lain ya :o
-:: 8 ::- EDISI BELUM EDIT sebutir cintaku yang hilang sedihnya tertambak di dada
Angin penghujung bulan Februari berdesir gemalai. Musim hujan baru sahaja selesai. Anak-anak padi sudah setinggi separuh betis, hatiku diburu rasa senang sekali.
Aku menatap ke arah sawah bendang yang menghijau dari jendela kamar. Kamar kecilku, menghala terus ke bendang saujana mata memandang. Aku tertawan lagi. Takjub! Sungguh takjub... ya... bagaimana aku boleh betah tinggal di daerah ini, padahal sudah bertahun-tahun aku membesar di Kota Metropolitan? Mungkin juga kerana suasananya yang indah damai membuat hatiku jadi senang menetap di sini. Atau mungkin juga kerana aku sedang merajuk dan membawa hatiku yang sedang rawan, lalu tempat ini menjadi medan pelarian untuk aku bersembunyi dengan perasaan sendiri!
Itulah yang sering aku tanya dengan hatiku sendiri, tetapi jawapan tetap tidak pernah lagi menyebelahiku. Aku dibiarkan sendiri...tanpa ada pilihan jawapan.
Tiba-tiba hati Nuha berdetik lagi. Apa khabar Faisal? Sudahkah dia – mereka – pulang daripada bulan madu? Aduhai masa, dapatkah aku merawat luka di hati? Sembuhkah kalau luka itu kuubati sendiri? Rasa sedih itu menghimpit lagi seperti hari-hari kelmarin. Nuha menghapus air mata di hujung jari.
Nuha memerhati ke arah jendela sekali lagi. Dari jauh dia dapat lihat Alang sedang sibuk di batas bendang. Asar sudah lama berlabuh, dan anak muda itu masih belum puas mengatur langkah di bendang. Rajin benar dia! Kata Baya, Alang sudah mulai bekerja dengan Haji Yatim; abah mereka. Alang mengurus kilang padi abah mereka, dan kadang-kadang menyelia sawah bendangnya juga. Itu sajalah sejarah hidup seniman kita itu, balas Nuha di dalam hati. Kenapa ya, kami masih tidak dapat berdamai? Tanya hati Nuha sekali lagi. Lelaki ego yang sentiasa merasakan dia pandai dan kacak itu memang susah untuk dimengerti.
Kata Baya, abangnya selalu mendakwa dia tu sekacak Mido, pemain bola sepak dari Mesir itu. Kesiannya seniman kita yang seorang ini, memuji diri sendiri tanpa rasa malu dan segan. Yalah, kalau sudah tidak ada sesiapa yang ingin memujinya, dia perlulah ambil inisiatif sendiri. Agaknya 'Mido' ni sedang terperangkap dalam ego sendiri. Sejak aku tahu, dia tu 'Mido'... aku tidak pernah berhenti melanggan akhbar Star dan New Straits Times serta majalah Shoot; mencari gambar pemain bola sepak yang beraksi untuk Tottenham Hotspur itu. Pada hari yang ketujuh belas... akhirnya aku dapat melihat 'wajahnya' terpampang dalam ruangan sukan di akhbar Star. Gambar besar dan berwarna itu, aku tatap berulang kali; sebelum aku membuat SATU kesimpulan. Begitu rupanya orang kacak itu... namun aku tidak pula nampak raut wajah Mido dalam muka Alang pun! Perasan. Perasan sungguh. Susahlah kalau orang hidup dengan rasa perasan ini!
Setelah tahu begitu rupanya Mido sebenar (dan membandingkan dengan 'Mido' tiruan), aku pun sudah berhenti melanggan akhbar dan majalah Inggeris. Tiba-tiba Hanis jadi hairan, kenapa semangat berkobar-kobarku membaca bahan-bahan sukan dalam bahasa Inggeris - sebulan yang lalu - berhenti mendadak. Tidak mungkin aku bercerita kepada Hanis, aku sekadar teringin melihat bagaimana rupanya, Mido. Itukan rahsia yang aku kunci kejap-kejap dalam relung-relung hatiku. Depan Hanis aku ingin kelihatan manis.
Lalu akhirnya aku terpaksa 'mereka cerita' dan memberitahu Hanis, yang konon-kononnya semangatku untuk fluent dalam bahasa Inggeris sudah mengendur. Tambahku lagi, lebih baik aku belajar loghat Kedah daripada belajar bahasa Inggeris. Lalu Hanis mengusik, aku sudah jatuh hati dengan orang Kedah sebab itu aku ingin belajar loghat mereka. Suka hati kamulah, Hanis... aku malas untuk berdebat.
Kenapa ya, aku suka ambil tahu dengan cerita dan hidup Alang. Kampung kecil ini tiada apa-apa benda yang menarik untuk dilakukan, mungkin... kerana itulah cerita-cerita Alang lebih menarik hatiku.
Semalam Siti Muzlina, menelefon bertanya khabarku. Banyak cerita yang aku dengar dari mulutnya. Terasa aku tertinggal beribu-ribu detik dari masa mereka. Cerita kawan-kawan kami di sekolah jururawat dulu; membuat aku tersenyum-senyum sepanjang malam. Rupa-rupanya cuma aku yang terlepas – bekerja – di kampung ini; yang lain-lain bekerja di hospital besar... di bandar besar.
Sebelum meletakkan telefon Siti sempat berpesan, "Nuha kena hati-hati sikit dengan Alang tu... dia tak tu berapa betul sikit. Dia tu belajar biokimia di Jerman, tapi tak khatam... sahlah dia ketulah semangat Hitler dalam mendera hati orang."
Tanpa perlu berpesan pun aku tetap berhati-hati, Siti! Balas aku di dalam hati. Aku cuma malas untuk melafazkan kalimat itu sahaja kepada Siti. Mana tidaknya, Siti dan Alang tu, tetap saudara sepupu. Mana aku berani! Walau bagaimanapun aku ni tetap orang luar bagi Siti. Dengan Alang... aku selalu meletakkan jarak di hati apatah lagi di alam sebenar. Aku juga tidak mahu mencari fasal dengannya. Apatah lagi aku sering diingatkan oleh Hanis: antara cinta dan benci hanya dipisahkan oleh satu garis halus. Lalu aku jadi takut untuk membencinya sungguh-sungguh... tetapi jauh di sudut hati, aku memang sedang membencinya sungguh-sungguh. Begitulah yang aku rasa!
Minggu lalu begitulah, aku dan Hanis sedang berbual-bual di pangkin belakang rumah. Kami berteduh di bawah pokok limau bali dekat-dekat bendang itu. Petang itu Pipah masih di sekolah, suasana damai sahaja. Aku sedang makan tebu dengan Hanis. Aku pepak macam tu aja, gigi aku memanglah kuat... Hanis asyik ketawakan aku. Katanya, gigi aku kuat macam gajah. Hanis tu rajin, dipotongnya buku tebu menjadi persegi kecil selepas dibuang kulitnya. Hanis makan seperti gadis-gadis yang bersopan santun. Menggigit dan memamah serta menghisap manisnya madu tebu dengan tertib.
Dalam sedang kami berseronok-seronok berceritalah itulah, tiba-tiba aku terdengar ada benda yang jatuh 'berdebum' ke dalam kolam. Apabila mataku beralih ke arah bunyi; aku lihat Alang sudah di dalam kolam ikan itu. Ya, kolam dekat dengan pokok jambu air tu – tempat Alang selalu bertapa setiap hari itulah. Alang memang suka tidur di buaian yang terentang di situ. Kalau tidak ada apa-apa lagi untuk dilakukannya, itulah pekerjaannya; tidur pulas di dalam buaian macam bayi terlebih makan vitamin.
Alang terkapai-kapai sekejap dan apabila Alang timbul dari kolam itu, aku lihat rambutnya kemik... opps... kempis... macam tayar kereta pancit. Maaflah, aku tidak dapat menyeka ketawa seperti Hanis, si gadis yang bersopan santun itu. Aku senyum seperti tidak cukup mulut selepas ketawa panjang. Sebelumnya aku melihat kepalanya besar dan badan kecil! Macam kepala ikan keli atau kepala helikopter saja. Rupa-rupanya, saiz kepala Alang tu macam kepala orang lain juga. Aku sendiri tidak pernah menduga... Alang ni daripada jenis spesies manusia normal macam aku juga, rupa-rupanya.
Hah, ketika itu Alang malu bukan kepalang. Dia tercari-cari suara yang ketawa dan sudah pasti matanya yang tajam seperti singa itu singgah ke mukaku. Aku berhenti ketawa pada saat itu juga, sambil menutup mulutku yang sedang menguntum senyum pula. Hanis sudah berlari masuk ke dalam rumah. Menyambung senyumnya di sana. Dia tidak mahu terlibat dengan persengketaan aku dengan Alang, mungkin. Atau dia memang ada hati pada 'Mido'? Yang jelasnya, sejak awal lagipun dia memilih jalan tengah: tidak menyokong mana-mana pihak.
Aku memandang Alang yang sudah lencun. Kesiannya. Dia seperti kucing parsi yang tebal bulunya, tiba-tiba jadi ramping setelah jatuh dalam longkang: basah kuyup. Mukanya yang selama ini bulat kembang, menjadi kuncup macam bunga seri pagi waktu sore. Kesiannya. Dia tu bagaikan anak ayam serama yang ditimpa hujan. Alang, Alang... alangkah kesiannya. Aku ketawa sekali lagi. Dia mendengus perlahan dan berlalu.
Namun kegembiraan aku tidak pernah panjang, kalau hal-hal yang melibatkan Alang ni. Ada saja malang yang menimpa kemudiannya. Beberapa hari lalu ayah menelefon Haji Yatim, untuk meminta tolong daripada Alang supaya temankan aku membeli kereta Kelisa di Bagan. Chewah, aku pun sudah pandai menyebut kata Bagan seperti orang utara. Ayah sudah masukkan wang muka, dan aku hanya perlu membayar sambungan pinjaman itu sahaja. Ayah sudah tidak benarkan aku ke sana ke mari dengan basikal lagi. Dia bimbangkan keselamatan aku, tentunya. Yalah, mana tahu kalau-kalau aku terpaksa bertugas waktu malam, bagaimana?
Sejak ayah menziarahi Haji Yatim awal-awal tahun dahulu, ayah dan Alang sudah mulai akrab. Mereka sama-sama suka penyanyi Bob Marley dan kumpulan Beatles. Dan ayah tiba-tiba terasa muda semula apabila berbincang hal muzik dengan Alang. Alang, si seniman tidak tentu arah itu terperangkap dalam zaman mana pun, aku tidak pasti... tidak tahu. Aku malu bukan kepalang pada Haji Yatim, apabila ayah masih suka akan muzik dalam usia 50-an. Ayahku kan seorang ahli Dewan Negara; seorang senator pula. Aku jadi hairan ayah mudah sangat terpengaruh dengan idea-idea mengarut Alang. Dan hanya kerana rasa akrab di antara mereka... si Alang diberi suatu misi besar, membeli kereta untukku!
Ya, kereta itulah... kereta Kelisa bawah pokok asam tu. Warna perak metalik. Aku sikit pun tidak berkenan. Pandai-pandai saja dia memilih warna itu untuk aku. Sedangkan ayahku hanya minta dia tolong temankan aku sahaja, tetapi dia pula tolong buat keputusan untukku. Bencinya. Aku lebih suka warna-warna terang atau biru gelap. Tapi kata Alang, warna silver metalic itu cantik macam... macam mutiara! Aduhai susahnya kalau dia tidak mampu menjadi Mat Bunga, dia jadi Mat Mutiara pula!
Aku terus mengumpul semua kesukaan si Alang Rebus Tak Empuk itu. Alang tu sukakan puisi-puisi kemanusiaan; dia akan bercakap dalam bahasa Jerman apabila sedang marah; dia cintakan dan pemuja mutiara melebih keindahan permata-permata yang lain; dia senang sekali dengan gaya rambut Afero seperti Boney M; dia suka tidur dalam buaian seperti bayi terlebih makan moi; dia suka bermain dram dan gendang di tengah malam buta.
DAN yang utamanya, dia suka sekali bergaduh serta mencari fasal dengan aku!
[Bersambung]
Glosari: Moi - Bubur nasi/ nasi air Pepak - kunyah
ANEKDOT: Rasanya kaksu kekeringan idea, maaf juadahnya tidak enak :(
jangankan untuk menyapamu untuk menoleh pun aku enggan
"Nuha, mai sini... apa yang awak buat ni? Cuba rasa sayur ni... rasa... sayur ke serawa ni?" "Serawa?" Nuha buat-buat innocent macam anak kucing jatuh dalam abu. "Pengat... sayur lemak kacang apa ni, manis melecas dan bubuh daun pandan pula." "Oh, orang tak bubuh gula dan daun pandan buat sayur lemak kacang panjang ya?" Nuha pura-pura terkejut pula. "Awak ingat ni bubur Asyura ke? Sengaja ya? Sengaja nak cari fasal dengan saya... ikan ni ada ke goreng sampai hangus hitam macam ni, kucing pun tak lalu nak makan, tahu." "Ia?" "Gulainya pula masinnya... awak nak bunuh saya, Nuha?"
Kalau nak bunuh dengan masinnya garam lambat sikit kesannya, senang lagi beri racun tikus. Nuha tertawa dalam hati. Sejak semalam dia tak habis-habis menyakat aku, sekarang rasakan lah! Dia ingat aku ni, perempuan yang tiada perasaan ke? Dia ingatkan hanya dia seorang sahaja di dunia ini yang berjiwa seniman, gamaknya? Selama ini hanya dia sahaja yang ada sensitiviti... aku ni sebagai manusia biasa, tak ada rasa sebegitu... rasa sebagai seorang seniman? Banyaklah awak punya seniman, Cik Muzzamil! Hati Nuha mencemuh.
"Saya mana biasa masak... dan saya tak biasa pun masuk ke dapur. Di rumah saya ada bibik dari Surabaya yang masak untuk saya setiap hari. Saya kan budak KL. Orang Kota Metropolitan." Kata Nuha lagi, pura-pura tak ada perasaan. "Buat hilang selera orang sajalah." Kata Muzzamil sambil mencapai kunci motoersikal dan turun ke bawah.
Nuha segera membuang semua saki baki makanan ke dalam tong sampah. Sebentar kemudian Nuha menghidangkan semula dalam pinggan yang lain. Gulai ikan keli yang sedap hasil air tangan Baya; sayur kacang panjang goreng dengan udang dan ikan gelama goreng. Dia juga letakkan air sirap dan nasi. Nanti mestilah Baya tidak percaya cerita yang dibawa oleh abang kesayangannya itu; apabila dia merasai hidangan di meja. Padan muka.
Nuha segera menyertai Du'a yang sedang membaca majalah di ruang tamu dan mempelawa Du'a makan tengah hari. "Dah makan di rumah dah, sebab tu Du'a lambat." Selepas berbasa-basi sekejap dia meminta diri untuk tidur sebentar. "Kak nak tidur dulu, apa-apa hal... Du'a kejutkan akak ya." "Kak... saya ada hal nak cakap sikit ni. Saya nak guna telefon bimbit akak sekejap, boleh." "Boleh, sekejap akak ambilkan. Kenapa Du'a? Macam cemas sahaja." "Memang cemas kak, Kak Li'a kawan Alang tu... sudah kahwin dengan orang lain. Saya takut Alang ke rumah... nanti jadi perang saudara pula dengan suami Kak Li'a." "Cepatlah, kalau macam tu... akak pun jadi bimbang nih."
* * * * *
"Kenapa Baya tak cakap Marlia dah kahwin dengan Badli." "Alang tak tanya... mana Baya ingat nak bercerita pulak." "Du'a pun tak cakap... nasib baik Alang tak kena katuk dengan Badli tadi, kerana mengurat isterinya." Kata Muzzamil. "Alang sebenarnya ada apa-apa ke dengan Kak Li'a." "Ada apa pula?" "Yalah, emak pun tanya benda yang sama... apabila Mak Esah tanya hal Alang dengan Kak Li'a hari tu. Mak Esah memang tak nak lepaskan Kak Li'a lagi, tapi Alang pun tak janji apa-apa. Alang pun tak kerja. Siapalah yang hendak buat menantu. Sebab tu lah, emak mana berani nak janji apa-apa dengan Mak Esah."
Baya berhenti sekejap. Menunggu Alang membalas kata-katanya. "Alang... Baya tumpang simpati." Kata Baya. "Simpati apa pula? Tak ada apa-apa pun... memang tak ada apa-apa pun. Li'a tu sekelas dengan Alang sahaja, dah tu dia sedara kita pula. Itu sahaja. Dah lah Baya, jangan nak buat drama pula kat sini."
Padan muka... malulah tu, kalau aku jadi Li'a... aku pun tidak teringin nak tunggu kamu, Muzzamil. Macam orang yang tak ada pedoman hidup saja. Nuha membesarkan telinganya. Kenapalah aku jadi macam ni, hendak ambil fasal hal Muzzamil ini? Padahal aku sendiri sedang duka nestapa. Kekasih hatiku pun kahwin dengan perempuan lain, dah perempuan tu kerja doktor pula. Sedihnya.
"Alang, kalau Alang tak ada apa-apa perasaan... kenapa Alang bawa hadiah ni? Alang nak beri kepada Kak Li'a ke?" soal Norbaya apabila melihat kotak warna biru tua dari Baldu. "Hadiah ni, bukan untuk Li'a... tetapi untuk Baya." "Yalah tu, tiba-tiba rantai tangan mutiara ni untuk Baya pula. Mengaku ajalah... rantai tangan ni untuk Kak Li'a... buah hati Alang, kan." "Betul, untuk Baya. Kalaulah Alang jumpa buah hati nanti, Alang akan propose dia dengan karangan rantai mutiara yang Alang sendiri menyelam di lautan luas." "Ada ke rantai tu sekarang." "Sibuk! Penyibuk!" kata Muzzamil sambil mengerling. Juga mengerling ke arah Nuha yang pura-pura tidak mengendahkan perbualan mereka dua beradik.
Lama mereka bercerita fasal orang kampung, dan Nuha sudah malas untuk memasang telinganya. Tiba-tiba telinga Nuha membesar lagi. "Baya, Alang laparlah. Dari tengah hari tak makan." Setelah marah kepada Nuha dia ke rumah Badli, di sana dia jumpa Marlia. Sungguh tidak disangka, Marlia memilih untuk menerima Badli dalam hidupnya; daripada menanti aku. Tetapi yalah, aku yang tinggalkan Li'a tanpa sepatah kata, mana mungkin Li'a dipersalahkan kerana tidak setia. Lagipun rasa-rasanya aku tidak pula menyimpan apa-apa perasan yang mendalam kepadanya. Betulkah begitu?
Entah kenapa, ya... aku tidak betul-betul menaruh hati kepada dia. Sejak sekolah dulu pun, dia sekadar temanku yang paling rapat; tidak lebih dan tidak kurang daripada itu. Betulkah begitu? Padahal semalam Marlia adalah sebuah alasan kenapa rinduku tidak pernah usai untuk kembali ke kampung ini. Tetapi hari ini perasaan itu tidak ada lagi! Kenapa?
Mungkinkah kerana Li'a telah memilih Badli, teman baikku (dan teman baik Li'a juga, tentunya) dan aku senang sekali melihat mereka sangat berbahagia. Kalau bukan kerana Marlia, kenapa ya... keinginanku untuk pulang ke kampung menjadi begitu kuat sekali? Aku sanggup tinggalkan pekerjaan yang aku senangi dengan pendapatan yang lumayan... hanya untuk pulang ke desa yang terpencil ini....
"Alang, tak makan lagi? Jangan buat storie baru!" Norbaya menyoal seperti inspektor polis. "Kak Nuha tu masak ntah apa-apa. Gulai masin, sayur lemak jadi serawa... ikan hangus, rentung hitam macam masak arang." "Alang ni tak baik tau, tuduh bukan-bukan pada Kak Nuha. Alang tak suka dia ke? Kenapa?" Muzzamil mengikut Norbaya dari belakang ke arah dapur. Du'a telah lama pulang. Dapur dengan ruang tengah tu dekat sahaja.
"Alang tahu, tak... Angah dah bertunang dengan Cikgu Pipah." "Zahran dengan Pipah? Pipah mana?" "Dia sewa di rumah sewa kita... di belakang ni. Baru ni Angah balik cuti, dia jatuh hati... dan emak terus masuk meminang. Cuti sekolah nanti sudah nak dilangsungkan." "Hah, Zahran dah sedar daripada 'koma'?" "Apa Alang ni? Tuduh macam tu kat Angah." "Alang, Baya rasa... rumah sewa kita ni magic tau... dulu ingat tak, Abang Long sewa rumah tu... terus jatuh hati pada Kak Long Huda. Lepas tu Cikgu Pipah. Lepas ni Alang dan Kak Nuha."
Mata Muzzamil terbeliak luas. "Nuha?" "Tolonglah Baya doakan yang lain, yang elok-elok sikit untuk Alang." "Apa yang tak kena dengan Kak Nuha tu?" sambungnya. "Banyak tak kena, Baya. Serba tak kena, Baya." "Alang ni, dia ajalah yang betul dalam dunia ni. Kalau tak suka dekat Kak Nuha, kita ada juga Kak Hanis. Kak Hanis tu pegawai pertanian, dia pun menyewa rumah tu. Dia tu comel juga, cuma julung-juling air sikit." Sambung Norbaya.
"Baya, Nuha tu kerja apa?" "Haaa, tengok tu, Alang sudah tertarik." Alang mencebik dan Norbaya ketawa senang.
Norbaya mendekati tudung saji dan melihat makanan yang masih terhidang belum terusik. Alang ni menjamah pun tidak, sudah tuduh macam-macam kepada Kak Nuha. Baya merasai sesudu gulai, dan meratah sayur goreng. "Alang buat cerita ya? Gulai ni sedap aja... Baya yang masak. Alang tak suka air tangan Baya ya? Alang sebenarnya, rindukan masakan emak, ya?"
Baya merenung mata abangnya yang jernih. Alang ni macam-macamlah. Muzzamil merasa gulai tu semula. Juga sayur kacang. Dan ikan tu memang digoreng garing elok, berbaris kemas dalam pinggan leper. Nuha ni memang nak kena. Dia hendak mempermainkan aku ya. Tunggulah akan ada revenge lepas ni. Baru dia tahu siapa Muzzamil Muaz Yatim.
"Sampainya hati Alang buat cerita... sayur lemak pula... ni kan sayur goreng. Duduk baru dua tahun di Tasmania, Alang sudah lupa ya untuk membezakan sayur goreng dengan sayur lemak?" "Baya, betul... abang bukannya berbohong. Nampaknya Baya lebih percayakan orang daripada Alang?" mendatar suara Muzzamil. "Alang, baik saja Alang mengaku... Alang sedang patah hati sebab Kak Li'a kahwin dengan Abang Badli... mengaku ajalah, jangan buat cerita Kak Nuha buat aniaya kat Alang pula. Kalau Kak Nuha dengar... kesian dia." Balas Nuha sambil mengambil pinggan nasi.
Ya, aku sedang mendengarlah ni. Dan aku sedang bergembira senang, kata Nuha dalam hati. Wahai Alang, itulah ubatnya untuk orang yang 'berangin'. "Kak Nuha, marilah makan ni. Kita makan ramai-ramai." Nuha segera ke meja makan. Dia jadi seronok melihat muka Alang yang sudah menyinga. Lagipun perut Nuha memang sudah lapar. Jam di dinding menunjukkan pukul lima petang, dan mereka bertiga baru sahaja menikmati makan tengah hari dalam suasana dingin... sedingin nasi dan lauk-lauknya. Hanya Baya yang berceloteh senang. Tanpa sedar angin pijar senang bertiup dalam hati Nuha dan Muzzamil... lahar gunung berapi tu belum meletup aja lagi.
"Ada bukunya, Baya?" "Alhamdulillah ada, Baya siap beli buku ulang kaji pun. Tak sabar nak balut dan nak baca malam ni. Sebenarnya Baya teringin nak belajar di luar negara, tapi sejak Alang jadi macam ni... abah dah tak benarkan Baya ke mana-mana. Belajar dalam negera sahaja... pesan abah." Kata Baya sambil meratah kepala ikan gelama. "Jadi macam mana pula?" kata Alang sambil memandang adiknya dengan renungan tajam. Depan-depan Nuha pandainya dia bercerita seenaknya; memalukan abang sendiri. "Macam nilah... kata abah, Alang tu... rebus tak empuk." Tangan Alang siap mencubit Baya. "Aduh, sakitlah." Jerit Baya.
"Rebus tak empuk?" Balas Nuha dalam hati. Mulai hari ini dia akan panggil Muzzamil ni sebagai 'Alang Rebus Tak Empuk'. Sedap juga nama tu berbanding nama Cik Mamat Si Sarang Tebuan tu. Nama Mamat Si Sarang Tebuan tu klise ajalah... berbanding Alang Rebus Tak Empuk.
Kadang-kadang aku sering tertanya-tanya, kenapa abah selalu sahaja tidak sehaluan denganku? Abah sayang Kak Huda, abah sayang Zahran, abah sayang Baya... tetapi abah memusuhi aku sungguh-sungguh. Membenci... membenciku? Bagi abah, aku merosakkan nama baiknya di kampung ini. Penampilan aku serba tak kena baginya. Salahkah kalau aku buat rambut ala-ala Boney M, kumpulan penyanyi disko tahun 70-an kesukaanku itu. Cantik apa? Semasa di Hobart, ramai yang terpikat dan takjub memandang – seorang penyelam mutiara dari Asia – rambutku yang unik. Malah ikan-ikan dalam laut juga teruja dengan aku. Ikan-ikan tu sering menganggap rambutku aku seperti rumpair – tempat berlindung – dan ikan-ikan di Laut Tasman suka sekali berenang-renang di tepi rambutku. Tetapi di sini orang memandangku seperti....
Hah, macam budak 'No Hal' tu... dia ingat dia cantik sangat lah tu, memandang orang pun dengan pandangan tajam-sinis. Semasa dalam teksi tadi bukannya aku tidak nampak dia asyik memandang rambutku lebih banyak dari memandang wajahku yang... yang kacak jugalah tu. Semua orang kata wajah aku ni ala-ala Mido – pemain bola sepak Tottenham Hotspur – yang berasal dari Mesir itu. Nuha tu memang tidak pandai menilai antara kaca dengan permata. Huh, dan dia tu garangnya mak datuk. Sanggup dia pukul aku yang terlelap dengan buku! Bukannya aku sengaja... aku pun tahu dosa pahalalah.
Kalaulah abah balik esok, pertama sekali tentu sahaja aku harus memotong rambutku! Sayangnya, tapi... ah... biarlah dulu, nanti bila abah berleter baru aku potong pendek. Muzzamil masih sedang tawar-menawar dengan hati, sejak tadi.
Bagi abah aku ni serba tidak kena... serba tidak betul di matanya. Salahkah aku, kalau selepas belajar... aku tidak mahu bekerja macam orang lain? Aku teringin sangat mempunyai kebebasan seperti Badli, belajar akauntan tetapi jadi penternak. Bagi aku, tidak banyak yang aku harapkan dari hidup ini. Ya, aku hanya ingin mengembara mencari ilham untuk puisi-puisi kemanusiaanku, menerokai di setiap daerah; di seluruh lorong-lorong dunia untuk kerja-kerja seniku... tetapi abah tetap tidak mengerti.
Abah bukannya seniman. Kata abah, setahunya... 'usaha tangga kejayaan'... sahlah prinsip abah sudah tidak lagi dibincangkan di kuliah-kuliah Penggajian Perniagaan di seluruh dunia. Mana ada cogankata begitu diguna pakai orang lagi? Sekarang orang mesti menanam SATU prinsip sahaja... work smart dan bukannya work hard.
Setelah bergaduh dengan abah dua tahun lalu, aku melarikan diri ke Hobart menjadi penyelam mutiara. Pendapatan aku lumayan, tetapi abah masih tidak bersetuju. "Tak boleh ke kau ikut Abang Zahran kau tu?" tinggi saja suara ayah pagi itu.
Ikut dia? Ikut macam mana? Abah tidak pernah mampu menghuraikannya. Zahran hanya tahu kerja... kerja... sahaja sampai tidak ada masa untuk memikirkan tentang dunia. Apabila kita tanya apa-apa, dia akan terpinga-pinga. Eh, betulkah ada pengeboman di Bali? Betulkah Tsunami melanda dekat-dekat kampung kita tahun lalu? Betulkah Pengerusi MAS sudah digantikan dengan orang lain. Aku yang tinggal di Tasmania ni pun tahu semuanya, dia yang tinggal dekat dengan tempat kejadian itu tidak tahu apa-apa. Apa ni?
Itulah Zahran, abang aku... buah hati abah. Belajar komputer, kemudian setelah bekerja sebagai pengaturcara sejak empat tahun yang lalu... dia terus tenggelam punca; sesat dalam maya... mindanya hilang di dunia nyata... dia terus 'koma' dari menjadi seorang manusia!
Aku lain. Aku tidak seperti Zahran. Aku ada wawasan. Tapi abah tidak pernah mahu mengerti. Hanya kerana aku tidak berpeluang membawa abah dan emak ke majlis konvokesyen, dua tahun dahulu... abah tuduh aku gagal peperiksaan. Hanya kerana aku tidak mahu menyerahkan ijazah biokimia untuk digantung di ruang tamu rumah... aku dimusuhi abah terus menerus.
Bagaimanapun bulan sudah emak menelefon, abah sudah berubah. Abah mahu aku pulang. Pulanglah sebelum abah tukar fikirannya, pujuk emak. Abah mahu aku membantunya di bendang. Abah tidak mahu aku menjadi penyelam mutiara lagi. Betulkah begitu? Abah sudah memahami yang aku sudah bosan dengan ijazah biokimia itu, agaknya. Abah sudah tidak kisah sekiranya dia terpaksa bayar balik baki pinjaman itu kepada kerajaan. Sebenarnya aku sudahpun melunaskan lapan puluh peratus daripada hutang pinjaman itu, daripada pendapatan dua puluh bulan sebagai penyelam mutiara, di Tasmania!
"Makan." Jerit Nuha dari atas rumah membuat Muzzamil tersentak. Muzzamil memerhati mukanya dalam air di kolam berdekatan dengan buaian bawah pokok jambu air itu. Kalau aku hendak 'mengadap' abah esok – dengan suasana damai, agar abah tidak kena serangan jantung – aku haruslah: • menggunting rambut kesayanganku, • menukar seluar jean lusuh dan bertampung-tampung ini dengan yang baru, • menyimpan gitar ni dalam gudang padi.
Itu sahaja. Susah sangat ke hendak ambil hati abah? Tanya hati Muzzamil untuk sekian kalinya. Generation gap dengan abah, harus dihindari dari awal. Dia sudah rindu untuk menetap di kampung ini lagi semula. Walaupun sebenarnya dia belum pernah puas lagi untuk menggembara. Tetapi yalah, kampung ini sudah lama dia tinggalkan. Dia juga sudah mulai rindu pada abah, emak, Baya, Zahran, Kak Huda sekeluarga... juga sudah tentu kepada dia!
"Makanlah." Jerit Nuha sekali lagi. "Yalah, sibuk!" "Apa awak kata?" "Kata apa?... kata apa, kata apa?" Nuha menarik muka lagi. Mana Du'a ni? Tak sampai-sampai lagi ke? Jauh ke rumahnya. Nuha memandang ke arah jalan untuk sekali lagi.
Mereka berselisih di tangga. "Awak nak ke mana pula tu? Tak nak makan ke?" tegas sahaja suara Muzzamil. "Nanti saja. Kalau awak atas rumah, saya kena duduk bawah rumah... jaga keselamatan diri sendiri." Kata Nuha dengan beraninya.
Mananya Nuha tidak berani; matanya sudah pun melihat seorang gadis memasuki ke arah laman rumah Haji Yatim dengan basikal mini. Tentu sahaja itu Du'a. Sebab itulah mulutnya segera jadi berani, menganggu sarang tebuan itu, tengah hari ini. Cepatlah hari esok, aku sudah tidak tahan duduk sebumbung dengan Muzzamil ni.
"Eh, Du'a... dah besar pun adik Alang nih. Kak Li'a ada di ghumah?" sapa Muzzamil dari atas rumah. "Oh, Alang. Bila balik? Er... er... Li'a ada...." kata Du'a tergagap-gagap, terkejut barang kali. "Ya, nanti lepas makan abang terus ke sana... rindu betul kat Li'a." kata Muzzamil sambil naik ke atas sambil bersiul-siul girang.
Wah, bukan mainnya Cik Mamat Sarang Tebuan ni... ada buah hati pula dia kat kampung ni. Siapalah gadis malang tu? Mujurlah bukannya aku!