catatkanlah rasamu di
BUKU TAMU
Noor Suraya


BUAT MENYAPU SI AYER MATA
adalah antologi cerpen-cerpen NOOR SURAYA sejak tahun 1985 - 2005:
  • Ajerah
  • Anak-anak Kongsi
  • ANA
  • Burung Kenek-kenek Warna Merah Hati...?
  • Cerita Semalam
  • Cinta Hajar Atiqah
  • Cukuplah Sekali
  • Fatimah Anak Perempuan Mr. Kong
  • Hati Zana
  • Maafkanlah Aku, Adibah!
  • Sayang Emak, Zeti!
  • Sepucuk Surat Cinta dari Lembah Kundasang

    Jemput ke...
    Rumah Kecil Tiang Seribu
    Nyanyian Tanjung Sepi

    Ulas Buku:
    Seribu Satu Malam


    Penerbitan
    Jemari Seni Publishing



    E-Novel
    NOOR SURAYA
    @kaksu

    KeBUN MiMPi...


    SURAT UNGU UNTUK NUHA

    edisi cetak

    ~ titipkan pesan buat J@J@
    di jendela ini...~
  •    

    << April 2017 >>
    Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
     01
    02 03 04 05 06 07 08
    09 10 11 12 13 14 15
    16 17 18 19 20 21 22
    23 24 25 26 27 28 29
    30


    Bacalah 10 Bab Dulu
    J@J@ & DIN




    Oktober 2009
    [1][2][3][4]
    November
    [5][6][7][8][9][10]


    tudung periuk pandai menari,
    menari lagu putera mahkota;
    kain yang buruk berikan kami,
    buat menyapu si ayer mata....


    NYANYIAN TANJUNG SEPI (2006) diterbitkan oleh CESB




    KERANAMU AIN... (2001) diterbitkan oleh CESB


    "Jika mencintaimu membawa hukuman mati... aku sudah lama mati, Ain."
    [Nik Ahmad Adam]




    BIRU UNGU CINTA (2003) diterbitkan oleh CESB



    "Seandainya terus mencintai Seera adalah suatu dosa... ampunilah keterlanjuranku itu, Tuhan."
    [Abdul Fattah]




    RINDUNYA KIAN MEMBARA (2004) diterbitkan oleh CESB



    "Pabila berkata tentang cinta, kita bagaikan tidak teringin jadi dewasa...."
    [Dr Farhana Haji Abu Bakar]




    TANAH ANDRIYANA (2002) diterbitkan oleh CESB



    "Asap api embun berderai,
    Patah sayap haluan perahu;
    Niat di hati tak mau bercerai,
    Kuasa Allah siapa yang tahu?"



    GURINDAM JIWA: HATI ANDRIYANA (2007) diterbitkan oleh Jemari Seni Publishing









    Who links to me?



    18 Sept. 2007


    If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



    rss feed




    Monday, February 28, 2011
    [2] - Gadisku, Wan Adnin

    1

    Cek Tak Kenal?

    hidup di dunia biar beradat; bahasa tidak terjual beli

     

    Memandang ke arah jalan, hati Adnin disalut sedih. Semalam Abang Wafi sudah pergi. Kenapa ya dalam keluarga ini, lelaki mudah sangat mengikut kata hati. Kenapa mereka yang seharusnya menjadi pelindung kepada wanita-wanita yang mereka kasihi, mengambil jalan mudah sahaja untuk melahirkan rasa duka lara. Susah sangat ke untuk menghadapi cabaran, lalu satu-satu jalan keluar ialah melarikan diri?

    Abah pergi setelah ibu pilih untuk bercerai. Ibu tinggalkan Adnin, abah pun sama tinggalkan Adnin. Dalam usia baru setahun tahun, Adnin sudah bagaikan anak yatim piatu. Adnin yang dalam usia masih menyusu, ditinggalkan tanpa belas kasihan. Singkatnya kasih ibu pada abah. Pendeknya sayang abah pada Adnin. Kurangnya cinta ibu pada Adnin.

    Mujurlah ada Tok Bonda. Bising-bising mulut Tok Bonda pun, dia menyayangi Adnin sepenuh hati. Cerewet-cerewet Tok Bonda pun, dia tidak pernah tinggalkan Adnin. Dia berikan seluruh kasih sayangnya untuk Adnin. Kasih yang tidak pernah abah dan ibu curahkan. Dia yang membesarkan Adnin sehingga dewasa begini. Dah 25 tahun pun usia Adnin, sehingga Adnin sendiri pun tidak boleh menjangka lagi bagaimana sudah raut wajah abah dan ibu sekarang ni.

    Gambar?

    Tok Bonda simpan semuanya, tiada sekeping pun yang ada dalam simpanan Adnin.

    Agaknya, mereka pun sudah tak ingat pada Adnin lagi. Harap-harap satu hari nanti terdetik juga di hati abah dan ibu untuk datang walaupun sesaat tengok Adnin di sini. Paling-paling hadir waktu Adnin kahwin. Kan abah harus jadi wali Adnin?

    ... tetapi Adnin hendak berkahwin dengan siapa? Siapa yang perasan Adnin ini wujud di  Negeri Kedah Darulaman ini? Sebaik sahaja keluar universiti dia terkurung di rumah nenek, tidak pernah ke mana-mana. Dia tidak pernah kenal siapa-siapa pun. Namun kata orang, kalau jodoh tidak ke mana. Biarpun ikan di laut, asam itu di darat... tentunya di dalam periuk bertemu juga. Itu kata oranglah...

    Sebenarnya, bukan dia hendak cepat-cepat berumah tangga. Tetapi dia tahu, inilah satu-satu caranya dia dapat bebas daripada belenggu Tok Bonda. Ya, belenggu... kalaulah boleh dikatakan demikian. Tetapi mana tahu kalau sudah keluar dari mulut buaya, dia terpaksa masuk ke mulut naga, lalu bagaimana? Astaghfirullah al-Azim, apa yang Adnin merepek ni.  

    "Adnin," suara Tok Bonda yang datangnya dari beranda rumah agam ini, bagaikan bunyi telefon bimbit bergetar. Perlahan tapi penuh wibawa.

    Petang-petang begini, lepas solat asar Tok Bonda akan melihat pokok-pokok di lamannya yang luas. Adnin meninggalkan tekat benang perak pada sarung bantal berbaldu biru tua. Adnin ingin segera mendapatkan neneknya. Pantang Wan Empuk, kalau cucunya lambat sampai.

    "Saya, Tok Bonda!" Suara Adnin perlahan sahaja mengiringi jalannya. Kalau Tok Bonda panggil, mesti dijawab dengan jawapan, 'saya' atau 'ya'... tanda taat, tanda hormat. Tak boleh nak senang-senang jawab 'ha' ke 'oi' ke... salah dalam tata adat Melayu. Itu pesan Tok Bonda, sejak Adnin boleh berkata-kata dan faham bahasa; sejak mumaiyiz.

    "Cek, kenal Akhtar?"

    Adnin tidak pernah buat muka pura-pura. Dia gadis polos yang tulus. 'Tahu', tahulah jawapannya. 'Tak tahu', tak tahulah jawabnya.

    "Akhtar?"

    Puas sudah dia 'muat turun' maklumat yang bersarang di mindanya, tiada maklumat yang sepadan. Kenalan lelaki yang dia tahu, boleh dikira dengan sebelah tangan pun tak habis.

    "Tadi ada lelaki nama Akhtar telefon, dia kata dia kenal cek." Mendatar sahaja suara Wan Empuk. Dia memang tidak suka jika ada mana-mana lelaki berani mengintai gadisnya.

    Selain panggil dengan nama rasminya sebagai Adnin, Tok Bonda akan gelarnya sebagai 'cek'. Cek itu bahasa halus bagi orang utara zaman dulu-dulu. Kadang-kadang Adnin malu juga kalau terpaksa membahasakan dirinya sebagai cek pada saudara-mara Tok Bonda.

    Tok Bonda selalu akan guna ganti nama itu untuk mengurangkan rasa tidak puas hati kepada cucunya itu. Kalau Tok Bonda sedang marah atau tidak puas hati, begitulah dia seru nama Adnin. Ada juga waktunya, kadang-kadang kalau dia ingin menunjukkan rasa sayang dan kasihnya pada Adnin, dia panggil cek juga. Maksudnya, 'awak' pada yang memanggil; maksudnya 'saya' pada yang berbicara. Cek itu untuk ganti nama diri pertama dan kedua sekali gus.

    Pelik bunyinya kan. Itulah, loghat Kedah ini indah, pada yang memahaminya. Loghat Kedah itu kasar pada yang tidak tahu menuturkannya.

    "Dia kata, dia sekelas dengan cek masa kat USM." Sambung Tok Bonda. Matanya masih memandang ke arah anggerik dalam pasu gantung di beranda. Ekor matanya mengerling ke arah cucu kesayangannya. Satu-satu cucu perempuannya.

    Anak Wan Empuk cuma dua orang, dan cucunya lima. Adnin ini buah hati intan payungnya. Pada Adnin dicurahkan seluruh kasih sayang. Pada Adnin dilengkapkan dengan budi bahasa dan kemahiran tekat-menekat. Jadi, bukan sembarangan kumbang dapat menyeri kembangnya ini. Adnin gadis yang dikurung dalam taman larangan.

    Adnin cuba memeras otak:

    Akhtar?

    Akhtar!

    Akhtar.

    "Tak kenal!" Akhirnya, Adnin mengalah.

    "Dia kata, hujung minggu ni dia nak mai." Mata Tok Bonda mencerlang tak senang.

    "Adnin tak kenal, Tok Bonda." Tegas Adnin. Kepalanya mengangguk entah kenapa. Matanya sudah berair, apabila lihat Tok Bonda bagaikan tidak percaya pengakuannya.

    "Tak apalah, Sabtu nanti kita tengoklah, cek kenal ke dak." Kata Tok Bonda, sambil tangannya menyembur air pada anggerik ungu pula.

    Adnin sudah takut separuh mati dengan kata-kata neneknya yang berbau ancaman. Akhtar mana pula ni? Awat nak mai pula ni? Nak mai buat apa pula ni? Adnin terus ke dalam bilik mencari buku istiadat konvokesyen, dua tahun yang lalu. Manalah tahu nama Akhtar ada di situ. Kalau ada dia akan segera telefon, Angah Su...!

    [Bersambung...]

    Catatan:

    (a) Latar cerita ini, di daerah Yan yang sungguh indah. Dulu-dulu kaksu selalu rancang dengan Enche Housemate kalau ada rezeki, hendak buat rumah kayu sama ada di Yan, Pantai Merdeka (Kota Kuala Muda) atau Sungai Layar (Sungei Patani). Boleh bela lembu dan kambing dan bercucuk tanam.

    (b) Pada sesiapa yang pernah melalui jalan lama (bukan lebuh raya); tentu pernah nampak Terusan Wan Mat Saman. Sayangnya, terusan itu sudah tidak cantik seperti waktu kaksu masih kecil. Yalah, sudah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi :(


    Posted at 12:13 pm by noorsuraya
    Comments (5)  

    Sunday, February 27, 2011
    [1] - Gadisku, Wan Adnin

    PROLOG

     

     Ikan berenang dalam lubuk,
          Ikan belida dadanya panjang;
    Adat pinang pulang ke tampuk,
          Adat sirih pulang ke gagang.

     

    Itu nenek Adnin. Di sebelah utara ni, cucu-cucu memanggil neneknya tu dengan panggilan 'tok'. Sementara kalau nenek lelaki pula, mereka panggil 'tok wan'. Namun yang lebih istimewanya Adnin panggil 'tok' sebagai 'Tok Bonda', jauh gelarnya berbanding dengan nenda. Adnin bukannya kerabat diraja. Kalau ada darah-darah bangsawan pun, memang dah 'cair' sungguh. Namun gelar ini, gelar beradat... kerana Adnin dibesarkan dengan penuh adab.

    Wan Empuk, nama nenek Adnin tu.

    Tok Bonda ni orangnya pelik sedikit, sebab Tok Bonda bagaikan terperangkap dalam zaman yang lain. Tengoklah pakaian Tok Bonda tu, baju Kedahnya siap berkanji keras walaupun dia sekadar hendak buat kerja-kerja kebun di luar rumah sahaja.

    Kain batik Tok Bonda diikat kemas. Kadang-kadang Tok Bonda pakai tali pinggang besi pula tu. Alah, tali pinggang daripada perak tu! Cantik ikat pinggang tu. Jenisnya  bukan seperti yang orang lelaki pakai waktu ihram tau. Susah untuk Adnin tunjuk, sebab susah hendak cari ikat pinggang begitu dalam pasaran dah. Rasanya kalau dicari di kedai baba nyonya di Melaka mungkin ada kut.

    Senyuman Tok Bonda manis, mukanya putih bersih dan orangnya kecil molek. Tahi lalatnya, ada di tepi hidung. Macam Seniwati Mariam. Itu sisi pertama nenek Adnin la.

    Syhhh... tapi sebenarnya, Tok Bonda tu seorang yang rectangular ada empat sisi.

    Rectangular? Empat sisi?

    Ya, Tok Bonda ada sisi baiknya; sisi garangnya; sisi sombongnya; sisi sedihnya. Adnin menyukai dan sentiasa mengingati Tok Bonda dalam dua sisi sahaja: sisi baik dan sisi sedih. Adnin tidak mahu mengingatinya Tok Bonda yang garang, apatah lagi Tok Bonda yang sombong itu.

    Tok Bonda asalnya anak kepada orang bangsawan. Katanya orang, Tok Bonda ini ada darah kerabat jauh-jauh dengan Mat Saman juga. Entah ya, entah tidak...

    Mat Saman?

    Ya, Wan Muhammad Saman. Beliau, Perdana Menteri Besar Kedah yang pertama. Beliaulah yang membina Terusan Wan Mat Saman yang menganjur dari kaki Gunung Jerai sehinggalah ke Tandop tu. Panjangnya 35 kilometer, dan dikatakan terusan terpanjang di dunia yang digali dengan tulang empat kerat sahaja. Tekunnya orang Melayu kan. Hanya Inggeris sahaja yang kata Melayu tu malas. Adnin bangga sangat jadi orang Melayu.

    Itulah asalnya, kenapa Tok Bonda begitu dekat dengan istana. Tok Bonda sejak kecil diasuh dengan tata bangsawan, dengarnya. Bagaimanapun Adnin tidak pasti, Tok Bonda 'diasuh' di istana atau bekerja sebagai 'amah' di istana. Mana berani Adnin bertanya, mahu Tok Bonda tidak bercakap dengan Adnin seumur hidup.

    Bagaimana acuan begitu kuihnya, jadi... sebab itulah, Tok Bonda jadi begitu sifatnya. Konservatif. Aristokrat. Err, Adnin telah lama menjadi 'rakyat marhaen' dalam 'kota diktator' Tok Bonda.

    ... tapi di sisi yang satu lagi, sifat Tok Bonda yang begitulah yang menjadikan Adnin gadis yang istimewa.

    Istimewa?

    Apa yang istimewanya, Adnin ya?  

    Adnin sendiri pun tidak pasti, dan tidak pernah tahu.

     

    [Bersambung]


    Catatan:

    (a) Ini versi edit untuk tujuan penerbitan. Kaksu hendak kekal cerita yang kaksu tulis dengan kawan-kawan di sini; Tok Yang, Tok Umi, Kak Ajah, Zie, Jidah, Lila, Hani, dan Xilem dalam Tepaknya Emas, Pinangnya Mana? suatu waktu dahulu. Itu antara kenangan terindah. Jadi kaksu sudah tukar tajuk e-novel itu kepada, Gadisku, Wan Adnin.

    (b)  Kaksu juga ingin ambil kesempatan ini ucapkan Selamat Ulang Tahun untuk empat sahabat penting bulan Februari yang dulu-dulu selalu bermain di Taman Puspa Sari ini: Tok Yang, Syud, Zie (a.ka. Nacha) dan Mim (yang lukis gambar kulit Surat Ungu untuk Nuha), moga sahabat kaksu ini sentiasa dalam rahmat Allah, dan disayangi Allah. Kaksu sayang mereka. 


    Posted at 3:51 pm by noorsuraya
    Comments (9)  

    Friday, November 26, 2010
    :)

    Untuk Yang Jauh di Pulau... 

    Tampi melukut di hujung tambak,

       Orang kota memasang ranjau;

    Kalau takut dilambung ombak,

       Sayulah mata memandang pulau.

     

    Pantai Rengit teluk berlembah,

       Tarik sampan turun menuba;

    Walau langit dirasakan rendah,

       Tiadalah bulan jatuh ke riba.


    Posted at 2:06 pm by noorsuraya
    Comments (9)  

    Friday, August 13, 2010
    [2] Kelip-kelip Terbang Malam

    cinta itu seperti air hujan

    mencurah basah hati yang gersang

     

    Siti Qanaah Syeikh Sabri

    Tahun Akhir

    Fakulti Undang-undang UKM


    KAKAK MEMERHATI
    emaknya melangkah ke wad kelas satu itu. Sesaat dia tertegun melihat emaknya yang masih cantik. Walaupun mereka sering bertikam lidah, tetapi dia sayang pada emak. Kakak selalu sebelah emak, tatkala abah tinggalkan emak untuk berkahwin dengan sekretarinya yang sebaya dengan kakak dua tahun dahulu.

    Tiba-tiba rasa kasihan pada emak berubah. Hatinya hampa melihat emak datang dengan lenggang kangkung aja. Emak ni memang...!

    "Emak tak bawa sup ketam untuk abang?" Kakak bersuara, ada getaran menahan marah di situ. Matanya memandang ke arah abang yang sedang nyenyak di katil. Puas sudah abang tunggu emak datang tadi, sehinggakan dia tertidur semula. Kasihan abang.

    Emak tu macam tak ambil kisah dengan kesihatan abang. Semalam emak lupa, hari entah apa alasan emak. Kakak faham emak sibuk, tapi emak tak kasihan kat abang ke? Mata cantik kakak dicacatkan dengan mulutnya yang muncung kerana marah.

    "Emak tak sempat balik rumah, dari ofis terus ke sini." Emak memandang muka kakak. Kakak selalu sahaja buat dia serba salah. Kadang-kadang dia jadi takut dan segan pada kakak, padahal kakak tu anaknya. Dan anak harus taat pada emak, bukan sebaliknya.

    "Doktor kata platelet darah abang jatuh lagi," kakak pura-pura mengugut emak. Biasalah, dia memang suka buat emak rasa bersalah. Biasalah, emak tu kalau tak diugut dia akan lalai lagi.

    Kakak, tak baik buat emak macam tu. Berdosa tau! hatinya yang baik memujuknya.

    Muka Jennah berubah sedikit. Dia tidak boleh tunjuk lemah di depan kakak. Diakan emak!!!

    "Kelmarin doktor siapa nama tu kata, abang dah okey, pun!!!" Jennah meninggikan suara.

    Yalah, kalau ada apa-apa tentu sahaja doktor akan bercakap terus dengannya. Itu yang dipesan pada doktor yang merawat abang hari tu. Dia memang tidak percaya pada kakak. Kakak tu memang baik, sedia membantu siapa sahaja. Tapi kalau datang pada bab-bab begini, kakak kalau boleh tidak mahu Jennah ke mana-mana. Kakak mahu Jennah yang jaga abang. Biasalah sindrom anak yang ditinggal ayah, begitulah. Mereka sentiasa rasa tidak secure.

    Tapi kakak sudah 23 tahun, bukannya budak kecil! hati kecil Jennah memberontak.

    Sepi.

    "Abang pun dah tak larat makan sup ketam lagi emak," kata Syeikh Aqif, anak keduanya yang sudah tersedar daripada tidur. Mukanya masih pucat, tetapi semangatnya untuk sembuh tidak pernah luntur.

    Jennah merapatkan bibir untuk mengucup dahi anaknya yang sudah enam hari terlantar di Hospital Serdang itu. Dia dibawa dari asrama minggu lalu kerana demam denggi. Abang sudah dalam tahun dua, jurusan veterinar di Universiti Putra Malaysia. Abang tidak suka membuat emaknya susah hati, berbeza sekali dengan kakak.

    Jennah tersenyum senang. Ketam nipah memanglah elok untuk meningkatkan platelet darah yang merudum. Tapi bukannya mudah nak cari ketam tu dekat Putrajaya.  

    Kakak tarik muka. Abang memang macam tu, apa-apa akan sebelahkan emak. Padahal kakak korban waktu untuk tunggu dia siang malam di sini. Abang tidak macam adik yang sentiasa menjadi sekutunya. Adik tu pengintipnya di rumah. Dua bulan lalu adik bercerita, "Kakak, emak dah kurus banyak, dia beli formula Doktor Romzee dalam surat khabar tu."

    Sejak itu emak mula melaram dan pandai melawa. Kata adik lagi, emak sekarang suka pada satu PTD dari Johor Bahru. Sudahlah abah tinggalkan mereka, jangan pula emak pun buat mereka tiga beradik begitu. Betullah mereka sudah besar, tetapi mereka masih memerlukan emak. Itu yang buat kakak risau melihat emak sudah muat balik kebaya-kebaya lama emak tu. Emak memang masih cantik, usia lima puluh tahun belum bergaris pada wajahnya.

    Abang berdiri, dan masuk ke bilik air.

    Jennah memandang anaknya, Siti Qanaah.

    "Kakak, emak dah nampak jodoh yang baik pada kakak." Wajah emak ceria sangat. Wajah doktor dari Universiti Moscow itu muncul lagi.

    Kakak tarik muka lagi. Emak ni, dia buat dah.

    Dalam hati dia sudah rasa ingin ketawa dengan perangai emak. Di sini kita asyik susah hati fasal abang kena denggi, sempat sahaja dia cari jodoh untuk kakak!

    "Doktor... orang dia elok, kakak tentu suka!"

    "Kalau dah elok dan baik, lebih baik emak pilih untuk emak." Balas kakak, pura-pura cemberut.

    "Budak ini!" jawab Jennah.

    Betul-betul aku pilih untuk aku, baru dia tahu malu kut!

    Loceng tamat waktu melawat memisahkan mereka. Jennah berlalu setelah diambil baju-baju kotor kakak dan abang di tepi almari. Cepat-cepat dia ke ruang depan jururawat, ada misi yang dia perlu urus.
    _____

    NOTA:
             Selamat Berpuasa dan semoga ibadat kita lebih baik dari tahun sebelumnya.
     


    Posted at 2:48 pm by noorsuraya
    Comments (14)  

    Saturday, August 07, 2010
    [1] Kelip-Kelip Terbang Malam

    cinta itu seperti air  jernih

    mudah terlihat tanpa sempat disembunyikan

     

    Jennah Bee Sutan Hamid

    Pengurus Projek MCCP

     

    KASUT setinggi tiga inci itu mengayun badan Jennah yang masih langsing. Dengan merapatkan beg Coach warna coklat muda ke ketiak, dia menuju pantas ke ruang depan Hospital Serdang. Matanya mengerling J.B Bouvier sekilas, waktu melawat cuma tinggal 15 minit lagi. Sempat ke tidak nanti. Hendak menunggu lif pun bukannya sebentar. Dibetulkan tudung Ariani warna hijau serai yang terselak sedikit. Tudung itu kena sekali dengan bajunya yang sewarna, bercampur bunga coklat samar daripada krep itu.

    Mesti kakak sudah muncung panjang ni. Hendak beri alasan apa lagi, kalau mesyuarat lambat habis tadi. Biasalah, ahli lembaga pengarah tu semua kalau dapat duduk selesa dalam bilik dingin, siap dapat menghirup kopi lagi dan disajikan dengan segala makanan kuih timur dan barat... mesyuarat satu jam boleh jadi dua tiga jam. Kadang-kadang cerita fasal jambatan boleh terbabas menjadi cerita fasal golf pula. Mujurlah cerita bola sepak sudah suam pun, kalau tak mahu maghribnya dekat ofislah jawabnya.

    "Puan Jennah," sapa doktor muda yang berselisih di sebelahnya. Baru sahaja keluar dari lif yang sarat dengan manusia pelbagai ras.

    Hatinya merungut, terlupa pula dia... siapa budak tertib lagi peramah ni.

    "Doktor baru nak balik, ke?" balasnya, cuba menghilang rasa canggung. Sukar untuk dia meneliti tanda nama doktor ini. Mujurlah dengan kot putih dan stetoskop itu mengesahkan dia sorang doktor. Jadi mudah Jennah menyeru panggilannya begitu. Kalau tidak malu juga, orang kenal nama kita... tetapi nama dia kita lupa.

    "Nak ke kafe sekejap, saya kerja malam hari ini."

    Ooo, doktor tu. Baru teringat. Graduan Universiti Moscow!

    Doktor kacak itu berlalu, fikirannya melayang pada kakak di wad atas. Jennah melangkah ke dalam lif yang sudah hampir tertutup. Segera dia menekan tingkat tiga. Mulutnya berbunga senyum.

    Dia teringat kini. Dia pernah terserempak waktu doktor itu melirik dan melebarkan senyum pada kakak hari itu. Hati Jennah menjadi kembang. Kakak sudah di tahun akhir, dan sehingga kini kakak tidak ada sesiapa lagi. Itulah yang membuatnya susah hati sikit. Kakak bukannya hodoh, cuma dia tidak percaya pada kesetiaan lelaki sahaja. Lalu...

    Jennah tersenyum lagi. Apa salahnya dia cuba dekatkan hati kakak dengan doktor tadi. Dia tanggalkan kaca mata hitam, dan menyimpan Calvin Klien itu dalam Coach coklatnya. Mana pula, cermin mata yang satu lagi!

    Patutlah dia tidak dapat membaca tanda nama doktor muda tadi, rupanya dia berkaca mata hitam dalam bangunan!

           

     _______

    Anekdot:

    1. Maaf ya kaksu tidak boleh selak Langsir Biji Remia, entah kenapa... fikiran kaksu tidak ada pada jiran sebelah rumah itu lagi huhuhu.
    2. Jadi kaksu gantikan dengan 7 episod Kelip-Kelip Terbang Malam ni. Moga cerita ini dapat menggantikan Duha-Umair buat sementara waktu ya.
    3. Pada pesanan di Jendela tu, terima kasih ya... baris kata di situ selalu buat kaksu tersenyum senang. Maaf ya, walaupun kaksu tidak membalasnya di situ, tetapi kaksu membalas dalam hati tu.

    Posted at 10:36 am by noorsuraya
    Comments (16)  

    Tuesday, August 03, 2010
    Kata Jendela

    Kata Jendela

    Pohon sena cabangnya empat,
    Mari ditebang waktu pagi;
    Kalau kena dengan makrifat,
    Burung terbang menyerah diri.

     * * *

    Jendela kuketuk lagi, namun langsir biji remia tetap tidak berselak lagi
    Duhai gadis bermata bundar, 
    Mengapa hati ini masih terkunci padamu? 
    ~ Langsir Biji Remia


    Posted at 12:14 pm by noorsuraya
    Comments (11)  

    Monday, May 10, 2010
    [4] - Langsir Biji Remia

    mata, lenakah kau malam tadi?


    "PAPA, Duha rasa tak jadi sambung studi dah. Duha hendak kerja dengan Kak Hada. Dia nak buka kedai buku."

    Tangan Duha Hafa lincah menyapu mentega di atas kepingan roti wholemeal. Dua keping diletakkan dalam pinggan papanya. Papa mencecah dengan madu, sebelum menggigitnya. Doktor Hud memandang ke arah anaknya. Mulutnya masih penuh, belum mampu bersuara. Dikunyahnya roti High Fiber perlahan-lahan, sementara otaknya bekerja: antara hendak memaksa Duha teruskan kuliah atau membiarkan anaknya membuat keputusan sendiri. Dia tidak boleh memaksa Duha. Anaknya tidak bernasib baik seperti anak perempuan teman-temannya. Anaknya itu ada sejarah duka. Tegakah dia memaksa Duha lagi. Kalau yang punya diri sudah tidak ada kekuatan, bagaimana?

    "Studi tu dah separuh jalan, kan?"

    "Belum separuh jalan papa, baru satu semester daripada lapan semester." Balas Duha sambil tersenyum. Matanya yang indah itu dipanahkan ke arah papanya. Ya, habis buat asasi setahun setengah... dia kini baru pada tahun pertama, semester pertama. Dia baru sahaja bercuti lepas habis peperiksaan kelmarin.  

    "Apa masalahnya? Duha tak boleh face orang ke?"

    "Orang yang tak boleh face Duha." Senyum dia panah lagi, berselang-selang pada papa dan mummy.

    "Kerja kedai buku pun, Duha terpaksa face orang?"

    "Kak Hada benarkan Duha pakai purdah." Duha berbohong, padahal dia belum pun minta kerja daripada jiran baharunya itu. Entah kenapa, dia rasa serasi sahaja dengan kakak yang jadi novelis tu.

    Doktor Hud diam. Puan Taslima Limbalia tidak menyampuk apa-apa. Duha sudah bercakap dari hati ke hati dengan dia semalam. Duha sudah buat keputusan, apa yang dia boleh pujuk. Anaknya itu sudah cukup menderita, dia tidak mahu menambah lagi rasa derita itu. Kalau Duha rasa itu yang baik untuk Duha, patutkah dia memaksa anaknya itu mengikut kemahuan mereka. Dia memandang suaminya. Duha memerlukan masa, lima tahun terlalu pendek untuk dia membuang segala trauma yang menghantuinya itu.  

    Memanglah pihak universiti membenarkan Duha memakai purdah setiap waktu, tetapi rasanya kursus yang dia pilih tidak kena dengan fitrahnya buat masa ini. Waktu mengajar dia harus membuka purdahnya.

    "Macam mana kalau Duha mohon penangguhan. Jangan berhenti macam tu saja. Sayanglah. Bukannya senang hendak mohon masuk TESL tu." Mummy mencelah.

    "Duha nak belajar hargai diri Duha dulu."

    "Duha, kita diskus lain kali boleh? Papa nak cepat pagi ni. Cuti semester ni papa nak Duha guna masa untuk fikir apa yang patut Duha buat. Solat istikharah la, mohon Allah tunjukkan jalan yang terbaik untuk Duha."

    Doktor Hud meneguk kopi yang sudah suam. Ingatkan lepas diterima masuk ke Bachelor in English kat Universiti Islam Antarabangsa Duha berubah cara fikir. Tiba-tiba sahaja dia hendak berhenti dan bekerja.

    Kasihan Duha, harap-harap dia dapat menghadapi hidup ini dengan hati yang terbuka. Duha bukannya pesimis kalau dilihat dari luar, tetapi dalam hati Duha tidak ada siapa yang tahu. Hatinya dia bungkus kejap-kejap, sampai tiada siapa yang dapat menekanya.

    Ya, selepas kejadian itu, dia bukan lagi Duha Hafa yang dulu.

    Kasihan anak aku!

     

    * * * *

     

    "KAK HADA, bila Ceritalah Lagi nak open?"

    "Sebulan lagi, kenapa... Duha dah jumpa orang nak bekerja di seksyen kanak-kanak?"

    "Dah, insya-Allah."

    "Oh, budak kawasan perumahan ini ke?" Suara bakal tauke itu sudah kelihatan gembira. Dia sudah ada dua pekerja, dan dia memerlukan seorang lagi sahaja.

    "Ya, dia memang suka baca buku cerita."

    "Bagusnya. Kak Hada nak jumpa dia la, Duha."

    "Petang ni Kak Hada datanglah ke rumah Duha. Dia ada." Kata Duha Hafa.  Cuba menyembunyikan rasa gembira. Janganlah Kak Hada menolaknya kerana dia harus berpurdah waktu bekerja. Tolonglah.  

    Duha Hafa sudah nekad, dia tidak mahu sambung studi lagi. Entahlah, rasanya pilihannya untuk jadi guru tidak kena dengan fizikalnya waktu ini. Betullah dia suka pada kanak-kanak, tetapi kasihan dekat mereka kalau dapat cikgu sepertinya nanti.

    Duha menyanggul siput rambutnya yang separas bahu, kemudian dia sepit besar supaya tidak tanggal. Piano dibuka, tetapi jemarinya tidak jadi menari di situ. Matanya memerhati ke luar. Air matanya bergenang sedikit, mendongak ke arah jendela tingkat atas rumah sebelah. Umair sudah pulang. Sepuluh tahun sahabatnya itu hilang, dan kini dia sudah ada kembali. Seronok sangat apabila Umair menegurnya semalam. Umair tidak lupa pada Duha, seperti duganya selama ini. Sayangnya, Duha sudah tidak ingin bersahabat dengan masa lalunya.

    Dia rendah diri.

    Kelihatannya dia bagaikan tidak kisah dengan apa yang terjadi, tetapi dia tetap seorang perempuan. Rasa malu mengikutnya ke mana-mana. Sudah lima tahun dia menyembunyikan malu, dan dia tidak mahu dicemuh dengan kekurangan yang dia miliki ini.

    Duha Hafa memerhati jam di dinding. Sudah dua setengah petang. Semoga Kak Hada sedia menerimanya sebagai pekerja di Kedai Buku Ceritalah Lagi. Duha menutup piano semula. Dia berlari meniti tangga ke atas.  

    Kakinya lincah ke bilik menukar pakaian, mencetak 'resume' dan surat muka. Diperhatikan jendela di tepi meja tulis. Mulai hari ini, dia tidak akan membuka jendela itu lagi. Dia tidak ingin menyelak langsir biji remia lagi. Dia tidak sanggup berhadapan dengan Umair...

    Angin petang berhembus perlahan.  

    Biarpun wind chime memujuknya, langsir biji remia tetap tidak terbuka!

     

    [Bersambung...]


    Posted at 1:23 pm by noorsuraya
    Comments (17)  

    Thursday, May 06, 2010
    [3] - Langsir Biji Remia

    semilir angin basuhlah warna hatinya   

     

    DUHA ITU hujan renyai dan Umair terkenang pada Duha Hafanya. Bagaikan terlihat gadis comel itu dengan cekak hijau di kepala menongkat dagu memerhati renyai yang membasahi bumi.

    "Kenapa?"

    "Demam, dan batuk. Mummy tak kasi main hujan!" keluhnya. Duha memang  pantang tengok hujan turun, pastilah dia hendak turut mandi hujan. Kadang-kadang Umair dengar neneknya akan menjerit dalam bahasa Benggali memarahinya.

    "Jom kita buat kapal kertas dan layarkan dalam longkang bawah ni!" usul Umair, segera meninggalkan Duha. Dicarinya kertas di rak buku dan mula membuat kapal. Sebuah untuknya, dan sebuah untuk Duha. Namun, untuk Duha disembunyikan di tepi meja. Selesai sahaja dia kapal kertas itu, dia merapat ke jendela semula.

    "Kenapa tak buat?"

    "Saya tak suka kapal, saya suka kapal terbang!" jawab si manis sepuluh tahun itu.

    "Buatlah kapal terbang dan terbangkan ke arah tingkap saya ni." Balas Umair.

    Duha Hafa menukar tangan kiri pula untuk menongkat dagunya. 

    "Awak buatlah dua buah kapal, layarkan di bawah sana. Saya akan buat dua buah kapal terbang, dan awak simpanlah sebuah." Duha berlari ke meja tulisnya.

    Sebentar kemudian dia datang kembali dan mukanya ceria kembali.

    "Mana kapal terbang?"

    "Lepas hujan berhenti, baru boleh lancar. Kalau tak mana boleh mendarat di bilik awak." Balas Duha. Senyumnya panjang. Matanya yang sayu pilu itu turut memandang Umair tanpa malu. Dia belum ada apa-apa rasa pun pada Umair; dan Umair pula yang jadi malu-malu.

    "Tunggu saya turun lepaskan kapal-kapal ni dahulu..." Umair cuba melepaskan diri dari rasa canggung ditenung begitu oleh Duha.

    Duha mengangguk.

    Wind chime berbunyi: gemeresik.

    Tika Umair memandang ke luar untuk kedua kalinya, memang Duha Hafa tidak ada pun menongkat dagu di muka jendela pun. Sepuluh tahun sudah berlalu.

    Mata Umair memandang ke arah pintu pagar rumah Encik Hud. Seorang gadis tinggi lagi langsing, dengan tudung dan purdah berjalan pantas selepas menutup pintu Mini Cooper. Umair nampak Kak Hada yang memandu kereta hitam-putih itu. Renyai diredahnya cepat-cepat. Boot hitam ditanggalkannya, dan beg sandang coklat diraba untuk mencari kunci rumah.

    Duha ke?

    Terasa darah Umair mengalir semula. Rasanya itu Duha. Anak Encik Hud  Osman seorang itu cuma. Siapa lagi kalau bukan dia.

     

    * * *


    MALAM ITU
    lampu bilik Duha menyala. Sejak dua minggu Umair di sini, baru kali ini lampu itu terpasang. Sejak siang tadi Umair menunggu-nunggu jendela sebelah dibuka. Dia tidak makan tengah hari dan malam, bimbang terlepas saat ini. Terasa seperti menunggu penyu bertelur di Rantau Abang sahaja. Ya, rasa seperti kalau kita mengerdipkan mata kita terlepas saatnya. Rasa seperti menunggu bunga Bakawali berkembang... sesaat sahaja kelopaknya akan layu, jadi mata harus ditala terus-menerus...

    ... dan

    Jendela dibuka, langsir biji remia dikuakkan. Tiba-tiba seorang gadis berpurdah hitam memandang ke arah jendela Umair; seperti sedang tekun mendengar bunyi wind chime di situ. Umair bersembunyi di belakang jendela sambil memegang kapal terbang kertas pemberian Duha dahulu. Kemudian dia mula bergerak ke arah jendela.

    "Duha? Ini Umair!"

    Dia diam.

    Tidak berkutik.

    Dia menutup semula langsir biji remia dia.

    Umair yakin itulah Duhanya. Mengapa dia mesti sembunyikan diri daripada aku?

    Apa salahku. Mana pergi indah ikatan persahabatan dahulu. Sepuluh tahun tidak terlalu lama untuk dia mengingati seorang sahabat kan?

    Lampu biliknya dipadamkan.

    Dan Umair terus diserang insomnia sepanjang malam.

     

    [Bersambung...]

     

    Catatan:

    Terima kasih kerana sabar menunggu entri yang tidak sepertinya. Kaksu memang tidak ada di depan Si Merah Jambu sepanjang dua minggu yang lalu. Salam ukhuwah dan kasih sayang daripada kaksu. Alhamdulillah kita masih dipanjangkan usia... sesekali dapat juga saling menyelak Langsir Biji Remia lagi... melihat Duha Hafa.


    Posted at 1:24 pm by noorsuraya
    Comments (14)  

    Friday, April 09, 2010
    [2] - Langsir Biji Remia

    angin bertiup kencang, hati belum jua terusik

     

    UMAIR patahkan sekeping pisang tanduk menjadi dua, dan sebahagiannya dia cecah dalam sambal kicap. Sejak pernah duduk Pasir Gudang,  dia sudah tidak pandai kalau makan pisang goreng tidak ada sambal kicap. Abah sedang duduk di sofa kulit baharu sambil menonton drama Melayu. Sejak pencen ni, abah suka saja tonton drama Melayu.

    Nostalgia barangkali!

    Sejak bertahun-tahun duduk di luar negara cinta abah pada drama Melayu menjadi-jadi. Padahal drama Melayu tu sudah hilang nilai 'Melayu'nya. Yang tinggal hanya bahasanya sahaja, itu pun sudah cacamarba dengan dialog Inggeris yang bukan-bukan.

    "Kawasan ni tak berubah banyak pun, cuma jiran sahaja yang bertukar." Kata emak tiba-tiba. Mata Puan Abby memandang anak bujangnya yang membisu sajak tadi.

    Dulu, sepuluh tahun dahulu mereka pindah dalam keadaan tergesa-gesa kerana abah ditukarkan ke Singapura. Mendadak! Tetapi mereka adik-beradik dan emak  tinggal di Pasir Gudang sahaja. Abah seorang yang duduk di sana. Abah tu dulu tu PTD, sekarang titlenya PTD pencenlah. Emak pula Pegawai Arkib, bagaimanapun sejak abah ditukarkan ke negara-negara Afrika bermula dengan; Kenya, Mozambique, Algeria, Tunisia, dan Zimbabwe, emak berhenti kerja dan mengikut abah ke mana-mana. Kata emak, abah bukan boleh sangat dia mudah jatuh cinta.

    Sejak itulah Umair tahu kenapa emak tidak suka sangat pada mama Duha. Aunty Taslima memanglah sangat cantik, kuitnya putih seperti susu. Hidungnya mancung terletak dan wajahnya tidak jemu mata memandang dengan sepasang mata hitam serta dihiasi bulu mata yang lentik. Memandangkan ampaian rumah mereka terletak bersebelahan dengan pagar rumah yang memisahkan rumah Duha dan rumah mereka; abah selalu sahaja 'angkat tangan' untuk mengampai baju setiap pagi minggu kalau emak sibuk-sibuk.

    Abah tu emak puji-puji sebagai suami mithali pada jiran-jiran dan teman-temannya. Suatu hari, tembelang abah terbongkar juga.   

    Rupanya abah asyik duk mengintai wanita Hindustan sebelah rumah. Yalah, setiap Sabtu dan Ahad, kebetulan jugalah waktu itu Aunty Taslima akan sibuk juga dengan urusan luar rumahnya. Daripada urusan menjurus pokok bunganya, mengampai kain, mencuci longkang yang menjadi 'tandas' anak kucing-kucing orang menumpang teduh, membasuh kereta Uncle Hud juga. Abah dan Aunty Taslima sama-sama sibuk dengan kerja out door. Cuma abah tu sibuk 'mencuci mata' sajalah!

    Sejak rahsia abah terbongkar, tak fasal-fasal aja emak bermasam muka dengan Aunty Taslima. Padahal Aunty Taslima tidak tahu apa satu pun. Lalu sejak itulah Umair adik-beradik dilarang ke rumah sebelah, berkawan dengan anak orang sebelah. Serta bermulalah episod Umair-Duha menjadi rakan bicara jendela sahaja. Emak mula berleter kuat-kuat fasal anak-anak kucing yang memerut dalam longkang tu; fasal sesekali daun mempelam rumah Aunty Taslima  yang jatuh ke halaman rumah mereka; fasal Duha dan kawan-kawannya yang mengerat bunga kertas emak buat main masak-masak.

    "Rumah depan ni, Kak Zalifah sudah jual pada Shahrin-Hada. Pasangan pengantin baharu daripada Johor itu baik sungguh. Kak Hada tu, novelis, Umair." Cerita emak. Umair cecah sekeping lagi pisang dalam sambal kicap. Tidak endahkan cerita emak, padahal telinganya sedang menaakul kalau-kalau emak bercerita fasal anak dara orang sebelah.  

    "Kamu tu kan suka menulis-menulis, cuba pergi tanya Kak Hada tu cara-caranya, nanti boleh juga hantar ke penerbit. Tak adalah duk buang kertas dan ink pirnter... apalagi masa, duk buat kerja tidak berfaedah tu," kata Puan Abby. Aduhai emak ni, beri semangat atau sedang perli ni!

    Dia selalu nampak petang-petang, isteri Abang Shahrin itu akan membuka pintu pagar untuk Mini Cooper hitam-putih suaminya masuk ke dalam garaj. Oh, isterinya novelis.

    Mungkinkah juga Duha yang tidak lagi membuka tingkap itu pun novelis? Sekarang ini ramai betul orang jadi penulis. Syarikat penerbitan pun banyak, tidak seperti waktu dia mula-mula ke luar negara dahulu.  

    "Bila nak mula kerja ni Umair, dah sebulan dah balik Malaysia ni... yang kamu tahu memerap di bilik saja, tengok tingkap saja... ingat duit datang melalui tingkap ke Umair?"

    Umair diam lagi. Tidak tahu hendak membalas apa. Emak kalau sudah berleter, jangan harap akan mudah-mudah dia mahu berhenti.

    "Memerap di bilik mengalahkan anak dara lagi!" sambung emak lagi.

    Umair cepat-cepat menghirup Teh Timor yang sudah suam.

    "Emak, Umair naik dahulu. Hendak maghrib kat surau depan tu." Kata Umair sambil bangun, membawa cawan dan piringnya ke dapur. Selepas membasuhnya dia meniti tangga. Tidak ada semangat. Kakak dan adik-adiknya entah ke mana pula petang ini, sehinggakan dia seorang sahaja menjadi 'sasaran' leteran emak.

    Berjemaah maghrib di masjid?

    Sudah sebulan balik Malaysia, dan sudah dua minggu berada di rumah ini tiba-tiba dia hendak pergi solat maghrib di surau. Ajaibkan.

    Yalah daripada mendengar leteran emak, baiklah juga mendengar kuliah maghrib biarpun ustaz hanya akan bincang bab taharah sahaja nanti.

    "Ha yang awak Johan, tak puas lagi ke duk lihat muka Fasha Sandha dekat TV tu, tak terasa nak pergi maghrib macam Umair." Perli emak.

        Dia atas wind chime pemberian Duha sedang berbunyi perlahan ditiup angin. Hati Umair terusik lagi!

     

    [bersambung]

     

    Catatan:

    Terima kasih kerana sudi membaca cerita yang belum ada plot nih!

    Sayang:

    Yang jauh di Pulau - Kaksu


    Posted at 11:04 am by noorsuraya
    Comments (13)  

    Wednesday, April 07, 2010
    [1] - Langsir Biji Remia

    bila angin menari, hatiku pun berlari 

     

    PETANG ini seperti hari-hari kelmarin juga, kala aku memandang ke rumah sebelah, langsir biji remia itu masih tersembunyi di sebalik jendela putih. Tidak seperti 10 tahun dahulu, sewaktu kami masih bersahabat... jendela sebelah ini tidak pernah sepi. Jendela sebelah ini tetap terbuka sehinggalah dia menutupnya kerana waktu sudah malam, dan dia sudah ingin tidur.

    Hati dipagut sayu mengenangnya. Sudah tidak ada lagi bicara jendela seperti kami masih kecil-kecil dahulu.

    Kenapa ya jendela itu telah tertutup kemas?

    Kenapa ya jendela biji remia itu sudah tidak berkibar ditiup angin petang seperti suatu waktu dahulu?

    Di mana dia?

    Sudah berpindahkah, dia?

    Tetapi kereta papanya masih ada di depan garaj. Rumahnya masih seperti dahulu juga: jendelanya putih, rumahnya warna perang bercampur krim. Masih ada anak-anak kucing berkeliaran di tepi longkang. Masih kedengaran suara neneknya yang sedang berleter dalam bahasa Benggali pada kucing-kucing yang suka memerut di tepi pagar.  

    Kain-kain yang berkibar di ampaian, menunjukkan rumah ini masih ada penghuninya. Baju-baju budak perempuan berganti dengan baju-baju wanita di situ, menandakan dia sudah dewasa.

    Tetapi, di mana dia?

    Rasanya tidak pernah mereka tersalah bicara sehinggakan Duha Hafa menutup jendelanya bertahun-tahun.

    Dia pergi tanpa sempat mengucap selamat jalan pada aku, sahabatnya ini. Atau, akukah yang pergi tanpa sempat mengucapkan selamat tinggal kepadanya?

    "Esok saya balik ke kampung nenek." Kata budak perempuan dengan rambut panjang warna hitam yang didandan dua. Di hujung dandan itu, dia ikat dengan reben warna abu-abu. Sesuai sekali dengan warna baju kurungnya.

    "Pulang ke Rajkot?"

    Duha Hafa mengangguk sambil ketawa.

    "Saya pulang lama, sebulan. Nanti awak bercakaplah dengan tingkap sahaja ya!" usiknya. Duha sempat pula memberitahunya, dia sudah sangkut hadiah untuk aku di pintu pagar yang memisahkan rumah kami rumah kembar dua tingkat.

    Waktu itu Duha Hafa baru berumur sepuluh tahun, dan aku pula sudah pun berumur tiga belas tahun. Waktu itu aku sudah mula merasai Duha Hafa bukan setakat teman bicara jendela, tetapi ada rasa lain yang mula berkembang...

    Dan... waktu Duha berkata dia akan balik ke kampungnya nun jauh di utara India, hatiku sudah mulai terasa kehilangan. Aku menyukai gadis kecil yang comel dengan wajah Melayu-Gujerati ini. Aku terhibur dengan cerita-cerita gadis kecil itu, aku menyukai senyum manisnya, aku rindu akan wajah muncung Duha ketika dia mula marah-marah... apabila aku membantah cakapnya.

    Sewaktu Duha masih bermain zero-point dengan teman-temannya di taman kecil yang memisahkan rumah kami, aku sudah pun semakin dewasa untuk mula menyimpan hati kepadanya.

    "Nama awak pelik!" jerit aku, apabila melihatnya muncul di tepi langsir biji remia.

    "Apa pula pelik, saya lahir waktu duha. Dan waktu itu pula hujan renyai..."

    "Apa kaitan hujan renyai dengan nama awak?"

    "Hafa tu maknanya hujan renyai!"

    Aku tersenyum apabila mendengar Duha berhujah fasal nama mat salih yang lagi pelik daripada namanya Armstrong, maknanya 'lengan kuat'; Copperfield tu 'padang tembaga'... Mr Green kan maknanya Encik Hijau.

    "Ya, nama awak sedap. Saya akan ingat awak setiap kali jika datang waktu duha dan hujan pula turun renyai-renyai ya!" aku mengalah akhirnya.

    "Nama awak siapa?"

    Setelah berkawan hampir tiga tahun di jendela ini, baru dia terasa perlu mengetahui nama aku?

    Dia menunggu aku menjawab, tetapi aku tetap degil!

    "UMAIR!"

    "Opps, ya mak!"

    "Minum! Tutup tingkap tu, dah nak maghrib ni." Emak berleter kerana dia terpaksa memanjat tangga mengajak aku untuk minum petang. Emak merungut kerana sudah dipanggil berkali-kali untuk minum petang, sedangkan aku masih tercegat di jendela.

    Umair memandang wind chime  di luar jendela. Wind chime pemberian Duha sedang menari-nari ditiup angin, bunyinya membuat Umair semakin sedih.

    "Awak sudah ke mana, Duha?"

    Umair kenapa tidak ketuk sahaja rumah Encik Hud Osman, dan terus tanya di mana Duha Hafa sekarang ini?

    Tak boleh!!!

    Memang tidak boleh!

     

           [bersambung]

     

             Catatan:

    1. Aduhai, buku Yang Jauh di Pulau (dalam Damai) belum pun betul-betul dijual, kaksu sudah ada mood menulis lagi?
    2. Taklah, sekadar nak tulis aja biasalah, kalau tengah sibuk edit novel penulis kaksu suka juga sibukkan diri kaksu dengan menulis e-novel yang entah apa-apa. Tetapi kali ini kaksu janji, pendek sahaja tulisan kaksu ini. 
    3. Selamat membaca ya, terimalah "Langsir Biji Remia" sebagai tanda terima kasih kerana sudi beramai-ramai memeriahkan gerai Jemari Seni Publishing Mac yang lalu.  

    Posted at 7:57 pm by noorsuraya
    Comments (23)  

    Previous Page Next Page