catatkanlah rasamu di
BUKU TAMU
Noor Suraya


BUAT MENYAPU SI AYER MATA
adalah antologi cerpen-cerpen NOOR SURAYA sejak tahun 1985 - 2005:
  • Ajerah
  • Anak-anak Kongsi
  • ANA
  • Burung Kenek-kenek Warna Merah Hati...?
  • Cerita Semalam
  • Cinta Hajar Atiqah
  • Cukuplah Sekali
  • Fatimah Anak Perempuan Mr. Kong
  • Hati Zana
  • Maafkanlah Aku, Adibah!
  • Sayang Emak, Zeti!
  • Sepucuk Surat Cinta dari Lembah Kundasang

    Jemput ke...
    Rumah Kecil Tiang Seribu
    Nyanyian Tanjung Sepi

    Ulas Buku:
    Seribu Satu Malam


    Penerbitan
    Jemari Seni Publishing



    E-Novel
    NOOR SURAYA
    @kaksu

    KeBUN MiMPi...


    SURAT UNGU UNTUK NUHA

    edisi cetak

    ~ titipkan pesan buat J@J@
    di jendela ini...~
  •    

    << November 2007 >>
    Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
     01 02 03
    04 05 06 07 08 09 10
    11 12 13 14 15 16 17
    18 19 20 21 22 23 24
    25 26 27 28 29 30


    Bacalah 10 Bab Dulu
    J@J@ & DIN




    Oktober 2009
    [1][2][3][4]
    November
    [5][6][7][8][9][10]


    tudung periuk pandai menari,
    menari lagu putera mahkota;
    kain yang buruk berikan kami,
    buat menyapu si ayer mata....


    NYANYIAN TANJUNG SEPI (2006) diterbitkan oleh CESB




    KERANAMU AIN... (2001) diterbitkan oleh CESB


    "Jika mencintaimu membawa hukuman mati... aku sudah lama mati, Ain."
    [Nik Ahmad Adam]




    BIRU UNGU CINTA (2003) diterbitkan oleh CESB



    "Seandainya terus mencintai Seera adalah suatu dosa... ampunilah keterlanjuranku itu, Tuhan."
    [Abdul Fattah]




    RINDUNYA KIAN MEMBARA (2004) diterbitkan oleh CESB



    "Pabila berkata tentang cinta, kita bagaikan tidak teringin jadi dewasa...."
    [Dr Farhana Haji Abu Bakar]




    TANAH ANDRIYANA (2002) diterbitkan oleh CESB



    "Asap api embun berderai,
    Patah sayap haluan perahu;
    Niat di hati tak mau bercerai,
    Kuasa Allah siapa yang tahu?"



    GURINDAM JIWA: HATI ANDRIYANA (2007) diterbitkan oleh Jemari Seni Publishing









    Who links to me?



    18 Sept. 2007


    If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



    rss feed




    Tuesday, November 06, 2007
    V ~ JAJA MENANTU CHE' PA

    EPISOD 5

    Aku, Dia & Kebetulan

     

    Aku dan dia bagaikan malam dan siang: tidak mungkin lagi bertemu... sebuah fatamorgana!

     

    Pagi Sabtu itu...

     

    5:01 am

    SUHAIMI: Assalamualaikum, Jaja... aku masih di KK ni, nak minta tolong kau ambil Mira dekat Hentian Duta sat. Bas dia sampai dalam pukul tujuh dari Kulim. Jaja jangan lupa, nanti Mira merajuk susah aku nak pujuk, thanks

     

    Ini yang aku benci ini, tiba-tiba aku kena jadi babySister Mira kalau Mie outstation! Aku bukan suka sangat dekat dia. Sambung tidur.

     

    6:01 am

    MIRA: Assalamualaikum, Jaja... bas rosak dekat Rawang... lewat sikit... tapi kau datang awal lah, Mie biasanya tunggu aku... bukan aku yang tunggu Mie!

     

    Tak tau bersyukur, Mira ni... aku dah janji nak ambil pun kira okey, kalau aku tak tunggu? Ingat la sikit, siapa pakwe dia... Mie atau aku? Aku sambung tidur.

     

     7:01 am

    ADILA: Assalamualaikum. Kak minggu depan jangan lupa balik, birthday abah... kita kongsi hadiah macam selalu no... yang mahal no dengan nisbah 3:2:1

     

    AKU: Okey...

     

    ADILA: Kak, jangan lupa ... Lala seperti biasa, yang satu perenam tu Lala punya share. Kak, jangan lupa ambil Lala kat asrama no.

     

    Okey... jawab aku lagi. Sambil membawa badan ke sofa di ruang tamu pula. Ya lah, suara Lala yang manja buat aku tersenyum pagi-pagi... abah akan genap 49 tahun minggu depan... 3:2:1 ya...? Maknanya, hadiah dibahagikan dengan formula: Kak Jaja bayar tiga bahagian sebab gaji Kak Jaja banyak. Kak Nini dua bahagian sebab dia anak kedua dan Lala cuma satu! Bijak, bijak, bijak sungguh adik-adik aku berbahagi harta... tapi untuk abah, aku sebenarnya tidak perlu berkira... walaupun setiap tahun, aku jadi mangsa mereka... mereka order, mereka tumpang tulis nama pada kad, dan bayarnya aku seorang. Ah, nak sambung tidur sekejap lagi. Masih ada masa ni.

     

    8:01 am - tidur semakin nyenyak –

    Telefon berbunyi, berkali-kali... ada ENAM miss call...

    7:41 am - Mira

    7:51 am - Mira

    8:01 am – Mira

    8:11 am – Mie

    8:21 am – Mie

    8:31 am - Mie

     

    Ada... TIGA mesej bersemayam di situ, dan entah berapa voicemail!

    1. Aku dah sampai – Mira
    2. Aku dah lama sampai. Cepatlah – Mira
    3. Kak, Nini nak share hadiah untuk abah juga... tapi hutang dulu sampai elaun masuk. TQ kak, love you.

    Aku masih bermimpi – masih tidak tahu aku ada enam miss called & tiga mesej... dan sekarung voicemail.

     

    Aku sedang mendayung di Sungai Thames dengan 'dia'... tiba-tiba perahu kami sampai Venice... langsung ke Sungai Korok: Wassim tersengih, dan 'dia' hilang di mana... kacau sahaja adik bongsu aku ni. Macam mana pula jalur sungai-sungai di Eropah tu bersambung dengan Sungai di Korok di Kedah ni? Tak pernah ada dalam peta sejak dulu pun. Ajaib! Ajaib!

     

    8:51 am

    Telefon berbunyi lagi, suara Wassim bergema... manja-manja ingin mengena seperti selalu

     

    WASSIM: Kak kalau balik, jangan lupa beli buku fasal gunung berapi untuk adik!

     

    Oh, kerana itulah Wassim masuk dalam mimpi aku yang indah... mengacaulah, Wassim ni.

     

    Jaja bingkas bangun dari sofa, melihat jam di dinding. Meneliti panggilan dan mesej yang berbaris panjang seperti gerabak kereta api. Kacaulah Suhaimi ni, mengganggu tidur aku pagi-pagi Sabtu. Jaja bergegas mencari tuala di bilik, berlari untuk ke bilik mandi. Kepalanya sudah pening-pening lalat asyik diganggu dengan semua panggilan telefon bimbit, sejak enam pagi lagi. Kenapa orang tidak pernah tahu Sabtu ialah hari rehat untuk Jaja. Belum sempat pintu bilik air dibukanya. Sekali lagi telefon rumah pula berdering.

     

    9:01 am

    SUHAIMI: Jaja, kenapa tak sampai lagi... Mira dah tunggu berjam-jam. HP hang kenapa?

    JAJA: Opss, sorry aku tertidur semalam selesema, overdose ubat. Ni aku nak keluar dah!!

     

    Jaja memandu laju ke Hentian Duta. Mujurlah, pagi-pagi ini tidak sesak sangat. Tentu sahaja muka Mira akan berkerut sejuta, Jaja memang rasa bersalah. Dia tidak suka pada Mira satu hal, tetapi dia tidak suka mungkir janji. Biarpun dia lakukan bukannya dengan ikhlas hati. Hanya kerana Suhaimi, teman baiknya... bukan kerana Mira teman wanita, teman baiknya. Bukan!

     

    Mira ni pun satu, kalaulah sahaja dia tidak beritahu Jaja fasal bas rosak itu, tentu sahaja Jaja tidak menyambung tidur. Jaja mencapai tisu. Dikesat hidungnya sekali lagi. Selesema ini sudah dua tiga hari tidak lega. Segera ditelefon Mira untuk minta maaf terlebih dahulu. Sekejap ya, aku dah lepas Jalan Kuching ini, kata Jaja dengan rasa sesal tak sudah.

     

    MUJURLAH, MIRA TIDAK MERAJUK. Dia sedang rehat-rehat di ruang menunggu sambil membaca di situ. Jaja melambai-lambainya, pura-pura mesra cuba menyembunyikan rasa bersalah. Mira membalasnya dengan sebelah tangan, sebelahnya dia memegang buku. Dia terus dan menandakan buku yang dibacanya tadi dengan bookmark. Tangannya pantas mencapai baju sejuk di riba. Sejak dua menjak ini, Jaja sudah boleh menerima Mira sebagai tunangan Mie, 60 peratus. Dia jadi kagum melihat Mira yang bisa menguasai hati Suhaimi secara mutlak. Terasa dia harus berguru dengan Cik Tomboy yang sudah bertukar menjadi sang rama-rama yang cantik... setelah sang lelaki macho dengan rambut separas bahu itu berjaya dipikatnya.

     

    Baru sahaja Jaja melangkah ke ruang menunggu, dia berselisih dengan seseorang yang begitu dekat dengannya lebih setahun ini. Wangi juga baunya. Tetapi bukan minyak atar, sukar untuk meneka apabila hidungnya tersembat  begini. Jaja cepat-cepat berpaling. Ya, dia. Dia melangkah pantas, dan menaiki bas di platform dekat-dekat situ. Bas itu baru sahaja tiba dari Puduraya.

    Jaja jadi terpegun beberapa saat. Sebelum Jaja melangkah mengikut dari belakang. Belum pun sempat dia mengejar, dia sudah duduk di dalam bas itu. Tidak seperti kebiasaannya, bas pagi itu segera sahaja berlalu. Bas hari itu hanya mengambil 'dia' di Hentian Duta: lalu mereka tidak ada sebab untuk menunggu lama.

     

    Jaja terkejut bukan kepalang melihat bas Transnasional ke Utara 'menculik' 'Si Hitam Manis' itu daripadanya. Bagaimana dia dapat mengejar bas yang sedang bergerak meninggalkan Perhentian Duta ini, dengan sandal dan seluar baggy separuh lutut begini? Baju merah cili kelihatan bagaikan traffic light bergerak aja kalau dia harus mengejar bas itu, pagi-pagi Sabtu begini.

     

    Jaja mungkin juga, bukan dia?

    Betul, itulah 'dia'... Jaja mencari gambar dalam dompetnya, memang sudah tidak syak lagi. Dan mata itu buat pertama kali menikam kalbunya di alam sebenar. Jaja tidak lagi sekadar menyimpan rasa pada sekeping foto kaku itu. Ya, dia memang betul-betul wujud. Jaja terasa hendak menangis melihat bas itu menderu laju ke jalan besar... tidak mungkin dia ada kesempatan ini lagi. Ya, sesaat itu dia menangis sambil tangannya melambai tidak sudah-sudah: tidak peduli.

     

    Dia bagaikan bulan yang rindu akan matahari, tapi sayangnya sampai bila-bila pung bulan dan matahari tidak mungkin bertemu. Ya, tidak mungkin bertemu kerana bulan menyirami malam dengan cahayanya, dan matahari menyinari siang dengan sinarnya. Waktu telah memisahkan mereka, teatpi masa tidak pernah bertimbang rasa... lalu aku hilang dalam celah-celah perbezaan masa itu....

     

    "Jaja," Mira mencuit bahunya dari belakang, dan tangannya mengheret beg beroda di sisi.

    "Kenapa menangis?" sambungnya.

    "Bukan selesema." Balas Jaja sambil, mengambil tisu dari saku seluar baggynya, pura-pura mengesat hidungnya dan kemudian, matanya pula.

    Mira mencapai tangannya, lalu gambar itu berpindah tuan.

    "Orang tadi? Kenapa?" tanya Mira dengan cerdik.

    "Tak ada, apa... ingat kawan lama." Jaja mengelak.

    "Orang dalam gambar ini... orang itu, kan." Kata Mira.

    "Tak ada apa-apa. Jomlah kita balik dan pergi sarapan." Kata Jaja sambil menarik beg Mira ke keretanya.

     

    Jaja memandu, melayan rasa dengan diamnya. Hatinya luluh, jiwanya resah. 

    "Orang tadi, naik bas ke Parit Buntar. Nama dia, Din." Kata Mira, seperti mengerti apa yang ada dalam fikiran Jaja sahaja.

    Jaja menjeling Mira.

    "Aku dengar tadi, dia berbual dengan adik lelaki sebelah aku. Dia tu kerja ustaz kut... sebab budak tu panggil, ustaz. Dan kemudian, bapanya budak tu panggil Din. Macam mereka kenal lama."

    Mata Jaja sudah bercahaya. Untuk pertama kali dalam hidupnya dia rasa ingin memeluk Mira, perempuan yang paling dia tidak suka.

     

    "Mira, macam mana kita nak cari. Company aku ada hutang dengan dia, dulu Suhaimi ambil gambar dia sebagai iklan, dan kami masih berhutang." Cepat-cepat Jaja cuba mencantas kemungkinan yang bersarang dalam fikiran Mira. Kalau sampai Suhaimi tahu dia ada hati pada Ustaz Din, mahu sahaja Suhaimi tergelincir Gunung Kinabalu terkejut. Suhaimi masih di Kota Kinabalu, mengambil gambar habitat di gunung tertinggi tu. Lusa baru pulang.

     

    Mira memerhati wajah Jaja. Kemudian dia memegang tangan Jaja.

    "Oh, kita boleh berpatah balik tanya budak tu dengan ayah budak tu." Kata Mira. Hati Jaja sudah berbunga senang. Tadi fikirannya tepu, dia bagaikan sudah putus harapan.
    "Kalau Jaja malu, biar Mira yang tanya." Kata Mira, dan Jaja cuma diam sahaja.

     

    Jaja membelok semula ke Hentian Duta. Selepas parkir kereta, dia dan Mira cepat-cepat ke ruang menunggu. Sayangnya, kedua-dua beranak tadi sudah tidak ada. Kalaulah dia datang awal mengambil Mira, tentu sahaja dia dapat bertemu Ustaz Din. Kalaulah dia tidak tertidur dari bilik melarat sampai ke sofa depan, macam orang kena ubat tidur... tentu dia sudah berkenalan dengan Ustaz Din. Apatah lagi kata Mira, Din sudah di situ ketika Mira sampai. Lama tu!!!

     

    Din? Din sahaja kah? Atau Din apa? Shamshiruddin, Shaharuddin, Shiffuddin, Shanazzuddin, Isllahuddin? Habis senarai anak-anak lelaki arwah Makcik Syikin dia sebut. Atau nama dia Mydin? Iskh ada ke Mydin... tak glamor langsung nama tu untuk orang sekacak dia. Kalau Nini tahu aku jatuh hati pada orang namanya Mydin, tentu dia ketawa tak cukup mulut!

     

    Mira datang sesaat kemudian. Sambil menghulur sekeping kertas.

    "Nombor bas, dan pemandu bas tadi... sah ke Parit Buntar." Kata Mira.

    "Nak buat apa?" aku bukannya nak mengurat pemandu bas ekspres tu, aku nak mengurat Din.

    "Petang nanti bas tu patah balik, Jaja tanyalah dia berhentikan Din ke mana?" kata Mira.

    "Mira... tentulah di stesen, ini kan... bas ekspres, bukannya teksi sapu." Balas Jaja pura-pura tidak peduli, padahal dia rasa sungguh terhutang budi kepada Mira. Tidak terfikir pada ketika itu, untuk berbuat begitu.

     

    "Ya, apa salahnya mencuba..." kata Mira sambil mengenyit matanya yang bundar.

    "Thanks, Mira." Kata Jaja, sambil mendakap Mira untuk pertama kalinya, setelah mengenali gadis itu bertahun-tahun.

    "Sama-sama kasih dengan syarat... kalau kau jadi pengantin, aku akan jadi pengapit." Kata Mira.

    "Eh, aku sekadar nak bayar hutang company, Mira." Kata Jaja dengan rasa sesak nafas. Dalam hati siap duk, amin, amin, amin... masinlah mulut kau Mira.

    "Jaja aku ni perempuan... dan aku kenal juga, antara air mata sebenar, dan air mata kerana selesema."

    Jaja masih buat-buat tidak tahu... dalam kepala otaknya sudah siap terisi beberapa maklumat.

     

    Nama: Din (Din apa tidak tahu.)

    Pekerjaan: Ustaz

    Tempat Tinggal: Parit Buntar

    Umur: ?

    Asal Negeri: ?

     

    Minggu depan dalam perjalanan balik ke Alor Setar, aku singgah ke Parit Buntar... Din & Jaja... sedapnya gabungan itu....

     

    [Bersambung...]


    Posted at 1:40 pm by noorsoraya
    Comments (20)  

    Saturday, November 03, 2007
    IV ~ JAJA MENANTU CHE' PA

    EPISOD 4

    Aku, Dia & Kenangan

     

    Lebih setahun kemudian

     

    MEMERHATI POSTER IKLAN Berhati-hati di Jalan Raya... yang berbingkai ringkas tanpa cermin dan terlekat di dinding, Jaja diburu rasa sedih. Si Hitam Manis (sebenarnya, dia Si Putih Kuning... tetapi Jaja tetap memanggilnya sebagai Si Hitam Manis) belum Jaja temui lagi.

     

    Kenapa panggil dia Si Hitam Manis, Jaja?

    Sebab waktu cinta ku bersemi, lagu itu yang berkumandang di radio. Kan hari tu Jaja dah cakap, kenapa harus buat-buat lupa! Tetapi setelah tahu namanya Burhanudin... Jaja suka menyerunya sebagai 'Din'. Din dan Jaja... kan sedap bunyinya: Din dan cinta itu, sinonim! Gatal!

     

    Jaja, macam boleh tak jumpa?

    Macam mana nak jumpa kalau Suhaimi tidak langsung tahu di mana lokasi tanah perkuburan tu, dan beberapa bulan selepas itu Suhaimi terlupa terus akan hal tersebut. Agaknya kepala Suhaimi tepu dengan masalahnya – Mie dan Mira - sahaja. Aku ini bukannya siapa-siapa yang harus diberi perhatian. Setiap kali (bukannya berkali-kali, ada lah tiga empat kali, sebenarnya) aku bertanya dia, dia akan menepuk dahi, dan berkata: "Sorry, aku lupa lagi. Baru saja minggu lalu aku balik Loq Staq... aku tak dan nak tengok tempat tu."

    Entah kenapa waktu itu, aku masih lagi malu-malu lagi untuk berterus-terang kepadanya. Aku bagaikan cuba menyimpan rasa dengan berselindung di sebalik sehelai kain kasa. Ada ke peribahasa begini?

     

    Cuma yang aku tahu, menurut Man... mereka masuk jalan kampung. Hari itu, pagi Jumaat (tarikhnya, Man lupa). Mereka tidak dapat meneruskan perjalanan kerana hari itu lebuh raya sesak sangat, ada kemalangan jalan raya yang belum dipindahkan sejak Subuh dekat terowong tu. Rasanya selepas Sungai Perak, kami masuk kawasan kampung. Mendengar tip begitu, aku selalu sahaja memandu ke Utara mengikut jalan kampung. Malah kadang-kadang sebelum Sungai Perak pun, aku sudah memintas ke jalan kampung. Manalah tahu, kalau-kalau Man salah bercerita, salah memberi petua?

     

    Aku tidak jemu-jemu memerhati masjid dan melihat kalau-kalau tanah perkuburan itu seakan-akan dalam gambar iklan itu. Aku memandu perlahan. Aku yang selama ini lebih senang memakai jean dan baju-T kalau memandu pulang, tiba-tiba memilih baju kurung. Manalah tahu kalau-kalau aku terpaksa singgah di mana-mana tanah perkuburan dan bertemu dengan Din atau orang yang kenal Din di situ. Tak mungkinlah pula aku berani melangkah ke masjid dengan jean ketat dan baju-T sendat begitu.

     

    Sementara itu, gambar Si Hitam Manis ini pula aku simpan dalam tas tangan supaya senang untuk dirujuk tatkala melalui jalan-jalan kampung. Tetapi hampa. Dia sudah hilang; aku tidak mungkin dapat menjejakinya lagi. Jaja, kamu mengalah dah ke? Tak mungkin pula tidak jumpa, sebab lokasi ini ada dalam peta Malaysia lah, Jaja. Go Jaja go, hatiku memberi semangat!

     

    Di mana dia tinggal, ya? Kalau tahu lokasinya, aku sanggup jadi pegawai banci mengetuk setiap rumah. Jaja, kau ni sudah parah!

     

    "Dia anak jin kut," usik Man. Aku jadi sakit hati. "Anak buluh betung kut," sambung Mie... nasib baik, Mira tidak menambah: kalau tidak... aku... aku. Huh, tak tau lah malas nak cakap. Rasa tidak senangku kepada Mira berlarutan sehinggalah dia menjadi sebahagian watak penting dalam cerita aku dan Din! Nantilah, aku bercerita... kalau sudah bercerita awal-awal mana lagi asyiknya cerita ini. Aku tidak suka kepada Mira, kerana aku rasa, sekiranya Suhaimi tidak memilih Mira... dia akan lebih cemerlang dalam kerjayanya. Mira menyekat kreativiti Mie dengan sikap suka merajuknya itu. Mie membuang masanya hanya dengan memujuk Mira yang cengeng.

     

    Ho ho ho... Jaja, entah-entah kau suka pada Mie... sebab itu kau iri? Kau cemburu pada Mira? Hish, aku kan dah jatuh hati pada Si Hitam Manis!! Tiada yang lain, melainkan dia sahaja...!

     

    Aku menyembunyikan alasan 'utama' kenapa aku mencari Din pada mereka. Aku sekadar memberitahu, hutang syarikat kepada talent harus dibayar. Kerana Suhaimi tidak mahu bertanggungjawab, elaun itu aku simpan. Ya lah kalau audit semak, takut tidak tele. Kononlah... itulah juga alasan yang membuat aku duk practise skripnya sekiranya aku terserempak dengan Si Hitam Manis:

     

    "Encik, saya dari agensi periklanan Universal McCann... saya 'ditugaskan' menyerahkan dokumen dan duit ini...." Kemudian aku dapat mengambil kesempatan untuk memanah matanya dengan jampi-jampi sikit, sebelum menambah. "Jom, kita minum depan tu sekejap, ada hal yang perlu 'pihak kami' bincangkan... kita berminat untuk mengambil Encik untuk iklan Brylcreem." Dengar tu frasa yang aku gunakan untuk mengurat Cik Din, 'ditugaskan', 'pihak kami'... chewah, Jaja.

    Oh, kemudian aku akan pura-pura menyuruh dia membuka kopiah putihnya, kerana aku perlu melihat wajahnya secara keseluruhannya sebagai prasyarat untuk menjadi model iklan minyak rambut. Jaja, bawa-bawa mengucap sikit!

     

    Okey lah, aku sambung lagi. Kerana itulah, sampul duit itu sentiasa aku simpan dalam dompet. "Ala kak, biar ajalah... dia pun tak kisah agaknya..." kata Man, sewaktu aku bertanya tentang lokasi gambar yang diambil Mie. Waktu itu kami sekeluarga ke rumah Pak Junaidi, ada rumah terbuka sempena hari raya. Mie juga menjemput Mira ke rumahnya. Mira tidur rumah keluarga Mie malam itu. Kalaulah aku berani buat begitu, tentu sahaja aku hampir-hampir kena tembak dengan abah macam cerita Antara Dua Darjat tu.

     

    Oh, ya aku lupa memberitahu yang abah sudah masuk kelab menembak, setelah meninggalkan padang golf. Abah aku tu, walaupun berfikiran terbuka, tetapi apabila datang bab begini, fikirannya sangat konservatif. Anak perempuan harus menjadi perempuan, satu sifatnya... sopan binti santun dan sifat kedua, segan binti silu: tanpa kompromi lagi. Sebab itu aku jadi hairan, apabila abah jadi kelu dan menurut sahaja kemahuan aku supaya meminang Din.

     

    Kebetulan pula gambar 'buah hati Jaja' tu dibincangkan di tengah rumah. Pak Junaidi dengan bangganya memberitahu yang idea iklan (iklan itu disiarkan muka penuh di semua akhbar untuk tiga hari) ini, Mie yang buat. Dan Mie segera menambah, "Jaja yang pilih gambar itu." Kemudian semua orang memuji-muji Mie dan sekejap sahaja tetamu di ruang itu bercerita fasal lain.

     

    Hmm, macam mana aku hendak bertanya ini?

    Akhirnya aku bertanya juga. Walaupun hendak bertanya itu pun, seorang Jaja terpaksa berfikir lima kali. Ala, Jaja lima kali tu tidaklah lama mana pun, tidak la dramatik sangat, ejek hatiku. Aku jadi bimbang anak-anak Pak Junaidi mengesyaki apa-apa. Man dan Mie teman sepermainan aku sejak kecil, sebelum abah berpindah ke rumah kami sekarang – di Lot No. 376, Taman Golf – yang dulunya, milik Uncle Aqmar dan bekas isterinya, Auntie Lida.

    Rumah ini, hadiah daripada Nenek Syarifah untuk anak lelakinya, Aqmar Aziz. Namun betapa rapat pun Jaja dengan Uncle Aqmar, Jaja tidak pernah sekali pun bertanya soal rumah itu. Tetapi kalau umi ada ura-ura nak berikan banglo comelnya ini untuk Wassim? Bagaimana? Hmm, asalkan Jaja dapat kahwin dengan Din, Jaja sudah tidak mahu berebut harta dunia lagi. Oh, Jaja aku sungguh teruja dengan kata-katamu, kalau buat skrip untuk drama tentu saja Rashid Sibir pun teringin untuk mengarah cerita kau dengan Din ni. Sudah parah sangat, ni!

     

    "Ala kak, biar ajalah... dia pun tak kisah agaknya..." ulang Man semula. Hish, Man ni. Kalau jadi apa-apa kepada Kak Jaja sebelum melunasi hutang orang, bagaimana? Aku menjual cerita. Man akur, Suhaimi percaya. Dan yang menyedihkan Man tidak dapat tolong mencari lokasi gambar itu, kerana cuti panjangnya sudah habis, dan dia harus kembali ke Nagoya. Man berkursus di sebuah kilang seramik – Mikasa – di sebuah kilang di sana. Aku menjadi hampa.

     

    Kata Man... tahun ini (2003), dia tak pulang bercuti. Ya lah, tahun sudah dia pulang sampai kali. Jadi tahun depan lah, Man tolong  Kak Jaja cari tempat itu... itu pun kalau Man masih ingat tempatnya. Janji tinggal janji. Man berkahwin dengan gadis Jepun, dapat kerja di sana... dan tidak pulang-pulang sehingga sekarang. Sehinggakan Makcik Robot (sebenarnya, Robe'ah... tetapi aku dan Nini panggilnya begitu, tentu aja di belakang Man dan Mie) sudah merungut.

     

    "Faiza..." suara Din membuat aku tersentak dari cerita lama itu.

    "Ya," jawab aku ala-ala isteri mithali alaf baru. Syyyh, susah dah nak jumpa isteri yang taat macam Jaja ini. Sebab apa, Jaja tak pernah tidak menjawab apabila dipanggil. Jaja tidak pernah bercakap buruk fasal Din di belakangnya. Jaja tidak pernah tarik muka, apalagi merajuk hendak dipujuk macam Mira. Kalaulah Jaja sedang berangan, Jaja akan segera berhenti berangan untuk menjawab panggilan Din.

    "Faiza!" panggil Din lagi. Eh, Jaja sudah dua kali Din panggil... setakat menjawab tetapi tidak bergerak ke tempat Din, tak ada semithali mana!

    "Ya."

    "Dah ambil wuduk... jom qiamullail." Kata Din sebelum membentangkan sejadah di tengah-tengah kondominium aku... opss, kondominium kami.

     

    Jaja... ceritanya akan bersambung bila ni?

    Sekejaplah... aku pun teringin hendak meniru teknik Scheherazad dalam Kitab 'Alf Layla wa-Layla (cerita Seribu Satu Malam) tu: berhenti di saat tengah suspens. Okey, aku pergi dulu ya.

     
    [Bersambung]
    ____________

    Catatan:

    Sedutan episod akan datang:

     

    Jaja terkejut bukan kepalang melihat bas Transnasional ke Utara 'menculik' 'Si Hitam Manis' itu daripadanya. Bagaimana dia dapat mengejar bas yang sedang bergerak meninggalkan Perhentian Duta ini, dengan sandal dan seluar baggy separuh lutut begini? Baju merah cili kelihatan bagaikan traffic light bergerak aja kalau dia harus mengejar bas itu, pagi-pagi Sabtu begini.

     

    Jaja mungkin juga, bukan dia?

    Betul, itulah 'dia'... Jaja mencari gambar dalam dompetnya, memang sudah tidak syak lagi. Dan mata itu buat pertama kali menikam kalbunya di alam sebenar. Jaja tidak lagi menyimpan rasa pada sekeping foto kaku. Ya, dia memang betul-betul wujud. Jaja terasa hendak menangis melihat bas itu menderu laju di jalan besar... tidak mungkin dia ada kesempatan ini lagi.

     

    Dia bagaikan bulan yang rindu akan matahari, yang sayangnya sampai bila-bila tidak mungkin bertemu kerana bulan menyinari malam, dan matahari menyinari siang. Waktu memisahkan mereka, masa tidak pernah bertimbang rasa... aku hilang dalam celah-celah perubahan masa....

     

    Yuhuuu... sampai jumpa lagi ke Episod 5 ya!


    Posted at 8:28 am by noorsoraya
    Comments (22)  

    Wednesday, October 31, 2007
    III ~ JAJA MENANTU CHE' PA

    EPISOD 3

    AKU, DIA & PERASAAN


    Dua bulan sebelum Aidilfitri 2002

     

    SEBENARNYA TUGAS AKU sebagai Media Planner tidak ada sangkut paut dalam mencari talent untuk iklan, apatah mengendalikan kerja-kerja Art Director seperti Kagee, Meng Yuen dan Viola. Tetapi apabila ada waktu lapang aku suka sekali ke ruang itu. Suhaimi, junior aku semasa di UiTM Shah Alam, menjadi photographer dan membantu kerja-kerja di ruang seni itu. Kami – orang Melayu – tidak ramai bekerja di sini. Tetapi aku tidak nafikan apabila datang bab kreatif, Suhaimilah yang terpandai... mengalahkan Yuen dan Viola yang kerja lebih sepuluh tahun itu. Sejak dulu, aku sering sahaja membantu Suhaimi dengan kerja-kerja seninya; aku mahu kalau ada kenaikan pangkat di jabatannya, dialah yang terpilih.

    Tetapi ya, begitulah... sudah dua tahun Suhaimi di sini, dia sekadar tukang foto dan tukang buat story-board sahaja. Padahal prestasi kerjanya cemerlang sangat. Kami akrab di sini, sebab keluarga kami saling mengenali sejak dari kecil lagi.

    Dia sering sahaja meminta pendapat aku: maklumlah kerja aku hanyalah tengok televisyen, dengar radio, baca surat khabar serta meneliti segala mak nenek hal yang berkaitan dengan media. Aku perlu buat research untuk membeli ruang iklan untuk klien. Aku harus booking lebih awal dari masa yang sepatutnya. Kerana itulah, kalau tidak cekap... mana mungkin klien kami dapat ruang pada prime time... tambah-tambah lagi, kalau musim perayaan... siapa lambat putih matanya. Walaupun baru dua tahun bekerja di sini, tetapi aku tidak pernah menyangka, aku diberi tanggungjawab sebesar itu: inikan syarikat mat salih.

    Sejak aku memasuki bidang ini, orang kerja di TV, akhbar dan media periklanan adalah teman akrab aku. Kami sering bertukar-tukar pendapat fasal iklan yang bagus dan berkesan; fasal iklan yang cantik tetapi tidak membawa manfaat... iklan yang tidak efektif menghabiskan duit klien dan masa pengguna; juga iklan yang memberi impak yang negatif.

    Kami juga kadang-kadang boleh berbual berkali-kali, mengenai iklan makanan ringan 'syarikat Mat Sentol' yang menggunakan teknik begitu-begitu juga, suara yang macam-macam tu lah juga... sukses dia berbanding dengan syarikat anu tu, yang menggunakan khidmat agensi periklanan tersohor, tetapi gagal dan ranap terus.

    Mat Sentol! Teringat pula aku pada Lala yang sampai sekarang ini masih suka makan Ding Dang la Ding Dong la, sampai umi mengamuk kerana dia kurang makan nasi. Dengan hadiah dalam pek makanan ringan entah apa-apa itu pun, dia sudah terliur bukan main. Lala kini sudah tujuh belas tahun, tetapi tabiat makan dia... hush, malas nak bercerita.

    Berbalik pada cerita Suhaimi semula. Kami memang rapat. Kami akan berbual dan membuat pelbagai klasifikasi tentang apa sahaja iklan. Dia suka bercerita kepada aku tentang ideanya, dan aku menokok tambah apa yang perlu, lalu setiap kali iklan bergerak di TV, atau berkumandang di telinga, atau tertera di billboard apatah lagi di dada akhbar, aku tumpang berbangga sama.

    Aku akan syok sendiri... dan menambah dalam hati... oh, kat situ aku yang tambah... mujurlah kat situ aku suruh Suhaimi buang dulu. Apatah lagi aku juga kamceng dengan copywriter. Jadi walaupun aku ini Media Planner tetapi kepala otak aku tetap digunakan di jabatan Suhaimi, juga oleh Cik Liena si copywriter berbahasa Melayu tu. Sesekali aku mendapat upah makan tengah hari percuma. Tetapi hubungan aku dengan Suhaimi setakat waktu pejabat dan di ofis sahaja, makwenya cemburu tahap gaban. Padahal aku lebih tua daripada Suhaimi. Dan Suhaimi sendiri tahu, aku tidak mungkin menguratnya: ingat tak rules aku yang Nombor 1, pasangan aku mestilah lebih tua, paling-paling tiga tahun daripada aku.

    Pagi itu begitulah, sudah dua hari Suhaimi menyuruh aku ke ruangan kerjanya. Ada 'idea' yang ingin dia berkongsi juga. 

    "Jaja, tengok sat aku punya storyboard ni... untuk paper." Kata Suhami. Aku baru sahaja mengunyah sandwic double decker. Dengar tu Mira, tak kanlah Suhaimi nak sebut dirinya, sebagai 'aku' kalau aku ni betul makwenya. Lepas tu dia panggil aku 'Jaja' atau 'hang' sahaja... padahal dekat kau dia panggil, 'sayang' apa? Ceh, sampai nak tergeliat lidah aku mengulanginya dalam hati! Sayang-mayang macam ini aku pun jadi pening mendengarnya. Budak macho macam Suhaimi boleh cair macam kek keju blueberry dengan Mira yang tomboy.

    "Tak tau nak pilih gambar apa. Untuk iklan raya!" kata Suhaimi, sambil menunjukkan gambar yang berselerak atas meja. Kagee, bos Suhaimi belum datang. Suhaimi memang datang awal, sebab kena menghantar Mira ke tempat kerjanya terlebih dahulu. Kadang-kadang aku hairan juga melihat makwe yang manja-manja macam ni. Pergi mesti berhantar, balik mesti diambil... makan mesti berteman! Lepas tu part yang buat aku meloya, suka merujuk dan perlu dipujuk! Yang menghairankan aku lagi, dalam banyak-banyak perempuan dalam Jabatan Komunikasi dulu tu, ada ke Mira yang dia pilih. Tapi aku mana tahu hal cinta, tidak sekalipun aku pernah jatuh cinta. Cinta pada abah, umi dan adik-adikku ada lah. Cinta pada pakwe... eee, itu bukannya Jaja, itu Jojet barangkali...!

     

    Aku membelek-belek gambar yang sudah dipilihnya. Ada lebih daripada sepuluh. Dalam membelek-belek itulah, aku terpandang pada gambar Din untuk pertama kalinya yang diasingkan sebelah lain. Sat.. sat.. sat... aku nak describe gambar ni dulu, sebab inilah part yang membuat aku terpaut:

     

    Seorang lelaki muda memakai kopiah putih, sedang bertafakur di pusara seberang jalan. Matanya bening, janggutnya sejemput. Memakai kemeja putih yang dilepaskan di luar. Tangan kanannya memegang surah... bersila di atas tanah sebelah batu nisan. Tangannya yang sebelah memegang tanah.

     

    Pagi masih berkabus, belakangnya bukit-bukit yang berderet. Tanah perkuburan yang bersih terjaga, rumput menghijau menutupinya. Ada kuntum-kuntum kemboja di atasnya. Macam lukisan. Dan suasana jalan raya yang lenggang di depan pusara itu juga, bagaikan menghasilkan suasana yang penuh kontra. 

     

    Gambar nisan-nisan di sekelilingnya kabur... hanya satu itu menjadi fokus utama. Di tepi jalan itu, ada pagar jarang yang memisahkan: dua suasana. Tetapi gambar itu dirakam pada celah-celah pagar itu.

     

    Tiba-tiba aku nampak sepasang burung bertenggek di nisan tu. Maknanya, si lelaki tidak bergerak dan khusyuk sedari tadi. Atau bacaannya sudah melekakan sang burung-burung. Mukanya jernih! Pasti suaranya mempesonakan juga... sehingga burung-burung jadi enggan terbang... dan pepatung itu, ah mempesonakan...

     

    Subhanallah, sudah lama aku tidak mengucapkannya.

    "Jaja... Jaja." Suara Suhaimi mengganggu aku daripada terus teruja. Matanya yang menunduk, membuat aku jadi resah. Pertama kali, rasa yang pelik menjalar deras di seluruh hati. Hati aku tiba-tiba tertutup untuk yang lain, hanya dia... yang ada hanya dia!

     

    "Aku suka gambar ni. Guna gambar ni." Arah aku, macamlah aku ni Kagee, Art Director di sini. Aku pura-pura membelek yang lain, tetapi hatiku cuba memusat ke arah gambar tadi juga, memandang dari jauh dalam resah.

    "Memang aku suka gambar ini... sesuai. Ini kempen untuk berhati-hati di jalan raya... di musim perayaan. Tapi..." kata Suhaimi, sebelum aku cepat-cepat memintas.

    "Memang sesuai pun, ada kubur... lambang kematian. Lelaki di perkuburan sedang bertafakur. Dia lambang c-i-n-t-a... cinta seseorang pada seseorang yang telah pergi, akibat kemalangan. Pembaca boleh kaitkan begitu." Hish, dengan susah payah aku menyebut kata 'cinta' itu... sebab aku sedang jatuh cinta kepadanya. Gatal!

    "Sunyi di belakangnya, jalan raya lenggang di depan. Burung-burung berkongsi kesedihan. Pagar yang memisahkan kesunyian dan kesesakan secara simbolik! Tinggal mencari ayat yang sesuai sahaja. Ayatnya jangan panjang, Mie. Biar golongan sasar kita menghayati peristiwa dari dalam gambar ini sahaja... kerja mengayat tu serah aja pada Liena, dia expert." Sambung aku lagi, tanpa memberi ruang kepada Suhaimi mencelah.

    "Gambar bercerita seribu cerita kan?" kataku mengakhiri pendapat yang panjang lebar itu, dalam diam cuba mempengaruhi Suhaimi dengan idea aku, dengan pilihan aku....

     

    "Hmmm... tapi..." Suhaimi mendengus. Aku tahu, dia tidak menyukai ayat aku yang terakhir... gambar bercerita seribu cerita! Ada cerita lain di sebalik kata-kata itu.

    "Ya, sesuai... pakai saja gambar ini." Kataku sekali lagi, menyembunyikan rasa hati daripada dapat dikesan oleh Suhaimi. Aku bimbang Suhaimi tukar fikiran. Aku juga bimbang Suhaimi mula perasan sesuatu....

     

    Padahal baru sahaja minggu sudah aku menegaskan... aku tidak akan berkahwin dalam usia muda. Aku ingin berjaya dalam karier aku dulu, rumah tangga akan mengganggu aku membina nama!

    Ya lah apa tidaknya, kebetulan Suhaimi terdengar... Nini bertanya sama ada aku ingin menerima cadangan Uncle Aqmar untuk menjodohkan aku dengan anak sulung Auntie Umairah. Memanglah glamor berkahwin dengan engineer robotik yang duduk di US dan bekerja dengan NASA tu. Tapi, biar dia nak hadiahkan aku Ferrari sepuluh biji pun, aku tetap mengikut rules Nombor 3 dan 4. Dia orang Kedah, biarpun dia dah dapat PR Amerika, dan NO aku tidak suka mereka pasang-pasang aku dengan siapa-siapa. Tak suka. Noktah!

    "Jaja... aku pun setuju. Foto ni bagi impak yang bagus. Tengok lelaki ini... tengoklah..." kata Suhaimi, menyorong gambar tu ke depan aku semula. Aku sudah tidak berani memandang mata yang tertunduk membaca surah itu lagi. Jantung bergerak laju, mengalahkan... ah, tak tau lah mengalah apa. Aku menolak semula gambar itu kepada Suhaimi.

     

    hitam manis hitam manis

    yang hitam manis

    pandang tak jemu pandang tak jemu

    yang hitam manis pandang tak jemu

     

    Tiba-tiba aja, lagu dari radio mendendangkan suara R. Azmi pula. Ya, memang pandang tidak jemu. Parah dah aku ni. Seumur hidup aku... tidak pernah sekalipun aku jatuh hati. Biarpun sudah ramai yang aku jumpa, sudah ramai yang telah aku temui... malah ada juga dari mereka yang seorang dua pernah melafazkan rasa hati mereka, tetapi aku tidak pernah sudi. Not my type... aku kan nak kahwin dengan mat salih.


    hitam manis hitam manis

    yang hitam manis

    paras mu elok buah hatiku

    siang dan malam selalu ku rindu

     

    di waktu bulan terang cuaca...

    ku pejam mata tapi tak lena

    yang hitam manis datang menjelma

    yang hitam manis datang menjelma

    kenangan yang menggoda

    aku teringat pandang pertama


          "Kat mana kau ambil gambar ni, Mie?" Aku pura-pura buat dono padahal hati ingin bertanya macam-macam.

    "Aku dalam perjalanan balik, cuti Maulud Nabi hari tu... masa Man berhenti dekat lampu isyarat aku tangkap. Bila balik dan cuci gambar... aku rasa gambar ni sesuai untuk kempen sempena raya ni... tapi..." kata Suhaimi.

    "Tapi apa, dari tadi asyik tapi... tapi."  Aku bertanya, walaupun suah bertahun-tahun duduk di KL ini, kami tetap menggunakan loghat utara ini dengan fasih lagi.

    "Macam mana nak guna gambar ni, bila aku tak dapat izin daripada tuannya... kita nak bayar dekat sapa duit untuk talent ni?" Masih dianggap talent ke kalau kita tangkap gambar curi begini, sambungku dalam hati. Pedulikan, asalkan disiarkan aja.

    "Tak pi balik ka ke tempat tu, cari dia?" Aku semakin berdebar, dengan segala informasi daripada Suhaimi.

    "Aku tak ingatlah kat mana... aku tengah mamai, tiba-tiba Man menjerit suruh aku ambil gambar lelaki di tanah perkuburan ni." Kata Suhaimi terus bercerita tanpa sedar yang aku sedang mengumpul informasi. Ya lah, Suhaimi kalau tidur pun, tetap memeluk Nikonnya.


          Siapa dia? Siapa ya? hatiku terus bertanya.

    "Tak kan tak ingat sedikit pun..." tanya Jaja.

    "Jaja tau la, Man... bawa gheta macam mana... tak dan kita nak kata apa, dia dah pecut... tapi kalau tak salah aku sempadan antara Kedah, Penang dan Perak." Suhaimi dengan adiknya, Sulaiman memang rapat. 

    "Lepas Bukit Merah lah kut." kata Suhaimi.

    "Hah, Bukit Gantang mungkin juga...." sambung Jaja.

    "Tak... tak aku rasa dekat Jawi kut." Sampuk Suhaimi.

    "Juru?"

    "Aku tak boleh fikir la Jaja, aku proceed saja, gambar lain tak sesuai la... nanti kalau aku kena, hang tolong backing la." Kata Suhaimi.

    "Ya, aku sokong la... selalu pun aku sokong apa. Tapi kalau Mie bubuh gambar lain, aku tak akan tolong ya." Kata Jaja, sambil berlalu... Suhaimi tahu, aku dengan Kagee rapat sangat. Kami boleh bersenda gurau.

    "Oh, satu lagi Mie... apa susahnya, bila dia atau keluarganya nampak gambar ni, depa mesti contact... masa tu kita bayar la pada talent." Kataku sebelum menolak pintu kaca di jabatan Suhaimi.

    "Oiit, selalu hang juga lah yang suka bekerja pakai segala etika?"

    "Sesekali kalau ada peluang, aku rasa kita rebut peluang la… eh, nanti bila Mie print poster tu beri aku satu… aku nak letak di hospital abah, mana tahu kalau-kalau ada pesakit abah yang kenal orang ini… senang kita bayar duit posing dia tu." Betul ke Jaja? soal hatinya berulang kali. Wajah tulus itu mengganggu sekali lagi hatinya. Mengganggunya untuk beberapa tahun lagi. Wajah itu....

    "Jangan bimbang Jaja, aku bagi Jaja dua keping... satu untuk Jaja letak dalam bilik juga… dan gambar original ini, aku akan frame kan dan bagi juga." Usik Suhaimi sambil meneruskan kerjanya.

    "Terima kasih, untuk pendapat berharga Jaja ni," kata Suhaimi tidak panggung-panggung kepala lagi.


    Jaja berjalan pantas ke biliknya. Suara radio sudah bertukar ke Light & Easy, maknanya Kagee dan Viola dah datang. Suhaimi mana berani membuka radio Era kalau bosnya sudah tiba. Jaja menyambung lagu itu dari dalam biliknya.

     

    hitam manis hitam manis

    yang hitam manis

    pandang tak jemu pandang tak jemu

    yang hitam manis pandang tak jemu

     

    Jaja, begitu saja ke pertemuannya? Tidaklah seunik mana pun. Eh, itu baru babak satu... kan Jaja dah cakap, ada tiga babak pertemuan, kan? Sanggup lagi ke kau orang menadah telinga mendengar cerita Jaja dan Din, ni?


    [Bersambung....]


    _____________
    Catatan:

    1.      Hitam manis yang hitam manis... kaksu suka lagu ini :O

    2.     kaksu masih lagi dalam 'tahanan opis' maaf tidak sempat untuk sama-sama bergumbira di sini.

    3.     Selamat ulang tahun untuk Mar dan Infazety, semoga mendapat umur yang berkat di dunia dan akhirat.

    4.     Terima kasih pada semua, yang sabar menunggu cerita Jaja yang ini...

    5.     Maaf Zahir Batin, selagi ada musim raya... kita bermaaf-maafan

     

    Sayang,

    kaksu 


    Posted at 10:10 pm by noorsoraya
    Comments (20)  

    Thursday, October 25, 2007
    II ~ JAJA MENANTU CHE' PA

    EPISOD 2

    AKU, UMI & ABAH

     

    "Jaja jumpa dia kat mana?" soal umi

    "Di mana Jaja temu anak ustaz tu?"tanya abah

    ...jadi kat mana ya, aku jumpa dia?

     

    Semua soalan berpusat kepada suatu inti pati yang sama walau bagaimanapun strukturnya.

     

    Soalan umi berbau cemas dan ingin tahu... pada saat aku mengumumkan pilihan hati aku, umi bagaikan mendapat aduan daripada guru disiplin! Cemas, cemas... dan cemas. Umi tentu bimbang kalau-kalau tengah hari tadi aku makan kerutup daging di gerai depan tu... kata umi, sekarang ni wabak penyakit kuku dan mulut di Alor Setar. Ya Allah, Doktor Haslinda... penyakit tu tak efek otak pun. Jaja sihat binti waras!

     

    Pertanyaan abah pula penuh dengan nada lucu... abah jadi teruja, seperti aku ni menemui Din dekat pokok buluh depan tu... Din tu anak buluh Betong!  Dan hubungan aku dengan Din sudah menakutkan abah... abahku  yang seorang gynecologist ini bagaikan mulai percaya pada cerita-cerita Tamar Jalis lah pula. Hm, sejak kecil memanglah aku suka membaca buku-buku daripada penulis tu, koleksi abah sewaktu abah masih remaja dulu-dulu aku khatam, semuanya. Agaknya, sudah sampai saatnya... abah rasakan aku ini sudah ditimpa rasukan?

     

    Abah dan umi, memang wajar cemas. Aku Si Jaja yang selama ini sangat memilih dan ada seribu alasan untuk membuat pilihan, tiba-tiba jadi begini. Aku bagaikan dirasuk, memilih seorang yang tidak pernah terdetik untuk aku pilih; pada waktu mana pun mengikut kiraan mereka. Malah aku sendiri pun ingin bertanya soalan begitu pada diriku sendiri tentang hal ini, sebelum terus bercerita.

    Rupa-rupanya cinta telah membawa hatiku terbuai-buai ke sana sini tanpa perlu berhenti di mana-mana 'lampu isyarat'... apalagi perhentian, cinta membuat aku tidak lut lagi dengan segala 'peraturan hati' yang selama ini aku junjung:

    v      aku ingin memilih suami yang usianya, paling-paling 3 tahun tuanya daripada aku

    v      aku tidak mahu berkahwin dengan guru... cukuplah aku kenal seorang Cikgu Shaari dalam cerita Masam-Masam Manis tu... bagiku lelaki yang jadi guru, karakter mereka membosankan

    v      aku nak kahwin dengan orang negeri lain, lelaki-lelaki muda dari Kedah mengikut firasatku tidak gentleman lagi... aku ingin kahwin dengan mat salih, misalnya!

    v      aku ingin kenal dan bercinta, aku tidak mahu dipasang-pasangkan, tidak mahu tergesa-gesa

    v      aku tidak akan memulakan 'perkenalan' dulu, kerana perempuan harus ada egonya... ada gengsinya... menjaga martabatnya!

     

    Huh, semua peraturan itu aku terpaksa buang... tidak pula aku ikut walaupun satu, apabila aku bertemu anak Che' Pa tu!

    v      Din muda hampir setahun daripada aku (ya lah aku lahir 1.1.1978 dan dia lahir 31.12.1978)

    v      Din memang seorang guru (malah kalau di sekolahnya, orang panggil ustaz pula!)

    v      Din orang Kedah, berasal dari Baling... (sahlah, anak jati Kedah sejak turun-temurun lagi... tidak syak lagi) 

    v      Din ingin bercinta sebelum kahwin? (nauzubillah... dia kan anak ustaz... dan dia lepasan Universiti Al-Azhar, mustahil sekali)

    v      Din tak pernah memulakan... ya lah, sebab aku yang gatal! (betul tu!)

     

    Apa yang telah terjadi kepada aku ni, sebenarnya? Apa yang terjadi, ni?

     

    Betulkah ada cinta pandang pertama?

    Aku selalu tidak pernah percaya pada frasa ini... mustahil!

    Sehinggalah... aku tertarik pada fotonya, yang diambil oleh Suhaimi untuk projek iklan hari raya 2002

     

    Betulkah dia pilihan hidupku?

    Aku tidak pernah waswas tentang perkara ini... bagiku tiada yang mustahil!!

    Padahal perasaan waswas sudah mengikut dan menguasai aku selama ini: lipstik aku cukup merah atau tidak, rambutku sudah cukup perang atau tidak, mataku perlu menggunakan lensa hijau, kelabu atau biru, atau biarkan perang atau hitam sahaja!  

     

    Betulkah dia juga memlilih aku?

    Untuk ini aku tidak pernah ada jawapan... kayu pengukur antara ya dan tidak, aku belum pasti

    Oleh itu, nasihat Uncle Aqmar aku jadikan azimat!

     

    Nasihat umi:

    Jaja fikir betul-betul dulu... sebelum buat keputusan.

    Umi ni, Jaja sudah habis fikir... kalau umi tahu bagaimana Jaja menunggu bertahun-tahun untuk bertemu dia... tentu sahaja umi akan panggil orang TV3 datang buat liputan khas. Cerita ini lebih sensasi daripada cerita Doktor Sheikh naik ke angkasa. Cerita Jaja mencari Din, boleh aja rakam dalam siaran Mencari Jodoh di TV9. Malah kita boleh aja panggil Kak Shaidah yang kerja dengan Berita Harian tu tulis dalam satu ruang besar... kerana cerita Jaja ni akan memberi motivasi kepada perempuan yang suka memendam rasa berabad-abad, tetapi tidak pernah mengambil inisiatif untuk menghebahkannya... memulakan sesuatu. Amboi, Jaja... pernyataanmu sungguh menguja! Kamu sudah layak membuat seminar motivasi untuk perkara ini!

     

    Sambung abah:

    Jaja lihat dulu pro dan kontra... Jaja ada banyak masa untuk membuat keputusan apalagi pilihan.

    Abah ni, Jaja ada banyak masa, ka? Umur Jaja sudah dua puluh tujuh tahun dah, bah. Bukannya baru berumur tujuh tahun. Kalau tidak kerana Jaja suka kat dia... dan terbuka hati dekat dia, sampai umur tujuh puluh tahun tak kahwin pun tak apa. Abah, pro dan kontra menjadi satu... apabila kita bercakap benda yang bertentangan dengan hati kita... tetapi kalau kita sekufu  dengan hati dah, semua jawapan tetap 'ya'. Ewah, Jaja... dengan abah kamu yang sudah melangsungkan perkahwinan hampir dua puluh lapan tahun itupun kamu nak beri kuliah ke juga?

     

    Ya!

    Jaja dah fikir betul-betul dan sudah membuat keputusan, umi.

    Ya!!

    Pro dan kontra, sudah tidak penting... dan Jaja sudah guna seluruh masa untuk membuat pilihan, abah.

     

    "JADI?" tanya abah dan umi serentak. Nini cuma menjadi pemerhati.

    "Jaja, perlu sokongan abah dan umi... perlu orang tua untuk melamar Din."

    Cermin mata abah melurut dari hidungnya, mata umi sudah tidak cukup kelopak lagi untuk menampung keluasan biji matanya yang membutang.

    "JAJA... abah perlu penjelasan."

     

    Penjelasan? Penjelasan yang bagaimana kalau semuanya sudah jelas. Premisnya tetap sama. Jaja suka dekat dia, dan Jaja ingin berkongsi hidup dengan dia. Dia? Cuma, dia yang Jaja belum pasti. Dan Jaja pun tidak tahu dia suka atau tidak pada Jaja. Tapi kalau abah dan umi sayang Jaja, tentu abah dan umi sedia membantu.

     

    "Apa yang terjadi? Ada dia buat apa-apa yang tak senonoh dekat Jaja, dan dia tidak mahu bertanggungjawab." Tanya abah. Untuk pertama kalinya, umi yang becok menjadi tidak terkata... dan abah yang pendiam menjadi becok pula.

     

    Buat apa-apa? Dia kenal Jaja pun tidak! Dan abah... dia tu alim bin warak, jalan pun tak pandang perempuan... walaupun pernah sekali matanya 'memanah' Jaja, tak sengaja. Dan sejak itu, Jaja percaya pada semua buku cerita... pada premis, memang cinta pandang pertama itu sungguh mengesankan! Gatal!

     

    "Okey, sebelum abah bertindak apa-apa... abah mahu Jaja cerita semuanya. Macam mana Jaja boleh bertemu dia. Dan kenapa pula dia tak kenal pun Jaja?" kata abah. "Jaja ni perempuan, dia lelaki... macam mana abah nak pergi merisik dan meminang dia, Jaja!" kata abah sudah semakin pening. Abah bercakap agak perlahan, bimbang Pak Ya tuan punya warung mendengarnya. Mereka duduk jauh daripada pelanggan lain.

     

    Nini yang tadi tidak tahu kepala ekor, jadi terkejut. Rupa-rupanya Burhanudin ni tidak kenal pun Kak Jaja. Kak Jaja ni memang pelik, dia ni pelik sangat. Sejak dulu, apa yang dia nak... semua dia dapat. Jadi mungkinkah kali ini dia peroleh apa yang dia nak? Nini mati akal. Tadi dia fikirkan hanya hal sekufu atau tak, kakaknya dengan anak ustaz tu. Sekarang ni rupa-rupanya sudah semakin serius:  anak ustaz tu kenal Kak Jaja pun tidak!

     

    Mahu tidak mahu, aku bercerita juga kepada abah, umi dan Nini. Cerita tiga tahun dahulu. Tetapi aku tidak akan menceritakan semuanya... aku shortcut dan edit di sana sini. Walaupun aku ni brutal lah juga, tetapi apabila datang bab hati ni... aku masih seorang perempuan. Ceritaku masih berbungkus silu, berbalut malu. Ewah! Sedapnya bahasa... tetapi dapatkah menyaingi kehebatan bahasa guru sastera Arab tu...?

     

    Lalu cerita aku bertitik tolak dalam tiga babak, boleh tak aku sambung kemudian? Sudah masanya aku membuat kerja ni, nanti kena tegur dek Din... dia marah pulak. Katanya, jangan curi tulang, bukankah keringat Jaja tu dibayar setiap sennya harganya. Keringat? Aku kan kerja dalam bilik yang ada penyaman udara... mana datang keringat ni? Walaupun waktu sudah melepasi dua belas tengah hari, aku tetap belum berkeringat. Tetapi syurga bagi seorang isteri, di bawah tapak kaki suaminya... aku menurut saja. Aku di KL, Din di Parit Buntar... tetapi, Allah nampak kalau aku tidak taat kepada Din!

     

    [Bersambung]  
    ________
    Catatan:

    Terima kasih pada yang sudi memberi komen, maaf kaksu masih belum ada waktu membalasnya, masih terikat dengan tugasan Paduka Ratu. Kata-kata semangat itu, membuat kaksu menulis lagi n3 kedua ni, sebagai tanda kasih daripada kaksu... selamat membaca ya, juadah yang kurang berperisa...



    Posted at 3:41 am by noorsoraya
    Comments (24)  

    Monday, October 22, 2007
    I ~ JAJA MENANTU CHE' PA

    EPISOD 1  

    AKU, DIA & KAMI

     

    Kata orang cinta itu buta?

    Selalu dah duk hafal premis tu... sehinggalah aku bertemu dia

    Sekarang ni aku sedang buta... kerana memilih dia, bukannya orang lain

     

    Kata orang cinta itu meruntuhkan dinding rasa

    Tak pernah percaya kata-kata tu... sehinggalah matanya merenung aku pagi itu

    Mulai saat itu, aku rasa hati aku sudah sesat tiada jalan pulang

     

    Kata orang cinta paling agung... cinta Layla kepada Majnun

    Hampir saja percaya dengan kata-kata itu... sehinggalah aku memilih dia!

    Cinta Jaja pada Din tu lah yang teragung... Cinta Din pada Jaja? Huh, tak tau lah!

     

    Cerita ini, sebuah cerita biasa, tetapi aku sengaja menjadikannya luar biasa kerana aku menyukai dia lebih banyak daripada dia menyukai aku! Itulah yang aku rasa. Aku Si Jaja terpaksa menebal rasa untuk melamarnya... rasanya spesies macam aku yang hidup dengan ego tak pernah susut, tak mungkin pernah melakukan perkara begitu dalam kurun mana pun... TETAPI itulah yang telah aku lakukan. Memalukan... tetapi tak kisah, asalkan aku dapat kahwin dengan dia. Hhm, JAJA!!! Sungguh mengaibkan, premis mu itu.

     

    Hmm... macam mana nak mulakan cerita ni ya? Sebab cerita ni tidaklah sesusah mana, tetapi sengaja aku susah-susahkan juga apabila ramuan hati dan perasaan aku 'gaul' sekali sebagai wadah cinta. Aku tidak boleh berharap lebih... kerana cintaku seluas lautan tanpa sempadan sedangkan kasih dia... aku tak ukur lagi! sedih, sedih!

     

    Tetapi aku nak bercerita juga. Aku memang suka bercerita... aku suka cakap banyak, agaknya kerana itu dia tidak menyukai aku... kerana dia seorang yang pendiam... pendiam sangat... pendiam macam semut, eh ada ke peribahasa begitu?

    Jadi macam mana aku nak mulakan? Mungkin aku boleh cerita fasal 'aku', 'dia' dan kemudian 'kami'?

     

    Aku

    Nama aku Faiza. Faiza anak Doktor Badrul Hisyam. Tetapi sejak kecil semua orang panggil aku Jaja. Menjadi kakak sulung kepada tiga lagi adik, Nini (Marini), Lala (Adila) dan Wassim.  Wassim tu anak kesayangan umi, semua dia buat... semuanya betul. Maklumlah anak lelaki seorang. Aku pun disayangi umi, aku anak sulung umi... aku lahir sewaktu abah dan umi masih menjadi doktor siswazah di Hospital Besar Alor Setar lagi. Aku ni macam, hmmm... kenangan yang tidak mungkin dilupakan... kononlah tu, aku ni tanda mata cinta mereka yang pertama. Chewah.

     

    Aku ni menjadi anak buah kesayangan ramai, terutamanya Uncle Aqmar, teman baik abah dan umi sejak sekolah tu. Kemudian aku ni juga cucu sulung untuk Tok dan Nenek. Jadi faham-faham ajalah... kedudukan aku sebagai anak sulung tujuh keturunan. Sejak kecil aku selalu aja menang dan suka membuli adik-adik aku, Nini dan Lala. Lalu sejak kecil, aku mudah sahaja dapat apa yang aku nak. Abah dan umi tak pernah berkira... hidup aku tahu gembira sahaja dua puluh empat jam... sehinggalah aku bertemu dia!

     

    Dia

    Nini ketawa tak cukup mulut apabila aku beritahu, aku nak kahwin dengan anak Ustaz Mustafa a.k.a Ustaz Pa'. Nama dia Burhanuddin. Amboi, nama dia... macam ciri-ciri orang mengaji di Pondok Gunung Semanggol tahun enam puluhan sahaja, kata Nini. Kalau tidak fikirkan aku di tempat awam, mahu sahaja aku stapler mulut Nini biar dia tak boleh bernafas terus.

     

    Aku bercerita lagi. Dan ini bahagian yang Nini tidak tahan, "Dia kerja sebagai guru sastera Arab di Parit Buntar." "Guru sastera?" Nini sudah terkejut tak tahu bertingkah.

     

    "Kak tahu tak, kak kerja apa sekarang ni? Kak tu Media Planner di Universal McCann tau... bukannya jual Yong Tau Fu dekat medan selera sebelah Kak Bedah tu!"

    "Kalau jadi Media Planner, kenapa?"

    "Kak tak boleh suka-suka hati nak duduk Parit Buntar... dia yang kena pergi KL. Dia nak ke, hidup di KL... dia tu orang Baling la kak. Dia tu lepasan Universiti al-Azhar pula tu."

     

    Hish, adik aku yang sorang ni... memanglah tak boleh diharap, bukannya nak menolong beri semangat... nak berkongsi masalah pun dia dah surrender. Tak pernah ada benda yang positif diharapkan keluar dari mulutnya yang comel tu.

    "Habis nak kak jadi macam Nini, kerja guru... nak kahwin dengan guru... dah tu satu sekolah pula tu. Macam sempitnya dunia." Kata aku, mengejek Nini yang baru bertunang dengan rakan sekolah menengahnya dulu, yang kebetulan pula mengajar sama-sama dengannya di Kuala Nerang.

     

    Apa salahnya Media Planner nak kahwin dengan Cikgu Sastera Arab... kat mana salahnya? Aku menyoal dia berkali-kali.

    "Banyak masalahnya kak... percayalah cakap Nini. Dia anak ustaz!"

    "Awat, anak ustaz tak boleh kahwin dengan anak doktor ke? Kalau mak dia suri rumah, tak layak ke bergading dengan umi kita yang doktor tu? Umi okey apa, umi kan jenis open minded."

    "Tak sekufu...."

    "Kat mana?"

    "Menantu ustaz kenalah pakai tudung!"

     

    Aku diam, Nini pun diam. Sekian waktu selepas itu Nini bertanya:

    "Kat mana kak jumpa dia?" Dia macam sudah merestui pilihan aku, ataupun dia rasa serba salah mengores hati aku fasal menutup aurat tu. Aku membetulkan skirt labuh yang ditiup angin... menghirup teh tarik Pak Ya di gerai sebelah Pusat Pakar Perubatan Darulaman. Kami menunggu dengan sabar abah dan umi habis kerja... ingin aku khabarkan kepada mereka: "Jaja sudah ada pilihan hati!"

     

    ...jadi kat mana ya, aku jumpa dia? Spesies pakej lelaki terakhir Malaya ni aku jumpa kat mana?

     

    Kami

    Cerita kami bermula dari sini.... 

     

    [Bersambung] 


    Posted at 10:33 am by noorsoraya
    Comments (28)  

    Friday, October 19, 2007
    Novelet Akan Datang?

    Jaja Menantu Che Pa'

    Berapa orang yang masih ingat kepada Jaja ya? Ya, Jaja... anak sulung Kak As dan Abang Sham tu. Kak As mana ni? Oh, Kak As tu... Doktor Haslinda, kawan Lida... dalam Nyanyian Tanjung Sepi tu....

    Pernah seseorang memberi saran, tulislah fasal Jaja, kaksu... ewah, ada peminat juga Si Jaja ni. Pada tahun 2005 dulu, Jaja kan berkahwin dengan anak Ustaz Pa'... kerana tu lah, Kak Lida & Doktor Zainur serta anak-anaknya pulang ke Alor Setar. Dan itulah pertama kalinya, dia bertemu semula dengan Doktor Aqmar dan Kak Engku!

    Untuk pengetahuan ramai, Jaja tak balik beraya di rumah mertuanya pada tahun 2006 tu, sebab Ustaz Pa' dan Makcik Pipah berpuasa dan beraya di Mekah.

    TAPI tahun ini giliran Jaja... 'TERPAKSA' pulang beraya ke kampung suaminya tu... dan untuk itu, kaksu akan tulis fasal Jaja la...!

    Bagaimana ya, anak kesayangan Kak As ini dapat menyesuaikan diri menjadi menantu ustaz dan juga mak lang orang di kampung tu. Apatah lagi Jaja ni, bekerja di syarikat periklanan yang terkenal... o'o' :) :( 

    Cerita ni kaksu rasa tak sabar-sabar nak tulis semasa pulang ke kampung baru-baru ni... bagaimanapun sebaik sahaja sampai ke rumah sendiri, idea sudah susut... sebab itulah, orang suruh kita ikat idea dengan 'pena dan kertas'... bukannya biar idea tu terumbang ambing di kepala sahaja!

    Cerita sepuluh episod ni, kaksu akan tulis dengan motif sekadar suka-suka aja... sebab sekarang ni kaksu sedang sibuk dengan kerja-kerja urusan seri paduka, jadi kaksu perlukan selingan untuk diri sendiri...



    salam sayang,
    kaksu

    _____________

    Catatan:
    kaksu mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kerana tidak dapat membalas mana-mana SMS hari raya sepanjang kaksu bercuti di kampung. Sebab line 01* tu tidak ada pemancar.   


    Posted at 2:19 am by noorsoraya
    Comments (9)  

    Wednesday, October 10, 2007
    II - Surat Bersampul Perang

    BAB TIGA PULUH



    IMRAN MEMAIN-MAINKAN anak kunci kereta sambil menunggu Najaah memakai kasut.  Mereka berdua akan ke Pasar Ramadan untuk membeli kuih dan makanan untuk berbuka puasa.  Nafisya dan Nuha mengikut Ilham menghantar Puan Darawisah ke Seremban sejak pagi tadi dan belum pulang-pulang lagi.  Kalau Ilham tidak pulang dan berhasrat untuk buka puasa di Seremban, Imran bercadang hendak ajak Najaah buka puasa di restoran saja. 

    Tiba-tiba last minute tadi Ilham telefon – mereka sudah dalam perjalanan pulang.  Kenapa tak buka puasa di rumah Idayu saja?  Ilham, Ilham... susah betullah dia ni sorang.  Alasannya, kesian dekat Najaah nak berbuka puasa tak ada teman.  Habis aku ni siapa?  Takkanlah aku tak beri Si Najaah makan.  Alasanlah tu, tak nak berbuka rumah Idayu.  Macamlah air di Seremban tu ada virus apa-apa....

     

    "Najaah kenapa tak pakai kasut yang pak long beli hari tu... kasut ni kan dah koyak, kalau hujan nanti kembang kaki."

    "Sayanglah pak long, tu kan kasut raya."

    "Eh, siapa kata kasut raya... tu sneakers saja... kan kalau kasut untuk raya, papa Najah mesti beli kasut tinggi yang berwarna-warni."  Perli Imran. 

    Najaah suka betul pakai kasut tinggi, berwarna-warni serta beropol-ropol pula... dia akan berlagak seperti tuan puteri.  Warna merah jambu terang tu, warna kesukaan dialah. 

     

    Setiap kali Ilham nak beli kasut, pasti dia terpaksa berperang dengan anak tengahnya tu dulu.  Dalam banyak hal, Najaah ni jenis penurut.  Tetapi dalam hal kasut... dia sanggup mogok tak senyum tak ketawa berhari-hari dengan papanya.  Najaah, Najaah apalah yang seronoknya pakai kasut tinggi dan berwarna-warni seperti gula-gula tu.

     

    "Kat atas.  Dalam bilik."

    "Ambillah cepat.  Nanti hujan susah nak pergi ke Pasar Ramadan tu... jam pula."

    "Najaah tak laratlah pak long, Najaah kan puasa ni."  Katanya merenggek manja.

    Dari pagi tadi dia dah begitu, sehingga papanya ajak ikut hantar nenek ke rumah Mak Su Idayu pun, Najaah tidak mahu.  Padahal, dia ni jenis yang suka berjalan.

    Kasihan pula Imran memandang Najaah, budak baru nak belajar berpuasalah katakan.

    "Kat mana, biar pak long ambilkan."

    "Dekat atas," kata Najaah yang masih terbaring di atas sofa semula.

    "Aduh, dah lembik macam sotong dah... anak buah pak long ni."  Kata Imran sambil berlari ke atas. 

     

    Mana pula dia letakkan kasut tu?  Imran mula mencari kotak kasut tu merata-rata.  Mulanya di bawah katil kemudiannya dalam almari.  Tetapi dia tidak menemuinya.  Di mana pula dia simpan kasutnya itu, macamlah benda berharga sangat sampai mesti disorok bukan-bukan.  Selepas itu barulah Imran nampak kotak kasut yang terletak di tepi bantal tidur Najaah.  Aduh, kasut pun nak letak dekat katil... lucu betullah Si Najaah ni.  Imran segera mengambil kotak tu, lalu dibukanya. 

    Alah, bukannya kasut ... lukisan dan kertas-kertas conteng Najaah sahaja.  Imran nampak gambar dirinya yang dilukis oleh Najaah.  Tak cantik sangat lukisan Najaah, tapi Imran tahu itu dirinya.  Di tepinya tertulis: Pak Long Imran yang Najaah paling sayang.  Alah, semuanya mesti dilabelkan... tapi Imran seronok melihatnya.  Imran ada enam orang anak saudara... tetapi Si Najaah adalah anak buah kesayangannya.  Hmm, ada gambar pemandangan juga di situ.  Najaah ni pandai juga melukis dan suka berimaginasi, mungkin Imranlah yang banyak mempengaruhi kecenderungannya itu....

     

    Ketika membelek-belek itulah Si Imran terkejut apabila ada sampul surat yang terjatuh.  Sampul surat itu warna perang, seperti surat rasmi aja... tetapi ada gambar kartun pula di tepinya.  Amboi, sejak pandai menulis ni... bukan main lagi Si Najaah ni, dah pandai tulis surat.  Kepada siapa ya?

     

    Kepada,

    Tuhan - Syurga

     

    Tulis Najaah yang besar-besar seperti butir jagung itu, sungguh-sungguh membuat Imran digoda dengan perasaan ingin tahu apakah kandungan isinya.

     

    Lalu surat yang pertama dibukanya dengan cermat.  Surat itu belum digam.  Ada tarikhnya di situ, jadi Imran mula membaca dari awal mengikut tarikhnya.  Kerana penerima bagi ketiga-tiga surat itu adalah sama.

     

    Tuhan,

    Kepada Tuhan yang mendengar doa anak-anak kecil seperti saya.  Saya ingin meminta sesuatu daripada Tuhan.  Boleh tak Tuhan beri pada saya seorang mama?   Saya suka kalau Achik Anah, yang baik tu jadi mama saya.  Tahun lalu kami makan di rumahnya, dia masak nasi tomato yang sedap.  Dia tak marah pun bila bagi pecah pasu bunga di rumahnya.  Tahun dahulu saya belum pandai menulis lagi.  Sebab itu surat ini saya lambat hantar pada Tuhan.

     

    Yang benar,

    Najaah binti Ilham.

     

    Imran jadi kelu, tidak tahu nak berkata apa-apa.  Apa yang tak kena dengan anak-anak Ilham ni.  Ilham selalu kata mereka normal seperti anak orang lain, tetapi rupanya tidak.  Najaah memang rindukan seorang ibu.

     

    Tuhan,

     

    Ini surat saya lagi.  Saya tidak tahu macam mana nak pos surat pun.  Saya takut sangat orang tahu saya tulis surat kepada Tuhan.  Saya telah jadi budak yang baik tiap-tiap hari.  Sebagai contohnya, semalam saya tolong picit kaki nenek, dia sakit.  Boleh tak saya dapat hadiah?  Hadiah yang saya mahu ialah seorang mama.  Saya mahu Achik Anah, umi kepada Kakak  Zetti tu jadi mama saya.  Boleh lah Tuhan.

     

    Yang benar,

    Najaah binti Ilham

    Tahun Satu Anggerik.

     

    Ilham baca lagi surat yang seterusnya.

     

    Tuhan,

     

    Pak Long pernah bertanya, dalam semua anggota badan yang kami ada, apa yang kami sayang sekali, dan kalau boleh kami tak nak beri pada orang.  Kak Sya kata, dia sayang suara dan telinganya... kerana tanpa mulut dan telinga kita akan jadi macam Adik Nuha.  Kak Sya kesian kepada Adik Nuha.  Kata Kak Sya kalau boleh tukar, dia  nak Adik Nuha ambil telinga dan suaranya.  Kak Sya kata dia sudah lama mendengar dan bercakap, jadi dia tak rasa apa-apa lagi kalau dia boleh tukar dengan Adik Nuha yang bisu dan pekak itu.  Baiknya hati Kak Sya.

     

    Betulkah kita boleh tukar barang yang kita sayangi untuk dapatkan sesuatu yang lain?  Tuhan, saya sayangkan mata saya.  Kerana dengan mata saya dapat lihat, papa, pak long, nenek, Kak Sya dan adik.  Saya boleh lihat pemandangan yang cantik-cantik dan saya nak lukis pemandangan yang cantik-cantik itu.  Tuhan, pak long akan kahwin dengan Achik Anah.  Ini memang rancangan Kak Sya dulu.  Tapi sekarang Kak Sya pun tak setuju kalau pak long kahwin dengan Achik Anah.  Tapi dia tak berani cakap. 

     

    Pak long tak suka budak kecil campur hal orang tua.  Jadi Tuhan, kalau pak long nak tukar mata dengan saya dan kami pula boleh ambil Achik Anah sebagai ganti mama, saya sedia.  Tapi janganlah bagi saya rasa sakit bila saya bagi mata itu, saya takut lah.  Tuhan asalkan Achik Anah sanggup jadi mama saya, saya sedia beri mata saya untuk pak long.

     

    Tuhan surat ini kawan saya yang tolong tulis, sebab saya tak pandai tulis macam ni, panjang sangat.  Tapi apa yang dia tulis, saya yang kata.

     

    Yang benar,

    Najaah binti Ilham.

     

    Imran jadi sedih dan sungguh terharu dengan surat-surat Najaah.  Padanlah dia tidak nampak gembira pun apabila neneknya mengumumkan yang Imran akan berkahwin dengan Farhana.  Padahal Si Najaah ni suka pergi ke kenduri-kendara.  Najaah yang periang ni rupanya ada hati yang halus.  Semua orang kata dia seperti tak ada perasaan sedih.  Rupanya tidak.  Dia sedang menelan kesedihannya seorang diri.

     

    Patutlah baru-baru ni Najaah pernah bertanya kepadanya:  "Pak long kalau kita nak hantar surat kepada Tuhan... kita nak beli setem di mana?"

    Imran hanya ketawa dengan pertanyaan Najaah.  Tidak sangka Najaah sedang serius, dia sangkakan Najaah main-main.  Rupanya, Najaah betul-betul perlukan 'setem' untuk mengepos surat-suratnya itu.  Surat-surat yang disimpannya dalam sampul berwarna perang – seperti surat rasmi.  Tetapi di sampul itu juga dia lukis sedikit gambar-gambar bunga dan watak-watak kartun kesukaannya di situ.  Aduhai, Najaah cuba menghantar surat bersampul perang untuk Tuhan.  Astaghfirullah, kesian Najaah.

     

    Bukankah aku pernah memberitahunya:

    "Tuhan itu Maha Mendengar, Najaah.  Najaah minta doa saja selepas sembahyang... ni pak long lihat Najaah liat aja nak sembahyang.  Mana Tuhan nak sayang kepada Najaah.  Dah tu tahun lalu suka ponteng puasa pula.  Najaah, Tuhan sayang pada budak-budak yang baik." 

     

    "Pak long jumpa tak?"  jerit Najaah dari bawah.

    "Tak adalah, Najaah... kat mana Najaah simpan?"  Imran segera menutup tudung kotak kasut itu dan letakkannya di tempat asal cepat-cepat apabila dia dengar tapak kaki Najaah di tangga.

    "Mana ya, Najaah tak tahu di mana."  Kata Najaah pura-pura mencari.

     

    Sebenarnya dia beri kasut itu pada Kak Fatehah, sahabatnya di sekolah.  Fatehah tu di darjah empat, tetapi mereka berkawan baik kerana mereka naik bas sekolah yang sama setiap hari.  Kenapa dia terpaksa beri kasut tu pada Kak Fatehah ialah:

     

    ·            pertamanya, dia tidak suka kasut tu – macam kasut budak sekolah saja kecuali warnanya biru tua dan jenis kainnya lebih lembut.  Dia lebih suka kasut tinggi warna merah jambu terang lah.  Tapi pak long tidak suka budak-budak pakai kasut macam tu. 

     

    ·           keduanya, sebenarnya Kak Fatehah, budak yang pandai mengarang tu... mahu upah – setelah dia tolong menulis surat yang panjang untuk  Najaah.  Kalau Najaah tidak beri hadiah, dia akan bocorkan rahsia Najaah kepada orang lain.  Mana Najaah ada duit!  Papa cuma bagi seringgit sehari.  Najaah tidak begitu pandai tulis surat yang panjang dan susah-susah begitu.  Tapi Kak Fatehah tu pandai mengarang.  Jadi kebetulan Kak Fatehah muat kasut itu... lalu kasut itu diberikan kepada sahabatnya itu sebagai upah.  Lagipun kaki Kak Fatehah tu kecil sahaja.

     

    "Tak apa lah, Najaah.  Nanti kita beli yang lain."  Imran pandang Najaah dengan sayu... kalau mata pun dia sanggup nak beri kepada aku untuk ditukarkan dengan Farhana, entah kasut tu kepada siapa-siapalah diberinya.

    "Najaah ada surat apa-apa tak nak di pos, sebab pak long nak singgah di pejabat pos esok."  Kata Imran pura-pura. 

    Selalunya sesekali ada juga surat yang Najaah nak kirimkan kepada sepupu-sepupunya,  di Seremban.  Sejak pandai menulis ni bukan main cik kak sorang ni, asyik nak menulis surat sana sini.  Kadang-kadang tu nak bercakap dengan papa atau kakaknya pun, dia main tulis-tulis surat.  Bila kita perli dia, Najaah akan kata; ini caranya apabila Najaah nak cakap dengan Nuha nanti, ni practise lah pak long. 

     

    Imran jadi serba salah, sedih pun ada... nak ketawa pun ada, simpati pun ada...  Najaah, Najaah ada ke dia tulis surat kepada Tuhan.  Rupanya susah betul nak besarkan anak-anak perempuan tanpa ibu mereka.  Itu yang perlu dia bincangkan dengan Ilham.  Janganlah lagi pentingkan diri sendiri, dia mesti fikirkan tentang anak-anaknya.

     

    "Pak long... kalau Najaah nak pos surat kepada Tuhan, setemnya berapa ringgit?"

    "Najaah bagilah surat tu dulu, nanti pak long belikan setemnya."  Kata Imran. 

    Dia bercadang selepas ni dia nak bercakap dari hati ke hati tentang hal ini.  Najaah perlu diberi penjelasan lengkap tentang konsep ketuhanan.

    "Najaah hutang duit setem dulu, nanti bila Najaah dapat duit raya... Najaah bayar ya."  Kata Najaah dengan gembiranya.  Mak Su Idayu dan Pak Su Chairil dah janji nak bagi duit raya yang banyak kalau dia habis puasa tahun ni... lima puluh ringgit, syoknya.

    "Tapi Najaah, kenalah berdoa kepada Tuhan apabila nak minta sesuatu kerana Allah itu Maha Mendengar.  Allah itu tahu apa yang ada di dalam hati kita, Najaah.  Kalau Dia tidak beri sekarang, Dia akan memberikannya kemudian.  Kalau Dia tidak beri yang ini, mungkin juga... insya-Allah, Dia beri yang lain sebagai gantinya."  Kata Imran.

    Dia sangat berharap Najaah faham apa yang diperkatakannya.  Kata-katanya tidaklah terlalu sukar untuk difahami oleh seorang budak darjah satu, dia kira.

     

    Najaah mengangguk.

    "Dulu, pak long juga berdoa minta-mintalah pak long ada anak saudara yang comel dan baik... namanya, Najaah... lalu Tuhan betul-betul mendengar doa pak long."  Najaah tersenyum dengan kata-katanya.

     

    Dia tahu, pak long memang sayang kepadanya.  Malah kata nenek, namanya pun pak long yang pilih.  Nama Kak Nafisya dipilih bersempena nama nenek mama.  Jadi tentulah Najaah ni istimewa di hati pak long, sebab namanya pilihan pak long.  Najaah sendiri tahu pak long lebih sayang kepadanya berbanding Kak Sya.  Dia pun ada hobi seperti pak long suka melukis.  Pak long selalu kata Najaah ni anak pak long kepada kenalan pak long, apabila dia ikut pak long ke mana-mana.  Dia memang sayang akan pak long.  Selepas papa, dia memang sayang kepada pak long. 

    Sebenarnya, dia bukan tidak mahu Achik Anah menjadi mak longnya, cuma dia lebih senang kalau perempuan yang baik itu menjadi mamanya terus.

     

    "Cepatlah, mana surat-surat tu?"

    Najaah mengeluarkan surat dari kotak kasut itu tanpa ragu-ragu lagi dan Imran pula pura-pura tidak tahu apa-apa pun.

    "Pak long jangan lupa pos ya, penting ni.  Kalau boleh Najaah nak surat ni sampai sebelum raya.  Boleh buat pos laju tak?"

    "Ya, sayang."  Imran tidak tahu nak kata apa-apa lagi.

     

    Kalau cinta itu boleh ditunjukkan dengan rupa, Farhana adalah rupa untuk mengungkapkan istilah 'cinta' itu! 

    Tetapi tegakah aku untuk merampas dia daripada Nafisya dan Najaah.  Apatah lagi dari Nuha yang tidak pernah diberi kesempatan untuk meluahkan seribu rasa yang terpendam dalam dadanya itu.

     

    Tuhan bagaimana aku dapat mengambil Farhana sebagai isteriku sedangkan anak-anak Ilham lebih memerlukannya lebih daripada aku! 


    _______________

    Catatan:

    Assalamualaikum,
          Kaksu mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Syawal. Semoga kita dipanjangkan usia untuk bertemu lagi dengan Ramadan pada tahun akan datang. Amin. Maafkan kaksu atas segala salah dan silap; juga mana-mana yang terkasar bahasa lalu mengores rasa... apatah lagi canda yang mencalar hati...

    Terima kasih jua untuk sebuah ukhuwah yang manis :)


     


    copyright control @ jemari seni.com


    Posted at 1:52 am by noorsoraya
    Comments (14)  

    Tuesday, October 09, 2007
    I - Surat Bersampul Perang

    ::~ TIGA PULUH SATU ~::


    (i)

    HARI MINGGU INI, sudah dua puluh tiga hari umat Islam menjalani ibadah puasa. Farhana seronok bukan kepalang kerana akhirnya dia mendapat kesempatan untuk membawa anak-anaknya pulang berpuasa di kampungnya, di Kaki Bukit. Rumah kak chaq sudah bertukar menjadi restoran sejak petang Jumaat hari itu. Anak dia saja sudah lapan orang; bang tam sekeluarga pun berbuka di sini; lalu ditambah pula dengan Farhana dan anak-anaknya. Setiap kali tiba waktu berbuka atau bersahur; naik kembang tangan anak-anak perempuan kak chaq – si Arisya dan Arini membasuh pinggan mangkuk tu. Si Adlina dan Ainun jangan dikata lagilah, memasak mengalahkan orang masak nasi kawah.

     

    Farhana pula telah membawa anak-anak Ilham; Nafisya dan Najaah juga berpuasa di kampungnya. Selalunya mana Si Ilham tu mahu melepaskan anak-anaknya pergi jauh begitu. Tetapi Nafisya dan Najaah sudah merenggek nak ikut. Si Zetti tu memang macam tu, semuanya dia nak beritahu kepada Najaah. Sekejap saja rancangan mereka nak balik ke Perlis telah dibocorkan kepada sahabatnya itu. Ilham yang telah jadi serba salah terpaksa melepaskan anak-anaknya hari tu. Memandang ibunya pula kurang sihat Ilham memang tidak mahu menyusahkan Puan Darawisah. Tambahan pula Ilham perlu ke Termerloh hari Jumaat itu.

     

    Ilham kata selepas dia balik dari Temerloh, dia akan ke rumah kak chaq, ambil anak-anaknya. Sepatutnya semalam lagi Ilham datang. Tetapi tengah hari kelmarin dia telefon, terpaksa menunda masa untuk ambil anak-anaknya. Budak-budak dua orang tu seronok bukan main, kerana papa mereka tidak jadi datang kelmarin. Si Nafisya teringin sangat nak tolong Adlina buat kuih raya. Sementara itu Si Najaah pula bimbang kalau-kalau baju kurungnya tidak sempat disiapkan... semalam Achik Anah baru memotongnya, hari ini barulah Achik Anah janji nak menjahitnya. Padahal raya kan lambat lagi – dalam seminggu. Achik Anah dah janji akan pos kalau bajunya tidak sempat siap. Tetapi Najaah tu... tak nak balik selagi bajunya tidak siap. Ini kerana baju kakaknya dan baju Nuha dah siap sejak semalam lagi.

     

    Yalah, salah Najaah juga. Dia yang mahu bajunya dijahit oleh Achik Anah. Anah manalah secekap Ainun tu. Kalau Adlina cekap dengan kerja-kerja dapur, Si Ainun ni pandai pula menjahit. Hari tu Anah dah kata pada kak chaq, bila Zetti besar sikit dia pasti saja akan hantar ke kampung untuk 'kursus' menjadi seorang wanita Melayu sejati seperti – pandai memasak dan menjahit – anak-anak kak chaq. Lalu abang tam menambah, kirim juga Zaynn sekali; Zaynn sudah sepatutnya diajar turun ke bendang tanam padi.

     

    Walaupun anak-anak perempuan kak chaq tidak sepandai Nina anak abang teh, tetapi kak chaq sepatutnya berbangga. Mereka memang cekap dengan kerja dapur. Kak chaq dah boleh jadi mem, sebut aja nak makan apa... dayang-dayangnya itu pasti aja akan uruskan. Rumah mereka bersih dan berkilat. Kalau kak chaq beli saja kain di pekan, pasti siap baju kurung atau baju kedah atau kebaya idamannya dijahit oleh puterinya itu. Hujung tahun ni, kak chaq akan menerima menantu. Adlina sudah bertunang hari tu. Mudah sungguh Adlina membuat keputusan dalam hidupnya.

     

    Farhana tidak mahu campur tangan. Hari tu apabila Adlina bertanyakan pendapatnya, Farhana cuma kata; Achik doakan yang terbaik untuk Adlina. Buatlah apa pun keputusan yang Adlina rasa baik. Lalu Adlina memilih untuk berkahwin dengan guru muda tu. Dan dia akan mengikut bakal suaminya itu ke Kota Marudu, Sabah selepas itu. Aku juga selalu merasakan Adlina terlalu muda untuk dibebani dengan tanggungjawab. Siapalah aku untuk menasihati dia. Perjalanan hidup aku tidak sesempurna perjalanan hidup orang lain. Biarlah Adlina membuat keputusan yang dia kira baik untuk dirinya itu.

     

    Lagipun kalau di kampung ni, Adlina, anak sulung kak chaq tu sudah dianggap cukup dewasa. Dia sudah cekap di dapur, menjahit pun pandai... walaupun tidak sehalus jahitan adiknya, Ainun. Kalau dibandingkan dengan jahitan aku, pandai lagilah Adlina berkali-kali ganda. Jahitan aku bengkok-keledok aja... itu pun Si Najaah ada hati nak suruh aku jahitkan baju kurung raya untuk dia. Manjanya Najaah membuat Si Zaynn jadi cemburu sungguh. Tetapi Zaynn sudah pandai menyembunyikan hatinya sejak akhir-akhir ini. Mungkin sejak tinggal dengan abahnya, membuat dia jadi begitu.

     

    Farhana mengukur baju yang sudah siap dijahit tu ke badan Najaah. Najaah nampak comel dengan baju kurung hijau muda berbunga-bunga kecil warna putih. Baju untuk Nafisya serta Nuha – juga dari corak yang sama – sudah siap berjahit dan digantung di tingkap. Cuma baju kurung untuk adik tiri Zetti, Si Mawardah yang belum siap lagi. Sekejap lagi tentu sahaja Ainun akan seterika baju Nafisya dan adik-adiknya itu sebelum dimasukkan ke dalam beg. Papa mereka akan datang petang nanti. Cantik, kemas dan halusnya jahitan Ainun. Kalau Ainun sudah tidak mahu bersekolah, tentu saja aku sedia untuk membiayainya belajar menjahit. Ainun sebaya dengan Nina. Tetapi mereka berbeza sekali. Nina tu bukan sahaja cantik, bersopan santun tetapi juga sangat pandai... dia dapat 9A untuk peperiksaan SPM baru-baru ni. Sedangkan Si Ainun, satu A pun tak ada. Kasihan betul. Kalau dengan mengetepikan kepandaian membuat kerja rumah, bersopan santun dan ilmu agama... anak-anak perempuan kak chaq kalah serba-serbi dengan Nina, bisik Farhana.  

     

    Semalam Ilham tersadai di Temerloh, kerana ada tanah runtuh. Dia ada urusan mahkamah di sana. Salah seorang patientnya meninggal dunia dalam suatu kebakaran. Jadi dia ke sana untuk memberi keterangan sebagai saksi atas suatu tuntutan harta pusaka yang banyak. Ilham ada maklumat forensik kerana mangsa pernah membuat rawatan gigi dengannya. Lamanya kes tu, dari zaman Ilham masih bekerja di hospital kerajaan lagi. Dulu aku ingatkan kerja doktor hanya cabut dan palam gigi orang saja. Rupa-rupanya tidak, bidang kerja mereka lebih luas dari itu.

     

    "Cantiknya, Achik Anah... buatlah satu lagi warna pink pula." Jerit Najaah.

    Jahitan hodoh dan kasar begini dia kata cantik. Tengok... kan baju ni sudah conget begitu, kerana bulan lehernya silap diukur. Sudahlah pesaknya terbalik, kikik baju tu pun kecil sangat, tak padan langsung.

    "Satu lagi ya, warna pink." Najaah masih memujuk.

    "Mana sempat lagi, nanti papa dah nak datang... nantilah raya haji pula." Pujuk Anah.

    "Malaslah nak balik lagi lah, Achik Anah."

    "Janganlah begitu, Najaah... kan Najaah belum lagi buka puasa di rumah opah dan atuk lah... rumah Mak Su Idayu lah..." Pujuk Farhana, apabila dilihatnya Najaah pula-pula merajuk dengan buat-buat sedih jatuh terlentang macam panda.

     

    Si Najaah ni kalau dia tidak dapat warna merah jambu terang mana dia jadi senang duduk. Farhana sengaja beli warna yang sama untuk semua gadis-gadis kecil tu, termasuk Mawardah, anak Masri. Nanti kalau mereka berempat terserempak di pusara kan nampak cantik saja. Menurut Ilham, tahun ini mereka akan menziarahi pusara Dalilah pada hari raya pertama lagi. Zetti suka sangatlah dapat bertemu dengan Najaah lagi di pusara tu nanti. Boleh kita main lagi, katanya tadi. Zetti, Zetti dia ingatkan kawasan perkuburan tu taman permainan ke?

     

    "Bolehlah." Kata 'si panda' kecil tu lagi.

    "Nanti mak su Najaah kecil hati... tak jadi bagi duit raya, macam mana" kata Farhana lagi. Dia dah tak larat nak menjahit lagi. Ainun tu sekejap saja – dalam dua hari ni – dapat menjahit berpasang-pasang, sedangkan dia sehelai ni pun bagai nak pitam.

     

    Muka Najaah berubah dengan kata-kata Achik Anah. Semua orang tahu, yang Mak Su Idayu nak berinya lima puluh ringgit jika dia habis puasa tahun ni. Yalah, kalau dia tak dapat duit yang banyak bagaimana pula dia nak bayar 'duit setem' yang dijanjikannya dengan pak long. Pak long selalu marah kalau mereka tidak dapat menepati janjinya.

     

    Akhirnya, Najaah termakan dengan pujukan Farhana.

    "Tapi Najaah kena janji ni... kalau orang tanya baju kurung Najaah siapa buat... kata Kak Lang Nun tau, jangan kata Achik Anah yang buat... malulah Achik Anah nanti," kataku kepada Najaah.

    "Eh, achik tak bolehlah macam tu... nanti orang tuduh Nun yang jahit baju tak senonoh macam tu... rugilah Nun, nanti orang tak mau buat menantu, achik lain lah... achik dah ada orangnya," balas abang kepada Ainun tu sambil tersenyum nakal.

    "Betul juga tu Azam, tapi emak rasa... kalau Abang Imran tengok jahitan achik kamu tu... tentu dia tak jadi kahwin dengan achik... kasar jahitannya mengalah tali orang ikat gajah." Canda kak chaq.

     

    Muka aku merah padam malu diusik begitu. Dalam banyak-banyak anak kak lang, Azam ni memang tak makan saman sikit. Dia suka usik aku yang bukan-bukan. Sejak dia tahu aku akan berkahwin, lagilah macam-macam dia usik.

    "Tak pa lah, mak chak... lagi bagus kalau pak long tak mau dekat Achik Anah... bolehlah Najaah suruh papa yang kahwin dengan Achik Anah... kami pun dapat mama."

     

    Semua orang ketawa dengan kata-kata Najaah. Tapi dalam hati Najaah takut juga, kalau pak long tahu dia menyampuk orang tua cakap... matilah dia kena marah. Jangan pula Kak Sya mengadu pula. Tapi Najaah juga tahu, Kak Sya juga harap papa yang kahwin dengan Achik Anah. Cuma dia tidak berani cakap aja. Najaah lainlah, dia sudah hantar surat dan sedang menunggu balasan surat dari....

    (ii)

    FARHANA DUDUK di beranda petang itu dengan tenang. Angin bertiup panas. Kerja-kerja dapur untuk berbuka nanti semuanya sudah Adlina dan adik-adiknya uruskan. Kak chaq di dalam bilik mengaji al-Quran seorang diri. Naim pun sudah lama ke masjid tidak balik-balik lagi. Farhana sedang sibuk membetulkan baju Najaah yang sudah tidak tentu arah jadinya. Nasib baik Zetti sudah insaf, tidak menyuruh uminya buat baju kurung untuknya. Sejak dia dah semakin besar ni, dia sudah tahu kalau baju itu tidak dijahit dengan sempurna atau tidak. Dulu masa dekat Norwich, dia tidak tahu baju kurung jahitan uminya teruk betul... lalu dia dengan megahnya akan menunjuk-nunjuk kepada teman-temannya yang tak ada baju kurung. Sekarang ni awal-awal lagi dia dah pesan: umi kali ni boleh tak... Kak Lang Nun yang jahit baju untuk Zetti. Farhana ketawa mendengar kata-kata Zetti. Tengok Nun, anak sendiri pun tak dah tak percaya pada jahitan Achik Anah.

     

    Zaynn sudah mengikut sepupu-sepupu lelakinya ke kedai. Mereka nak beli minyak gas (minyak tanah) dan nak buat pelita untuk nanti malam. Pak Su Naim sudah janji nak beli bunga api kalau dia keluar ke Arau nanti. Zaynn tu tak tahu kenal letih agaknya, puasa-puasa begini pun masih larat nak ke kedai jalan kaki... dalam panas-panas begini. Zetti dan Najaah pula sudah jadi macam sayur tak cukup air. Itulah waktu bermain tidak ingat yang waktu berpuasa ada beberapa jam lagi... akhirnya kedua-dua gadis kecil itu telah terlelap di tepi tingkap dengan kipas terpasang kuat mengalahkan kipas helikopter. Padahal, kipas tu akan mengisar udara panas... silap-silap mereka akan jadi terhidrat pula. Tetapi kalau kita larang, dia akan kata sekejap saja umi... tengah panas ni, nanti Zetti perlahankan lah.

     

    Nafisya yang rajin sangat tu, sudah ke dapur tolong Adlina, Arisya dan Arini buat kuih raya. Lagipun tunang Adlina nak datang bertandang raya nanti. Tentulah Adlina kena buat kuih macam-macam, nak ambil hati. Kak chaq macam emak juga, mananya dia nak biarkan anak perempuannya bebas ke sana ke mari. Kalau nak jumpa mesti datang ke rumah. Ni baru bertunang, Anah... tak tentu jadi kahwin lagi. Kata-kata kak chaq tentu sahaja mengingatkan aku pada kelakuan buruk aku dulu. Yalah, kalau yang kahwin pun boleh bercerai-berai... ini baru bertunang, sambung kak tam tanpa niat untuk menyindir aku. Tetapi ya lah hati aku terasa tersindir juga.

     

    Raya ni juga, Imran akan datang untuk menyimpulkan kasihnya dengan akad dan nikah. Semakin hari, semakin aku rasa debarannya. Macamlah tidak biasa pula. Ya lah tentulah berdebar, kerana aku akan kahwin dengan cara baik-baik. Dengan cara paling terhormat, beradat. Di sebelah pihak aku, majlisnya kami akan buat ringkas sahaja, nak di selit-selit dengan kenduri arwah juga. Tetapi di sebelah sana... Puan Darwisah nak buat besar sikit... siap dengan kenduri dan majlisnya. Ya lah, Imran tu anak sulung... baru nak berkahwin untuk pertama kalinya.

     

    Bau kuih semprit yang sedang dibakar membuat Farhana segera terkenang kepada emaknya. Sudah bertahun-tahun dia tidak membakar kuih dengan emaknya... dan kini peluangnya itu sudah tidak ada lagi.

     

    Pernah suatu ketika dulu, dalam bulan Ramadan di Norwich... tiba-tiba dia terhidu kuih dibakar orang. Harum dan menusuk hidung. Ketika itu Farhana duduk keseorangan di bawah pohon mapel menunggu daun bertukar menjadi hijau. Lalu dia teringat kepada emak pada waktu itu, dan dia menangis seperti tidak cukup air mata.

     

    "Assalamualaikum...."

    Farhana yang sedang duduk di beranda tersentak dan memandang ke bawah.

    "Eh, Imran... sorang, mana Ilham? Kenapa Ilham tak datang ambil anak-anaknya?" kata Farhana selepas menjawab salam dari bakal suaminya itu.

    Imran memang kacak, jauh lebih kacak daripada Ilham. Farhana tersenyum dengan kata-kata hatinya, entah kenapa!

     

    Ainun segera ke belakang mencari emaknya. Farhana segera mempelawa Imran ke atas rumah.

    "Tak payahlah sekejap aja, boleh I cakap dengan you sekejap." Kata Imran dengan muka nampaknya lain daripada biasa.

    Farhana turun dari beranda, dan mendapatkan Imran di tanah. Mereka berdiri tidak jauh dari beranda rumah.

     

    "Kenapa?" tanya Farhana lembut.

    "Farhana. I nak minta maaf kerana tak boleh meneruskan segala harapan kita. Setelah berfikir panjang, I baru sedar kita tidak serasi." Kata Imran spontan, tanpa mukadimah.

    Farhana betul-betul terkejut. Dia jadi sakit hati dengan kata-kata yang meluncur dari mulut Imran petang itu.

    "Kenapa Imran, apa yang tak kena dengan I?"

     

    Lalu Imran bercerita seenaknya, sehingga terasa bingit di telinga Farhana mendengarnya. Farhana rasa nak terjelepok. Dia rasa sungguh terhina sekali. Selama ini, dia memang sudah tak ada hati untuk berumah tangga lagi. Setelah begitu lama dia terlepas bebas, sendirian... haruskah dia diikat dengan tanggung jawab? Tetapi Ilham terlalu baik untuk dilukai. Dia jadi leka dengan keikhlasan Imran, yang kononnya sekian lama menunggu Farhana. Lalu hatinya yang sudah lama ditinggalkan tak berpenghuni berkata; apa salahnya dia berkongsi hidup dengan lelaki sebaik Imran. Agaknya itulah yang dikatakan jodoh agaknya... tiba-tiba dia dijentik rasa dengan cinta lagi. Walaupun dia sedar cintanya tidak sebesar cinta Imran kepadanya.

     

    "Eh, Imran naiklah... kenapa berdiri kat bawah saja. Farhana ajak Imran tu naik." Kata kak chaq yang baru muncul di muka pintu, di belakangnya Ainun dan Nafisya.

    "Tak apalah saya tunggu IIham sekejap, nak ambil budak-budak ni."

    "Ilham mana? Bolehlah berbuka kat sini ramai-ramai."

    "Dia ke kubur isterinya sekejap, kak chaq."

    "Budak-budak ni dah ke sana pagi tadi, Farhana dah bawa." Balas kak chaq dengan penuh mesra.

    "Nanti dia datanglah. Maaf kak chaq, kami tak dapat berbuka di sini sebab nak singgah banyak tempat lagi ni." Kata Imran.

    Imran baru sedar yang dia belum pun menyerah buah tangan yang dibawanya itu. Tadinya dia ingin cepat-cepat memutuskan hubungan dengan Farhana sebelum Ilham datang atau orang lain datang. Farhana pula berlari ke atas. Imran jadi sayu melihatnya pergi.

     

    Janganlah orang kampung ni tahu yang aku tidak jadi berkahwin lagi, kasihan kak chaq kena menanggung malu itu. Walaupun Farhana tahu, inilah suratan takdir ke atasnya, tetapi dia tidak rela memalukan kakaknya pula. Setelah berkata 'ya' kepada Imran, dia ingatkan dia sudah tidak perlu menangis lagi, rupanya... air mata itu tetap menderu.

     

    Kak chaq masih duduk di bawah berbasa-basi dengan bakal adik ipar tak jadinya itu. Mahu sahaja Farhana panggil kak chaq pada saat ini; dan katakan kepadanya... jangan dilayannya orang yang mulutnya bercabang dua tu. Munafik!

     

    "Kami kena cepat kak chaq, sebab Si Ilham nak ajak budak-budak ni balik ke Kuala Kangsar, rumah opah dan atuk mereka." Kata Imran.

    "Saya ni nak balik sampai ke Parit Buntar aja, ibu ada kat sana. Kalau di KL susah nak solat tarawih, masjid dekat rumah kami di KL tu... kena panjat tangga... kalau di kampung masjid sebelah rumah aja, kak chaq...." Sambungnya lagi.

    "Oh, macam tu... tunggu lah sekejap, kak chaq suruh Nun sendukkan gulai ikan puyu untuk dibawa balik pada ibu Imran. Rempah gulai ni... kak chaq giling sendiri bukannya rempah serbuk, Imran." Sambung kak chaq lagi.

     

    Amboi... terlebih ramah pula Si Imran ni ya, sudahlah kamu sakit hati aku... sekarang ni masih nak berpura-pura lagi. Cakap sajalah, saya tak berani nak buka puasa di rumah kak chaq sebab saya baru saja tak jadi kahwin dengan adik kak chaq, Farhana. Cakap, kenapa tak cakap. Biar semua orang tahu. Pengecut!   

     

    _________
    Catatan:

    1. Sila dapatkan novel edisi penuh, Rindunya Kian Membara jika suka :) ahaks
    2. Ada beberapa bahagian yang kaksu suka dalam cerita ini, antaranya inilah bahagiannya, kerana bahagian ini mengikatkan kaksu kepada suatu perkara...


    Posted at 6:18 am by noorsoraya
    Comments (11)  

    Thursday, October 04, 2007
    Epilog: Kebun Mimpi...

    EPILOG

     

    >i<

     

    ketika kita sedang enak-enak bermimpi

    kita jadi takut kalau-kalau pabila terjaga nanti

    rupa-rupa air mata  

    sudah menanti di ambang pintu

     

     

    "Ya, Nik dan dua yang lain cedera, ada kemalangan di pelantar, puan. Kejadian tu berlaku pukul sembilan tujuh belas minit tadi. Nik sudah dihantar ke Pusat Kesihatan USM Kubang Kerian, dengan helikopter..."

     


    Lalu qimuliailnya bermula pada detik 23 Ramadan malam ini...

     

     

    cinta itu membawa bunga

    tetapi berapa orang yang sedar

    bunga itu juga membawa duri pada tangkainya?


    EPILOG

    >ii<


     

    Kebun Mimpi...
    adalah mimpi indah?
    Kebun Mimpi...
    adalah mimpi ngeri?

     

     

     

    Kebun Mimpi...
    menyatukan mereka dalam nyata,
    memisahkan mereka dengan cinta sejati!
    dan akhirnya
    menjadikan kenangan
    tak bertepi...

    pada dia yang bertakhta di hati

     

     = T-A-M-A-T =

     


    Posted at 10:48 pm by noorsoraya
    Comments (44)  

    Wednesday, October 03, 2007
    >ix< Kebun Mimpi...

    Sedutan Epilog:



    "... Nik dan dua yang lain cedera, ada kemalangan di pelantar, puan. Kejadian berlaku pukul sembilan tujuh belas minit tadi. Nik sudah dihantar ke Pusat Perubatan USM Kubang Kerian dengan helikopter...i?"


    p/s: tq untuk orang tu... m & w


    Posted at 12:39 pm by noorsoraya
    Comments (11)  

    Next Page