catatkanlah rasamu di
BUKU TAMU
Noor Suraya


BUAT MENYAPU SI AYER MATA
adalah antologi cerpen-cerpen NOOR SURAYA sejak tahun 1985 - 2005:
  • Ajerah
  • Anak-anak Kongsi
  • ANA
  • Burung Kenek-kenek Warna Merah Hati...?
  • Cerita Semalam
  • Cinta Hajar Atiqah
  • Cukuplah Sekali
  • Fatimah Anak Perempuan Mr. Kong
  • Hati Zana
  • Maafkanlah Aku, Adibah!
  • Sayang Emak, Zeti!
  • Sepucuk Surat Cinta dari Lembah Kundasang

    Jemput ke...
    Rumah Kecil Tiang Seribu
    Nyanyian Tanjung Sepi

    Ulas Buku:
    Seribu Satu Malam


    Penerbitan
    Jemari Seni Publishing



    E-Novel
    NOOR SURAYA
    @kaksu

    KeBUN MiMPi...


    SURAT UNGU UNTUK NUHA

    edisi cetak

    ~ titipkan pesan buat J@J@
    di jendela ini...~
  •    

    << June 2005 >>
    Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
     01 02 03 04
    05 06 07 08 09 10 11
    12 13 14 15 16 17 18
    19 20 21 22 23 24 25
    26 27 28 29 30


    Bacalah 10 Bab Dulu
    J@J@ & DIN




    Oktober 2009
    [1][2][3][4]
    November
    [5][6][7][8][9][10]


    tudung periuk pandai menari,
    menari lagu putera mahkota;
    kain yang buruk berikan kami,
    buat menyapu si ayer mata....


    NYANYIAN TANJUNG SEPI (2006) diterbitkan oleh CESB




    KERANAMU AIN... (2001) diterbitkan oleh CESB


    "Jika mencintaimu membawa hukuman mati... aku sudah lama mati, Ain."
    [Nik Ahmad Adam]




    BIRU UNGU CINTA (2003) diterbitkan oleh CESB



    "Seandainya terus mencintai Seera adalah suatu dosa... ampunilah keterlanjuranku itu, Tuhan."
    [Abdul Fattah]




    RINDUNYA KIAN MEMBARA (2004) diterbitkan oleh CESB



    "Pabila berkata tentang cinta, kita bagaikan tidak teringin jadi dewasa...."
    [Dr Farhana Haji Abu Bakar]




    TANAH ANDRIYANA (2002) diterbitkan oleh CESB



    "Asap api embun berderai,
    Patah sayap haluan perahu;
    Niat di hati tak mau bercerai,
    Kuasa Allah siapa yang tahu?"



    GURINDAM JIWA: HATI ANDRIYANA (2007) diterbitkan oleh Jemari Seni Publishing









    Who links to me?



    18 Sept. 2007


    If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



    rss feed




    Wednesday, June 01, 2005
    CUKUPLAH SEKALI!

    Oleh: Noor Suraya


    Umur aku 25 tahun. Sejak awal lagi aku tidak mahu berkahwin dengannya. Bagi diriku, tiada siapa yang boleh ganti Abdul Hadi dalam hidup ini. Aku masih sanggup menanti Adi lebih tujuh tahun, walaupun kami tidak pernah berjanji apa-apa. Dan yang lebih menakjubkan lagi untuk sekian lamanya, tidak pernah ada khabar berita daripada Adi – tetapi aku masih setia dan tak pernah jemu-jemu menunggu....

    Bagaimanapun apabila aku di tahun akhir, kesetiaan aku teruji apabila Nazrin bersungguh-sungguh melamarku. Dia teman sekursusku dan ingin aku tegaskan di sini, dia orang Pantai Timur! Nazrin mula memikatku sejak aku di tahun dua lagi, tapi aku tidak pernah hiraukannya. Aku sendiri tidak tahu apa yang dia pandang ke dalam diriku... kerana aku tiada apa-apa keistimewaan pun. Nazrin tu baik orangnya... penyabar dan suka berkelakar. Aku selalu terhibur dengan jenaka dan gelagatnya.

    Semua orang senang kepadanya. Dia begitu pandai menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan pun. Dia begitu istimewa dan memikat siapa sahaja... tetapi tidak aku! Sikap periangnya yang begitu seperti cuba menutup kesedihan di hatinya. Lalu tiba-tiba aku diminta untuk membalut lukanya. Sejak awal, aku dapat tahu dia pernah dikecewakan.... Sebenarnya, aku tidak pernah mau percaya cinta kali kedua seorang lelaki.

    Nazrin lain, semua orang berkata begitu. Dia ‘gentle’ dan bertanggung jawab, kata mereka. Itu aku tidak pernah nafikan. Apabila ada kerja-kerja studio sehingga larut malam (malah kadang-kadang sampai ke subuh), dialah yang temankan kami: Yatie, Kagee, Salma, Hasina dan aku, pulang ke asrama masing-masing. Dalam gelap dan sunyi dinihari di kampus – dia seolah-olah panglima yang sedang mengawal tuan-tuan puteri ‘berangkat ke keraton’. Dia tidak pernah sekalipun mengambil kesempatan ke atas kami. Tutur katanya sopan, budinya terpuji. Lalu kadang-kadang aku terpesona dengan seluruh kebaikannya.

    Namun sikap kelakarnya yang kadang-kadang tak tentu arah – membuat aku sendiri tidak faham, yang mana satu serius dan yang mana satu jenaka. Itulah yang membuat dia gagal menandingi Adi. Dia masih bukan apa-apa jika dibandingkan dengan ‘Hadiku’. Adi yang telah aku simpan hatinya sejak hatiku mula dijentik dengan rasa cinta, bertahun-tahun yang lalu.

    Adi lebih bijak dan serius serta pendiam (tetapi kena pada tempatnya). Jadi secara dasarnya, walaupun antara aku dan Adi memang banyak bezanya. Namun Adi tetap memikat hatiku. Adi tu lebih meminati ‘English’, Matematik Tambahan dan Fizik. Sementara aku lebih suka Bahasa Melayu dan Biologi. Tentu sahaja Adi bertuah kerana terpilih ke UK, mengikuti kursus ‘Quantity Survey’ selaras dengan minat dan cita-citanya.

    Sedangkan aku? Aku pula, gagal menjadi seorang doktor seperti mana cita-cita asalku. Lalu aku terpaksa melalui jalan jauh yang jauh - meneruskan pengajian di tingkatan enam, dan selepas ‘graduate’ dari universiti aku bekerja sebagai ‘copy writter’ untuk sebuah syarikat iklan yang terkenal – Leo Burnett. Setelah beberapa lama kemudiannya, aku dilantik menjadi akaun eksekutif di syarikat iklan yang sama. Gajinya memang lumayan... dan aku mulai menempa nama di Kuala Lumpur ni.

    Dan tanpa sedar masa pun terus berlari – untuk sekian kalinya, Nazrin terus-terus melamarku. Aku jadi serba salah. Walaupun kami sehaluan – maksud aku, sama kursus serta mempunyai latar belakang pendidikan yang hampir-hampir sama di universiti – tetapi dia tidak pernah sama dengan Adi di hatiku.

    Aku tidak tahu, kenapa sampai jadi begitu... Ketika di sekolah dulu, Adi bukannya kacak di pandangan mata orang tetapi dia tetap ‘handsome’ di penjuru mataku. Rambutnya hitam dan kerinting macam mi Maggie saja. Badannya agam: tinggi dan tegap – jadi tak hairanlah kalau dia senantiasa terpilih mewakili pasukan ragbi daerah (pasukan ‘All Brown’). Kulitnya hitam kata semua orang... cerah juga, menurut kata hatiku. Yalah, hitam-hitam si buah manggis walaupun hitam ku pandang manis.

    Mukanya berjerawat pula... tetapi masih segak, bagiku. Bibir Adi lebih tebal berbanding pelajar lain, kata orang. Namun dalam hati, diam-diam aku tuduh mereka semua amalkan dasar ‘apartheid’ terhadap Adi. Bagiku dia sudah cukup tampan, terutamanya kerana dia memiliki sepasang lesung pipit yang cukup menawan. Bagiku, Adi istimewa dalam ‘darjahnya’ yang tersendiri! Sampai bila-bila pun akan aku ingat raut wajahnya tu.

    Aku tidak pasti bila aku mula ada hati pada Adi. Sebelumnya, kami memang musuh ketat. Betullah kata pujangga: antara benci dan cinta cuma ada suatu jarak yang halus. Mulanya kami sering bertengkar, lama kelamaan entah kenapa, kami jadi malu-malu pula. Kami tidak lagi bertegur sapa dan bergaduh seperti dulu. Adi jadi bertambah-tambah pendiam. Dia sudah tidak mengusik aku lagi. Teman-teman rapatnya kata, Adi suka padaku. Suka kepadaku? Cinta!

    Awalnya tentulah aku marah. Mahu sahaja aku ketuk-ketuk kepalanya yang sekaki lebih tinggi daripada aku tu. Kemudian perasaan aneh itu terus menular di hatiku. Diam-diam aku menyukainya hingga saat ini. Aku faham sifat Adi yang pemalu. Tentu saja dia sukar meluahkan segala yang tersirat dalam jiwanya, pujuk hatiku setiap kali terkenang pada Adi.

    Akhirnya aku terpaksa memberitahu Zureena, sahabat karibku semasa zaman sekolah, tentang Adi.
    “Apa Adillah, kau suka Adi ...” Zureena mengucap panjang.
    Mata Zureena terhenti daripada memerhati kedua-dua anaknya, setelah mendengar pengakuanku.
    “Haa, baru sekarang kau nak cakap pada aku? Kalaulah Nurazah, Ruzita dan Hanim tahu dulu... teruk kau,” sambung Zureena, kemudian ketawa kuat.

    Di sekolah dulu kami memang anti pelajar lelaki. Di dalam kelas selalu sahaja meletus perang saudara. Masing-masing nak jadi top dalam kelas... juara dalam semua bidang. Kami ni kononnya terpengaruh dengan ‘woman’s lib’ di Barat. Namun biasanya aku yang pemalas ‘study’ ni tak pernah berperang dalam pelajaran. Aku akan serahkan tugas mencabar ini pada Zureena dan Hanim atau Ruzita yang sememangnya bijak serta rajin pula. Aku dengan Nurazah kalau setakat nak berbahas dengan mulut dan bertegang leher memang mahir. Maklumlah kami ni pasukan debat sekolah yang kena ‘reject’. Itu sahajalah kemahiran kami, menjadi loyar buruk.

    Adi adalah musuh tradisi kami (tentu sahaja sebelum aku mula jatuh hati kepadanya). Adi memang seorang yang ‘genius’, dari tingkatan satu sehinggalah di tingkatan lima, tempat pertama dia yang bolot. Dia juga pernah muncul sebagai ‘best student’ dalam SPM, namanya terpampang besar dalam dada akhbar (dan aku tumpang berbangga dalam diam-diam). Sebelum meneruskan haluan masing-masing dulu tu, aku masih digiat-giat dengan Adi sementara Hanim pula dengan Shafiq. Zureena mungkin tak percaya aku betul-betul ‘take serious’ dengan usikan mereka lalu terus memendam rasa halus dan aneh itu sehingga bertahun-tahun lamanya.

    “Dillah, untuk apa kau tunggu pada yang tak pasti seperti Adi tu. Entahkan di luar negara tu... dia ada ‘girlfriend’ keliling pinggang. Sedangkan Dillah kat sini setia tak bertempat.” Kata-kata Zureena terasa begitu tajam tertusuk ke gegendang telingaku.

    Aku cuma diam. Semenjak jadi mak-mak ni, Zureena memang kuat berleter dan suka menasihati kawan-kawannya. Dari seorang ‘botanist’ dia kini bertukar menjadi kaunselor pula – suka menasihati orang saja. Luculah, Zureena sorang ni. Zureena sungguh bahagia kini. Ada suami yang ‘understanding’ dan sepasang anak yang comel. Kini mereka sekeluarga sedang menanti kelahiran orang baru lagi.

    Zureena tidak bekerja meskipun memiliki ijazah dalam bidang Botani dari Amerika Syarikat. Zureena mahu anak-anaknya membesar di depan matanya, bukannya di tangan orang gaji. Dia selalu berkata dengan bangganya, “walaupun aku tak jadi ahli botani tapi lihat halaman rumah aku dah macam ‘botanical gardens’... cukuplah tu, apa yang aku nak lagi?”

    Sekarang si Tengku Farizlah yang terpaksa membayar balik pinjaman pelajarannya. Mujurlah suaminya tu anak tauke batik sutera dari Terengganu. Kalau tak kerana tu pun, Zureena kan anak orang kaya... hal kewangan bukan masalahnya, sejak dari dulu. Sedari dulu Zureena tidak pernah takut untuk berbelanja.

    Zureena tak perlu meminta atau mendengar nasihat orang. Zureena selalu tahu apa yang mesti dia lakukan. Semasa di US bertemu dengan Tengku Fariz; lalu apabila dilamar Tengku Fariz... Zureena terus setuju. Zureena tidak perlu berfikir panjang untuk membuat keputusan walaupun baru sebulan dia mengenali kerabat diraja Terengganu tu.

    Zureena tidak seperti aku. Aku begitu sukar untuk membuat keputusan. Aku sering memikirkan yang buruk lebih banyak daripada yang baik. Aku harus fikir tentang adik-adikku yang menjadi yatim piatu. Dapatkah Nazrin menerima mereka? Dapatkah Nazrin menerima hakikat sebahagian besar daripada pendapatanku hanya untuk adik-adik dan keluarga di kampung Yalah, aku masih mempunyai seorang nenek yang menjadi tanggungjawabku. Kerana itulah aku gagal memberi jawapan kepada lamaran Nazrin. Dan Nazrin yang ‘tak tau bahasa’ tu terus-terus melamarku dan tidak pernah faham erti ‘TIDAK’. Aku akhirnya terdesak dan meminta pendapat pakar (kononnya); si Zureena... si Kaunselor Cinta.

    “Kenapa tah, Achu Dillah tak cakap siang-siang lagi dia suka pada Paksu Adi, jika tidak tentu umi dah jodohkan mereka... itulah kedua-duanya tu pemalu sangat.” Zureena pura-pura memberitahu Asyraf dan Nadira untuk mengusik aku.
    Anak-anaknya itu berkerut tidak faham dengan mesej umi mereka! Bulat saja mata hitam mereka merenung umi, tetapi masih tidak faham.

    “Terimalah Nazrin, Dillah. Cinta akan datang kemudian.” Kata Zureena.
    “Dia pun apa kurangnya. Malah, aku tengok lebih tampan dari Adi... yang muka macam tak siap tu!”
    “Amboi, sedapnya kata kat orang... awak tu mengandung Zu, cakap tu biar berlapik sikit.” Kataku sambil mencubit pipinya.
    Zureena ketawa kuat sambil memegang perutnya yang memboyot tu. Kemudian dia cepat-cepat beristighfar berkali-kali.

    “Dillah, Nazrin dah bersungguh-sungguh tu. Hal adik-adik kau tu, letak ke tepi dulu. Cari dirimu sendiri, Dillah. Aku pasti kalau Nazrin sayangkan kau, dia tentu tiada masalah menerima adik-adik kau tu. Berilah dia peluang, sekali saja... dan kau tak akan menyesal,” sambung Zureena lagi.
    Mudahnya Zureena memujuk. Sebagai anak tunggal Zureena sentiasa memandang enteng dalam semua hal, bisik hati kecilku.

    “Kalau Adi yang lamar, tentu kau tidak berfikir panjang lagi, bukan?”
    Aku mengangguk dengan rasa sungguh malu.
    “Kenapa?”
    “Aku memang suka dia.” Untuk pertama kali aku berani berkata jujur pada Zureena dan diriku sendiri.
    “Hipokrit!” Balas Zureena sambil mencubitku.

    Zureena tidak pernah tahu selama ini aku tidak pernah berkawan dengan sesiapa untuk terus setia pada Adi. Aku mahu apabila aku bertemu Adi semula, hatiku masih suci. Hati yang tidak pernah terusik itulah yang akan aku serahkan pada Adi semuanya.

    “Jangan jadi bodoh, bukankah selama ini tidak pernah ada apa-apa pun terjadi antara kau dan Adi. Aku rasa masa sekolah pun begitu. Tak tahu pula, kalau ada apa-apa yang kau sembunyikan daripada aku.” Zureena memohon kepastian sambil tersenyum sinis. Aku menggeleng dengan rasa sungguh malu.
    Yalah, mana tak malu... kerana Adi tidak pernah menghubungiku pun... tetapi hati yang tidak tahu malu ini terus menyimpan rasa kepadanya. Bodoh betul! Tapi aku suka menjadi bodoh begitu.

    “Kalau dia betul-betul suka kau, dia pasti menghubungi kau sebaik saja sampai di London... dah lama benar ni, bukannya baru setahun-dua. Dillah... Adi bukannya buta huruf untuk menulis... mungkin dia tu jenis buta hati! Tidak pernah tahu di tanah airnya sendiri seorang gadis menanti dan mencintainya separuh mati,” perli Zureena lagi.
    Mata Adillah mula berair dengan kata-kata Zureena itu.
    “Tulislah! Luahlah! Apa yang Adi nak malu sangat tu?” Sambungnya lagi dengan nada yang tinggi.

    Aku sedar dengan kata-kata Zureena, tetapi itu tidak sedikit pun menggugat rasa setiaku kepada Adi. Aku mempercayai naluriku melebihi kata-kata orang dalam membuat keputusan. Biasanya naluriku tidak pernah berbohong. DEGIL, itulah perkataan yang paling tepat untuk aku, kata Zureena. Aku menangis mendengar kata-kata Zureena. Aku mengharapkannya untuk memperkukuh lagi kasih sayangku kepada Adi... sebaliknya, Zureena cuba meruntuhkan benteng hati yang aku bina selama ini. Aku jadi jauh hati.
    “Itukan sekadar usikan kawan-kawan... semuanya ‘nonsense’, Dillah,” sambung Zureena lagi.

    Aku menangis lagi kerana geram.
    “Menangislah Dillah, kau tu memang perlu disedarkan. Mungkin kadang-kadang pelangi hanya untuk dilihat bukannya untuk dipegang, Dillah. Keluarlah dari mimpi. Kau sebenarnya cuba memahat langit dengan bayang-bayang dan menghias mimpi dengan angan-angan.” Tegas Zureena dengan mata yang tidak berkelip.
    Amboi bukan main lagi bahasanya. Itukah Zureena yang pernah aku kenal dulu? Yang selalu meniru karanganku di sekolah? Tiba-tiba dia jadi terlebih pandai menyusun madah, dengan kata-kata indah bak penyair... mengalahkan aku sendiri, ‘guru’-nya tu?

    “Berapa? Berapa ringgit Nazrin upah kau untuk menyakiti hatiku, merubah kesetiaan dan fikiranku?”
    Aku tahu Tengku Fariz tu sepupu Nazrin, sebelah bondanya. Agaknya Nazrin mempergunakan Zureena untuk memujuk aku. Kalau tak masakan dia bersungguh-sungguh begini.

    “'Come on’ jangan jadi bodoh, Dillah. Aku tidak pernah meminta sesen pun untuk kebahagiaan sahabat yang paling aku sayang,” balas Zureena sambil mendakap aku dengan penuh kasih sayang.
    Memang betul tu, Zureenalah yang menemukan Hanim dan Syafiq semula. Tetapi kenapa dia tidak memainkan peranan untuk menjodohkan aku dengan Adi? Kenapa dia tidak memahami perasaan aku?

    Aku memandang Zureena semula, cuba meraih simpatinya. Senangnya hatiku melihat Zureena bahagia, dan kini dia cuba pula membuat aku bahagia pula. Perlukah begitu? Kan jodoh tu kerja Tuhan.... bolehkah aku berbahagia dengan Nazrin sedangkan selama ini hanya Adi di hatiku. Hatiku sendiri sudah berpenghuni sejak dahulu, mana mungkin Nazrin dapat mengisinya.

    “Tengok Nurazah tu, perkahwinannya lagi teruk... keluarga yang atur, tetapi mereka bahagia juga. Kau dan Nazrin sudah lama kenal, dah tahu hati budi masing-masing. Adillah, kenapa mesti tunggu lama-lama?” Zureena merenungku semula, menagih balasan kata.

    “Seronoknya jadi Hanim dan Syafiq. Masing-masing memendam rasa, Hanim ke Australia – Syafiq ke UTM, bila mereka bertemu semula, kini masing-masing menunggu hari bahagia,” kataku tiba-tiba.

    Sedangkan aku masih menunggu Adi – entahkan aku yang terkenang-kenang orang benci pun aku tak tahu. Aku cuba memberi ‘hint’ kepada Zureena untuk menjodohkan aku dengan Adi, bukannya dengan Nazrin. Aku menggunakan cara yang paling konservatif. Aku masih malu untuk berterus-terang dengan Zureena tentang hasratku itu.... Tolonglah Zureena mengerti, carilah Adi untuk aku, bisik hati kecilku.
    “Cuma kau yang masih begini,” kata Zureena, matanya masih menunggu jawapan aku – jawapan yang tak pasti tentang hubunganku dengan Nazrin.

    Zureena memang pandai memujuk. Di sekolah dulu, dialah yang menjadi dalang menghantar surat layang kepada Puan Midah (guru senaman yang garang macam harimau lepas beranak tu). Dan akulah yang dipujuk-dipaksa menulis surat itu. Dan akibatnya; kami semua menderita didenda mencuci semua tandas kerana rancangan kami diketahui guru disiplin.

    Kini Zureena menggunakan pengaruhnya lagi:
    “Kalau Nurazah, Ruzita dan Hanim tahu pun mereka akan marahkan kau, kerana menunggu Adi tu. Apalah yang ada pada Adi tu, Dillah,” leter Zureena lagi.
    “Zureena, jangan mengata Adi... aku marah tau,” kataku sambil senyum, untuk mengelak suasana menjadi tegang. Aku pura-pura tersinggung atau sebenarnya, aku memang benar-benar aku sedang tersinggung?
    “Kalaulah aku tahu di mana Adi, tentu sahaja aku ceritakan tentang kau yang merana di sini. Sungguh, Dillah!” Kata Zureena.

    Aku tersentuh dengan kata-katanya. Nurazah yang berada di sana pun (suaminya pegawai diplomatik di sana) tak pernah bercerita tentang Adi. Pernah juga kami dengar dia sambung ‘masters’ dan kerja kat sana... tapi tak jelas di mana. Aku ni kan perempuan, tentulah di luar adat dan keberanianku untuk mencarinya serta meluahkan apa yang tersirat dalam lubuk jiwaku selama ini. Bukankah perempuan hanya mampu menyembunyikan perasaannya, menggadai cinta yang bersarang hanya kerana sebuah harga diri.

    Akhirnya aku terima Nazrin. Mungkin dah jodoh (itulah ‘escapism’ yang sering aku kata untuk memujuk diriku sendiri). Aku belajar menjadi isteri yang solehah. Nazrin memberi masa untuk aku melupakan Adi. Dan akhirnya, sedikit demi sedikit aku dapat melupakan cinta pertamaku (bolehkah dikatakan cinta? kalau tidak pernah bersambut pun!). Aku dan Nazrin bahagia sungguh, dan Zureena tumpang gembira dengan kebahagiaan kami.

    Mulai dari saat aku menjadi isterinya, segala perhatianku hanyalah untuk Nazrin dan rumah tangga kami. Nazrin sendiri pun faham dengan tugas-tugasku di syarikat periklanan sebagaimana aku sangat faham dengan tugas-tugasnya sebagai seorang wartawan. Betul kata Zureena, cinta kan datang sendiri jika kita membiarkannya ‘beralun’ secara semula jadi ... jangan sesekali mengelak daripada dicintai dan mencintai. Terima kasih Zureena, terima kasih untuk nasihatmu dahulu....

    Alangkah bahagiannya tatkala aku sedar, cintaku hanya untuk Nazrin seorang. Dan rasa indah itu dirantai pula dengan sikap mentua yang sayang dan menganggap aku seperti anak sendiri. Tuhan, apa lagi yang kuharapkan selain daripada keredaan-Mu.

    = = = = =

    Lalu waktupun terus berlari. Rupa-rupanya aku terlalu cepat memuji hari. Pelangi tak pernah berbau, igau dan mimpi bukanlah seperti hujan dan panas dan aku akhirnya gagal menarik Nazrin dari terus mencintaiku untuk selamanya. Aku gagal. Apatah lagi setelah sekian lama berkahwin kami belum pun dikurniakan cahaya mata pengikat kasih. Bagi Nazrin anak lambang maruahnya!

    Jadi... Nazrin mula merungut tentang kerja-kerjaku. Sebenarnya aku telah cuba sedaya upaya menguruskan rumah tangga kami dengan teratur. Sejak hampir tiga tahun perkahwinan ini, aku bangun sebelum pukul lima pagi. Mengemas, membasuh... yalah, kerana Nazrin mahu baju-bajunya dibasuh dengan tangan, menyeterika, sediakan sarapan pagi dan mengejutkan Nazrin untuk solat subuh (suamiku itu, tu liat sungguh untuk bangun pagi setelah bekerja tak tentu masa). Kini, Nazrin langsung tak mahu lagi membantuku dengan kerja-kerja dapur. Aku telah kehilangan Nazrinku yang dulu.

    Sedih sungguh ... kadang-kadang untuk meminta air sejuk segelas pun Nazrin mesti menjerit dan mengarah aku. Aku faham Nazrin penat, tetapi Nazrin juga harus tahu aku juga penat. Aku tidak punya masa rehat langsung, tambahan pula apabila klien banyak karenah. Masa aku sungguh padat. Kalau sehari aku dapat tidur empat jam dengan nyenyak, itu merupakan bonus bagiku. Amat jarang aku berpeluang mendapat bonus begitu.

    Balik rumah terus masak untuk ‘dinner’. Nazrin tidak mahu makan di kedai biarpun betapa sibuknya aku. Lagipun aku sendiri memang simpati pada Nazrin. Waktu tengah hari, dah la terpaksa makan di luar... takkan sebelah malam pun harus makan di luar lagi! Lagipun mak mentua aku sudah berpesan, cara nak ikat hati suami mestilah melalui air tangan isteri – biarkan dia selalu makan masakan kita. Barulah kasih sayang tu berkekalan. Kata-katanya aku junjung....

    Emm, tapi... orang lelaki ini apabila tahu kita sayangkan dia, mulalah nak mengada-ngada. Nazrin pun macam tu. Nazrin langsung tak mahu bertolak ansur dengan aku dalam soal masakan. Setiap hari hendak menu Pantai Timur yang renyah-renyah sahaja... ayam percik, nasi dagang, nasi kerabu putih-kuning-hitam... semuanya dia hendak aku masak! Hobinya kini cuma satu; komen masakan aku dan bandingkan dengan masakan meknya. Kata dia; solok ladaku tak lemak, singgang aku macam air mineral – payau, nasi kerabuku dihiris kasar sampai tergantung di kerongkong dan cek mek molekku langsung tak molek!

    Aku pun tahu rasa kecil hati. Kalau mula-mula kahwin dulu, telur goreng dan ikan sardin pun, dia sedap dan memuji-muji masakanku. Sekarang masa indah tu sudah tiada lagi. Kadang-kadang aku ingin mengamuk tetapi aku takut jadi isteri yang nusus. Berdosa besar, tak bau syurga, pesan nenek selalu. Semakin memendam, semakin tertekan rasanya.

    Apabila aku kerja ‘over time’ dia akan merungut tak menentu. Seolah-olah baru semalam kami menjadi suami isteri. Seolah-olah dia tak tahu itulah bidang tugasku selama ini. Kalau dia berkahwin dengan seorang akaun eksekutif syarikat periklanan, itulah kerjaku. Dulu sebelum aku membuat keputusan untuk berkahwin dengannya, aku pernah usik dia; kalau nak isteri yang sentiasa duduk di rumah pilihlah yang tak kerja atau yang kerja cikgu. Tapi Nazrin tak setuju: “I suka isteri yang ‘challenging’. Jangan nak bagi alasan... nak berdolak-dalik dengan pinangan I ni, Dillah, katanya.

    Akhir-akhir ni Nazrin pun dah pandai komen tentang duit yang aku hantar untuk adik-adik. Sedangkan Nazrin pun maklum, Zaharin akan tamat pengajiannya dalam bidang ‘engineering’ bulan April ini, Atirah lepasan TESL UPM tu sudah ‘posting’ cuma belum dapat gaji lagi, Zali pula baru di tahun dua kat UIA, sementara Aliah akan menghadapi SPM. Kadang-kadang dia menunjukkan sikap tidak ramah – dengan adik-adik iparnya tu, yang sesekali mengunjungi apartmen kami ini. Kecilnya hatiku bila dia buat begitu kepada darah dagingku. Tidak menyukai mereka seperti tidak menyukai aku, isterinya.

    Kini Nazrin ‘complaint’ dah lama kami sewa ‘apartment’ ini – sepatutnya kita dah mampu kumpul duit untuk bayar muka rumah sendiri. Ini nak beli baju sehelai pun Dillah tak mampu. Mujurlah makan I ‘support’ kalau tak, tak tahu lah – rungut Nazrin. Seolah-olah aku begitu bergantung hidup kepadanya, dan kalau dia tak beri aku makan... aku akan mati kebuluran. Seolah-olah aku ini, sentiasa menyusahkannya. Aku ni kan... isterinya, sudah menjadi tanggungjawabnya memberi aku makan dan pakai. Janganlah nak mengungkit! Malu dekat Tuhan.

    Lagipun, bukan lama lagi aku nak bantu adik-adik; apabila Zaharin dan Atirah bergaji, mereka sudah janji nak tanggung segala bebanan aku tu. Harap-harapnya sebulan dua lagi. Lepas ni tentu sahaja aku sudah mulai mengimpikan untuk memiliki rumah sendiri! Tolonglah beri aku sedikit lagi pengertian, Nazrin ... jerit hatiku berulang kali.

    Nazrin seperti lupa pada janji-janji manisnya dulu. Dia mula meragui kejujuran dan tindak tandukku. Dan yang paling menyedihkan, dia mula ungkit tentang Adi, yang aku sendiri telah lama cuba lupai. Semuanya ini, bermula daripada ‘reunion’ anjuran Nora, Majmin dan Adam. Aku masih ingat lagi bagaimana kami perang besar kerana Adi.

    Aku pada mulanya memang malas nak pergi ke majlis tu; walaupun ini adalah pertemuan kali pertama selepas sepuluh tahun, kami semua berpisah selepas SPM dulu. Dengan rumah tangga yang bergoyang, aku sebenarnya tak mahu bertemu sesiapa pun; segan. Aku mula bimbang kalau kawan-kawan akan dapat menghidu, keretakan rumah tanggaku yang baru setahun jagung tu.

    Bagaimanapun apabila kad undangan tiba, Nazrin tiba-tiba beri lampu hijau. Pergilah, boleh ‘rest’. I tak dapat ikut ... ‘busy’... kan menteri nak buat ‘press release’, isu tol tu. You tumpanglah Tengku Fariz dan Zureena ke sana ya. Aduh, bagaimana ya... aku begitu ‘naive’ untuk tidak mengetahui segala rancangan Nazrin, ketika itu.

    = = = = =

    Seronoknya kami dapat jumpa kawan-kawan lama. Masing-masing sudah berkeluarga dan sudah ada arah tujuan. Tidak sangka Gurmit Singh yang mengarut dengan lagu Hindustannya tu dulu telah kahwin dengan model terkenal serta menguruskan syarikat perfileman sendiri. Setahu aku filem terakhirnya (selepas dia beritahu judul tadi), tak laku pun di pasaran. Kononnya, filem terbaru arahannya sedang 'box office' dan akan ditayangkan di Indonesia. Padahal semua orang tahu, bukannya senang filem kita nak masuk pasaran Indonesia. Nak buat lawak pun, biarlah logik sikit. Aku ni kan kerja dalam industri media massa juga. Hal-hal gosip-mengosip ni aku tahu juga, walaupun tak banyak. Tapi aku malas nak kutuk kerjanya tu. Ali Mamak? Tak pernah dengar pun, Ali Setan adalah. Gurmit, Gurmit... pandai suka dia mencipta cerita!

    Nora yang bukan main ‘slim’ dan pandai jaga badan tu kini semakin tembam setelah beranak empat. – Engkau semua peduli apa, suami aku suka! – katanya apabila orang komen bentuk badannya yang cuma kecil sedikit daripada tong dram tu. Yani pula telah berkahwin dengan seorang Datuk duda dan kini bergelar Datin. Dengan usia yang begitu muda, dia sudah ada tiga orang anak tiri yang sebaya dengannya. Asalkan aku bahagia... cukuplah, katanya.

    Setelah lebih satu dekad, inilah pertama kali aku melihat Adi semula. Dia bukan seperti dulu. Dia kini: Tinggi – kacak dan matang – dia nampak lebih berwibawa daripada dulu. Aku terkejut memandangnya. Kalau semua orang tahu, beginilah potensi Adi selepas tinggal di UK bertahun-tahun lamanya tu, tentu sahaja semasa zaman sekolah dahulu, ramai yang akan jatuh hati kepadanya. Dan jika masa itu bisa berulang, tentulah aku terpaksa bersaing dengan Nora dan Majmin yang jelita dan ramai peminat tu untuk merebut Adi dulu. Yalah, tentu sahaja kedua sahabatku itu tak akan melepas peluang, menanam modal waktu tu untuk mendapat suami seperti Adi, pada hari ini. Aku ketawa sendiri.

    “Eh, Dillah muka macam Adi ni ada peluang untuk jadi model iklan syarikat kau, tak?” tanya Nora, berseloroh.
    Adi mendekati kami yang sedang duduk berbual dalam bulatan.
    “Apa khabar, Adillah?” tanya Adi lembut dan penuh sopan.
    Majmin menyiku aku dan mengenyit matanya.

    Kemudian Adi berlalu dari situ dengan anak kecil yang comel.
    “Anak dia ke? Yang mana satu isterinya?” Tanya Hanim, sambil memegang perutnya yang sarat mengandung, anak kedua.
    “Itu anak Adam lah... dia belum kahwin,” jawab Majmin.
    “Mana kau tahu?” tanya Nurazah, masih kurang puas hati dengan jawapan Majmin.
    “Aku tahulah, dia dengan suami aku kerja sekali... dengar ceritanya dia masih menunggu seseorang,” kata Majmin, terus mengusik, sambil memandang ke arah Adillah.
    “Orang kacak dan punya duit macam dia tu pun, ambil masa yang lama untuk pikat orang,” rungut Nora.

    Adillah melihat Adi dalam kelompok rakan-rakan mereka. Sesekali Adi memandangnya. Setiap kali mata mereka bertemu, Adillah akan menunduk. Dillah tidak rindu lagi pada kenangan silamnya, ingatan Dillah masih tetap utuh milik Nazrin. Biar seribu Adi yang datang, ingatannya tetap kepada Nazrin. Benarkah Adi pernah menungguku dulu, seperti kata mereka. Betulkah aku sedikit pun tidak ralat, kerana tidak terus menunggu Adi? Jiwaku sedikit terusik, tiba-tiba....

    “Kau tentu perasan tadi, siapa yang dia tunggu... kan di antara kita tadi dia cuma tegur Dillah, tentulah Dillah cukup istimewa baginya. Bukannya kita! Kau masih ingat waktu kita muda-muda dulu, mereka pernah diusik-usik, manalah tahu kalau-kalau...” kata Majmin, sambil memandang tepat ke arah Dillah lagi.

    Darah Dillah berderau ... adakah Min dapat membaca rahsia hatinya dulu. Kalau ya, pasti seluruh dewan ni akan tahu, sebentar nanti.
    “Jangan mengarutlah Min, Dillahkan dah kahwin... janganlah ungkit kisah-kisah lama tu... tak baik lah macam tu,” kata Zureena yang membisu sejak dari tadi.
    “Manalah aku tahu, Dillah datang sorang dan mana pula aku tahu dia dah kahwin... lagipun janganlah sensitif sangat ni kan ‘reunion’.” Kata Majmin.
    “Salah aku juga, kahwin tak jemput Min,” sampuk Adillah cuba meleraikan kekalutan teman-temannya.
    Majmin senyum, Adillah membalas senyuman ‘damai’ Majmin.

    Apabila acara sebelah malamnya berlangsung, cuma Adi dan Dillah yang tiada pasangan. Dillah duduk di penjuru hotel sambil membaca majalah. Rakan-rakan lain sibuk dengan pasangan masing-masing di tepi kolam renang, menikmati BBQ. Adillah sudah hilang selera makan. Kenapalah dia datang ke majlis ini. Pada saat ini dia hanya ingin termenung di beranda apartmennya, merenung bulan sabit di tengah malam dan menangis sepuas hati.

    “Janganlah membaca, apa salahnya kita berbual-bual.
    Sapaan Adi mengejutkan Adillah dari majalah yang sedang ditiliknya.
    “Saya nak ambil makanan dulu,” kata Dillah untuk mengelak daripada berbual-bual dengan Adi. Dia kan isteri orang. Tak fasal-fasal, timbulnya fitnah. Lalu sejak kelmarin lagi, dia cuba mengelak bersemuka dengan Adi. Bohonglah kalau dia kata, yang dia sudah betul-betul dapat melupakan Adi seratus peratus. Adillah beristighfar di dalam hati.

    “Duduklah sekejap, dari siang tadi banyak yang saya nak cerita dengan Adillah... tapi Adillah mengelak terus....”
    “Atau, ada yang marah? Tak kan lah bercakap dengan kawan lama pun si dia marah!”
    “Kita kawan lama ke?” Soal Adillah.
    Kemudian mereka sama-sama ketawa.

    “Sejak pulang ke sini, saya selalu juga baca rencana tulisan Adillah dalam ‘paper' dan ‘magazine’, tapi tak sangka rupanya Adillah juga terlibat dalam periklanan,” kata Adi. Dillah cuma diam. Adi hilang arah. Dia tidak tahu nak kata apa! Tak tahu hendak berbasa-basi lagi!
    “Adillah... saya minta maaf,” kata Adi tiba-tiba.
    “Kenapa?”
    “Seksa jiwa Dillah dulu.” Katanya perlahan.
    “Siapa pula bawa cerita karut ni? Kita tak pernah janji apa-apa kan, mana mungkin jiwa saya terseksa. Saya sangat bahagia dengan Nazrin, suami pilihan sendiri!” marah Dillah. Dia sendiri tidak tahu kenapa tiba-tiba dia harus bercerita tentang kebahagiaannya dengan 'suami pilihan sendiri' itu.

    Di kepalanya teringat Zureena. Sampai hati Zureena membuka pekung sahabatnya sendiri. Bukankah menjaga rahsia orang tu, adalah amanah yang dituntut dalam Islam. Rasa menyesal memberitahu Zureena tentang rahsia hatinya hari tu, mengganggu hati nuraninya pada saat ini.
    “Syukurlah, Adillah berbahagia dengan Nazrin kini. Itu sudah cukup untuk membuat saya tumpang gembira,” kata Adi mendatar.
    Adillah jadi malu, Adi mengetahui segala isi hatinya dulu. Zureena... sampainya hati awak!

    “Jangan tuduh Zureena, dia tak bersalah langsung. Saya yang bertanya hal Adillah pada Zureena setelah kembali dari UK dulu. Rupanya saya ni langkah kiri,” kata Adi, seperti faham apa yang berlegar di minda Dillah ketika ini.

    Dia seperti ingin berkata, Adillah... percayalah, kamu tidak pernah bertepuk sebelah tangan! Dia hanya terlewat enam hari selepas Adillah membuat keputusan meninggalkan zaman gadisnya. Adillah dan Nazrin berkahwin tergesa-gesa, kerana Nazrin bimbang Adillah akan menukar keputusannya semula. Itulah cerita Zureena, apabila Adi memaksanya bercerita.

    Aduh, rupanya naluri Adillah sebelum ini, tidak pernah berbohong, kata hatinya sendiri. Namun masa telah merubah segalanya. Aku adalah milik mutlak Nazrin! Biar berkali-kali Abdul Hadi yang datang, setia aku tetap pada Nazrin, taat aku masih pada suamiku. Biarpun Nazrin tidak lagi seperti yang aku kenal dulu, dia tetap istimewa di hatiku ini. Aku tetap sayang kepadanya. Walaupun kasih sayangnya semakin dingin, aku pasti ini hanya untuk sementara saja, mungkin Nazrin banyak sangat masalah. Yalah, kerjanya sebagai wartawan memang ‘tough’. Lagipun dia tentu sudah tidak cukup kuat menerima tohmahan orang, yang aku tak bisa melahirkan zuriat untuknya.

    “Masa telah lama berlalu, cerita karut zaman kita budak-budak itu sekadar menjadi kenangan indah. Betapa bodohnya kita masa tu, menyimpan angan-angan yang begitu... jodoh tu kan, kerja Tuhan. Suatu hari nanti saya pula akan tumpang gembira mendengar Adi bahagia di samping gadis bertuah,” kata Dillah. Adi tidak menjawab apa-apa.
    “Ataupun sebenarnya sekarang pun si dia sudah ada... sengaja tak nak tunjukkan kepada kita orang,” kata Dillah, tulus ikhlas.

    Adi diam. Dari dulu Adi sengaja tak mahu ganggu Adillah belajar. Biarlah sama-sama habis studi dulu. Apabila Adi sudah ada kedudukan, barulah dia berani melamar buah hatinya tu. Adi bimbang kalau bercinta lama-lama dan duduk jauh-jauh pula; takut putus di tengah jalan. Rupanya strateginya silap. Tujuh tahun adalah satu jangka masa yang lama. Tanpa kata janji yang pasti, tentulah Adillah tak sanggup menunggu. Perempuan dengan usia adalah sinonim yang tak dapat dipisahkan. Adi tak salahkan Adillah dalam hal ini. Dialah yang lambat menambat hati buah hatinya itu ....

    Pernah juga dulu, berkali-kali dia cuba menulis surat kepada Adillah... tapi dia tak pernah berani mengeposnya. Mengapa pengecut sangat? Kini apabila burung telah terbang... lada yang dipipiskan sudah tidak bermakna lagi.

    Adi memandang wajah Adillah yang telah menjadi milik orang. Walaupun mukanya agak pucat, namun keayuannya masih terserlah. Dengan tudung warna kuning susu diserikan pula dengan baju kurung sutera warna merah bata dan kuning gading dengan corak abstrak dari batik tulis, dia betul-betul seorang perempuan Melayu terakhir bagi Adi.

    Adi bukannya nak ganggu rumah tangga Adillah. Sesungguhnya, Adi rasa senang Adillah bahagia. Untuk dirinya sendiri, dia tidak pernah menyalahkan takdir. Tentu ada hikmah di mana-mana yang gagal ditafsirkan oleh manusia. Tapi untuk melupakan Dillah dengan sekelip mata, itu di luar kemampuannya sebagai insan yang lemah. Sejak dapat tahu Adillah sudah menjadi hak orang lain, Adi sedang ‘mengajar’ dirinya untuk reda menerima ketentuan Allah dan 'belajar' jatuh hati pada gadis lain pula. Sayangnya, hatinya masih enggan berpaling....

    Yalah, perasaannya untuk Adillah bukan baru semalam dia simpan. Sudah tertakung dalam hatinya, bertahun-tahun lamanya... sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya – seperti kompas yang memandu arah pelayarannya.

    = = = = =

    Semuanya berakhir dengan gembira, kecuali apabila pulang ke rumah Isnin itu, Nazrin ingin tahu yang mana satu Abdul Hadi dalam gambar yang kami rakamkan ramai-ramai depan mural sekolah. Aku tanpa syak apa-apa menunjukkannya.
    “Kacak. Kacak” Kata Nazrin berbau cemburu.
    Nazrin cuba memancing kemarahanku dan kemudian menuduh aku derhaka. Nazrin sengaja cuba memecah-belah hubungan kami yang telah sedia retak.

    Tidak lama kemudian, barulah aku tahu, Nazrin sebenarnya bertemu semula dengan kekasih lamanya Wan Marlisa Dato’ Wan Helmi. Pilunya hatiku. Aku rasa dipermainkan. Patutlah perangainya tiba-tiba berubah. Segala kesetiaan dan kejujuranku menjadi sia-sia. Kenapa tidak berterus- terang saja. Bukannya dengan cara cuba mengungkit hal yang bukan-bukan. Dalam dua hari aku ke majlis ‘reunion’ tu, Nazrin mengambil kesempatan untuk mengadakan majlis ikat janji dengan Wan di Kuantan. Amboi siap dengan majlisnya sekali... meriah sangat.

    Kebetulan rakan sepejabat aku tinggal dekat rumah Wan di Kuantan memberitahuku: “Aku terkejut betul, Dillah... bila nampak suami Dillah yang bakal menjadi menantu Dato’ Wan Helmi tu.” Kerana aku tidak yakin dengan cerita yang dibawanya, Jihan siap tunjukkan gambar pertunangan tu.

    Oh, rupanya apabila Nazrin sudah tidak jujur, dia ingat semua orang sudah tidak jujur lagi. Bodoh betul aku ni, tidak pernah mengesyakinya sedari awal. Aku tidak pernah sedar, hubungan mereka – Wan dan Nazrin - telah berlangsung hampir separuh dari tiga tahun usia perkahwinan kami. Yalah, sejak Wan Marlisa kembali ke Malaysia. Pandainya berpura-pura. Dahsyat sungguh! Sampainya, hati....

    Biarpun keluarga Nazrin masuk campur, Nazrin tetap menceraikan aku. Alasannya, Wan tak mahu bermadu. Nazrin lebih sayangkan perempuan gatal-gatal manja tu daripada aku. Amboi, Dillah sedapnya mengata orang. Tak takut dosa pahala ya, jerit hati kecilku. Sedih! Sedihnya..... Dan aku sendiri pun ada harga diri (orang dah tak suka buat apa pipi ni nak tersorong-sorong lagi). Zureena dan Tengku Farizlah menjadi orang yang paling sedih dengan untung nasibku.
    “Maafkan aku Dillah, aku yang paksamu dulu,” kata Zureena.
    “Sekurang-kurangnya kahwin juga aku, tak lah aku bergelar andartu,” selorohku untuk menyedapkan hati Zureena yang terus-terus rasa bersalah.
    Biarpun Zureena sebenarnya, tidak pernah tahu, ‘title’ janda itu lebih menakutkan aku untuk mengharungi dunia yang penuh fitnah ini.

    = = = = =

    “Dillah masih ingat Adi?” Tanya Zureena.
    Aku malas memberitahu Zureena, Adi pernah telefonku dua kali, bertanya kalau-kalau dialah yang menjadi punca penyebab rumah tanggaku hancur. Tentu sahaja aku jawab tidak – meskipun kebenarannya tetap ada. Kehadiran Adi memudahkan Nazrin mencari alasan untuk menceraikan aku kerana ingin kembali semula kepada kekasih yang pernah meninggalkannya dalam duka yang panjang suatu ketika dulu. Sepatutnya sedari dulu, aku jangan percayakan cinta kedua seorang lelaki!

    Aku cuma diam dan membiarkan Zureena berceloteh.
    “Dia selalu bertanya tentang Dillah, dia tahu Dillah bersendiri kini.” Kata Zureena sambil menyenduk pelbagai makanan.
    Jamuan makan malam di Hotel Istana itu juga mengundang pelbagai tokoh koperat. Zureena menemani si Tengku Fariz di sini. Sedangkan aku dan Jihan mendapat undangan daripada seorang klien. Dapat makan 'free' siapa nak tolak, kata Jihan semalam sewaktu memujukku untuk menemaninya hari ni.

    “Dia tahu yang kau begitu setia... cuma jodoh kamu berdua yang tak ada.” Adillah menundukkan matanya sambil memerhati ‘lobster’ yang dibakar dengan mentega di atas gril. Bau asap yang bercampur dengan mentega, menjentik seleranya untuk mencuba. Tetapi keinginannya dihalang oleh celoteh Zureena yang tak sudah-sudah. Dia ingin cepat-cepat melarikan diri dari segala persoalan yang dibawa oleh sahabatnya itu. Sudahlah Zureena, aku sudah jemu mendengarnya. Soal nikah kahwin ni, mahu saja aku simpan dalam laci kenangan aja.

    “Sebenarnya dia menyuruh aku menyampaikan perasaannya kepadamu, tetapi aku tidak berani lagi Dillah. Aku suruh dia ‘contact’ kau sendiri. Percayalah Dillah, dia akan menghubungi kau dalam minggu ni. Aku sekadar memberi amaran awal, supaya kau tak panik,” bisik Zureena, di antara Datin Rosidah dan Puan Sri Zaitun.

    “Zu... Nazrin juga telefon, dia juga ingin kembali semula,” kataku tiba-tiba, Zureena tidak jadi melangkah.
    “Bagaimana dengan isterinya, Wan Marlisa yang jelita tu?”
    “Kononnya dia tak bahagia... dia kehilangan aku.”
    “Apa kata kau?”
    “Cukuplah sekali!”
    “Pada Adi?”
    “Zureena, dalam usia di 30-an ini ... sebagai seorang janda pula... aku tidak pernah bermimpi lagi. Bukankah kau selalu mengingat aku agar sedar daripada mimpi-mimpi. Mimpi hanya mainan masa dan sesungguhnya masaku telah berlalu, Zureena.”
    “Jangan pesimis begitu Dillah. Jangan kata begitu pada Adi ya, Dillah. Inilah masanya kamu berdua meneruskan kasih yang tak kesampaian dulu tu,” kata Zureena sambil mengenyit matanya padaku. Dia segera ke meja Tengku Fariz dengan pinggan penuh berisi makanan.

    Kata Zureena, kalau aku mengecewakan Adi, sebenarnya aku mengecewakan hatiku sendiri. Benarkah begitu? Masih bersemikah cintaku pada Adi? Lalu hati kecilku yang satu lagi dengan lambat-lambat menjawab, cukuplah sekali Adillah, cukuplah sekali....



    T A M A T


    Saya senang sekali dengan tajuk dan cerita ini. Mungkin kerana watak-watak yang saya bentuk di sini datangnya dari dunia sebenar yang kemudiannya saya 'fiksyenkan' saja. Dalam cerita ni, saya sekadar menukar nama watak asal dan plotnya adalah hasil kreativiti saya. Saya selalu saja merasakkan Adillah yang bernasib malang itu, adalah saya... walaupun dalam hidup sebenar, saya dan 'Adillah' adalah dua insan yang berbeza dan perjalanan hidup kami tidak serupa pun :)

    Posted at 8:56 am by noorsoraya
    Comments (6)  

    Tuesday, May 31, 2005
    MAAFKAN AKU, ADIBAH!

    Oleh: Noor Suraya

    Aku meletakkan mug berisi coklat susu di sebelah Baha. Baha masih tekun melakarkan garis-garis halus pada kertas pelan. Seperti selalunya, Baha langsung tidak mengendahkan kehadiranku. Aku berdiri tegak di sisinya, sambil melihat tangannya yang cekap melukis. Lama-lama aku menjadi bosan, Baha hanya pentingkan kerjanya.

    Menjadi isteri Baha bukannya mudah. Aku orang kampung. Aku tidak pandai menyesuaikan diri dalam majlis, apatah lagi kalau majlis rasmi. Baha selalu komen ... Adibah pasif. Pasif tu apa? Baha kata aku konservatif, tak sporting dan entah apa-apa lagi komennya, aku pun tak faham. Yang pastinya, aku kecil hati.

    Akhir-akhir ini aku menjadi semakin bosan. Kadang-kadang aku rasakan aku ni ‘babunya’. Dalam rumah ini semuanya Baha yang atur. Tidak ada suatu pun yang tidak mengikut cita rasa dan pilihan Baha dalam rumah banglo setingkat ini kecuali, memilih aku sebagai isterinya.

    “Ada apa lagi, Adibah?” tanya Baha, yang masih tekun menggaris, rupanya sudah lama aku mematung di sisi Baha.

    Aku tahu, aku mengerti, Baha memang pantang diganggu ketika sedang bekerja atau ‘study’. Aku kenal benar dengan sikap Baha yang sibuk dan suka buat-buat sibuk. Kerjanya sebagai arkitek dan pensyarah sambilan, membuat Baha tidak ada masa langsung untuk menghiburkan aku.

    Rutin Baha setiap hari sentiasa padat. Selepas sembahyang subuh, dia terus berjoging. Kemudian akan ke pejabat – hampir Maghrib baru pulang. Hari Selasa, Rabu dan Jumaat ada kuliah di sebelah malam. Kalau tiada majlis atau seminar yang perlu dihadiri pula, Baha akan terus berkurung di bilik kerja sehingga pukul dua, tiga pagi.

    “Ada apa lagi, Dibah?” tanya Baha, lalu membetulkan lampu mejanya.
    “Oh, tak Dibah cuma tengok pelan ni,” kataku.
    “Dibah faham ke?”
    Baha mengangkat mukanya. Dia tersenyum sinis kepadaku. Mentang-mentanglah aku cuma sekolah setakat Darjah Enam saja, dia ingat aku ni bodoh sangat.
    “Manalah Dibah faham, Dibah ni kan tak belajar sampai luar negara.” Perliku.
    “Ke situ pula,” kata Baha.

    Baha menghirup coklat susu daripada ‘mug’ biru tua – warna kegemaran Baha. Aku mula beredar.
    “Oh, ya Dibah, Dato’ Ibrahim dan Datin Dahlia jemput kita ke rumahnya... anak mereka nak ke England, dia nak buat kenduri, Maghrib esok,” kata Baha cepat-cepat, tanpa memandangku.

    Aku menoleh ke arah Baha.
    “Dibah tak nak pergi. Abang Long pergilah sorang.”
    “Dah dua kali Dibah tidak tunaikan undangan mereka,” kata Baha serius.
    “Kenapa Dibah,” sambung Baha lagi.
    Baha merenung tajam. Aku menjadi serba salah. Benci apabila Baha renungku begitu.

    Antara aku dan Baha memang macam pipit dan enggang – tak setaraf. Meskipun Baha, sepupuku itu orang kampung macam aku juga. Namun taraf pendidikan dan kedudukan Baha sekarang telah memisahkan kami.

    Aku ni berbahasa Melayu baku pun tak cekap. Apatah lagi nak cakap ‘orang putih’. Aku juga tak pandai makan dengan pisau, sudu dan garpu. Aku tak tahu berbincang tentang isu semasa, politik atau apa saja yang menjadi bualan Baha ketika bertemu dengan rakan-rakannya.

    Itulah yang membuat aku rendah diri. Terutama apabila berada di kalangan isteri rakan-rakan Baha. Aku tidak seperti Dr. Nora, isteri rakan sekerja Baha. Isteri Encik Idham tu, pandai berjenaka dan bercerita. Semua orang suka kepadanya. Aku juga tidak seperti Madam Teoh yang ramah dan fasih berbual dalam enam bahasa.

    Aku selalu jadi kaku, beku dan serba salah apabila terpaksa berbual dengan mereka. Semuanya ini membuat aku lebih betah tinggal di rumah daripada mengiringi Baha ke majlis-majlisnya. Dan aku pasti Baha tentu lebih seronok kalau aku tidak ikut serta.

    “Kenapa Dibah,” ulang Baha lagi.
    Aku tersentak semula.
    “Dibah tak mahu malukan Abang Long nanti,” jawabku selamba.

    Baha sudah duga, itulah jawapan Dibah. Setiap kali itulah alasannya. Memang Adibah selalu memalukannya di majlis. Tetapi kawan-kawan Baha tahu siapa Dibah dan mereka tidak kisah. Malah mereka selalu marahkan Baha kerana selalu meninggalkan isterinya di rumah.

    "You never give her a chance to join us,” kata Mr. Teoh.
    “Betul tu, selalu simpan isterinya kat rumah, dia ingat isterinya barang antik."
    "That’s girl baru 18 lah Che Baha oii. Of course she love to have fun. Jangan kurung dia dalam sangkar saja,” tambah Dr. Nora.

    Baha membuka kaca mata bulatnya. Dia merenung wajah isterinya yang masih muda remaja. Adibah semakin kurus sekarang ini. Emak selalu berpesan, jangan sia-siakan Dibah. Adik sepupunya itu anak yatim piatu.

    Mak Su dan Ayah Su, meninggal dalam kemalangan jalan raya ketika Adibah baru berumur enam tahun lagi. Sejak itu neneklah pelihara Adibah. Rumah nenek tidak jauh dari rumah Baha. Jadi sejak kecil, Adibah sudah kenal Baha. Malah Baha sentiasa memanjakan Adibah kerana Baha tidak ada adik perempuan. Tapi sekarang semuanya telah berubah.

    Selepas Baha pulang dari luar negara, dua tahun yang lalu, semuanya bertukar. Susah baginya untuk mengasihi dan menyayangi Dibah sebagai isteri dan kekasih. Bukan kerana kasih sayang sebagai adik masih tebal dan kekal di hatinya tetapi kerana Baha masih mengingati Laila, rakan seuniversitinya.

    * * * * *

    Baha sangat sayangkan nenek. Tiada suatu pun kehendak nenek yang tidak diturutinya. Malah kadang-kadang patuhnya itu tidak bertempat. Misalnya, untuk mengahwini Adibah. Dia terima Adibah. Walaupun pada ketika yang sama dia masih mengingati Laila.

    Mereka berkasih sejak di sekolah menengah lagi. Laila meninggal dunia ketika Baha hendak berangkat ke Australia untuk pengajian ‘master’, tujuh tahun dulu. Mereka sudah merancang untuk berumah tangga, sebaik sahaja Laila menamatkan ‘housemanship’nya di Hospital Universiti ketika itu.

    Sejak Laila pergi, Baha tidak terfikir untuk beristeri. Dia lebih pentingkan cita-citanya. Dan kini Adibah menjadi mangsa di atas kepedihan Baha. Kasihan Dibah terpaksa menanggung kesedihan Baha sepanjang hampir setahun perkahwinan mereka itu.

    Memandang usialah, nenek terus mendesaknya. Nenek percaya Baha dapat menjaga Adibah. Baha cucu sulung kesayangan nenek. Dan nenek tahu Baha sayangkan Dibah. Adibah yang baik, lembut dan penyabar tu memang dibesarkan bersama-sama Baha. Namun, nenek tidak pernah tahu, di hati Baha cuma ada Laila.

    Baha terus memandang Dibah.
    “Kenapa pula Dibah mesti malukan Abang Long,” tanya Baha lembut, setelah lama berdiam diri.
    Soalan bodoh, fikir Baha, kemudiannya.
    “Dibah... Dibah tak pandailah nak campur-campur dengan isteri kawan-kawan Abang Long,”
    Alasan yang sama seperti selalunya, bisik Baha.

    Aku meninggalkan Baha dan menuju ke ruang tamu. Aku duduk di atas sofa warna biru tua.
    “Adibah,” jerit Baha.
    Aku tidak menghiraukan jeritan Baha. Selama ini Baha tidak pernah meninggikan suara kepada aku. Aku semakin kecil hati. Baha berjalan pantas ke arahku, jarinya masih menggenggam pensel.
    “Kenapa Dibah?”
    Baha cuba berlembut, apabila dilihatnya mata Dibah berair. Aku menahan esakan. Aku jadi benci dengan kelemahan diri sendiri.

    “Abang Long, Dibah rasa kita tak boleh bersama lagi. Apa yang Dibah buat serba tak kena. Dibah tak pandai sesuaikan diri dengan cara hidup Abang Long,” kataku tergagap-gagap, dan menyesal kemudiannya.

    Suara isterinya yang sayu dan perlahan itu menikam hati Baha,

    “Dibah berehatlah dulu, nanti kita bincang,” pujuk Baha.
    “Dibah nak bincang sekarang. Dibah nak selesaikan saat ini,’ tegasku.
    “Dibah,” tegas Baha sambil memandangku.
    “Dibah dah jemu Abang Long. Dibah tak mau hidup dalam bayang-bayang Laila. Dibah tak boleh jadi macam Laila. Laila yang pandai... Laila bakal doktor, Laila cantik, Laila keibuan dan Laila segala-galanya.”
    Aku mengesat air mata.

    “Dibah adalah Dibah. Dibah tak mahu jadi Laila. Dibah nak ada hak, ada bahagian dalam hati abang long,” kataku puas.

    Baha terpaku. Adibah sudah melampau. Hantu apa yang telah merasuk wanita penyabar ni, bisik hati Baha. Dibah sudah pandai membantah... protes. Apa lagi yang Dibah hendak? Kan semuanya sudah tersedia untuknya.

    Baha sediakan bilik khas untuk Dibah melukis batik dan menenun sutera. Baha beri segala kemudahan untuk Dibah memperkembang kemahiran dan minatnya. Adibah boleh buat kerja bila-bila dia suka – semahunya tanpa gangguan.

    Baha tidak halang Dibah balik ke Kuala Terengganu kalau Dibah rindukan nenek. Malah kalau ada cuti, Baha yang hantarkan sendiri.

    Kalau Dibah nak belajar lagi Baha sanggup cari tutor. Tapi Dibah enggan. Dibah tuduh, Baha malu beristerikannya yang cuma belajar setakat sekolah rendah. Baha geram dan marah dengan gelagat Dibah terutamanya, bila Dibah mula ‘demandings’ dan pandai ungkit tentang Lailanya.

    “Adibah, Abang Long mesti siapkan pelan tu dulu, nanti kita bincang.” Baha meninggalkan aku sendirian. Aku mengeluh kesal.

    Aku berjalan ke bilik kerja berdekatan dapur. Terdapat lima buah bilik semuanya, bilik hadapan menjadi bilik kerja Baha lengkap dengan perpustakaan, di sebelahnya bilik tidur. Sebuah lagi bilik tetamu yang berhadapan dengan bilik solat.

    Aku memilih bilik yang berdekatan dengan dapur sebahagian tempat menyimpan kesepian, kesedihan dan kedukaanku. Melukis batik dan menenun kain sutera adalah sebahagian cara untuk melekakan aku daripada semuanya ini. Perlahan-lahan aku membuka tingkap yang menghadap padang golf. Hujan renyai-renyai dan malam yang kelam, membuat padang golf kelihatan samar-samar.

    Semalam, kata Adik Nur dalam suratnya, berdekatan dengan kampungku pun hendak dibina padang golf. Ramaikah pelancong yang hendak menggunakannya? Ataupun rakyat negara kita sebenarnya cuba menguasai permainan ini pada tahun 2020... Wawasan 2020? Ah, apa yang aku faham tentang pembangunan?

    Aku membiarkan tempias hujan menyapa pipiku. Aku mendekati pemidang kain dan cuba mencari ilham untuk baju batik Baha – istimewa sempena ulang tahunnya yang 32 Jumaat nanti.

    Selalunya, kawan-kawan atau kenalan Baha sering menempah batik atau kain sutera daripadaku, kadang-kadang aku juga membuat batik untuk hiasan dinding pejabat.

    Aku seronok apabila Baha mengantungkan karyaku di bilik pejabatnya. Baha selalu memuji bakatku. Aku bangga mempunyai pendapatan sendiri dan boleh mengirimkan duit tiap bulan untuk nenek, hasil daripada usahaku ini.

    Masa dulu-dulu, ketika aku berumur sepuluh tahun, aku telah menjual karya. Bahalah pembeli pertamanya.

    “Kawan-kawan Abang Long, tentu cemburu melihat baju batik ini,” kata Baha, apabila pulang untuk cuti semesternya.
    Abang Long bayar aku $5 untuk lukisan batik di kemeja putihnya.

    “Ini Dibah kasi, bukannya nak jual,” kataku manja.
    "Ambillah, buat beli warna atau kain."
    Baha meletakkan not warna hijau tu dalam tanganku.
    "Kalau Abang Long ada banyak duit, tentu Abang Long beli dengan pelukisnya sekali," gurau Baha.
    "Baharudeen, tak baik usik begitu," tegur nenek.

    Aku ketawa melihat Baha kena marah.

    * * * * *

    Sebenarnya itulah kesilapan paling besar yang Baha telah buat. Memberi duit yang besar nilainya kepada budak seusia sepuluh tahun, membuat aku bertekad untuk berhenti sekolah dan menumpukan perhatian kepada seni batik dan sutera.

    Aku ingin menjadi pelukis dan penenun yang berjaya. Dan yang paling malangnya lagi, sikap prihatin Baha kepadaku dulu – telah disalah tafsir – membuat nenek percaya Baha mengasihi aku bukan sebagai ‘adiknya’.

    Alangkah bahagianya mengenang masa lalu. Kami sungguh mesra dan akrab seperti saudara kandung. Setiap kali Baha bercuti dari asrama, dia sering menemani aku dan nenek menenun sutera sehingga jauh malam. Baha suka duduk di beranda dan memandang ke arah laut. Kadang-kadang Baha akan mengesek biola pusaka arwah Tok Wan.

    Di waktu petangnya, kami akan berjalan di gigi pantai. Baha selalu menanam semangat supaya aku berjaya sebagai usahawan. Walaupun begitu, Baha memang marah aku berhenti sekolah.

    Kini segala-segalanya tidak tercapai. Sekolahku tidak tamat. Cita-citaku cuma sekadar menjadi impian. Rumah tangga kami muram. Masing-masing dengan haluan sendiri. Baha dengan cita-citanya, aku dan minatku – masing-masing seperti pelarian.

    Baha masih mengenang Laila dan aku cemburu kepada Laila yang tiada lagi tu. Sebenarnya aku bukan meminta apa-apa kecuali sebuah pengiktirafan sebagai seorang isteri. Aku cuma mahu dihargai. Salahkah aku? Kenapa Baha mesti menafikan hak aku?

    Baha lebih senang berbual dan berbincang dengan para pelajarnya daripada bercakap denganku. Aku semakin kecewa dengan sikap Baha. Kadang-kadang aku terfikir, mengahwini Baha merupakan satu kesilapan besar yang telah berlansung.

    Kenapa Baha tidak seperti Abang Long Baha yang aku kenal dulu. Abang Long yang sentiasa menyayangi Adibah. Ah, masa telah merubah segalanya.

    Aku sentiasa berdoa dan menanti, agar suatu hari nanti Baha akan mengakui perkahwinan ini bukannya sekadar memenuhi hajat nenek... tapi kerana Baha juga sayangkan aku. Oh, masih adakah suatu hari itu, setelah kami bergaduh tadi?

    Aku tak marah jika Baha terus-terus mengingati Laila, kerana aku sedar, siapalah aku. Tapi janganlah sampai anggap aku ni orang asing, tak berhak untuk dikasihi. Seolah-olah semua kasih sayang Baha cuma milik Laila, dan semuanya itu telah terkubur bersama kekasihnya itu.

    Kenapa Baha mesti memberitahu aku tentang Laila? Dan kini aku terpaksa bersaing dengan Laila, untuk merebut hati suamiku sendiri. Dan sehingga kini Laila yang menang. Aku tidak pasti perlawanan ini ada berapa pusingan dan pada pusingan yang manakah aku akan menang?

    Aku tidak dapat tidur sepanjang malam. Mujurlah suara azan Subuh yang mendayu-dayu dari masjid yang berhampiran telah mengejutkan aku daripada angan-angan. Sedar-sedar Baha sudah menungguku untuk berjemaah, seperti kebiasaannya.

    Aku mencium tangan Baha, selepas dia berdoa panjang. Aku menyidai telekung di ampaian besi yang terlekat di dinding. Masing-masing membisu.

    “Adibah tak tidur?”
    Aku menggeleng
    “Dibah, Dibah nak kembali kepada nenek?” Kata Baha kemudiannya.
    Air mataku berjurai lagi.
    “Abang Long langsung tak sayang Dibah?”
    Bagiku, setiap detik... kasih sayangku kepada Baha semakin menebal.
    “Abang Long... sampainya hati,” kataku menahan sebak.
    “Bukankah Dibah yang pinta semalam?”
    Aku betul-betul kecewa dengan kata-kata Baha.

    “Dibah akan tetap bersama Abang Long, kecuali Abang Long mengehendaki Dibah pergi,” tegasku, tak malu.
    Baha terpaku. Kasihan Dibah, dia benar-benar terluka. Baha menjadi kesal.
    “Dibah sayang Abang Long,” tanya Baha.
    Aku mengangguk malu.
    “Abang Long pula?”
    Baha cuma diam.

    “Dibah, berilah masa untuk Abang Long. Kerana Dibah pun tahu, sebelum Dibah ada Laila.”
    Aku cemburu mendengar nama Laila keluar lagi dari mulut suamiku. Tetapi aku bersyukur, kerana Baha jujur.

    Bukankah Nabi Muhammad sendiri pun lebih sayangkan, Aisyah daripada isteri-isterinya yang lain. Tapi... akulah satu-satunya isteri Baha yang sah, tidak Laila! Bukankah Nabi Muhammad juga tidak pernah melupakan Khadijah seumur hidupnya, walaupun Khadijah sudah wafat ketika itu.

    Malah Aisyah... sendiri cemburu. Aisyah cemburu bertempat kerana dia isteri Rasulullah. Sedangkan taraf Laila sekadar kekasih... aku ni isteri Baha, rungut hatiku. Berilah Baha masa, aku memujuk rasaku, insya-Allah.

    “Dibah benci, Dibah marah kepada Abang Long?”
    Aku menggeleng.
    “Terima kasih, Dibah. Insya-Allah... Abang Long tak akan mensia-siakan hati Dibah,” kata Baha ikhlas.

    Baha mengesat air mata Dibah dengan hujung jarinya. Baha menghulur senyum kepadaku, aku membalasnya dengan seribu rasa sejuta harapan.

    Adibah, aku tidak pasti sampai bilakah aku dapat sayang kepadamu, tanpa gangguan bayang-bayang Laila. Antara kau berdua terlalu berbeza dan aku tidak akan lagi terus-terus membuat perbandingan.
    Tuhan, ampunilah aku, tunjukkanlah hamba-Mu ini jalan yang terbaik.

    Insya-Allah, abang tidak akan menghampakan mu, Dibah. Allah sentiasa bersama-sama kita dengan al-Rahim-Nya. Maafkan aku, Adibah.

    TAMAT



    Apa yang saya suka sangat dengan cerpen ini? Rasanya kerana cerpen ini pernah tersiar dalam majalah Keluarga, mungkin! Banyak nama-nama yang ada di sini saya ulang guna dalam novel-novel saya yang lain tanpa sedar. Ramai yang kata cerita ini berakhir dengan kegembiraan... tetapi pada saya, cinta tidak semudah itu untuk ditukar ganti bagi Baha... saya jadi simpati pada Adibah! Lagipun tajuknya juga telah membawa konatasi yang negatif kan....

    Posted at 8:40 am by noorsoraya
    Comments (4)  

    Monday, May 30, 2005
    SAYANG EMAK, ZETI!

    Oleh: Noor Suraya


    Aku asyik memerhati Zeti mengatur bongkah berwarna-warni di penjuru rumah. Zeti yang sudah berusia hampir enam tahun, masih gagal membezakan warna. Warna merah dicampurkan dengan warna hijau dalam bakul biru.

    “Zeti, yang merah... masukkan dalam bakul merah tu,” kataku lembut, sambil menunjukkan warna merah.

    Zeti terpinga-pinga, masih tidak faham. Aku senyum kepadanya. Dia masih menagih simpati, memberi kiub kuning kepadaku dan menghulurkan bakul merah. Aku tersenyum lagi. Jauh di sudut hati aku berasa terhiris. Zeti ketawa. Jiwaku menangis, melihat Zeti yang masih belum mahir berkata-kata.

    Anak Madam Lee yang senasib dengan Zeti sudah boleh menyusun bongkah. Shery juga sudah boleh melukis, meskipun Madam Lee sendiri tidak tahu apa yang dilukisnya. Shery tidak kencing di merata tempat lagi. Sedangkan Zeti selalu melatah, masih perlu menggunakan lampin.

    Mataku berair lagi. Zeti, salahkah mak lahirkan kau dulu?

    “Anak puan mungkin mengalami gangguan mental... maksud saya mindanya lambat bertindak.”

    Kata-kata Dr. Sindhu menikam jantungku. Aku beristighfar panjang, tanganku mengusap perut yang mula membesar. Sudah empat bulan zuriat kami. Aku diburu kebimbangan. Apa yang mesti aku buat? Apa kata Shahrani nanti?

    “Doktor, kenapa jadi begini?” tanyaku sambil menyekang air mata. Aku suntik rubela, aku tak merokok, aku baru 25 tahun... tak terlalu tua atau terlalu muda untuk mengandung. Keluarga sebelah Shahrani tiada yang begini, apa lagi sebelah aku.

    “Semasa kandungan puan tiga bulan, janin puan kekurangan oksigen,” ujar Dr. Sindhu dengan tenangnya.

    Sepintas lalu aku digoda syaitan: GUGURKAN!! Tetapi dia anakku, tetap anakku.

    “Mongolisme?” tanyaku, apabila aku mula stabil. “Kes puan tak sama dengan Mongolisme atau Sindrom Down tu. “Anak puan cuma kekurangan oksigen semasa pertumbuhan otaknya, bukan kelainan genetik,” tegas doktor yang separuh umur tu dalam bahasa Melayu yang baik.

    Sejak itu aku tidak lalu makan dan minum. Tuhan, apa dosaku? Apakah dosa kami? Aku begitu lemah untuk menerima ujian-Mu. Maha Suci Allah, berilah hamba-Mu sedikit kekuatan. Janganlah apa yang dinyatakan oleh Dr. Sindhu itu menjadi kenyataan.

    Kemudian Shahrani mula bertanya kenapa aku nampak murung dan kurang berselera makan sebulan dua ni. Shahrani tahu aku memang kuat makan. Dulu, semasa mengandungkan si kembar Zaid – Farhanah, aku tidak seperti sekarang, kuat berjenaka dan sentiasa gembira.

    “Jangan monyok nanti ‘baby’ tak comel.”
    Aku diam.
    “Kenapa Zarina?”
    Shahrani menghampiriku.
    “Za... takut nak beranak,” kataku, memecah kesunyian malam.

    Shahrani menutup siaran TV dengan ‘remote control’ di tangannya. Tayangan larut malam ditinggalkan. Dia mengalih pandangannya kepadaku.

    “Tapi, ini bukannya kali pertama.” Shahrani cuba meyakinkan. “Dulu kan Za tak pernah mengadu takut atau sakit,” sambungnya lagi.

    Aku meraba perut yang semakin gendut, sudah masuk enam bulan. Sudah berbahaya untuk digugurkan. Dan demi Allah aku tidak sanggup berpisah dengan anakku. Biarlah bagaimana sekalipun dia.

    “Za takut kalau Za mati... nasib anak ini.” Aku menangis.
    “Berterus teranglah Zarina, kenapa?”

    Shahrani memang tak suka berteka-teki. Itulah sikapnya sejak di USM lagi. “Kenapa Za?” Ulang Shahrani lagi.

    Shahrani memang sibuk dengan kerja-kerja sekolahnya. Sebagai guru yang belum disahkan dan baru ditugaskan di Kuching ni, bebanan dan tekanan kerjanya amat aku faham. Berbeza dengan aku yang bertugas sebagai juruanalisa sistem di Jabatan Perangkaan, pukul 4.15 petang habislah kerjaku.

    Kini Shahrani kurang memberi perhatian kepadaku, berbanding ketika pertama kali aku mengandung dulu. Namun begitu dia tidak pernah mengabaikan tugasnya sebagai ayah Zaid dan Hanah, juga sebagai suami Puan Zarina. Itu aku tahu, itu aku pasti.

    Aku masih diam. Shahrani merenungku dan inginkan kepastian.
    “Abang... mungkin ada masalah dengan bayi kita ni. Fungsi otaknya lambat. Mungkin cacat.”
    “Zarina!” cuma itu yang terpacul di bibir Shahrani. Dalam remang-remang lampu tidur, aku nampak betapa pucatnya dia.

    Sunyi. Cuma detik-detik jam yang kedengaran. Sesekali Farhanah yang lasak, menendang perut adik kembarnya. Aku membetulkan letak selimut mereka semula.

    Dulu, tiga tahun yang lalu, apabila aku mencanangkan tentang kehadiran anak pertama kami... kembar, pucat Shahrani berbeza sekali. Shahrani cuma risaukan kesihatan aku. Dia bimbangkan pengajian kami. Maklumlah masing-masing baru tahun dua di universiti. Dia meragui bagaimana kami boleh mengurus dua bayi sekali gus. Bagaimanapun kerisauannya tidak lama. Apabila nampak saja si kembar kami yang comel, letihnya tidak terasa. Namun yang lebih menyeronokkan, kami ‘graduate’ seperti orang lain juga. Dan Shahrani lebih beruntung, kerana mendapat ‘second class upper’ manakala aku sendiri terpaksa berpuas hati dengan ‘second class lower’ dalam bidang komputer.

    “Zarina, ‘dia’ anak kita, lambang kasih kita ‘dia’ berhak melihat dunia. ‘Dia’ berhak mendapat kasih sayang daripada kita seperti abang dan kakaknya. Lagipun itu kan sekadar ramalan doktor, berdoalah,” kata Shahrani setelah lama membisu, dengan susunan ayat seperti dalam drama Melayu.
    Maklumlah, orang guru bahasa! Mungkinkah kata-katanya itu sekadar untuk menenangkan aku atau benar-benar ikhlas? Ah, aku masih gagal untuk menyelami hati Shahrani.

    Beberapa hari kemudian aku nampak dia sudah mula berubah. Dia tidak seriang dulu lagi. Dia tidak lagi mengajak Zaid dan Farhanah yang baru berusia dua tahun tu memekap telinga ke perut ku dan mendengar gerak ‘baby’.

    Dulu, walaupun dengan duit biasiswa, Shahrani mampu berjimat untuk membeli pakaian dan peralatan anaknya. Sekarang, walaupun sudah bergaji, dia langsung tidak ambil pusing untuk membeli belah. Aku menunggu-nunggu bila Shahrani akan mengajak aku ‘shopping’ tetapi sampai ke bulan sembilan, Shahrani masih begitu. Mana Shahrani yang dulu? Sepatutnya, dalam saat begini dia perlu memberi aku kekuatan bukannya, tekaan.

    Hari itu, selepas berjemaah subuh, aku akan mengajak Shahrani ke Ngiu Kee,
    “Za gunalah lampin Zaid dan Farhanah, kan masih elok, masih banyak, buat apa membazir.”
    Bila pula Shahrani menjadi seorang ayah yang pandai berjimat cermat untuk anak-anaknya?

    Shahrani meneruskan tidurnya. Aku menelefon Sheila, mengajaknya berbelanja.

    * * * * *

    Dua hari selepas itu, aku melahirkan Zeti. Aku berhenti kerja kemudiannya, semata-mata kerana anak-anakku dan terutamanya untuk Zeti. Aku tidak sanggup melihat Zeti dipersendakan sepanjang hayatnya. Untuk meletakkannya di pusat jagaan pun aku tak sanggup. Aku sangat prejudis. Shahrani yang membentuk sikapku begitu. Pada pandanganku, kalau ayah sendiri pun kurang mengendahkannya, inikan pula pekerja di pusat jagaan anak-anak.

    Dr. Sindhu meyakinkan aku, Zeti boleh dipulihkan jika mendapat pendidikan sempurna di peringkat tiga tahun pertamanya. Kata-katanya terbukti apabila akhirnya Zeti boleh berjalan ketika berusia lebih dua tahun. Aku sungguh bersyukur, walaupun dalam hatiku terasa ‘tamak’ mahukan lebih dari itu.

    Tapi Shahrani masih begitu. Aku tidak menyalahkan Shahrani dalam hal ini. Bukan dia tidak mengendahkan Zeti langsung. Dia telah menjalankan tanggung jawabnya sebagai ayah. Dia menyematkan namanya bersama nama Zeti; Zeti binti Shahrani. Dia yang mengiqamat Zeti. Dia menanam uri anaknya, juga menyalin lampin Zeti di waktu malam kalau aku pura-pura tak sedar. Dan aku pernah melihat sesekali, walaupun amat jarang, dia mencuri cium Zeti serta mengusap ubun-ubun anaknya. Meskipun kasihnya kepada Zeti mungkin tidak semurni kasihnya kepada Zaid dan Farhanah, namun aku sudah amat bersyukur. Lagipun layakkah aku menilai hati budi suamiku. Apa yang tersembunyi di lubuk hatinya, Allah jualah yang Maha Mengetahui.

    Mungkin sikap ibu mentuaku membuat dia tertekan. Sikap saudara maranya membuat dia malu memiliki anak seperti Zeti. Aku terluka setiap kali Zeti dipandang rendah, apabila pulang ke kampung Shahrani di Muar. Anak kak long dan acik yang lebih muda daripada Zeti sudah bolah mengeja, sudah boleh membilang, sudah boleh mewarna. Sedangkan Zeti untuk menyebut perkataan ‘nenek’ pun susah. Bukan aku tak ajar, bukan Shahrani tak latih. Malah berbuih mulut Zaid mengajarnya sepanjang penerbangan dari Kuching ke Johor, namun dia masih gagap. Dalam kamus hidupnya cuma ada mak, ‘nenen’ (lapar), ‘babang’ (abang), ‘baby’, ‘nak boom’ (tidur) dan ‘yayah’ (ayah).

    “Mak.”
    Zeti memelukku. Aku terkejut daripada peristiwa silam yang tak pernah hapus dari ingatan. Setiap kali aku cuba melupakan, selagi itulah ia menghambatku, memaksaku menerima realiti hidup. Selama hampir enam tahun ini aku menjadi guru, kawan dan ibu pada Zeti, dan selama itulah aku menyimpan segala tangisan sendirian. Aku cuba menonjolkan segala kesabaran dan menahan rasa marah serta kecewa, pada mereka yang menyakiti Zeti. Termasuk Shahrani?

    Aku mencium Zeti berulang kali. Zeti sungguh comel. Matanya agak sepet berbanding mata aku maupun Shahrani yang berdarah Cina tu. Rambutnya hitam berkilat dan kulitnya putih kemerah-merahan. Namun apabila ditenung, masih ketara wajah istimewanya – seakan-akan kanak-kanak yang kena Monggolisme.

    Sepintas lalu, apa yang diajar oleh Mr. Wong, pensyarah Biologiku, ketika di kelas Matrikulasi sepuluh tahun dulu; tentang penyakit bawaan genetik timbul di fikiranku. Tetapi Zeti bukannya pesakit Monggolisme atau sindrom Down tu, yang berpunca daripada konstitusi genetik seperti yang didakwa oleh saudara dan kenalan kami tu! Zeti tidak mempunyai trisomi kromosom 21 dalam badannya seperti pesakit sindrom itu. Cuma minda Zeti yang lambat bertindak.

    Shahrani selalu melarang aku melebihkan Zeti. Alasannya, nanti Zeti terlalu bergantung. Shahrani mungkin betul, tapi aku tak berdaya untuk TIDAK melindungi Zeti. Zeti adalah sebahagian daripada nyawaku.

    Aku melepaskan pelukan Zeti apabila hon Cikgu Siti Maria berbunyi. Zeti menerpa ke beranda. Zeti melompat-lompat riang melihat Zaid dan Farhanah keluar dari perut kereta Ford Laser biru metalik. Aku cepat-cepat membuka pintu pagar dan mengunci semula. Sejak ‘Sandy’ arnab kesayangan kami mati dilanggar lori seminggu dulu, Shahrani ‘menggubal undang-undang’. Cuma aku dan Shahrani saja boleh membuka pintu pagar. Siapa buka dia mesti menguncinya semula.

    Aku membiarkan Zaid, Farhanah dan Zeti melambai Cikgu Siti Maria. Zaid mencium aku dan Zeti bertalu-talu... seperti biasa. Sementara Farhanah cuma bersalam dan mencium tanganku, lalu terus ke dapur tanpa menoleh ke arah Zeti, walaupun Zeti tolong menyimpan kasut sekolah Farhanah di rak. Farhanah sentiasa saja mencari fasal supaya Zeti dimarahi Shahrani. Mungkin dia cemburu melihat aku selalu melebihkan Zeti.

    “Mak masak apa hari ni,” tanya Farhanah.
    Aku mengekorinya dari belakang. Farhanah membuka tudung saji.
    “Mak, Hanah malulah hari ini,”
    Kenapa sayang?”

    * * * * *

    Aku menyenduk nasi ke pinggan Farhanah. Biasanya, anak-anak makan tengah hari tanpa Shahrani. Dia jarang balik untuk makan. Musim-musim hampir peperiksaan begini, dia selalu buat kelas tambahan. Shahrani malas untuk berasak-asak di jalan dan kemudiannya ke sekolah semula. Bagaimanapun minum petang dan makan malam bersama keluarga menjadi kemestian bagi Shahrani.

    “Zaid, makan... ajak Zeti sekali,” jeritku.
    Zaid dan Zeti berlari ke dapur.
    “Zaid, kan mak kata... makanan ringan macam tu tak elok dimakan,” kataku, sambil mengambil bungkusan keropok berperisa tiruan dari tangan Zeti.
    Hairan sungguh, kenapa pihak sekolah masih membenarkan penjualan makanan seumpama ini.
    Zeti menangis.
    “Nanti abang beli yang lain ye,” pujuk Zaid.
    Zeti memang cepat diam apabila Zaid yang memujuknya.

    Zaid membasuh tangan. Kemudian mendukung Zeti ke sinki.
    “Zeti dah semakin gemuk, mak. Tak kuasa Zaid nak dukung dia lagi,” katanya.
    “Bukan gemuk tapi Zaid tak kuat lagi sebab suka makan ‘junk food’. Tengok makanan yang mak bekalkan selalu tak habis,” leterku, sambil membuang baki mihun goreng ke dalam bekas sampah.

    “Zaid cuma belikan untuk Zeti, kasihan dia mak duduk rumah sorang-sorang. Kalau kami pergi jalan dengan ayah... ayah selalu tak nak bawa Zeti.”
    Hatiku tersentuh lagi. Kadang-kadang aku rasa nak lari bersama Zeti entah ke mana. Tapi rasa itu tinggal rasa, ia sebentar cuma. Aku tidak pernah berani menjelmakannya dalam perbuatan. Tawa, nangis Zaid dan Farhahah merantai niatku. Ketaatku pada Shahrani menghapuskan keinginan bodohku.

    “Cepat makan, nanti nak pergi mengaji al-Quran pula,” perintahku.
    Mataku tertumpu kepada Farhanah.
    “Hanah, kenapa?”
    “Apa yang Hanah nak cerita pada emak tadi?”
    Aku mendekati Farhanah. Ayam goreng halia kesukaannya tidak disentuh lagi.

    “Kakak merajuk mak, tadi dia kena tegur dengan ustazah,” cerita Zaid dengan mulut penuh.
    Aku melarang anak-anak bercakap dengan makanan penuh di mulut, tapi tidak hari ini. Rasa ingin tahuku meluap-luap.

    “Hari ini kami belajar jangan menghina orang cacat. Zaid tanyalah ustazah, kalau orang sakit seperti Zeti tu, cacat ke? Ustazah kata ya. Kakak marah Zaid mak, kerana semua kawannya tahu Zeti cacat. Kakak kata dia malu ada adik macam Zeti. Dia terus marah-marah Zaid sampai masa balik. Ustazah dapat tahu, ustazah pun tegur perangai kakak.”

    Panjang betul cerita Zaid sampai termengah-mengah. Zeti pula asyik ketawa setiap kali namanya disebut. Farhanah tunduk. Kemudian lari ke biliknya.
    “Zaid, lepas makan kemaskan meja. Zeti tidur, arahku.” Aku terus ke bilik Farhanah.

    “Mak, boleh tak Farhanah tak pergi mengaji hari ini. Nina dan Rahani tentu tunggu nak ejek Hanah.”
    Aku diam.
    “Mereka kan kawan baik Hanah, tak kan mereka bersikap begitu.”
    “Dulu kami semua tak kawan dengan Yati sebab bapanya tempang,” katanya ‘ikhlas’ tetapi menyakiti hatiku.
    Apa yang tak kena dengan Farhanah ni, rungut hatiku.

    “Hanah, siapa yang menjadikan Hanah?”
    “Allah.”
    “Siapa yang menjadikan adik?”
    “Tentu Allah, mak.”
    “Adik bukan nak sakit begitu, kalau kita hina adik, maknanya kita juga menghina Penciptanya.”

    Farhanah diam. Aku harap dia mengerti. Rasanya kata-kataku tidak terlalu susah untuk difahami oleh murid darjah dua. Farhanah memeluk aku. Dia menangis dan aku tergores. Jauh di sudut hatiku aku berdoa semoga Allah membuka hati Farhahah dan Sharani untuk menerima kehadiran Zeti dengan sewajarnya.

    Jam lima petang, Shahrani pulang dengan muka berseri-seri.
    “Abang dapat jadi pensyarah maktab, kita akan berpindah ke Batu Rakit.”
    Aku sedih. Bukan sebab aku tidak suka ke Terengganu. Memang aku mengharapkan untuk pulang ke Semenanjung setelah lama di rantau orang. Terengganu dekat saja dengan kampung aku di Kelantan. Tapi aku kasihan pada Zeti. Di sini kami sudah ada kumpulan untuk membantu ‘anak-anak istimewa’. Ada doktor pakar yang mengendalikan projek terapi itu. Zeti sudah ada ramai kawan; Shery, Andri, Flora dan Sharifah Akhtar serta Tiing Ing.

    Kelas tiga kali seminggu itu telah menunjukkan perubahan pada Sheri dan Flora. Setelah hampir setahun ke situ, aku dapat rasakan Zeti juga sudah mula menunjukkan sikap positif. Aku yakin pengorbanan dan usahaku selama ini akan diberkati Allah. Kini aku mengajar tuisyen komputer dua kali seminggu semata-mata untuk membiayai kelas pemulihan itu. Aku tak mahu Shahrani ‘membazir’ wangnya untuk Zeti. Untuk bekerja semula selepas lima tahun berhenti, syarikat mana yang akan mengambilku....

    “Kenapa Za?”
    “Zeti,” kataku.
    “Tak usah ajar lebih-lebih, tak ke mana dia.”

    * * * * *

    Aku terperanjat dengan kata-kata Shahrani. Sampai hati. Aku tak pernah mengharapkan Zeti jadi doktor, akauntan, ahli sains... seperti yang selalu ditanam oleh Shahrani kepada Farhanah dan Zaid. Memadailah kalau Zeti boleh membaca dan berdikari. Supaya dia tidak menyusahkan sesiapa apabila kami sudah tidak ada lagi. Dan yang paling penting, supaya dia tidak mudah diperdaya apabila besar dia nanti.

    Sungguh tak kusangka, seorang bakal pensyarah yang ‘mastered’ dalam bidang psikologi berkata begitu. Aku faham, Sharani begitu ‘excited’ dapat jadi pensyarah sesudah bertahun-tahun menjadi guru biasa. Setelah penat belajar dan membuat ‘research’ untuk ijazah sarjananya, tentulah tawaran ini amat bererti baginya.

    Malah aku juga bertahun-tahun menjadi guru Zeti, tapi aku tidak pernah jemu, tidak pernah mengalah dan tidak pernah merungut. Kalau semua guru hanya hendak mengajar murid yang pandai, murid yang sempurna, siapa yang akan mengajar orang seperti Zeti. Aku menarik muka masam.

    Aku cepat-cepat menuang air ke dalam cawan Shahrani, aku hulurkan piring berisi lepat pisang tanpa menoleh ke arahnya. Aku masih marah. Aku mengangkat cawan Zaid dan Farhanah yang telah kosong ke singki.
    “Zeti mana,” taya Shahrani, apabila melihat ‘mug’ Zeti masih penuh berisi susu. Mungkin nak mengambil hatiku.

    Aku terus membawa ‘mug’ Zeti ke halaman. Zaid dan Farhanah asyik main kereta mainan. Zeti di tepi pintu pagar melonjak gembira melihat kereta merah zaid memotong kereta biru Farhanah. Fahamkan Zeti? Zeti melambaiku. Aku membalas lambaiannya sambil menunjukkan ‘mug’ gambar Mickey Mouse. Zeti menggeleng. Shahrani menghampiriku.

    “’Sorry’. Za pun tahu tahu betapa jawatan ini telah lama abang tunggu-tunggukan.” Aku senyum. Marahku memang cepat reda.

    “Ayah, tolong main untuk Hanah. Dah tiga kali Zaid menang,” kata Hanah sambil menyerahkan ‘remote control’ ke tangan ayahnya. Mujurlah halaman rumah kami cukup luas untuk anak-anak bermain. Mereka jarang merengek hendak ke padang permainan atau ke Pantai Damai. Cuma yang membuat aku tak selesa dengan rumah kembar dua tingkat ni – tak ada ‘privacy’.

    Halamannya menghala ke jalan utama. Dan kadang-kadang lori, bas sekolah dan motosikal ‘rugged’ bergerak bebas di lorong sempit di hadapan rumah kami. Kami memang bercadang nak sewa rumah yang lain.

    Shahrani menyambung permainan Hanah. Dia pun jadi macam budak-budak, terjerit-jerit seperti Hanah dan Zaid. Zeti masih menyebelahi abangnya. Aku turut memberi sokongan kepada Zaid. Zaid memang cekap. Shahrani pun mudah dikalahkannya. Setiap kali kereta Zaid sampai ke garisan penamat, Zeti melonjak gembira.

    “Menang, abang menang, ayah kalah,” jerit Zeti tiba-tiba.
    Fasih. Aku kaget. Zaid terpegun. Shahrani terkejut. Farhanah terpinga-pinga. Kereta biru kepunyaan Farhanah terlepas daripada kawalan Shahrani – terus menyusup melalui jaring-jaring jarang bawah pintu pagar. Zeti menolak pintu pagar dan cuba menangkap kereta mainan Kak Farhanahnya – dia cuma mengambil hati ayahnya, seperti selalu.

    Zeti juga terlalu ingin menyentuh kereta mainan kakaknya. Inilah peluangnya, kerana Farhanah selalu mencubit Zeti setiap kali Zeti cuba memegang kereta tersebut.

    “Ini kakak punya, nenek Muar yang kasi. Zeti tak tak boleh main.”

    Zeti terus meluru ke jalan sempit mengikut laju kereta mainan berlari. Dalam sekelip mata, sebuah motosikal laju membelahnya tiba-tiba. Darah memancut. Shahrani menjerit dan berlari ke arah anaknya. Nadi Zeti mula lemah, penunggang motosikal lari entah ke mana.

    Zaid meraung sambil meluru ke arah ayahnya yang sedang memangku Zeti. Farhanah menyesal tak benarkan Zeti bermain tadi. Dan aku tak tahu Shahrani menyesal kerana apa?

    Setelah bertahun-tahun aku tabah seorang diri. Kini ketabahanku sampai ke penghujungnya. Cuma Shahrani yang agaknya, baru diuji. Membawa berita gembira sehingga lupa mengunci pintu pagar.

    Aku memeluk Zaid dan Farhanah. Shahrani memeluk erat Zeti dan mengendong Zeti yang telah berlumuran darah. Matanya berair, mataku banjir. Merah darah Zeti mewarnakan kemeja putih bakal seorang pensyarah – hatiku terus membengkak pada ‘penggubal undang-undang pintu’. Zeti kaku buat selamanya dalam pelukan ayahnya.

    TAMAT



    Cerpen ini ditulis sekitar November 1992 dan memenangi tempat kedua dalam sayembara menulis sempena hari guru peringkat negeri Sarawak 1993 di Kuching. Cerpen ini kemudiannya diantologikan dalam CIKGU VI. Idea untuk menulis bermula apabila menonton sebuah dokumentri dalam TV1 tentang anak-anak istimewa (tetapi bukannya, sindrom Down).

    #petikan cerpen ini adalah edisi yang belum edit.

    Posted at 12:08 pm by noorsoraya
    Comments (6)  

    Monday, May 23, 2005
    SURAT CINTA DARI LEMBAH KUNDASANG

    oleh: Noor Suraya

    "Posting di mana, Iffah?”
    Tanya mama sebaik sahaja aku membuka surat ‘Urusan Seri Paduka Baginda’.
    “Haah, Sabah!” Jeritku, apabila membaca isi surat yang telah lama aku tunggu-tunggu.
    “Baguslah. Tahniah”
    “Mama,” jeritku lagi.

    Mama memang tidak sayang kepadaku lagi. Mama sengaja tidak mahu menolong. Mama bukannya tak kenal dengan orang di Kementerian Pendidikan (KP) tu. Kebanyakan mereka kawan-kawan arwah ayah. Lagipun mama sendiri pernah menjadi guru besar sebelum bersara pilihan. Hubungannya dengan orang-orang KP memang cukup baik.

    “Iffah sudah besar, tak perlu duduk di bawah ketiak mama lagi.” Pujuk mama, setiap kali aku merayunya agar minta tolong daripada Pakcik Hamdan, kenalan baik ayah yang bekerja di KP tu. Tetapi mama buat endah tak endah aja. Aku geram sungguh. Entah-entah mama pun bersubahat sama; menyuruh mereka hantar aku ke negeri Bawah Bayu tu. Kata mama kita harus cari pengalaman jauh-jauh dulu sebelum menetap di kampung halaman. Pengalaman sesuatu yang amat berharga. Mama, sudah hilangkah seluruh rasa simpatimu kepadaku!

    Aku hairan juga.... Aku bukan tak usaha supaya dapat mengajar di KL ni. Semua kaedah telah aku cuba. Yang aku tidak buat, cuma jumpa bomoh dan amalkan jampi serapah saja. Minggu lalu aku telefon kawan-kawan yang kerja kat KP – tapi yalah, mereka tu baru sahaja bekerja di situ – apalah yang dapat mereka tolong.

    Aku telah dapatkan surat akuan doktor, kononnya aku masih menderita asthma (sebenarnya telah bertahun aku pulih) Cuma rekod-rekod lamaku membuat doktor percaya dan bersedia memberi surat sokongan. Kalau mama tahu, mampus. Dan yang paling penting, aku talah pun jumpa ahli politik, Dato’ Khalid -- bapa temanku, Khairani. Y.B tu sudah berjanji hendak membantu. Yani tu kan kawan baik aku semasa buat KPLI di Maktab Perguruan Sultan Abdul Halim, Sungai Petani. Jadi tiada sebab bagi bapanya untuk menghampakan permintaan aku yang ‘sungguh mudah’ ni. Aku sebenarnya nyaris-nyaris hendak jumpa Pak Menteri (kalau tak Wan Faezah yang sabarkan).

    -- Hushh, macamlah masalah kau tu masalah negara. Bill Clinton pun dapat selesaikan masalah peribadinya sendiri. Sedangkan kau terpaksa bergantung kepada politician untuk isu remeh-temeh ... malu, eh – perli Wan Faezah.

    Haah, rasa bagai tak percaya... SABAH, keluhku lagi. Tidak mengapa, hari Isnin ini aku rayu lagi. Kalau telefon sekarang ni pun, tak siapa nak layan cakap aku. Aku faham sangat; tengah hari Sabtu begini, orang pejabat cuma takut traffic jam. Yang perempuannya pula tidak sabar-sabar hendak pulang kerana takut miss Panggung Sabtu.

    * * * * *

    Iffah menghirup bayu segar pertengahan bulan Julai yang tak malu-malu menyusup melalui jendela kaca yang terbentang luas. Dingin malam menggamit rindu Iffah kepada mamanya. Walaupun sudah lebih sebulan di sini, Iffah masih homesick. Tidakkah Suzana dan Faezah alami seperti mana yang aku rasai?

    “Tak adil!” Kata Iffah, tiba-tiba.
    “Kenapa?” Tanya Suzana, yang sibuk menyiapkan ringkasan mengajarnya di tengah rumah.
    “Mereka tempatkan aku di sini,” kata Iffah
    “Aku seronok,” kata Suzana, yang telah setahun di sini.
    Iffah mencebik bibirnya. Dia mengalih pandangannya ke arah langit tanpa bulan dan bintang. Malam ini mungkin hujan lagi, jangkanya.
    Iffah kemudian menutup kaca jendela. Angin sejuk dari lembah Kundasang meresap masuk dalam badannya walaupun sudah berbalut baju tebal.

    Iffah mula terkenang mama yang tinggal keseorangan di KL. Dulu semasa di maktab, walaupun jauh ke utara ... sebulan sekali dia pasti balik menjenguk mama. Selang sehari, pasti dia menelefon mama walaupun untuk seminit dua. Paling tidak, seminggu sekali mengirim surat atau poskad untuk mamanya. Tapi kini mereka terpisah beribu-ribu batu melintasi laut luas. Iffah sudah tak mampu balik.... Apatah lagi nak telefon selalu. Kalau berkirim surat pula, paling cepat lapan hari pergi balik, itu pun kalau mama tidak peram surat tu... mama, Iffah amat rindu pada mama.

    “Eh, Iffah ... jangan asyik temenung-menung saja. Dah siap ringkasan mengajar kau tu,” tanya Faezah.
    Faezah bimbang, guru Penolong Kanan mereka sungguh tegas. Nanti Iffah kena dera jiwa pula.

    “Aku tak suka tinggal di sini, Faezah,” bisik Iffah perlahan.
    Faezah cuma tersenyum. Dia masih ingat, dulu pun Iffah mengamuk sakan apabila dia dihantar berkursus ke Maktab Perguruan di Kedah.
    -- Kat KL ni ada dua tiga buah maktab, tak kan tak muat aku seorang -- marahnya.

    Kemudian apabila Iffah mula aktif berpersatuan dan gila sukan, dia mula sayangkan MPSAH. Ketika mereka hendak berpisah di semester akhir dulu, Iffah yang menangis lebih.
    -- Katanya, kenapa ye kursus KPLI pendek sangat! Orang buatlah dua tiga tahun – keluh Iffah.
    -- Mengarut betullah kau Iffah -- jerit Kak Zaleha yang tak sabar-sabar balik ke Terengganu.
    Kursus itu memang membebankan Kak Leha yang berpisah jauh dengan anak dan suami. Kalau boleh Kak Zaleha nak buat kursus Dip Ed ini melalui gaya pos sahaja. Pelik betul si Iffah ni!
    Sekarang Faezahh pasti; Iffah cuma perlukan masa untuk menyesuaikan diri, silap-silap dia akan terus menetap di sini, siapa tahu?

    “Menyesal aku buat major Pengajian Melayu ni, kalau tak, tentu aku tak dihantar ke ulu ni,” rungut Iffah lagi.
    Suzana cuma senyum sinis setiap kali mendengar leteran dan rungutan Iffah. Kedua-dua mereka bersahabat karib sejak sekolah rendah lagi. Kehadiran Suzana tentu saja menggembirakan Iffah. Tidaklah Iffah rasa keseorangan di sini. Kalau tidak tentulah banjir kaki Gunung Kinabalu ni dengan air mata Iffah. Suzana ketawa sendiri. Manja betul si Iffah ni. Perangainya tak pernah berubah sejak dahulu.

    Suzana lulusan TESL dari UPM, jadi sebaik sahaja graduated dia ditempatkan di Lembah Kundasang ini. Sementara Iffah pula menghabiskan tiga tahun di Fakulti Ekonomi & Pentadbiran, Universiti Malaya. Kemudian Iffah bekerja sebagai pegawai SKS di Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri sebelum membuat kursus KPLI. Kebetulan pula di Sabah ini mereka ditemukan sekali lagi. Cuma mereka tidak mengajar di sekolah yang sama sahaja. Tuhan sahaja tahu betapa seronoknya Suzana dapat serumah dengan Iffah.

    Di rumah lima bilik ini, mereka tinggal berempat. Suzana, Wan Faezah, Juriffah dan Widuri. Widuri anak jati Sabah keturunan Bajau itu berasal dari Kota Marudu. Gadis kecil molek tu mengajar sesekolah dengan Suzana. Suzanalah yang pelawa Iffah dan Faezah berkongsi rumah dengannya, sebaik sahaja dapat tahu mereka akan ditempatkan di KK. Rasanya kalau tak dipelawa pun, Iffah memang tak perlu malu –malu nak tumpang Suzana. Lagipun bukan senang nak dapatkan rumah sewa sekarang. Lainlah kalau posting bulan dua belas.

    Iffah mengeluh lagi. Dari dulu, hajatnya untuk menjadi guru cuma satu – supaya dapat bertugas berhampiran dengan tempat kelahirannya (agar dekat dengan mamanya) – bukannya terpisah jauh ke sini. Titik.

    Mama ketawa besar apabila Iffah cerita fasal dia dimarahi pegawai pendidikan sebelum ke Sabah:
    - Kalau tak mau pergi, tak mengapa. Ramai lagi yang belum diposting, mereka tu boleh ganti awak. Awak duduk-duduklah di rumah. Kami tak kuasa nak layan orang seperti awak. Oh, satu lagi ... jangan lupa bayar balik penalti RM 40,000 tu. Tapi kalau nak tinggal di Semenanjung juga ... ke Ulu Tembeling bolehlah. Tapi sayang, kursus awak untuk peringkat sekolah menengah – sambungnya lagi dengan nada perli.
    Geram sungguh hati Iffah diperli-perli begitu. Akhirnya, mahu tak mahu Iffah telah di sini.

    “Alah tiga empat tahun bukannya lama sangat, pejam-celik... pejam-celik, dah boleh minta balik Semenanjung,” pujuk Widuri, yang tahu apa yang tersirat di hati Iffah.
    “Wiwi bolehlah cakap begitu. Keluarga Wiwi semua ada di sini. Kundasang dengan Marudu bukannya jauh sangat. Tambang bas berapa ringgit baru,” sahut Iffah.
    Mata Iffah berair sedih.

    “Bagi aku, empat tahun itu lama. Macam-macam boleh jadi. Bagaimana kalau ada saudara mara yang sakit atau meninggal? Bukannya boleh balik segera. Masalah kewangan pula satu hal. Tiket pula satu hal. Tengok ni, tiket kapal terbang untuk balik cuti bulan November sudah habis bertempah ... sedangkan cuti pertengahan bulan Ogos pun, belum tiba lagi.” Kata Iffah sambil memandang Widuri.
    “Dah la tu, harga tiket pula telah naik. Cikgu macam aku ni berapalah sangat gaji sebulan. Kita bukan ada banyak elaun seperti guru-guru dulu. Nak harapkan elaun wilayah, Wiwi pun dapat. Kita tak ada apa-apa keistimewaan di sini ... kos hidup di sini, mengalahkan kat KL.” Ujar Iffah sepuas hati.

    “Hushh, sudah pandai mengkritik. Oh, nak reformasi la ni,” balas Wiwi dengan nada mengusik.
    “Bersabarlah Iffah, dulu masa kita belajar, guna duit rakyat ... sekaranglah masanya untuk berbakti. Bukannya boleh memilih tempat. Itu pun nasib kita tak kena ke pedalaman Kuala Penyu ke ataupun Long ... Long apa-apa,” kata Suzana, macam ahli politik.

    “Kau cakap senang Zana, buah hati kau pun mengajar kat sini,” balas Iffah, pedas.
    Memanglah betul kata Suzana, kami yang lepasan ijazah ni lebih bertuah dapat mengajar dalam bandar. Aku bukannya tak pernah dengar cerita, ada guru yang tak dapat sembahyang Jumaat bertahun-tahun kerana masyarakat setempatnya, tiada yang Islam ataupun tak cukup jemaah empat puluh orang. Ada juga yang tak pernah nampak ‘rupa’ ayam, daging dan ikan. Mereka cuma makan ikan sardin dan barangan tin yang dibeli sebulan sekali apabila ke bandar.

    “Belajarlah mengenali masyarakat di sini, kata pujangga tak kenal maka tak sayang,” pujuk Widuri.
    “Iffah kan calon pelatih terbaik di maktab kita ... tak kan macam ni sikap orang cemerlang?” Perli Faezah pula.
    Iffah menarik muka.
    “Itulah masa dekat U jual mahal. Sombong. Kat maktab pula tolak lamaran pensyarah, jika tidak ...tak perlulah membuang air mata di sini,” perli Faezah, yang kenal Iffah sejak dari UM lagi.
    Iffah menarik muka lagi dan terus masuk ke biliknya.

    * * * * *

    Hujung minggu ini Iffah terpaksa membawa ahli-ahli Kelab Sains dan Reka Cipta ke pameran sains anjuran mahasiswa Universiti Malaya di Dewan Maktab Gaya. Iffah memang malas nak ke mana-mana kalau hujung minggu. Dia lebih senang memerap di bilik sahaja. Tetapi hari ini dia tiada pilihan, Cikgu Awang Amit minta Iffah jadi guru pengiring. Ya lah, hari ini anak sulung Cikgu Awang akan bertolak ke Australia, jadi Iffah tiada sebab yang kukuh untuk menolak permintaan cikgu separuh umur tu. Lalu di rasanya masa terasa lambat beredar.

    Entah kenapa hatinya asyik berdebar saja sejak dari tadi. Tiba-tiba Iffah jadi risau dan mata kirinya berkedip-kedip, tanpa sebab. Hah, jangan percaya semua perkara khurafat begitu!
    Tiba-tiba mata Iffah terpaku memerhati jejaka di depanku. Dia?

    Malaysia ni rupanya bukannya besar mana, elak punya elak rupa-rupanya kini musuh ketatnya berdiri betul-betul di hadapannya. Iffah jadi gugup dan terus kaku.
    Siapa ya, namanya? Yang pasti mereka pernah sesekolah, masa itu Iffah dan Suzana baru di tingkatan satu dan monster ni di tingkatan lima sains. Dia sering memanggil nama aku sebagai Zirafah. Meluat!

    Dia tidak banyak berubah berbanding berbelas-belas tahun dulu. Cuma sekarang dia lebih tinggi dan agak cerah. Mungkin cuaca sejuk Kundasang membuat kulitnya begitu. Terang-terang aku mengaku dia kelihatan matang dan tampak lebih kacak dan bergaya daripada dahulu. Yang hanya tersisa mungkin sifat angkuhnya.

    “Apa khabar, Cikgu Juriffah Haqim?” Katanya sopan.
    Ciss, dia masih ingat nama aku, rupanya. Aku cuma mampu membisu. Benci.

    Aku masih ingat peristiwa lama zaman sekolah dulu. Dia kan pengawas di sekolah kami ketika itu. Dia memang suka cari fasal dengan aku. Nama aku selalu sahaja terpampang di notis disiplin sekolah. Dia memang tegas tak bertempat. Yang membuat aku sungguh-sungguh benci kepadanya, selepas itu si monster ni cuba berbaik-baik pula denganku. Ada ke selepas itu dia hendak aku jadi adik angkatnya.

    -- Saya tak perlu abang angkat ke, abang baling ke ataupun abang lambung -- Jawabku sombong dan kemudian ketawa besar.
    Seronok betul aku melihat wajahnya merah padam menahan malu di depan kawan-kawannya.

    Mujurlah, selepas SPM dia ke maktab perguruan. Dengar khabar ‘ayam tambatan’ sekolah tu, kecewa kerana gagal mendapat pangkat satu. Jadi di tahun-tahun berikutnya, aku tidak pernah melihat lagi mahupun mendengar khabar tentang musuh ketatku. Ciss, tiba-tiba mereka ditemukan di sini.

    Iffah cuma berdiri di depan dewan tak berganjak. Dia rasa sungguh gugup. Setelah mereka terpisah agak jauh dari pelajar-pelajar, si monster tu bersuara lagi.
    “Juriffah masih garang dan degil seperti dulu juga,” katanya.
    Siapa dia, hah ... hendak menilai aku? Aduh, kenapa aku tidak berani bergaduh seperti dulu lagi. Kenapa mulut ini tiba-tiba terkunci?

    Iffah rasa nak balik cepat-cepat. Kepalanya terasa berdenyut-denyut. Petang minggu ni sungguh malang bagi Iffah.

    * * * * *

    Sejak itu, boleh dikatakan setiap hari Widuri dan Suzana membawa balik salam daripada Cikgu Khairul Anwar, untuknya. Yalah, sekolah Khairul berdekatan dengan sekolah Wiwi dan Suzana, jadi setiap hari kedua-dua perempuan itu, menumpang kereta Khairul. Kata mereka, Khairul tu ‘lelaki contoh’ dan ‘lelaki harapan bangsa’ di Lembah Kundasang ni. Kalau dah suka sangat kenapa tak memikat? Kenapa asyik nak pasang-pasangkan aku dengan lelaki tu?
    Sungguh membosankan. Tiada kerja yang hendak dibuat agaknya, selain daripada mengirim salam buat aku, rungut Iffah.

    “Iffah, aku sudah buat kesimpulan, rasanya dia sayang kau lah,” Kata Faezah, sambil ketawa besar. Bencinya aku, jerit hati Iffah.
    Suzana dan Widuri mengangguk setuju.
    “Ciss, aku akan benci dia seumur hidup,” kata Iffah.
    “Betul ke? Aku hairan betul dengan kau ni, Iffah. Tak ada satu pun benda di sini yang kau suka,” kata Widuri seperti kecil hati, macamlah negeri di Bawa Bayu ni teruk sangat berbanding KL – tanah kelahiran Iffah tu.
    “Ada, Wiwi!” Usik Faezah sambil mengenyitkan matanya.
    “Orang dari Malaya ... cikgu bujang tu lah,” celah Suzana.
    Iffah cepat-cepat masuk ke biliknya. Mereka ni bukannya boleh dilayan sangat.

    * * * * *

    Mulanya, Iffah mengamuk sakan apabila terpaksa bekerjasama dengan Khairul untuk projek Pesta Pantun peringkat sekolah-sekolah di daerah mereka. Kebetulan sekolah Khairul dan sekolahnya menjadi tuan rumah bersama. Tetapinya marahnya tak lama. Iffah sedar, walaupun Khairul tu guru lepasan maktab, tetapi pengalaman serta kebolehan kaunselingnya, menakjubkan. Betullah kata orang, pendidikan tinggi saja bukanlah apa-apa jika tidak bersalut dengan pengalaman. Kita sememangnya didewasakan oleh masa....

    Khairul bukan lagi seorang yang suka berlagak dan sombong seperti yang Iffah kenal berbelas-belas tahun dahulu. Dia sebenarnya baik hati ... mungkin Iffah betul-betul nakal dulu, dan memang wajar dia dihukum begitu. Tanpa sedar setahun telah berlalu dan Iffah mulai menyukai sekolahnya. Dia sudah belajar menyayangi pelajar-pelajarnya. Lalu dia sudah mulai jatuh cinta pada lembah bertuah ini.

    * * * * *

    “Iffah, telefon,” jerit Faezah, yang dari tadi asyik menunggu telefon daripada buah hatinya.
    “Siapa?”
    “Siapa lagi, pak we Iffah la... Khairul.”

    Iffah jadi malu. Nak apa pula dia ni? Dia selalu menafikan hubungannya dengan Khairul. Kata Iffah, mereka sekadar rakan setugas. Tapi si Widuri dan Suzana maupun Faezah tidak pernah mahu percaya pengakuannya. Alasannya mudah, Iffah dan Khairul bukannya sesekolah, tiada sebab untuk mereka mengakui sebagai rakan setugas, kata Faezah.
    “Kalau ‘rakan sehati dan sejiwa’ ehem... ehem aku percayalah juga.” Sambung Suzana, yang kini menjadikan rumah sewa mereka sebagai medan lepaknya, setiap kali suaminya, Umair ke padang sukan.
    Setelah berkahwin ni, sikap suka menyakatnya menjadi-jadi pula. Iffah sakit hati betul kepada Suzana sejak akhir-akhir ini. Tapi kalau Suzana tak datang, dia rindu pula.

    Walaupun begitu, jauh di sudut hati... mereka tak nafikan Khairul dan Iffah memang dengan tulus ikhlas, membuat pelbagai projek untuk pelajar-pelajar di daerah ini. Mereka serius mengendalikan, Klinik Pemulihan Bahasa untuk pelajar-pelajar miskin di daerah ini. Kebanyakan pelajar di sini adalah anak-anak pekebun sayur. Mereka memang tidak mampu ke kelas tambahan. Malah jika ada masa yang terluang, masa tersebut mesti dihabiskan dengan menolong keluarga. Usaha murni Khairul sentiasa mendapat sambutan ramai, dan si Iffah ni sentiasa menjadi pelaksana program Khairul yang paling aktif.

    * * * * *

    “Kata suka tinggal di Kundasang ni, janji nak menetap terus konon ... tapi kenapa tiba-tiba nak balik?”
    “Kalau boleh, saya tak nak pergi jauh daripada Iffah,” kata Khairul dengan mata bercahaya.

    Iffah membetulkan tudung kepalanya yang ditiup angin petang dari lembah yang permai ini. Sesekali matanya liar memerhati kiri-kanan. Untuk pertama kalinya keluar berduaan dengan lelaki, membuat hatinya cemas. Kalaulah pelajarnya nampak, tentu teruk pula dia kena gosip. Dalam dunia pelajar inilah antara berita yang paling sensasi – jumpa guru sedang ‘dating’. Bagi mereka, apabila dua orang bertemu mestilah sedang bercinta, tiada sebab lain. Inilah susahnya jadi guru, sentiasa saja ‘public figure’.
    “Saya balik ni sebab nak sambung belajar... nak habiskan tahun akhir pengajian luar kampus saya di USM.”

    Iffah cuma diam. Kalaulah mama tahu dia berduaan tanpa muhrim begini, pasti teruk dia kena marah. Aduh, mama tak tahu sebenarnya Iffah sudah puas menolak; tetapi Khairul merayunya sungguh-sungguh. Katanya, sangat penting Iffah, antara hidup dan mati.

    “Iffah ... dengar saya cakap ni,” kata Khairul.
    “Iffah janganlah sedih dengan pemergian saya. Lagipun bukannya lama ... cuma setahun. Cuti semester nanti kita boleh jumpa lagi,” sambungnya perlahan, dengan muka senyum bersinar.
    “Saya tidak sedih. Peduli apa kalau setahun atau seratus tahun awak pergi,” tegas Iffah dengan suara yang tinggi dan dibuat-buat.

    Iffah mula takut melihat gelagat Khairul akhir-akhir ini yang agak ganjil. Iffah langsung tidak berani memandang Khairul.
    “Saya sayang Iffah lebih daripada ... sayang seorang abang kepada adiknya.”
    Khairul meluahkan apa yang tersirat di hatinya selama ini. Dari sekolah lagi dia sudah jatuh hati pada gadis manis ini. Tapi Si Iffah ni garang mak datuk, sepatah kita bercakap ... berpatah-patah dia balas, macam murai tercabut ekor sahaja. Sebab itulah mereka asyik bergaduh masa di sekolah dulu. Cepatnya masa berlalu....

    Kini Khairul perlu mendengar janji setia Iffah sebelum dia berangkat lusa. Dia ingin memahat rasa kasih Iffah itu, dalam-dalam ke hatinya. Khairul berharap hati Iffah untuknya seorang. Mengapalah si Iffah pura-pura ni tak mahu mengerti dan suka sangat jual mahal. Sejak dari dulu, sikap jual mahalnya tidak pernah berubah. Apabila gadis-gadis teringin benar nak jadikan Khairul sebagai abang angkat... Iffah menolaknya dengan kata-kata pedas. Mengapa susah sangat nak mengerti, dia kan sedang bercakap dalam bahasa Melayu?

    Iffah mengangkat mukanya. Mata mereka bertemu lagi. Ada rasa yang bertamu dalam hati..
    “Iffah tunggu sampai saya kembali ya, kita didik anak-anak di sini dengan ilmu dan kudrat yang Allah anugerahkan kepada kita....” Iffah masih membisu, hatinya tidak bermaya. Dia tidak suka pada situasi begini.
    “Iffah ... Iffah, jangan bagi hati Iffah kepada orang lain ...” pinta Khairul sungguh-sungguh.
    “Saya tidak pernah dan tak akan pernah sayang awak, kita kan cuma kawan sahaja. Dari dulu kita dah tahu batas pergaulan ini kan,” kata Iffah.
    “Betul?” Tanya Khairul, dengan rasa sungguh terperanjat. Dia terluka dengan pengakuan Iffah. Iffah mengangguk. Dia tidak mahu menjalin hubungan apa-apa dengan Khairul. Titik.

    “Saya akan tulis surat setiap hari sehingga hati Iffah terbuka menyayangi saya, Insya-Allah.”
    Khairul memandang Iffah semula, dia bukannya cuba merayu pada yang tidak sudi. Sebaliknya Khairul tahu jauh di sudut hati Iffah memang tersimpan ruang untuknya. Kalau tidak masakan mukanya merona merah setiap kali mata mereka bersapa? Cuma masa dan ketika sahaja yang menghalang rasa kasih sayang itu daripada bersemi. Iffah seharusnya diberi perangsang ke arah itu. Dia tu manja, seperti kanak-kanak. Anak tunggal memang macam tu, agaknya. Apa ya yang membuat hatinya keras seperti pualam? Apa yang membuat hatinya membeku sejuk seperti salju?

    “Jangan buang masa, Khairul. Saya tidak akan membalasnya.”

    * * * * *

    Sejak peristiwa itu, hampir setahun dia tidak pernah mendengar khabar apatah lagi berjumpa dengan Khairul lagi. Pada mulanya, Khairul memang menepati janjinya: boleh dikatakan setiap hari Iffah terima surat daripadanya. Tetapi sekadar 21 pucuk surat itu sajalah. Kemudiannya dia berhenti menulis.
    Yalah, setelah Iffah membalas surat terakhir Khairul... lelaki itu telah berhenti menulis untuk Iffah. Kenapa surat Iffah yang satu-satunya itu tidak pernah berbalas lagi? Iffah rasa terhina sekali, mungkinkah Khairul sebenarnya sekadar hendak mempermain-mainkan perasaan Iffah sahaja? Sampai di situ sahajakah sayangnya kepadaku. Kadang-kadang Iffah cuba memujuk diri, mungkin suratnya itu hilang di perjalanan atau Khairul sekadar menguji kekerasan hati Iffah.

    Tiba-tiba Iffah menangis. Benarkah aku ‘tidak pernah’ dan ‘tidak akan pernah’ menyayangi Khairul? Kalau tidak, kenapa air matanya mudah tumpah kalau terkenangkan Khairul. Aduh, kenapa rasa rindu ini bertambah setiap detik. Rasa cinta itu menusuk halus bersama aliran darahnya. Rasa rindu itu bergetar seirama dengan nadinya. Kenapa? Kenapa baru sekarang aku menyedari yang aku juga sayangkannya. Mengapa ya, rasa aneh ini muncul setelah Khairul lagi tidak mengirim harapan dan memujuk hatiku lagi.

    Dan yang paling memilukan, tiada sekeping kad Hari Raya singgah ke kotak suratnya. Miskin-miskin anak-anak Lembah Kundasang ini, mereka mampu juga mengirim kad untukku. Benarkah, Khairul sekadar membalas dendam kerana kesombonganku sendiri? Pedihnya ... hujan di mata, banjir di hati ... karam di jiwa.

    * * * * *

    Kelmarin mereka menerima guru baru dari Semenanjung lagi, Cikgu Bukhari. Dia orang Kedah, lepasan Diploma Pendidikan dari USM. Sebelumnya dia sudah ada ijazah sarjana dalam bidang Kimia dari Universiti Murdoch (kerana desakan kegawatan ekonomi dia terpaksa jadi guru – dia yang memberitahu Faezah semalam)

    Juriffah berharap cikgu yang akan mengajar matematik dan kimia itu mengenali Khairul. Mendengar cerita Khairul pun sudah cukup untuk menutup resah dan rindunya. Dia perlu mendapat kepastian tentang Khairul. Masihkah dia ditawar cinta oleh lelaki itu? Atau mungkin juga Khairul telah bertemu dengan gadis lain. Dan kalau perkara begitu sampai terjadi, Iffah sedia menerima realiti hidup! Cuma tentu sahaja dia perlukan masa untuk melupakan Khairul. Iffah sudah tidak sanggup hidup terapung-apung begini. Terasa dia seperti digantung tidak bertali ....

    “Saya rasa pernah tengok cikgu sebelum ni, “ kata Cikgu Bukhari, yang peramah.
    Juriffah yang sedang menyuap karipap jadi terpaku. Faezah memandang Iffah dan kemudian mengalih pandangan ke arah cikgu baru itu dengan penuh tanda tanya. Dari kelmarin lagi, Faezah nampak matanya asyik memandang Iffah. Sejak itu hatinya telah berkata yang lain... cikgu baru ni sudah jatuh hati pada Iffah. Iffah tu ada keistimewaannya yang tersendiri, cuma dia tidak sedar daya tarikan yang pada dirinya itu.

    “Di mana ya, nama cikgu pun agak ‘familiar’ ...”
    “Cikgu dari USM?”
    Juriffah menggeleng.
    “Kat mana ni,” kata Cikgu Bukhari sambil mengetuk jarinya di meja.

    “Cikgu kenal Khairul Anwar Zainuddin?”
    Tiba-tiba Iffah membuang malu dan mengambil kesempatan untuk bertanya pula.
    Jika tidak, bila lagi dia akan mendapat jawapan dari segala persoalan hatinya selama ini.
    “Haa, saya dah kenal cikgu, di bilik Cikgu Khairul ... opss maksud saya, dalam foto di bilik Cikgu Khairul.”

    Bukhari rasa lega kerana dapat meneka dengan tepat. Dia ingat lagi gambar Juriffah dan guru-guru lain terletak di atas meja ‘room-mate’-nya tu.

    Gambar perjalanan ke kemuncak Gunung Kinabalu – dia pasti kini – di bawah bingkai gambar tu tertera kata-kata klasik yang pelik:
    ‘Niat hati nak memeluk gunung, tapi sayang tangan tak sampai-sampai lagi ...’

    Khairul akan lihat gambar Cikgu Juriffah dengan kanta pembesar. Buah hati saya, kata Khairul dulu. Tiap-tiap hari Khairul akan menulis surat untuk gadis yang dia ‘dakwa’ kekasihnya itu. Tetapi Bukhari pasti tidak satu pun berbalas. Kadang-kadang mereka akan usik-usik Khairul, dah berbalas... Surat Cinta Lembah Kundasang? Khairul cuma tersenyum ... dia tak pernah marah, dia tak pernah kecil hati apa lagi nak bermasam muka. Dia sungguh penyabar. Khairul begitu yakin dan sungguh tekun dalam misinya untuk memikat gadis, yang dia dakwa buah hatinya. Walaupun nampak lucu tapi amat pedih memilukan.

    Bukhari dan kawan-kawannya akhirnya terus buat andaian: Khairul Anwar cuma bertepuk di sebelah tangan. Kalau tak, pasti Khairul ada gambar kekasihnya itu secara solo, bukannya beramai-ramai seperti pasukan boria tu. Bagaimanapun Bukhari dan kawan-kawannya tidak berani berterus terang pada Khairul, kasihan pula. Mereka cuma mampu mengutuk gadis tolol yang tak sedar di untung tu kerana tidak mahu membalas cinta Khairul yang sungguh tulus ikhlas. Apa lagi yang dipandang oleh gadis tu ... Khairul kacak, warak dan baik hati. Agaknya, mungkin Khairul tidak kaya; mereka terus membuat kesimpulan. Titik.

    “Cikgu kenal dia?”
    Hati Juriffah berbunga kembali. Bukhari mengangguk. Dia dapat lihat sinar riang dari mata cikgu muda di depannya. Padanlah Khairul tak pernah ‘give up’, Cikgu Juriffah bukannya calang-calang orang, dia bukan saja jelita, tapi nampak bijak dan sungguh istimewa. Malah sekali pandang pun, Bukhari sendiri sudah terpikat ....

    Mereka cuma berselang sebuah meja. Selain Cikgu Wan Faezah tiada guru lain di kantin sekolah ketika ini. Bukhari memerhati tag nama Juriffah sekali lagi. Sahlah perempuan ini!

    “Dia sihat?”
    Bukhari terkejut dengan pertanyaan Juriffah.
    “Cikgu tak tahu agaknya ...”
    Mata Iffah membulat. Menunggu penuh Cikgu Bukhari menyambung kata-katanya dengan penuh resah,
    “Dia... dah lama tiada?”
    “Tiada?”
    “Meninggal!”
    “Meninggal dunia?”
    Cikgu Bukhari mengangguk.
    “Dia kemalangan jalan raya, dalam kampus juga. Rasanya dia baru saja kat sana, tak sampai sebulan pun.”
    “Selepas kemalangan dia terus koma. Lama jugalah, kemudian keluarganya buat keputusan menanggalkan tiub pernafasan kerana tidak sanggup melihat Khairul menanggung derita,” sambung Bukhari sayu.

    Bukhari sempat juga ziarah dua tiga kali, sebelum Khairul dibawa ke Hospital Besar KL. Doktor sudah jelaskan dari awal lagi, sistem sarafnya rosak teruk dan tiada harapan sembuh lagi. Keluarga Khairul bukannya orang kaya, adik-beradiknya ramai. Dalam fikirannya mereka hanya hendak bawa Khairul pulang ke rumah dan adakan bacaan Yasin sahaja.

    Juriffah tidak dapat menahan sebak lagi. Rasanya sudah bertahun dia tanggung kesedihan kehilangan Khairul, dan hari ini dia betul-betul kehilangan Khairul untuk selama-lamanya. Badan Iffah jadi seram sejuk dan dia rasa nak muntah. Bukhari dan Faezah kasihan melihat muka Juriffah yang pucat lesu. Mereka dapat meneka perasaan Juriffah terhadap Khairul selama ini. Iffah tidak perlu bersembunyi dengan hatinya lagi. Rasa cinta itu terpancar dari wajahnya yang sendu. Faezah mendakap Iffah dengan erat. Iffah tersedu di bahunya.

    Tiba-tiba Juriffah teringat surat terakhir Khairul:

    Juriffah sayangku,

    Walaupun tidak pernah sepucuk catatan cinta dari Lembah Kundasang pernah mengunjungi saya yang jauh terasing di sini, namun saya masih berdoa dan akan terus berdoa sehingga akhir hayat ini, Insya-Allah agar hatimu kan terbuka jua. Iffah, kalau cinta ... lafazkan lah. Jangan melukai dirimu sendiri dengan memendam rasa hati, cairkan perasaanmu dengan ketulusan cahaya cintaku. Sesungguhnya hidup ini adalah sementara ... dan dalam sementara itulah saya ingin berkongsi dengan mu, Iffah. Oleh itu saya mohon kepadamu: Balaslah catatan ini walaupun dengan secarik kata. Agar sekiranya saya tidak diizinkan-Nya lagi menatap wajahmu lagi, rasa cintamu itu akan tetap menjadi kenangan saya sepanjang zaman.

    Gunung pantai tinggi merawan,
    Nampak dari Padang Temu;
    Buah hati tinggalah tuan,
    Ada hayat kita bertemu.

    Wassalam.
    Yang Tetap Kasih Padamu,
    ABANG.


    Tuhanku, adakah Khairul juga tahu, yang aku juga sayang kepadanya pada saat ini?

    TAMAT


    Saya suka cerita ni, banyak perkara yang saya 'nisankan' dalam cerita ini... terima kasih untuk sebuah perasaan dan terima kasih untuk sepotong hati... teringat secarik kata yang indah dalam sebuah filem, "cinta itu memabukkan... cinta itu bukannya untuk orang seperti kita!"

    Posted at 11:42 am by noorsoraya
    Comments (6)  

    Friday, May 20, 2005
    FATIMAH ANAK PEREMPUAN MR. KONG

    Oleh: Noor Suraya

    Aku masih menggunakan nama keluargaku, Kong meskipun sudah tiga tahun menganut agama Islam. Ada yang menarikku untuk terus berbuat demikian. Aku mahu orang terus kenal aku sebagai anak Mr. Kong, guru besar Sekolah Menengah Bantuan Seberang Sungei (SMSSS).

    Aku seronok apabila bekas pelajar SMBSS menceritakan kebaikan ayah kepadaku. Bukan untuk bongkak tetapi untuk aku terus mengingati ayah, menghargai segala pengorbanannya supaya aku boleh mempertahankan ayah apabila saudara-maraku mencacinya.

    Ayah selalu bersemangat seperti orang-orang Foochow lain – gigih berusaha. Kami dididik dengan disiplin yang ketat. Ayah seorang guru. Walaupun ayah berpendidikan Inggeris namun ayah mewajibkan kami empat beradik bertutur dalam bahasa Melayu. Nenek memang tidak bersetuju dengan tindakan ayah.

    “Nanti mereka lupa kepada negeri asal-usul mereka,” kata nenek dalam loghat Foochow.
    “Inilah negeri mereka, mama. Mereka dilahirkan dan dibesarkan di sini,” balas ayah, penuh sopan. Ayah lulusan Sarjana Muda Biologi dari sebuah universiti di Sydney, Australia. Nenek tidak suka ayah makan gaji. Nenek lebih suka kalau ayah menguruskan perniagaan keluarga.

    Sebagai anak sulung daripada keluarga ternama dan memiliki kilang papan di Sibu ini, kami sekeluarga tidak akan kebuluran, kata nenek. Walaupun ayah sangat patuh dan sayangkan nenek tetapi ayah tidak berupaya mengikut kehendak nenek. Ayah mempunyai cita-cita yang tersendiri.

    Pada mulanya kami tinggal di rumah yang berasingan daripada nenek. Tetapi selepas Pakcik Lau, adik ayah mati dihempap balak, nenek menyuruh kami sekeluarga tinggal di rumah banglo yang tersergam indah, bersama-samanya. Sejak itulah kami berada dalam konflik. Hendak mengikut nasihat nenek atau menuruti perintah ayah. Nenek seorang yang sangat becok dan suka memerintah. Namun begitu dia sebenarnya baik hati. Mungkin tekanan yang dihadapi setelah kematian suami dan anak lelaki, membuat dia jadi begitu. Ini ditambah pula dengan sikap ayah yang tidak berminat untuk meneruskan perniagaan keluarga seperti mendiang adiknya.

    Nenek mengajarku seni tulisan Cina. Akulah satu-satunya cucu perempuan nenek. Jadi segala kemahiran dan kesenian dicurahkan kepadaku. Aku dihujani dengan segala cerita dan lagu klasik Cina. Nenek selalu memaksaku mempercayai segala pantang larang keturunan kami. Aku menurut sahaja telunjuk nenek. Cuma satu yang aku tidak tahan, kalau terpaksa menemani nenek menonton opera Cina berjam-jam lamanya.

    Kadang-kadang aku mengadu kepada ibu, ibu tentu sahaja tidak mengendahkan aduanku. Hubungannya dengan nenek tidak rapat. Aku selalu nampak nenek sentiasa memarahi ibu walaupun di depan ayah. Ayah selalu memujuk ibu supaya bersabar. Ibu orang Melanau beragama katolik, dari Kanowit. Perkahwinan mereka tidak direstui sejak awal lagi. Nenek lebih suka ayah berkahwin dengan orang Cina.

    Suatu pagi, ayah mengumumkan berita menarik. Kami akan berpindah. Ayah telah dilantik menjadi Guru Besar di Sekolah Menengah Bantuan Seberang Sungei. Aku lihat ibulah yang paling gembira sekali. Sementara nenek pula menarik muka masam.

    “Kenapa mesti bekerja sejauh itu,” tanya nenek.
    “Ini arahan mama, saya ni kan bekerja dengan kerajaan?” kata ayah.
    “Itulah, kalau kamu uruskan perniagaan kita, tidak perlu berpindah ke tempat ulu tu,” balas nenek, dalam dialek Foochow yang sukar difahami.
    “Tak apalah mama, nanti Kiing Ang balik dari England, biar dia yang uruskan perniagaan kita,” pujuk ayah. Abang sulungku itu akan tamat belajar dua tahun lagi. Nampaknya nenek terpujuk dengan kata-kata ayah.

    Kami terus bersarapan. Nenek bersuara lagi. “Kong, Si Aii Liing baru nak kenal budaya kita ... aku mahu kamu tinggalkan dia di sini,” kata nenek. Aku jadi kecut. Dalam hati aku berdoa, ayah janganlah tinggalkan Aii Liing.

    “Mama, dialah satu-satunya anak perempuan saya. Kiing Hui dan Kiing Sai terpaksa saya tinggalkan di Sibu kerana sekolah baru saya tu cuma ada setakat tingkatan dua,” kata ayah sambil memandang ibunya.

    “Apa, kau nak tinggalkan budak-budak pemalas tu di sini? Aku tak nak. Kalau Aii Liing, aku suka.” Nenek terus meninggalkan meja makan. Nenek memang tidak menyukai kedua-dua abangku itu. Kiing Hui dan Kiing Sai selalu sahaja membantah cakapnya. Selain daripada itu, mereka lebih suka menonton wayang daripada belajar seni lukis Cina.

    * * * * *

    Akhirnya aku dapat juga ikut ayah. Ayah terpaksa menyewa rumah berdekatan dengan sekolah untuk kedua-dua abangku itu. Sebulan sekali kami akan turun ke Sibu menziarahi nenek dan menjenguk Kiing Hui serta Kiing Sai. Di samping itu juga kami akan shopping keperluan dapur, kerana di Kampung Seberang Sungei tidak ada kedai runcit.

    Untuk ke kampung itu, kami terpaksa menaiki bot panjang. Ini mengambil masa kira-kira dua jam setengah. Kalau naik bot ekspres hanya 60 minit sahaja. Itu pun bergantung pada pasang surut air. Ibu selalu sahaja mabuk dan muntah setiap kali naik bot. Dari pangkalan, kami mesti melalui jalan yang berlumpur ke SMBSS. Sekolah baru itu mundur. Orang kampung di situ tidak mengambil berat akan pelajaran anak-anak mereka kerana kesempitan hidup. Mereka lebih menggalakkan anak mereka bekerja daripada bersekolah.

    Aku terkejut melihat tandas sekolah yang seperti bangsal itik, sungguh berbeza dengan sekolah di bandar. Ibu rasa hendak pitam apabila pertama kali melihat rumah yang bakal kami diami. Rumah itu sangat sempit dan hanya mempunyai sebuah bilik. Dapurnya terletak di luar rumah. Kalau hari hujan, sangat sukar bagi ibu untuk menghidupkan api. Itulah satu-satunya rumah sewa berdekatan dengan sekolah yang terdapat di kampung.

    Sebagai anak orang kaya, ibu tentu sahaja tidak selesa dengan suasana baru. Apatah lagi, di situ tiada gereja. Ibu seorang penganut Katolik yang taat. Jadi ibu sentiasa memujuk ayah berpindah bagi memudahkan ibu ke gereja setiap hari Ahad. Ayah selalu menyuruh ibu bersabar. Ayah suruh ibu mencontohi kesabaran Mak Cik Wong, isteri tukang kebun yang tinggal di sebelah rumahku. Mereka mempunyai anak seramai satu pasukan bola.

    Pelajar di sekolah ayah tidak tidaklah ramai. Kebanyakan mereka orang Cina, Melayu dan Iban. Mereka ini selalu berhenti sekolah apabila mendapat tawaran kerja sebagai buruh di perusahaan balak ataupun buruh di pelabuhan.

    Aku pun belajar di sekolah ayah. Aku sentiasa mendapat tempat pertama dalam kelas. Apabila aku memberitahu perkara ini kepada abangku, Kiing Ang dia selalu mengejekku. Katanya, tentu mudah untuk bersaing dengan budak-budak bodoh. Aku sangat sedih. Tetapi ayah sering menghiburkanku. Kata ayah, belajar di mana pun sama.

    * * * * *

    Pada tahun berikutnya, suatu peristiwa yang tidak terduga telah berlaku dalam keluarga kami. Ayah dan ibu bercerai. Aku terpaksa mengikut ibu ke Kanowit. Sedihnya aku terpaksa berpisah dengan ayah. Kami semua dapat berkumpul setahun dua kali. Pada perayaan Tahun baru Cina kami berkumpul di rumah nenek dekat Sibu sementara waktu Krismas kami meraikannya di Kanowit.

    Abangku Kiing Ang telah menguruskan perniagaan kilang papan nenek. Dia telah berkahwin sebaik sahaja kembali dari luar negara. Abangku Kiing Hui telah melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti Malaya sementara Kiing Sai pula di Tingkatan Lima. Ayah masih di SMBSS, membawa haluannya.

    Apabila aku dewasa sikit, barulah aku tahu punca penceraian ayah dan ibu. Ibu tidak sanggup hidup dengan ayah yang sangat mencintai kerjanya. Cita-cita ayah cuma satu, ingin mempertingkat kemajuan akademik anak-anak Kampung Seberang Sungei. Ayah merayu agar ibu bersabar dua tiga lagi tetapi ibu enggan.

    Kalau diberi pilihan ketika itu; sudah tentu aku ingin terus tinggal dengan ayah. Tetapi ibu tidak mengizinkan. Ibu mahu aku menjadi Katolik sepertinya. Ibu tidak mahu aku terikut-ikut ayah yang tidak menentu, tidak taat kepada Buddha, bukan juga Kristian.

    Harapanku untuk melihat ayah bersatu dengan ibu semula berkecai apabila ibu berkahwin lain. Ibu bahagia dengan lelaki yang sebangsa dan seagama dengannya. Aku mempunyai seorang adik tiri hasil perkahwinan baru itu.

    Sejak ibu berkahwin, ayah tidak menziarahi kami lagi. Walaupun begitu ayah masih menghantar wang belanja untuk keperluanku. Aku kemudiannya membuat keputusan untuk menyambung pelajaran Tingkatan Enam di Sibu. Aku tinggal di asrama. Ketika itu, abangku Kiing Sai telah memasuki Maktab Perguruan. Ayah sungguh seronok kerana Kiing Sai akan menjadi guru sepertinya.

    Walaupun keluarga kami berpecah-pecah tetapi hasil didikan dan disiplin daripada ayah, kami semua berjaya dalam bidang masing-masing. Kami berbangga dengan ayah namun begitu kami sangat terkilan kerana ibu berkahwin lagi.

    * * * * *

    Suatu pagi minggu aku telah menziarahi ayah di kampung Seberang Sungei. Sudah dua tahun aku tidak ke sana. Selalunya ayahlah yang menemuiku di Sibu. Inilah lawatanku yang terakhir sebelum bertolak ke Pulau Pinang.


    Sekolah ayah telah banyak berubah. Kini sudah ada kelas Tingkatan Lima. Walaupun sekolah itu nampak buruk tetapi kawasan sekitarnya sangat bersih. Rumah yang kami diami telah ayah berikan kepada sepasang guru kelamin yang mengajar di situ. Ayah cuma tinggal di bilik stor sekolah.

    Ketika aku sampai, ayah tidak ada. Menurut Mak Cik Wong, ayah ke hutan mencari kayu untuk membetulkan bilik darjah yang akan roboh. Beberapa orang kampung dan para pelajarnya turut serta. Kata Mak Cik Wong, ayah memang disukai oleh orang kampung. Sejak ayah bekerja di sekolah ini, ada juga pelajarnya yang menyambung pelajaran mereka ke tahap yang lebih tinggi.

    Aku bangga menjadi anak ayah. Ayah memang dihormati di kampung ini. Ayah bukan sahaja menjadi Guru Besar tetapi turut juga menjalankan semua kerja pembangunan sekolah; dari membaiki kerusi pelajar yang rosak sehinggalah menyediakan makanan percuma untuk pelajar-pelajar yang miskin. Sejak abang-abangku bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri, ayah menghabiskan gaji bulanannya untuk membantu pelajar-pelajar SMBSS.

    Aku masuk ke bilik ayah. Aku sedih melihat cara hidupnya. Terdapat hanya sebuah katil bujang dan sebuah meja usang yang dijadikan tempat membaca serta makan. Di dalam almari cermin terdapat banyak makanan dalam tin dan ikan masin. Di atas dapur minyak, ada cerek berisi air teh yang sudah suam. Walaupun bilik ini kemas dan udaranya bersih namun aku menangis melihat hidup ayah. Betapa ayah begitu sunyi dan keseorangan di sini, melalui hari-hari tuanya tanpa anak dan isteri. Ibukah puncanya? Itulah persoalan yang tidak terjawab. Setelah lebih tujuh tahun di sini, sepatutnya ayah sudah boleh bertukar. Ayah perlu menghadapi hidup yang lebih bertamadun. Apa lagi yang ayah cari?

    “Aii Liing, sudah lama sampai? Tanya ayah sebaik sahaja muncul dengan peluh tersimbah di muka.

    Aku mengangguk.
    “Kenapa tidak beritahu hendak datang?” kata ayah, sambil mengelap mukanya.
    “Ayah, biarlah orang muda yang buat kerja-kerja begitu,” kataku. Ayah perlu berehat sementara menunggu masa bersara tahun depan, sambungku lagi.
    “Aii Liing, orang muda mana yang sanggup datang ke pendalaman Sarawak ini? Abang kau Kiing Sai sendiri mengajar di bandar setelah tamat latihannya,” balas ayah.

    Aku tahu perasaan ayah terluka dengan tindakan Kiing Sai yang kini mengajar di Kuching. Ayah tentu mahukan Kiing Sai meneruskan usahanya.

    “Sampai bila ayah sanggup begini?” kataku, lembut.
    “Sehingga ayah mati Aii Liing, ayah akan terus bersama-sama anak-anak di sini.”
    Aku seakan-akan tidak percaya. Dalam abad begini, masih ada insan yang cuba hidup seideal ayah.

    “Kenapa kamu datang, Aii Liing?” tanya ayah selepas kami membisu.
    “Aii Liing akan habiskan hujung minggu ini dengan ayah ... minggu depan Aii Liing akan terbang ke Semenanjung,” kataku girang.
    “Kamu berjaya ke universiti?” aku mengangguk.
    “USM.” Kataku.
    Ayah tersenyum girang. “Jurusan apa?”
    “Komunikasi.”
    “Kenapa tidak ambil pendidikan, Aii Liing?”
    “Ayah, Aii Liing tidak suka jadi guru. Aii Liing jemu asyik dengan sekolah sahaja seumur hidup,” kataku ikhlas.

    Ayah tidak bersuara lagi. Aku tahu ayah tidak memaksaku. Ayah selalu menghormati pendirian orang.

    “Ayah tidak hantar Aii Liing ke airport,” tanyaku.
    “Kamu sudah dewasa Aii Liing, kamu mesti berdikari ... dan selama ini pun ayah tahu kamu sangat tabah, walaupun tanpa ayah dan ibu,” kata ayah sungguh-sungguh.


    Ada lagi yang perlu aku beritahu ayah. Semalam ibu melenting. Itulah yang membawa aku menemui ayah di sini. Aku sangat memerlukan sokongan ayah. Aku takut melihat ibu mengamuk semalam.

    “Irene, lebih baik kamu bertaubat sebelum terlambat!” Jeritan ibu masih terngiang-ngiang di telingaku. Aku berdoa supaya ayah tidak seemosional ibu. Dan aku tahu dan pasti, ayah tidak akan begitu.

    “Ayah, Aii Liing Islam,” kataku.
    Ayah menatap mataku. Matanya bergenang. Aku memandangnya dengan sayu. Walaupun nama aku Irene Kong Aii Liing, aku Katolik dulunya, tetapi aku bukannya penganut yang taat. Aku cuma mengikut ibu semasa tinggal di Kanowit. Sekarang usia aku sudah hampir 20 tahun, aku ingin memilih jalan hidupku sendiri.

    “Aii Liing, ayah tidak pernah memberi didikan agama kepadamu ... sehingga kamu terpaksa mencari agamamu sendiri,” kata ayah sambil tersenyum.

    Aku mengenali Islam semasa aku tinggal di asrama. Kawanku Yati, selalu menceritakan mengenai Islam kepadaku. Aku tertarik dengan ayat-ayat suci al-Quran yang dibacanya selepas solat. Aku selalu cemburu melihat Yati yang tenang.

    “Ayah harap kamu tidak melupakan ayah.”
    “Insya-Allah, ayah ... Islam tidak pernah mengajar seorang anak untuk melupai kedua-dua ibu bapanya,” kataku sambil memeluk ayah.
    “Ayah, nama Islam Aii Liing, Fatimah tetapi Aii Liing akan terus menggunakan nama yang ayah beri, Kong Aii Liing,” kataku

    Ayah menyediakan tempat untuk aku solat. Ayah juga bertanyakan banyak perkara tentang Islam. Syukur, ayah memberi perhatian terhadap agamaku, tidak marah-marah seperti ibu.

    Kami menghabiskan masa bersama sehinggalah hari aku bertolak ke USM. Aku rasa sungguh sedih meninggalkan ayah. Juga meninggalkan kampung Seberang Sungei dengan seribu kenangan.

    Setahun aku di USM, ayah pun meninggal dunia. Aku menghadiri pengebumiannya. Para pelajar dan bekas ayah mengiringi jenazahnya ke kubur. Semua orang bercakap tentang kegigihan Mr. Kong membangunkan SMBSS dalam keruntuhan rumah tangganya. Bagiku ayah tidak runtuh. Anak-anak ayah berjaya. Dan ayah sendiri mati sebagai seorang penganut agama Islam.

    Sehingga kini, aku masih bersyukur dilahirkan sebagai anak perempuan Mr. Kong, Muhammad Kong.

    T A M A T


    Catatan:
    Cerpen yang ditulis pada 1991 ini; memenangi hadiah kedua dalam sayembara sempena hari guru 1991/1992 dan diantologikan dalam CIKGU V (1992)


    Posted at 1:16 pm by noorsoraya
    Comments (7)  

    Wednesday, May 18, 2005
    HATI ZANA

    oleh: Noor Suraya

    “Diam tu tanda setujulah,” kata abah.
    “Tak abah ... Zana tak mau, Zana tak suka.”
    Air mata Zana bergenang dalam matanya yang bening.
    “Kenapa ni, Annas tu budak baik. Abah kenal hati budinya,” lembut aja suara abah memujuk.

    Abah terus bercerita mengenai Annas, berulang-ulang kali. Jemu Zana mendengarnya. Briyani kambing ditolak ke tepi. Kulfi yang menjadi kegemarannya, dibiarkan cair tak tersentuh. Selera makannya susut tiba-tiba.

    Ibu memandang dengan sayu tapi penuh harap. Abah pun begitu. Zana yang jadi serba salah. Apa kena dengan Zana ni, umur sudah meningkat... perangai macam budak-budak lagi.
    “Habis, Zana macam mana... Zana dah ada sapa-sapa, ke?” tanya ibu lembut.
    Zana menggeleng.

    Doktor Zainordin menuju ke kaunter dan membayar harga makanan. Mereka bertiga meninggalkan ‘Restoran Insaf’ di Jalan Tunku Abdul Rahman tu. Mereka segera ke tempat letak kereta dekat Sogo. Dalam kereta tak ada seorang pun yang terasa untuk berbual seperti selalu. Esok pula ada ujian pula, buku pun belum disentuh... tiba-tiba abah datang dengan cerita baru... masalah baru.

    “Abah dah tak lama lagi nak pencen, Zana. Abah pula dapat peluang melancong ke Eropah dengan ibu. Masalah kami, macam mana nak tinggalkan Zana seorang diri di KL ni.” Kata abah tiba-tiba.
    “Abah, apa nak susah... Zana beranilah tinggal seorang. Dulu tu pun masa abah, ibu... buat haji kan Zana duduk sendiri juga.”
    “Dulu lain, Zana... Abang Zahar pun masih tinggal kat sini. Abang Zainal pun sering jenguk Zana... sekarang kan mereka dah tak ada di sini. Abah bimbang.” Doktor Zainordin memandang anak kesayangannya semula.

    Abah memang sengaja. Benda yang mudah sengaja hendak diperbesar-besarkan, rungut hati Zana. Mereka yang pernah terhutang budi dengan Nenek Hendon dan kini Zana pula yang menjadi korban untuk membalas budi tu.

    Kalau abah dan ibu hendak ke luar negara bercuti pun, apa salahnya tinggalkan Zana seorang. Macamlah Zana tak biasa dengan KL ni. Zana dilahirkan dan dibesarkan di sini, bah. Betullah dulu Abang Zahar ada menemani Zana, tetapi dia kerap 'outstation' dan Zana kena tinggal seorang diri juga... Zana tak takut pun! Sengaja. Abah dan ibu sengaja nak atur hidup Zana. Ada ke patut hendak paksa Zana kahwin dengan orang yang Zana tak pernah kenal, tak pernah Zana sayang. Ini bukannya zaman Perang Dunia Kedua, bah. Anak-anak dikahwinkan kerana takut Jepun nak datang! Kini dah masuk abad 21. Dah di alaf baru... bah!

    Abah dan ibu dulu pun bercinta. Abah kenal ibu (anak diplomat dari Indonesia) semasa menuntut di Australia. Ibu ketika itu baru di tahun pertama Kesusasteraan Inggeris sementara abah pula sedang menyiapkan 'housemanship'-nya di Sydney.

    Hmmm, dari dulu abah dan ibu suka mengatur hidupnya. Dulu apabila Zana dapat tawaran belajar ke Kolej Tunku Kursiah, abah larang. Kata abah, kasihan ibu... tentu ibu kesunyian tanpa Zana. Sekolah kat mana-mana pun sama. Zana ikut cakap abah belajar di sekolah dekat rumah saja di KL ni. Selepas itu Zana dapat tawaran biasiswa lanjutkan pelajaran dalam bidang guaman di Lincoln’s Inn, abah tak kasi pergi. Padahal bukan calang-calang orang yang terpilih belajar kat tempat berprestij macam tu. Kata abah, UM pun apa kurangnya. Zana ikut nasihat abah. Tapi tidak untuk kali ni, bah. Ini masa depan Zana! Soal hidup dan mati. Amboi, Zana, garangnya dia... hati kecil memperingatinya semula. Astagfirullah il azim.

    “Zana, fikirlah dulu hasrat Nenek Hendon tu. Mereka bukannya nak jawapan malam ni,” kata abah, sebelum Zana keluar dari perut Honda hitam tu. Zana masuk tanpa menghiraukan abah. Sebelum ini mana pernah dia membantah cakap abah! Tetapi tidak untuk kali ini. Zana hendak pilih sendiri pasangan hidup Zana. Biarpun sampai saat ini dia tak pernah ada sesiapa pun! Biarlah! Biarlah! Biarlah!

    Menyesal... menyesal... Zana menyesal sungguh ikut ibu ke One Utama kelmarin. Di situlah ibu terserempak dengan Nenek Hendon dan cucunya, Annas. Mereka masih ada hubungan keluarga dengan kami kononnya. Mereka tu orang Alor Setar. Dulu-dulu, abah dan ibu pernah menumpang tinggal di rumah mereka. Ya, tiga puluh lima tahun yang lalu, ketika abah mula-mula ‘posting’ bekerja di Hospital Besar Alor Setar. Logik ke, hanya kerana pernah menumpang... aku kena jadi isteri Nanas opss si Annas tu!

    Pertemuan semalam mengganggu Zana lagi.
    “Subhanalah, Dewi Ratna ka ni?” kata Nenek Hendon dalam loghat utara yang pekat.

    Ibu tergamam dan tanpa malu-malu lagi dia memeluk Nenek Hendon di depan orang ramai. Mulai saat itu, mereka bercerita tidak berhenti-henti, tanpa menghiraukan Zana sehinggalah di pintu keluar One Utama.
    “Oh, lupa Dewi nak kenalkan, ini yang bongsu ... Zanariyah,” kata ibu, apabila mulai sedar Zana mengikutinya dengan beg plastik sarat di kedua-dua belah tangan. Zana meletakkan beg dan bersalaman. Memanglah dari tadi dia ingin bersalaman, tetapi Nenek Hendon tidak pun mengendahkan kehadirannya. Ibu lagilah, macam dah lupa pada anak sendiri... kerana asyik berbual.

    “Dah besar pun, tapi mukanya tak macam Zuraini pun. Kalau jumpa tentu tak kenal... tak perasan.”

    Aku senyum tawar. Aku memang tidak serupa Kak Zura yang jelita dan pernah jadi pramugari tu. Wajahnya secantik ibu. Aku macam abah aja – rupa orang Melayu. Sedangkan Abang Zainal dan Abang Zahar segak... terbias dengan kecantikan ibu. Ibu kan keturunan ningrat dari Kota Yogjakarta. Hukh, tapi aku tidak memiliki sedikit pun daripada kecantikan itu. Tak terbias pun!

    “Chek, dah kerja, ka?” tanya Nenek Hendon.
    “Masih sekolah makcik.” Balas Zana.
    “Makcik apa? Ni dah pangkat tok,” katanya sambil ketawa dan memandang ibu.

    Mereka berkongsi ketawa. Aku cuma tersenyum. Dalam hati, aku cuma berdoa. Lekaslah balik ibu, Zana tak siapkan ‘assignment’ lagi ni... esok dah nak ‘pass up’. Tetapi ibu masih berborak. Zana meninjau-ninjau teksi, tapi ibu buat-buat tak faham pula. Masih asyik berbual... bercerita dari zaman burung merak belum berwarna sampailah ke cerita burung merak dah cantik dan rupawan. ‘Tension’-nya! Hati berbisik berkali-kali.

    “Balik dengan apa?” tanya Nenek Hendon apabila melihat Zana tertinjau-tinjau macam burung bangau. Dia mungkin dah mula faham ‘body language’ aku tu, bisik hati Zana.
    Ingat nak ‘phone’ abah Zana, tapi rasanya... waktu-waktu macam ni jalan kat UH tu ‘jam’ teruk. Kesian pula. Nak naik teksi ajalah.” Balas ibu.
    Hahh, leganya, Zana melemparkan senyum.

    “Jomlah balik sekali. Boleh suruh Annas hantarkan.” Kata nenek tu tiba-tiba.
    “Annas?” tanya ibu.
    “Satu-satunya cucu makcik. Dah tak ingat? Dia dah jadi doktor, Dewi!”
    “Ia? Alhamdulillah.” Balas ibu.

    Nenek Hendon kemudian segera menggamit Annas yang berdiri terpacak tidak jauh dari situ dan segera memperkenalkan Annas: “Ni anak arwah Syimah dan Jamaluddin.”

    Ibu terus bersetuju tanpa minta pendapatku. Kononnya waktu begini susah nak dapat teksi. Tadi Zana nak memandu ibu kata senang suruh abah ambil aja.Itulah segala punca permasalahannya. Itulah puncanya. Tiba-tiba nenek tu cuba nak jodohkan kami berdua.

    * * * * *

    Malam kian larut, hujan masih rintik-rintik di luar. Zana masih mengelamun di meja studi. Sepi mencengkam hati. Lama betul Abang Zainal dan Kak Long tak datang. Rindunya Zana pada anak-anak buahnya: Pipah, Mayra dan Dwan. Dulu kalau Abang Zainal dan Kak Long 'out-station' budak-budak tu ditinggalkan di sini, sekarang mereka sudah ada pembantu rumah Indonesia.

    Zana mendekati piano di ruang tamu. Sudah lama jari-jemarinya tidak menari-menari di atas gigi piano ini. Lagu ‘Tudung Periuk’ dialunkannya lembut dan sayu. Tenang dan damai rasanya .... Sejak dia kecil, dia gemar sekali memainkan lagu Tudung Periuk.

    Tudung periuk pandai menari,
    Menari lagu putera mahkota.


    Indahnya irama si Tudung Periuk, bisik hati Zana semula. Dia sendiri tidak tahu sama ada harus tersenyum atau menangis.

    Kain yang buruk berikan kami,
    Buat menyapu si air mata.


    Sedihnya ceritamu si Tudung Periuk, bisik hati Zana lagi. Kenapa tak pakai tisu? Hatinya yang nakal sedang menggoda semula. Yalah, betul tu. Zana tersenyum tiba-tiba. Itu yang Aliya sering kata, guna lah tisu. Sejak Aliya berkahwin dia rasa kesepian pula.

    “Ada apa Zana?” Suara abah yang tiba-tiba muncul di muka pintu mengejutkannya.
    “Oh, abah. Zana ganggu tidur abah ke?” Katanya dengan nada bersalah sangat.
    “Tak!”
    Zana segera menarik jari-jemarinya dari gigi piano. Lantas dia membuka lampu ruang tamu sambil menyembunyikan matanya yang basah.
    “Abah nak kopi?”
    “Boleh juga.”
    Zana bangun dari kerusi di piano berjalan ke arah dapur.

    “Ceritalah apa masalahnya,” kata Doktor Zainordin sambil mengikut Zana ke dapur.
    “Tak ada apa-apa.” Kata Zana sambil tersenyum.
    Zana meletakkan kopi panas di sebelah abahnya. Air panas memang sudah tersedia sejak tadi.
    “Cakaplah yang sebenarnya, Zana.” Pujuk abahnya semula, dengan penuh diplomasi.

    Zanariyah memandang abahnya. Wajah abah bersih dan tenang aja. Uban yang memenuhi kepala menjadikan dia tampak lebih matang dan berwibawa. Dia sangat mengasihi abahnya lebih daripada dirinya sendiri. Tetapi rancangan abahnya yang tiba-tiba membuatnya jadi jauh hati. Mereka buat macam Zana tak ada peluang untuk memilih sendiri kerana dia tidak secantik orang lain.

    “Saja bah, Zana tak dapat siapkan kes studi.”
    “Kan elok tenangkan diri dengan solat, dari biarkan piano terjerit-jerit macam tu malam-malam buta” pintas abah.
    “Bunyinya macam orang sedih aja.” Sambung abahnya semula apabila dilihatnya air muka Zana berubah dengan kata-katanya.

    “Fasal Annas ke?”
    Zana menggeleng. Macam mana Zana ada masalah dengannya kalau Zana tidak pun kenal dia.
    “Cepat-cepat buat kes studi tu dan tidur, esok ada kelas pagi kan?”
    Zana mengangguk.

    Abah cepat-cepat menghirup kopi O dan berlalu ke bilik. Abah dalam usia yang begini masih boleh minum dua cawan kopi setiap hari. Kata abah, Alhamdulillah jantungnya tidak pernah berdegup kencang apabila minuman berkafeina. Tapi cerita yang abah bawa tentang Annas membuat jantungku berdegup kencang dua tiga hari ni mengalahkan orang yang terlebih kafeina.

    Semalaman Zana berjaga. Sempat tidur seketika sebelum ibu mengejutkannya untuk solat subuh.
    “Jam loceng kuat macam tu pun Zana tak sedar, ya?” kata ibu apabila dia masih tidak dapat membuka matanya dengan sempurna di meja makan.

    “Habis nak memandu macam mana?” Usik ibu.
    “Nanti oke lah, ibu.”

    Zana mencapai sudu dan menyenduk kuah dal ke piringnya. Di koyak roti Benggali dan dicecahnya dengan berselera sekali. Munna selalu menasihatinya, agar tidak makan kulit keras pada atas roti tu, tapi itulah kegemarannya sejak dulu. Munna tu suka nasihat orang macam-macam fasal makanan, padahal dia lah ketua makan serba-serbi... ntah, macam mana dia jadi budak ‘medic’ kami pun tak tahu.

    “Hari ni balik pukul berapa?”
    “Empat.”
    “Balik terus ya, malam ni abah dan ibu nak bawa Zana keluar.”
    “Ke mana?”
    “Adalah...”
    “Insya-Allah,” kata Zana sambil menghirup kopi secawan.

    Kata Pipah, patutlah Achu Zana hitam, achu suka minum kopi. Tiba-tiba dia terkenang pada Pipah lagi. Rasanya macam nak pergi rumah Kak Zura minggu ni. Pura-pura merajuk, tentu abah dan ibu akan panik sikit.

    “Zana pergi ibu,” kata Zana sambil mengucup tangan ibu dan mencium pipinya yang mulus tu.
    “Baik-baik di jalan.”

    Zanariyah menyanyi-nyanyi kecil. Mujurlah ibu tak berleter panjang pagi-pagi ni. Kereta kepunyaan Abang Zahar tu di beloknya ke kiri. Marissa dan Junaidah (Jade), sudah sedia menunggu di tepi jalan kondominium mereka.
    “Mana Aliya?” Tanya Jade selepas memberi salam.
    “Hari ni cik abang dia hantar.” Kadang-kadang Aliya memandu sendiri kadang-kadang dia menumpang mereka. Tetapi kalau Hadi ada di Kuala Lumpur ni, dia akan ada acaranya sendiri. Mereka hanya nampak mata dia waktu kuliah aja, lepas tu ghaib!

    “Dah siap kes studi?”
    “Yup.”
    “Bagus, bagus nanti aku boleh kerling-kerling.” Kata Marissa, sambil menyelongkar fail Zana.
    “Mana boleh Marissa... kat kampus tentu dah ada yang menunggu nak ‘xerox’.” Kata Jade
    “Apa ni, orang bercakap pun tak ada respons,” renggek Jade lagi.

    Zana jadi sedar diri. Dia hanya dikerumuni oleh sang Kumbang bila mereka hendak menciplak ‘assignment’, lepas tu dia dilupakan macam tu. Dia sepatutnya bersyukur nenek si Nanas tu sanggup jadikan dia cucu menantu. Abah dan ibu dah nampak potensinya bakal jadi andartu sampai bila-bila... sebab tu mereka cuba nak menjodohkan dia.

    Itulah yang membuat dia jadi rendah diri. Dia ni tergolong dalam kumpulan anak dara tak laku. Sedihnya. Bukan dia nak degil dengan pilihan orang tua, tetapi Annas tu tak sepadan dengan dia.

    “Malam ni kita makan luar,” kata abah sebaik sahaja terpandang muka Zana di pintu.

    Zana mengangguk. Pagi tadi kan ibu dah beritahu. Zana mengendeng fail dan beg kuliah ke biliknya setelah bersalaman dengan abah.
    Malasnya untuk menolong emak di taman, sejak beberapa hari ini dia jadi malas untuk berbicara apa-apa. Sudah berkali-kali Aliya tanya kenapa dia berubah tiba-tiba, tetapi dibiarkannya jawapan itu tidak berjawab.

    Lalu Aliya menambah, “Liya rasa, Zana diserang sindrom nak kahwin.”
    “Kenapa Liya kata macam tu,” kata Zana menyembunyikan rasa terkejut. Diperhatikan wajah temannya yang sedang berseri-seri mengandung anak sulung tu sebentar.
    “Tahulah... sindrom tu sekarang dah menyerang Zana pula.” Usik Aliya sebelum meninggalkannya tadi tatkala Hadi sudah lama menunggunya di tempat letak kereta.

    Zana membuka kotak biola kesayangannya. Biola tu kepunyaan arwah Anjang Syahid. Adik abah! Pak Anjang dulunya penggesek biola untuk pertunjukan bangsawan. Dia dibuang keluarga kerana tu. Arwah tok wan tak suka anaknya terlibat dengan muzik terutamanya biola. Arwah tok wan tu bilal, penglibatan Anjang Syahid dalam seni begini memang memalukannya. Apa lagi bila perkara ini melibatkan tentang dosa pahala. Sesetengah ulama kata, permainan muzik bertali tak dibenarkan dalam Islam. Itulah yang membuat abah melarang Zana menggesek biola ni.

    Tetapi kadang-kadang Zana ingkar juga larangan abah. Pabila dia tiba-tiba rindu akan Anjang Syahid, itulah yang dilakukannya... menggesek biola pusaka itu sepanjang hari. Anjang Syahid baik orangnya. Dia sayangkan Zana. Banyak lagu-lagu yang diajarnya kepada Zana. Malah biola pusaka itu pun diserahkan kepada Zana sebagai kenang-kenangan. Yalah siapa lagi yang berhak, kerana dalam keluarga mereka hanya Zana yang minat muzik. Sejak kecil abah dan anjang rapat sangat. Malah setelah anjang dibuang keluarga, abahlah tempat anjang mengadu. Malah anjang juga meninggal dunia di rumah ni - diserang batuk kering – kerana tiada siapa yang sanggup menerimanya yang terlantar sakit.

    Zana melihat jam di meja tulis sekali lagi; usai solat asar. Baru jam lima tiga puluh dua. Direnungnya biola tu dan kemudian didakapnya perlahan-lahan. Tadi adik-adik kelab seni pelawa dia bermain dua buah lagu untuk malam kesenian minggu depan. Dia sudah berjanji dengan Azizi, dia akan hadiahkan dua buah lagu. Satunya, lagu Tudung Periuk. Sementara lagu keduanya, dia masih belum buat keputusan: Bengawan Solo, Pasir Roboh ataupun Seri Dewi Malam? Tetapi hatinya lebih memberatkan pada lagu Seri Dewi Malam. Lagu Pasir Roboh tu dia tak mahir-mahir lagi... dia baru aja dapat not yang betul. Selama ini dia main ‘taram’* aja. Sumbang betul!

    Tadi pagi Azizi sudah senyum melebar. Bukan senang, Kak Zana nak tawar khidmat begini. Setiap kali Zana akan memberi alasan, Uncle Zainordin tak benarkan 'akak' menggesek biola di khalayak ramai. Kalau piano oke lagi, kalau biola ‘no way’. Keluarga mereka saling kenal sejak dari dulu lagi. Awal-awal lagi, Zana sudah berpesan kepada Azizi, biar pecah di perut tapi jangan pecah kepada Uncle Zainordin, ya! Azizi mengangkat jari ibu, dan tersenyum kepadanya. Beres, kak!

    Entah kenapa, sejak akhir-akhir ini... tiba-tiba Zana terasa ingin buat apa-apa saja yang dilarang oleh abahnya selama ini. Apalah guna jadi anak yang taat kalau setiap kali abah dan ibu menjadikan dia ‘korban’. Kak Zuraini boleh apa saja yang dia suka. Abah tak benarkan dia jadi pramugari, dia mohon juga. Di situlah dia berjumpa dengan Abang Malik dan kemudian mereka berkahwin dalam usia muda. Abang Malik yang bekerja sebagai juruterbang tu, jatuh cinta pandang pertama pada Kak Zura yang jelita. Bercinta di awan biru lagi. Kadang-kadang dia terfikir mungkinkah ada cinta pandang pertama?

    “Cinta itu untuk Allah,” kata-kata Ustazah Radiah semasa dia masih di sekolah menengah dulu bergetar di telinganya.
    “Cinta untuk-Nya, atau cinta untuknya?” Soal Ana baru-baru ini, bila dilihatnya muda-mudi masih berkeliaran pada waktu maghrib berpasang-pasangan tanpa segan silu berpimpin tangan.
    Cinta untuk-Nya, tegas Zana di dalam hati. Tetapi aku tidak menunjukkan ciri-ciri cinta untuk-Nya pun!

    Hati Zana bergolak lagi. Ditelannya rasa sedih sendiri. Dia tidak tahu apa yang disedihkan sangat. Dia sendiri tidak pasti apa yang membuat dia rasa rendah diri dengan perkahwinan yang diatur. Kalau si Nanas tu tidak tampan, mungkin rasa begitu berkurangan sikit... ni, dia memang tak sepadan. Sudah berkali-kali dia menolak... tetapi ibu tetap menyuruhnya berfikir dulu. Rasanya dia ingin sekali telefon pada Nenek Hendon tentang tu, tetapi dia tidak berani campur tangan urusan orang tua.

    Habis, semua orang boleh pilih jalan sendiri kenapa tidak aku? Zana sandarkan biola di bahu. Lagu Seroja mengalun indah. Ini lagu kesayangan pak anjang.

    mari menyusun seroja bunga seroja,
    hiasan sanggul remaja puteri remaja,
    rupa yang elok dimanja jangan dimanja,
    pujalah ia oh saja sekadar saja....


    Abang Zahar suka juga muzik daripada biola, tetapi bukannya lagu asli. Kata abang kalau di Eropah orang yang pandai main biola ni dianggap berbudaya tinggi. Apa lagi kalau pandai main ‘cello’. Kalau Zana duduk di Amerika ni tentu boleh buat nama, macam Vanessa Mai... pemain biola kelahiran Vietnam tu, usik Abang Zahar melalui telefon baru-baru ni. Gesekan biola Zana yang sumbang tu pun dipujinya berkali-kali. Betullah Abang Zahar ni buta muzik, kata Zana di dalam hati. Tapi bila dipuji-puji begitu macam seronok pula.

    Habis, lepas Zana terkenal macam tu, Zana kena halau oleh abah pula... macam mana abang, tanya Zana. Lalu Abang Zahar tidak jadi menyambung ceritanya. Cerita fasal Anjang Syahid selalu membuat mereka menjadi serba salah.

    mengapa kau bermenung oh adik berhati bingung,
    janganlah engkau percaya dengan asmara,
    sekarang bukan bermenung zaman termenung,
    mari bersama oh sayang memetik bunga.


    “Eh, belum siap lagi. Dah solat Maghrib?”
    Zana memandang jam di meja tulis... hah dah pukul tujuh setengah malam.
    “Itulah, abah dah kata... benda-benda begini melekakan. Cepat, abah pantang orang tak tepati masa.” Kata ibu sambil membetulkan kebayanya.

    Ibu, suka benar pakai kebaya. Badannya masih langsing. Mukanya juga awet muda. Yalah, setiap hari berteman segala jenis jamu. Bila dipandang lama-lama... wajah Bandungnya jelas sangat. Tetapi lenggok bahasa Indonesianya sudah lama luntur.
    “Oh, ya Zana... kita tak lihat lagi cucu Auntie Bibi.” Kata ibu tiba-tiba.
    Dihulur tuala kepada Zana, supaya Zana dapat menyegerakan langkah ke bilik air.
    “Dua tiga hari ini tak dapatlah ibu, banyak kerja.” Kata Zana menyambut tuala merah jambu tu setelah menyimpan biola kesayangannya dalam kotaknya semula.
    “Cepatlah, asal basuh badan dah.”
    Zana tersenyum, ibu kalau nak berjalan mana-mana bukan main suka.
    “Nak pakai baju mana, Zana? Biar ibu yang seterika.”
    “Tak payah lah ibu, Zana pakai baju tadi aja... masih elok.” Kata Zana, sebelum melangkah ke bilik air.

    “Pakai baju kuning ni biar cantik sikit.”
    Zana tidak jadi melangkah.
    “Orang tak cantik, pakai apa pun tetap tak cantik, ibu.”
    “Tak baik cakap macam tu. Bunyinya macam orang tak tahu bersyukur dengan nikmat Allah.”
    Zana beristighfar di dalam hati.
    “Zana cakap yang betullah, ibu.”

    Dia bukan tak tahu bersyukur, matanya tetap sepasang macam orang lain. Dia ada hidung dan mulut juga seperti orang lain juga. Cuma dia ingin menyedar ibu, jangan puji macam tu... dia ni jenis perempuan yang sedar diri! Melihat kekurangan diri bukannya bermakna dia merungut dengan anugerah Pencipta....
    ”Kalau tak cantik, kenapa pula Nenek Hendon jadi berkenan nak bagi dekat cucu dia.” Usik ibu. Muka Zana pucat tiba-tiba.

    Dua tiga hari ni cerita fasal Annas sudah tidak dibincangkan di meja makan.
    Zana tidak jadi menyambung senyum. Cerita ni mengekorinya ke mana-mana.
    “Pakai yang ni, nanti ada orang yang akan makan dengan kita juga... nanti buat malu aja. Busuk-busuk peluh.” Kata ibu sambil tersenyum.
    “Masih wangi... Zana duduk dalam 'aircon' sepanjang hari tadi.”
    “Zana boleh tak dengar kata ibu, untuk kali ni!”
    “Ya.”
    “Makan dengan siapa, seganlah. Ingatkan kita-kita aja.” Sambung Zana lagi.
    Hati Zana sudah berdebar tidak menentu... entah-entah dengan si Nanas. Abah dan ibu nak buat ‘blind date’ untuk dia. Hei, Zana pertemuan macam tu orang tak kata ‘blind date’ tau...

    Ibu sudah lama keluar dari biliknya. Hatinya sudah tidak enak.

    * * * * *

    Hari-hari terasa lambatnya jarum berdetik. Tak sabar menanti saatnya abah dan ibu akhirnya letih menunggu, lalu tiba-tiba memberi jawapan 'tidak' kepada Nenek Hendon. Kadang-kadang dia jadi bimbang juga kalau-kalau akhirnya dia bertukar fikiran. Apa tidaknya, semua orang macam asyik ‘torture’ dia saja akhir-akhir ni.

    Minggu lalu Zana ke rumah Kak Zuraini... ingatkan dapatlah mengadu, alih-alih Kak Zura pula menyebelahi keputusan abah dan ibu. Abang Zainal pun sudah beri ‘kuliah’ panjang... mentang-mentanglah dia tu pensyarah... dirasakannya dia memang pandai bersyarah sangat. Tidak terfikirkah dia, syarahannya itu enak didengar atau tak! Abang dan kakak iparnya itu bersependapat: Zana, jangan memilih sangat! Sekarang ni perempuan lebih ramai daripada lelaki. Wah, mereka tu bercakap siap dengan statistik-statistiknya terus. Betullah mereka berdua tu ajar 'paper' Pembangunan Penduduk. Tapi tak payahlah nak menunjukkan sangat. Mereka ingat Zana sendiri tidak tahu tanda-tanda akhir zaman; perempuan akan lebih ramai daripada lelaki!

    Kak Zura lagilah mengada-ngada; siap beri ‘statement’: abah dan ibu dah tua, Zana. Zana mesti jaga hati mereka. Wah, bukan main ya mereka semua ni. Selama ini Zanalah yang paling menurut kata. Zanalah dengar segala ‘titah perintah’ abah dan ibu; TIDAK Abang Zainal, tidak Kak Zura dan tidak juga Abang Zahar!

    Lalu kini abah seperti orang yang telah berputus asa: kata banah, kalau Zana tolak tuah seperti ni, peluang yang baik tu tak akan datang lagi. Macamlah Zana ni teruk sangat, sampai tak ada sesiapa pun yang sudi. Sedihnya. Semua orang pandang Zana macam tu. Orang ingat kalau Zana menolak Annas, Zana akan jadi anak dara tak laku sampai bila-bila. Tapi, mungkinkah begitu untukku, Tuhan? Ah, Zana sendiri tak kisah... kalau Zana tak kahwin dengan sesiapapun, sampai bila-bila! Kata hatinya semula.

    Semalam Abang Zahar menelefon dari Negara Red-Indian tu... tak sangka cerita remeh macam ni sudah sampai ke New York.

    “Dia baik Zana, abang kenal dia!” Bohong Zahar.

    Macamlah Zana tidak tahu, itulah kali pertama Abang Zahar dengar nama Annas. Sebab Annas tu sudah bertahun-tahun duduk di Mesir. Dia doktor lulusan Universiti Kaherah.
    “Zana tak teringin ke ada keluarga sendiri... tak kan sampai tua nak duduk bawah ketiak ibu?”
    “Tapi Zana tak kenal dia langsung. ‘Totally zero’.”
    “Haah, yang minggu sudah abah ajak berkenalan... kenapa pula Zana lari balik dengan teksi.” Kata Zahar sambil ketawa besar.
    “Siapa cakap?”
    “Eleh, abang memang pasang CC TV kat rumah kita bersambung di New York ni.” Abang Zahar ketawa seenaknya. Zana jadi sebal.

    Zana malu betul hari tu. Abah buat janji dengan Annas tanpa minta pendapatnya dulu. Tiba saja di restoran... dilihatnya Annas ada juga. Dia pura-pura ke bilik air dan telefon teksi... dia lari balik macam tu. Abah tak bercakap dengannya sampai dua hari... ibu pula mujurlah ada hobi berleter; jadi awal-awal lagi ibu dah ‘berkawan’ dengan Zana... lalu Zana terpaksa membiarkan cuping telinganya menerima segala ‘kata-kata’ ibu sebagai ‘harga sebuah persahabatan’ itu!

    “Zana, abang dulu pun kahwin diatur... tetapi bahagia juga.” Sambung Abang Zahar semula.
    “Diatur? Abang, betullah Kak Fadlina tu dua pupu kita, tapi perkahwinan ‘diatur’? Jangan mengarutlah, abang memang dah lama jatuh hati dekat dia, kan. Bukan abang yang suruh Zana kenen-kenen dekat ibu. Diatur konon....” Perli Zana.

    Zahar yang bertugas dengan kedutaan Malaysia di sana, terpukul dengan kata-kata adik bongsunya tu. Sejak kecil mereka memang rapat. Isteri Zahar tu kini sedang sarat mengandung anak kedua. Setelah hidupnya berbahagia, kini abangnya tu cuba nak atur hidupnya pula.

    “Zana... arr.”
    “Abang dahlah, telefon ni walaupun tak pakai elektrik bukannya ‘free’... dah la buat ‘reverse charge’, tak tahu malu... kesian kat abah. Abang asyik mengena abah aja. Konon-konon Dian nak cakap dengan tok wan dia... alih-alih abang yang cakap banyak sekali. Tak senonoh... dah tua-tua pun masih bergantung kepada abah.” Zana memulangkan paku buah keras kepada abangnya. Zana cepat-cepat meletakkan telefon, abang Zahar ni boleh tahan juga pandai memujuk.

    Hari sudah beransur petang. Esok keluarga Nenek Hendon akan datang meminang dan hantar cincin tanda, secara rasmi. Sebelum mereka datang lagi, Zana sudah ada jawapan. Kalau diberi kekuatan esok, dia sendiri yang akan kata: TIDAK. Biarlah mereka datang bersusah payah dari jauh dengan segala jenis baulu ikan emas dan arnab ke, pulut kacau, dodol ke atau kacang pol ke! Zana peduli apa!

    Zana menggesek biola semula. Lagu Seri Dewi Malam memenuhi seluruh ruang biliknya.

    seri dewi malam
    tabir gerbang alam
    jika kawanku yang setia
    simpankanlah rahsia
    janjiku dan dia


    Janji? Dengan siapa ya? Kata abah semalam, kalau Zana dah janji dengan orang lain tentu aja ada sebab Zana menolak. Dan abah sendiri tidak akan ada halangan untuk itu. Ini Zana tak ada siapa-siapa. Ya betul tu, bah... Zana memang tak ada siapa-siapa... dan ini bukannya bererti abah boleh paksa Zana berkahwin dengan siapa-siapa saja!

    Annas tu kerja elok. Budak baik. Orang yang jaga agama. Bukannya hodoh pun. Abah mula bercerita fasal bagaimana Rasulullah memujuk anaknya Fatimah untuk menerima Sayidina Ali. Kita memilih pasangan biarlah kerana agamanya. Supaya dia dapat pula memimpin kita ke jalan akhirat, Zana. Abah sudah lelah memujuk. Esok keluarga Annas akan datang. Zana masih membantah. Kalau dia lari tak balik esok, apa yang hendak diceritakan kepada Nenek Hendon dan saudara maranya tu.

    “Kita nak beri alasan apa, Zana.” Tanya abah semalam.
    Berilah alasan apa saja... Zana nak sambung belajar ke! Zana nak pergi ‘migrate’ mana-mana ke! Pokoknya apa saja, asalkan mereka tak mendesak! Jerit hati Zana ketika itu.
    Akhirnya abah bersuara: “Zana, abah tahu... Zana ni bukannya tidak mahu... pura-pura jual mahal!”

    inilah cubaan
    inilah dugaan
    kasih yang sejati disimpan
    yang palsu dilahirkan
    semoga berjaya

    kanda suka bergembira
    kanda senang berketawa
    riang namun hatiku luka
    istana besar sebagai sangkar
    bahagia....


    Lagu Seri Dewi Malam tu tidak dapat dihabiskan apabila tiba-tiba Zana mendengar suara ibu menangis di bilik depan.

    Zana berjalan perlahan-lahan menghampiri bilik bacaan kecil dekat dengan kamar tamu tu.
    “Tak apalah kalau Zana tak mahu pun, tapi janganlah buat Dewi macam ni.”
    Zana jadi sesak nafas, mendengar ibu seperti sedang berbicara halnya dengan abah di situ.
    “Sabarlah Dewi, nanti tekanan darah tinggi tu naik lagi.”
    “Hari tu, kita yang pandai-pandai kata 'ya' pada Makcik Hendon, tanpa minta pendapatnya. Kita yang salah, abang. Habis di mana kita nak letakkan muka... nak pulangkan balik janji tu.”
    “Biarlah Dewi, biar abang yang cakap... tahulah abang nak atur bahasa.” Abah memujuk.
    “Esok mereka dah nak datang, ni.”
    “Nanti lepas maghrib abang sendiri cakap dengan Annas dulu.”
    Suara ibu masih parau kerana sudah lama menangis.

    Kuatkan hati, Zana. Kamu dah nak memang tu. Esok saja... lepas tu kamu akan jadi Zana yang dulu lagi, pujuk hatinya berkali-kali. Ingat tak dulu, tangisan ibu yang menghalang kamu ke Lincoln’s Inn. Kesayuan ibu menghentikan langkah kamu ke kolej idaman di Seremban. Zana tidak tahu dia harus tersenyum atau menangis pada saat ini. Dia betul-betul sedang di simpang dilema.

    Cukuplah... biarlah Zana memilih haluan Zana sendiri. Hati Zana digoda lagi. Ibu nyaris saja maut kerana melahirkan Zana, kerana songsang. Tak boleh ke kamu berkorban sikit Zana? Pujuk hatinya tiba-tiba. Padahal selama ini hati itu yang mengajaknya untuk ‘berpiket’! Susah ke, untuk menggembirakan hati seorang ibu, Zana?

    “Dewi jadi bimbang tengok Zana bang, makan pun dah kurang... belajar pun tidak... siang malam asyik main piano dan biola aja.... kita sudah terlampau memaksa dia, bang. Kalau dia tak bahagia kesiannya... Mujurlah kita sedar sebelum terlambat.” Dari bilik yang renggang Zana melihat abah sedang mengesat air mata ibu.

    Zana jadi sebak tiba-tiba. Ibu sahaja kesian pada Zana sedangkan Zana sedikit pun tak jaga hati ibu. Ibu sudah banyak berkorban untuk Zana. Tetapi apa yang Zana buat untuk menggembirakan hati ibunya?

    * * * * *

    “Amboi, kita yang bertunang… Jade yang berkasih… dia pula yang akan kahwin dulu,” kata Nik Marissa, ketika Zana menghulurkan kad undangan.
    “Patutlah kawan kita yang sorang ni jadi ‘pelik’ tiba-tiba.” Pintas Jade pula.
    Mereka baru sahaja selesai menjawab kertas terakhir, dan ini bermakna mereka akan mengucapkan selamat tinggal kepada ‘bangku kuliah’.
    Awal-awal lagi Aliya sudah berjanji nak belanja mereka semua makan Nando’s dekat Midvalley.

    Zana cuba tersenyum.
    “Yalah, orang ada buah hati.” Usik Marissa lagi.
    “Kau ni dengan Aliya sama saja. Hujan tak, ribut tak... tiba-tiba kahwin. Kami yang dah lama ada buah hati pun tak kahwin-kahwin lagi... kamu ni yang lebih-lebih pula lah.” Kata Jade, yang sudah bertahun-tahun berkawan dengan budak ‘engineering’ yang belajar di Nogaya tu.

    Zana memerhati Jade yang jelita dan sentiasa jadi perhatian ramai sejak dulu. Namun begitu, setianya pada Sulaiman tidak pernah berbelah bahagi. Kami kenal dari sekolah rendah lagi, katanya selalu. Tak jemu ke kawan lama-lama macam tu, usik Munna setiap kali mendengar Jade mempertahankan hubungannya dengan Sulaiman yang tiada berkesudahan tu.

    Zana tiba-tiba jadi serba salah. Ceritanya akan berkahwin tentu saja menggores hati Jade. Kesian Jade. Sampai bila dia harus setia? Dengar cerita Sulaiman nak bekerja di Jepun pula. Kalau padi katalah padi, jangan biar Jade tu ternanti-nanti. Betulkah kata orang, bukan semua orang cantik... akan berbahagia dengan sebuah perkahwinan? betulkah cantik tidak pernah menjanjikan apa-apa? Tapi ibu sangat cantik, dan dia sangat berbahagia!

    Aliya sekadar tersenyum di sebelah Zana. Sejak jadi isteri orang ini, dia lebih banyak mendengar daripada masuk campur dengan urusan usik-mengusik kawan-kawannya tu. Dia jadi kesian melihat muka Zana yang masam-masam manis tu pabila diusik kawan-kawan mereka. Awal-awal lagi, Aliya sudah berjanji akan datang ke majlis tu dengan Hadi serta keluarganya. Hah, kesian Zana teruklah dia kena buli dengan Jade dan Nik Marissa nanti.

    “Semua orang nak kahwin, tinggallah Munna sorang-sorang kat sini, kamu jangan lupa Munna tau. Sesekali mesti berkumpul dan kita makan-makan kat mana-mana, ya.” Munna pura-pura buat muka sedih.
    “Munna, dah berapa kali Liya nak kenalkan kamu dengan Fahem tapi Munna memilih sangat.” Usik Aliya sambil mengerdip mata ke arah Zana.
    Dia masih mengharap Fahem dapat isteri yang baik seperti Munna. Munna menjelirkan lidahnya.
    “Kamu ingat Munna ni ‘recycle bin’... apa-apa kamu tak mahu nak ‘pass’ kat Munna!”

    “Wah, dalam diam-diam simpan buah hati ya... nampak macam alim aja. Sampaikan Fauzi nak melirik senyum pun tak berani.” Sampuk Munna, pelajar tahun empat ‘medic’ tu semula. Semua kawan-kawan sekelas Zana dia kenal.

    Buah hati? Bercakap pun tak pernah, menelefon pun tidak. Berjumpa jauh sekali lah. Dia baru memandang Annas tiga kali; pertama kali sewaktu Annas menghantar mereka pulang membeli belah hari tu. Kemudian dia nampak Annas sekali lagi - jauh-jauh - di restoran... juga pada majlis pertunangan baru-baru ni. Pada hari bertunang tu, Annas langsung tidak memandang ke arahnya. Dia pun kena paksa juga ke? Yalah, dia ‘lelaki yang bukan untuk dipilih’! Lelaki: peluangmu untuk memilih lebih mudah berbanding perempuan, kan!

    Zana melentikkan jarinya... ditenungnya cincin belah rotan tu sekali lagi. Sepatutnya, mengikut adatnya... Annas tak datang pada hari pertunangan tu. Memandangkan dialah yang ‘tukang’ menunjukkan jalan pada saudara maranya dari Kedah tu, dia pun kena menunjukkan muka... dan abah dengan senang hati pelawa dia masuk juga. Mereka ramai-ramai bergambar kenang-kenangan di ruang tamu. Ketika itu Zana tidak pasti dengan perasaannya sendiri; dia mengikut saja kata-kata emak seperti orang kena pukau.

    Bila tadi kawan-kawan Zana nak lihat muka Annas. Gambar itulah yang ditunjukkannya. Nik Marissa ketawa besar. Orang kena ada gambar buah hati secara solo, lepas tu simpan dalam ‘purse’ macam ni, kata Marissa sambil menunjukkan gambar Muhammad Adli kepada Zana.

    Sekejap saja, Marissa dan Jade sudah sibuk berbincang nak pakai baju apa dan rancangan mereka nak ke rumah Zana. Majlis tu dah tak lama lagi. Kedua-dua mereka yang lebih-lebih sangat sehingga mengalahkan bakal pengganti baru tu sendiri. Si Munna telah berlalu pergi, setiap kali Aliya membangkitkan hal Fahem dia akan pura-pura merajuk macam tu. Aliya duduk semakin dekat dengan Zana. Dicubanya tidak menarik perhatian Jade dan Marrisa yang sedang rancang berbual.

    “Sudah siap semuanya, Zana. Kalau nak minta tolong apa-apa cakaplah.” Kata Aliya, setelah dilihatnya Zana tidak pun bergembira dengan berita perkahwinannya tu.
    “Semua ibu urus, Zana tak perlu buat apa-apa... Zana hanya perlu sediakan mental yang cukup kuat aja.” Bisik Zana.
    “Kenapa? Ada apa-apa yang Zana nak berkongsi dengan Liya?”
    Zana menggeleng.

    “Dia tu saudara abah, perkahwinan yang diatur, Liya.” Bisiknya semula
    Zana pernah memberitahu hal tu pada Aliya baru-baru ni.
    “Insya-Allah nanti kami buat solat hajat... biar Allah limpahkan kasih sayang-Nya untuk hati kamu berdua, Zana.” Aliya meramas tangan Zana.

    Air mata Zana menitis setitik-setitik. Aliya mendakapnya erat-erat. Rasa sedih Zana ditelannya sekuat degup jantung sahabatnya itu.
    “Eh, buat drama Korea apa pula kat sini.” Usik Jade tiba-tiba.
    Mereka berdua saling menyapu air mata dan cepat-cepat meleraikan pelukan.

    Ya, Zana bukannya perlu bersedia apa-apa pun. Abang Zahar mengirimkan baju sutera bersalut dengan mutiara-mutiara halus untuk majlis tu. Warna merah jambu lembut. Abang Zahar sekeluarga tidak dapat pulang. Kak Fadlina sudah sarat sangat. Kalau ‘terberanak’ atas ‘flight’ macam mana, seloroh Abang Zahar... apabila Zana merenggek sedih Abang Zahar tidak turut menyaksikan majlis tu. Ibu pula menghadiahkan Zana selendang panjang – warna seroja - warisan daripada neneknya. Semua barang-barang tu terlalu indah untuknya... dan perkahwinan itu juga terlalu indah untuknya.

    Aku impi menjadi isteri yang baik-baik untuk Annas. Aku ingin sekali berbahagia seperti Aliya. Tetapi adakah Annas juga akan menyukai aku? Boleh kita bahagia kalau kahwin tanpa rasa cinta? Mungkinkan ada cinta dalam perkahwinan yang diatur? Tuhan Yang Maha Penyayang, semailah sedikit rasa cinta itu di hati kami!

    * * * * *

    Sejak menjadi isteri orang, dia betul-betul tidak mengenali dirinya sendiri. Bahagia ke? Menderita ke? Entahlah... perasaannya sentiasa bercampur baur. Ada sesuatu yang menarik tentang Annas. Ada rindu yang pernah tertahan, ada kasih yang pernah terhalang. Dia tu seperti lelaki yang pernah bertakhta di hati... tetapi Zana tidak pernah tahu, di mana sepotong wajah itu pernah hadir dalam hidupnya?

    Zana melihat kalendar di dinding, sudah 39 hari dia menjadi isteri Annas. Ditenung gambar di atas piano. Annas tersenyum di situ, berpakaian serba putih dengan samping putih berbenang perak. Songkok tinggi itu mengubah perawakannya tiba-tiba. Zana berdiri di sebelahnya, dan rasa gementar terpancar dalam gambar yang tidak pandai berbohong tu; Zana kelihatan pucat betul-betul. Seorang berbaju putih, seorang berbaju merah jambu... mereka betul-betul berbeza... tidak ada apa-apa yang mengikat mereka kecuali sehelai surat nikah.

    Selepas majlisnya berlangsung, Annas sibuk betul dengan kajian pemakanannya tu. Dia sedang membuat penyelidikan mengenai pemakanan kanak-kanak di beberapa buah kawasan di Pantai Timur. Seminggu sekali baru dia balik ke rumah. Tetapi Zana tidak pernah tahu, dia sedang buat ‘research’ tentang apa? Kerana mereka tidak pernah berkongsi apa-apa. Cuma yang dia tahu, Annas bekerja di wad kanak-kanak. Apabila mereka keluar ke mana-mana berdua, Annas hanya akan memperkenalkannya sebagai ‘orang rumah saya’. Tidak isteri saya? Begitu sajakah pandangan Annas kepadanya... sekadar, ‘orang rumah’ atau... yang lebih tepat lagi orang gaji saya? Hadi selalu memperkenalkan Aliya sebagai, ‘my another half’... cemburunya.

    Zana, jangan nak bersedih tak tentu arah, jerit hatinya. Zana mendekati piano semula. Annas sudah lama ke tempat kerja. Rumah sudah dikemas rapi, apa lagi yang tersisa untuknya pagi ini? Sunyinya. Sejak abah dan ibu melancong ke Eropah. Annas sudah tidak keluar-keluar lagi ke Pahang, Terengganu dan Kelantan. Setakat hari ini, Annas tu baik sangat... tidak banyak kerenah. Dia juga bertanggungjawab... sejak abah dan ibu tak ada, dia akan menelefon Zana dua tiga kali untuk memastikan Zana selamat di rumah.

    Mereka jarang berbual, setakat menyapa ada lah... bercakap bila-bila perlu... terutamanya apabila Annas memerlukan apa-apa. Yalah, rumah ni masih asing baginya. Dia meninggalkan rumah bujangnya, untuk berkongsi kasih dengan keluarga Zana. Itulah yang Nenek Hendon beritahu kepada abah. Cara Nenek Hendon bercakap tu... seolah-olah nak hantar anak ke rumah kebajikan pula. Dan Zana ni siapa bagi Annas? Pengasuhnya, mungkin!

    Pernah juga Zana terasa nak bertanya lebih lanjut fasal keluarga Annas, tetapi dia tak berani. Annas pun tak pernah bertanya apa-apa fasal keluarga Zana. Annas macam tak suka berbual dengannya kalau tak ada sebab yang betul-betul penting. Tetapi dengan kawan-kawannya meriah pula suaranya. Pernah sekali Zana terdengar dia sedang bercakap... berbisik-bisik di telefon... macam bercakap dengan kekasih pula:

    “Maaflah, tak beranilah... Rin... tak kan pula nak tinggal ‘anak orang’ sorang-sorang waktu malam kat rumah. Kalau Doktor Zainordin buat ‘spot check’... matilah abang.”

    Oh, dia takut kat abah ya! Jadi sepanjang abah tak ada kat sini... dia kerja jadi ‘jaga’ aku ke? Itu sajakah perjanjian abah dengan Annas? Tapi siapa pula si Rin ni? Siapa ya perempuan tu... kenapa nak berbisik-bisik macam tu pula. Oh, dengan Rin guna ganti diri 'abang'! Romantisnya... Tentulah Rin ni seorang yang istimewa di hatinya....

    kanda suka bergembira
    kanda senang berketawa
    riang namun hatiku bingung
    sebagai burung
    di dalam sangkar terkurung


    Aliya sudah memulakan ‘chambering’ kat Langkawi. Hadi mahu dia cepat-cepat habiskan semuanya dan mulakan syarikat penerbitan kad ucapan. Lepas Aliya ‘call to the bar’ dia tidak perlu kerja sebagai peguam, kalau dia lebih berminat dalam lukisan. ‘Sporting’-nya Hadi. Aliya boleh tumpukan kepada aktiviti melukisnya sepenuh masa. Lagipun tidak lama lagi, dia akan jadi seorang ibu, tentu dia sibuk sangat. Menjadi peguam bertauliah sekadar menunaikan hajat ayah saja, itulah kata Aliya minggu lalu.

    Marissa telah jadi ‘legal adviser’ di Kota Baharu dan dia sudah malas nak buat ‘chambering’. Aku nak kahwin dan punya anak-anak aja. Itu saja ke cita-cita Marrisa, menjadi ibu dan menjaga anak-anak? Kata Marissa, biarlah orang kata aku mengaji tak habis pun... asalkan Adli sayangkan aku sudah lebih daripada mencukupi. Yang paling menyedihkan tentulah Jade. Kekasih hatinya, Sulaiman, telah berkahwin dengan gadis Jepun! Kesian Jade... sejak itu, dia sudah tidak mahu menggunakan nama timang-timangan kesayangan pemberian Sulaiman tu. Aku bukan lagi... si Jade kesayangan dia! Panggilah aku Junaidah semula, Zana!

    Dan Zana? Zana tidak tahu dia nak buat apa. Terasa seperti nak sambung belajar: sebab duduk di rumah pun tidak tahu nak buat apa. Zana belum bersedia untuk pergi ‘chambering’ lagi. Zana ... terasa hendak mengajar, tetapi masih tidak pasti. Lalu Zana tidak tahu nak buat apa-apa.... Tapi Annas tak pernah kata apa-apa. Dia tidak bertanya apa-apa pun. Mereka macam main sembunyi-sembunyi dalam rumah ni. Menyembunyikan hati dan perasaan juga. Dia tidak pernah tahu, kalau-kalau Annas menyukainya atau tidak!

    Setiap hari Zana hanya menyediakan makan minum Annas. Menyeterika pakaian Annas lendit-lendit... supaya orang tahu, Annas sudah beristeri. Entah kenapa, dia selalu mengaitkan kekemasan seorang lelaki sangat bergantung pada kerajinan isterinya. Sejak dulu, abah sentiasa saja kemas... kerana ibu seorang yang sangat rajin. Kalau ibu demam tidak dapat menyeterika pakaian abah... abah jadi tidak kemas. Dan kawan-kawan abah sering dapat teka, Dewi sakit ya?

    Kini Zana rasa tidak sebebas dulu lagi. Tetapi dia tidak pula pernah rasa ingin ‘dibebaskan’. Dia suka 'dikurung' oleh Annas di dalam rumah begini. Sebenarnya, dia betul-betul sudah jatuh hati pada Annas. Itulah masalahnya. Namun yang lebih menambah masalahnya, dia tidak pernah tahu apa yang tersimpan di hati Annas untuknya. Dia juga jadi bimbang pada si Rin yang sering-sering menelefon Annas saban malam. Kalau si Rin menggunakan telefon rumah, tentu saja dia ingin bertanya... siapa Rin di dalam hidup Annas. Tetapi mereka saling berbual melalui telefon bimbit.

    Zana jadi sebal. Sudah dikorek telinganya berkali-kali, sudah dibuka deria dengarnya seluas-luas... tetapi perbualan Annas – Rin tak pernah ditangkap semuanya, kecuali ketawa-ketawa kecil mereka. Mereka berbual lebih kurang lima minit setiap malam lepas waktu makan malam, kadang-kadang bercampur sikit-sikit dalam bahasa Arab. Tentu kawannya semasa di Mesir? Zana mula cemburu. Semuanya itu membuat Zana betul-betul rasa terpanggang berjam-jam kemudiannya. Ya, Annas memang tak pernah suka kepadaku! Dia lebih menyukai Rin, mereka masih saling berhubungan. Kekasih lama? Kekasih selama-lamanya?

    Rasanya, hidup ini seperti teka silang kata... dan Zana harus menyelesaikannya. Alangkah baiknya, kalau Annas tidak menuruti kata Nenek Hendon sedari awal, dan dia terus berkahwin dengan Rin sedari mula. Bagaimana ya, rasanya kalau tiba-tiba, Annas memberitahunya tentang Rin? Cinta berhentilah dari terus bertunas. Zana jadi takut, tiba-tiba!

    Hidup ini tentu saja tidak sama seperti dulu. Wah, mudahnya dia jatuh hati pada Annas... baru 39 hari dia sudah jatuh hati. Boleh pecah rekod begini! Tetapi ada sesuatu tentang Annas yang membuat perasaannya beralih untuk menyukai Annas dengan pantas. Setiap kali dia berdiri solat di belakang Annas dia rasa begitu hampir dengan Annas. Suara Annas yang fasih dan sedap melagukan surah-surah Allah... membuat dia menjadi khusyuk berjemaah dengan Annas. Tetapi perasaan itu akan hilang, apabila solat selesai dan mereka menjadi dua insan yang berbeza semula.

    Semalam ibu telefon, Kak Fadlina sudah selamat melahirkan anak lelaki. Wah, Dian dah jadi kakaklah ni. Alhamdulillah. Ibu bertanya sama ada Zana bahagia. Zana sendiri tidak ada jawapan untuk itu. Zana tidak tahu bagaimana rasa bahagia tu. Kata ibu, mereka akan balik bulan depan. Mereka belum menjelajah seluruh Eropah... abah dan ibu ingin menikmati musim bunga. Ibu, ibu... Zana yang kahwin... ibu pula yang pergi ‘honeymoon’.

    seri dewi malam
    tabir gerbang alam
    jika kawanku yang setia
    simpankanlah rahsia janjiku dan dia


    Zana menghabiskan alunan Seri Dewi Malam, sebelum telefon menjerit minta diangkat.

    “Assalamualaikum, Zana.” Suara Annas kedengaran mendatar di hujung sana.
    Zana membalas salam tu.
    “Buat apa?”
    Soalan yang sama seperti hari-hari sebelumnya. Tukarlah skrip sikit, bisik hati kecil Zana. Amboi kalau dengan Rin, kamu siap bergelak ketawa ya!
    “Tak ada apa-apa. rehat-rehat saja.” Balas Zana.
    “Dah makan tengah hari?”
    “Alhamdulillah, masih kenyang.”
    Masing-masing bertukar sepi. Dah lupa skrip lah tu? Bisik hati Zana, sambil ketawa kecil.

    “Zana, malam nanti masak lebih sikit ya. Saya nak kenalkan Zana dengan tetamu istimewa. Zana belum pernah kenal, Rin kan? Hari tu, dia datang kenduri... tapi terpaksa balik awal... ada ‘on call’. Jangan lupa ya. Dah lama sangat Rin nak jumpa Zana.” Ceria aja bunyi suara Annas.

    Zana rasa sesak nafas. Oh, si Rin tu pun rupa-rupanya doktor dan kerja sama-sama dengan Annas. Tak cukup bercinta di hospital, balik bersambung di rumah lagi, sampai setiap malam. Air mata Zana menitis setitik-setitik. Oh, jadi inilah akhirnya hubungan mereka. Annas sudah berani membawa si Rin untuk bertemu dengannya. Dan si Rin ingin rebut Annas dari Zana? Hei, Zana, pernahkah kamu memiliki Annas selama ini! Zana jadi malu tiba-tiba....

    Rasa cinta... berhentilah dari terus bersemi!

    * * * * *

    Petang itu Zana berhias cantik-cantik, dia mahu Annas memandangnya... kalau boleh biarlah Annas jatuh hati kepadanya. Bibirnya ditambah secoret gincu. Matanya disapu celak. Pembayang warna biru keabu-abuan disapu sedikit, sedondon dengan baju kurungnya. Rambutnya yang pendek tu, disangkutnya cekak. Ditenung wajah di cermin... terasa semakin hodoh. Dicucinya semula muka, dialas bedak seperti biasa. Tetapi celak di mata tu macam susah sangat nak hilang. Terasa matanya terbeliak macam burung hantu!

    Mendengar bunyi kereta berhenti di ‘porch’ dia segera berlari ke depan. Menghadiahkan sebuah senyuman paling manis buat suaminya. Dengan tertib, menghulur tangan mengucup tangan suaminya seperti selalu; meniru gaya ibu dan abah setiap petang. Annas melepaskan senyum, hatinya berbunga bahagia. Masih ke ada senyuman setenang itu, jika Rin datang malam ini?

    “Dah solat?” Tanya Annas sebaik sahaja menekan ‘remote’ untuk menutup pintu pagar yang sedang ternganga.
    Zana mengangguk. Annas telah berlalu ke dalam, untuk solat.

    Zana segera ke dapur. Sejak tadi dia sudah masak macam-macam untuk malam ni. Dia mahu mengingati malam ini! Dia mahu menunjukkan dia lebih pandai masak daripada Rin, di depan Annas. Perempuan yang hanya pandai memegang jarum suntik tu, tentu tidak pandai ke dapur. Itulah telahannya sejak awal. Zana menghela nafas. Malam nanti dia hanya perlu menanak nasi, memanaskan lauk serta membuat sayur campur saja. Dia telah menyediakan segala-galanya, termasuk juga hatinya....

    Zana menyanyi-nyanyi kecil di depan kuali. Cuba menghiburkan diri sendiri. Tetapi tiada irama yang bisa menghibur hatinya yang sedang pilu. Pada saat ini dia tidak ingin buat apa-apa kecuali; berteleku di atas sejadah sambil mengingati Allah. Kenapa ya tatkala sedih aja, perasaan itu datang. Tatkala hatinya berlagu senang... perasaan untuk berteleku lebih lama tidak segera datang. Tuhan, aku bergantung harap kepada-Mu.

    Zana mengangkat karipap yang sudah keperang-perangan ke dalam penapis yang sudah berlapik kertas serap minyak. Teh kurang gula sudah terhidang di meja dapur. Berlapik indah dan masih panas. Tujuh biji karipap berinti daging dengan rempah bercampur lada hitam sudah berkumpul penuh santun dalam piring. Diletakkan pula, ‘chutney’ pudina yang bercampur tairu sebagai pencecah. Annas suka makan samosa atau karipap dengan chutney pudina – seperti kebiasaan orang-orang Arab. Wah, baru beberapa hari kenal Annas, dia sudah tahu apa-apa saja makanan kesukaan Annas! Hebat ya kamu, Zana!

    “Sedapnya.” Kata Annas yang tiba-tiba sudah duduk di kerusi.
    Zana betul-betul terkejut. Mentang-mentanglah hari ni ‘Rin’ dia nak datang, dia cuba nak memuji-muji Zana pula.
    “Duduklah Zana, kita makan sama-sama.”

    Zana menutup api... perlahan-lahan berjalan ke singki lalu membasuh tangan dan duduk di depan Annas. Dicuri-curinya memandang sepotong wajah yang tenang tu semula, ada sebuah rindu yang terkumpul di wajah itu. Di mana ya aku pernah berjumpa dia? Di Alor Setar? Tak mungkin. Mereka jarang balik ke Alor Setar sejak tok dan tok wan meninggal.

    “Dah masak untuk malam ni? Atau kalau Zana letih, kita ajak Rin makan kat luar aja?” kata Annas lagi.
    ”Dah. Biar Rin makan di sini saja.”
    Dengan susah payah, dilafazkan juga nama ‘Rin’ - setelah diisytiharkan sebagai musuh ketatnya sejak tadi – dia jadi sukar untuk menyebut sepotong nama itu. Zana menelan air liur. Kerongkong terasa kering tiba-tiba.

    Annas menuang chutney pudina ke dalam piringnya. Dipatahnya karipap menjadi dua... dan dicecahnya dengan chutney tu. Zana pula seperti sudah hilang selera untuk memamah. Keramahan Annas yang tiba-tiba itu betul-betul mencurigakannya. Sampaikan di sini sajakah ikatan perkahwinan ini? Kenapa Annas tiba-tiba terlebih gembira.

    “Sebelum Rin datang, ada hal yang saya nak cakap dengan Zana terlebih dahulu.”
    Zana menatap wajah Annas, kenapa rasa cinta ini terus bersemi. Dia menghela nafas perlahan.
    “Cakaplah.” Ujar Zana lembut.
    “Dah lama kita tinggal sama-sama... dan saya rasa... kita patut....”
    ”Kita tak bahagia? Dan Annas dah tak suka kat Zana lagi? Annas nak tarik diri dari janji ini? DAN... Kita patut berpisah saja?” tenang aja Zana menuturkan segala-galanya di depan Annas.
    Zana terasa seperti sedang ‘present mock-court’ di depan pensyarah aja, begitu mudah.
    Sejak tadi Zana sudah mengumpul seluruh kekuatan untuk melontarkan kata-kata itu.

    “Betullah Zana tak ikhlas menerima saya, sejak mula.” tanya Annas tiba-tiba.
    Zana mengangguk.

    Tapi itu dulu, Annas... sekarang tidak lagi... jerit hatinya, tetapi kata-kata itu tidak terlepas keluar dari bibirnya. Kata-kata itu masih terikat jauh di dalam hatinya.

    “Zana!” Annas terus-terus menunggu Zana bersuara.
    “Pada mulanya.” Jawab Zana, dia tidak perlu malu kalau dia ingin meneruskan kata hatinya.
    Lebih baik malu sekarang, daripada menyesal seumur hidup kerana tidak pernah meluahkan segala-galanya.

    ”Sekarang ni?” Kata Annas sambil tersenyum lagi.

    Zana menggeleng. Dia jadi malu tiba-tiba. Ah, biarkan. Biarlah Annas tuduh dia perempuan tak tahu malu. Salahkan seorang isteri meluahkan rasa hatinya kepada suaminya sendiri. Tak salah dan tidak berdosa, kan! Ibu dan abah selalu saja melafazkan ikrar cinta mereka bila-bila masa saja... tak kira waktu.

    Annas terkesima dengan gelengan Zana. Sukar untuknya melahirkan perasaannya pada saat itu.
    “Annas yang tak bahagia jadikan Zana... isteri, kan?”
    “Kenapa pula Zana rasa saya ada perasaan macam tu?”
    “Naluri. Mata dan tingkah laku tidak pernah berbohong, Annas.”
    “Ia? Betul, ka?”
    “Zana tidak cantik macam perempuan lain. Annas ada banyak peluang untuk memilih.”

    Lama Annas memandang Zana. Zana menunduk.
    “Saya lihat Zana dengan mata hati. Dalam hati saya, Zana lah yang paling cantik untuk saya. Saya tidak pandang yang lain dan saya kisah apa kata orang pada isteri saya. Cantik tu, kita lihat dari sudut mata kita... bukannya mata orang lain, Zana. Masih ke tidak memadai... apabila kita cantik di mata suami sendiri?”
    Mata Zana berlinang. Terharu dengan kata-kata Annas. Tetapi dia tidak mahu bersorak dulu, hal Rin masih mengganggunya.

    Annas mendongakkan muka Zana dengan tangannya, perlahan.
    “Zana... jangan membandingkan diri hanya dengan kecantikan fizikal aja. Tetapi... pengisian kita sebagai hamba Allah lah yang lebih penting.”
    Air mata Zana sudah menitis setitik-setitik semula. Beristighfar perlahan-lahan di dalam hati... berzikir berkali-kali di tepi bibir, dia betul-betul insaf. Sering membandingkan kecantikan orang lain, tanpa melihat kelebihan yang Allah beri untuknya.

    Mereka bertukar sepi semula.
    “Annas, boleh Zana bertanya sesuatu.” Kata Zana kemudiannya.
    Annas mengangguk. Dikesatnya air mata Zana yang menjurai di pipi dengan hujung jari.
    “Eh, Zana pakai celak ya!”
    Zana tersenyum malu. Annas tidak ingin menunggu jawapan fasal celak tu lagi.

    “Apa yang Zana nak tanya tadi?”
    “Kenapa Annas ikut kata-kata tok... pilih Zana, padahal di dalam hati Annas, Zana tidak pernah wujud? Annas tidak pernah sayang pun pada Zana.”
    “Sekali lagi?”
    Dengan malu-malu Zana mengulangi soalannya.

    Matanya membulat memandang isterinya yang sedang malu-malu.
    “Pembetulan... perkahwinan kita tak ada kaitan dengan tok. Saya bukannya kena kahwin paksa macam Zana!”
    Zana terasa telinganya tersumbat lagi... dia seperti tidak percaya dengan apa yang dia dengar.
    “Kita sudah saling kenal sebelum ni... dah lebih dua tahun Zana.”
    Mata Zana terbeliak kerana terkejut. Dua tahun? Tapi Zana tidak pernah tahu pun.

    Annas jadi rasa hati. Tak pernah sayang? Tidak sayang ke saya padamu, Zana... kalau setiap petang saya menunggu keretamu berlalu. Tak sayangkah saya padamu, Zana kalau saban malam saya merenung gambarmu lebih lama daripada memandang gambar tok. Betapa saya rindukan saat untuk mendengar suaramu... memerhati tingkahmu dan mendengar bila pianomu berbunyi lagi. Zana, Zana... kamu tidak pernah tahu hati ‘abangmu’ ini.

    “Tapi....”
    “Tapi Zana yang sering menyisihkan hidup Zana daripada saya.” Tegas Annas.
    “Zana... datang dekat sini.” Kata Annas sambil membuka butang lengan kiri kemejanya. Sejak tadi Annas masih memakai pakaian pejabat.
    Zana masih tidak faham. Dilihatnya ada parut luas hampir tiga inci dekat situ... dan parut tu hodoh sangat di tangan Annas, jika dibandingkan dengan muka Annas yang kacak. Zana masih tidak bergerak.

    “Oh, dah buat orang jadi cacat macam ni... lari dari tanggungjawab untuk berkahwin dengan orang, ya.” Jerit Annas sambil tersenyum sehingga kelihatan gigi siungnya yang kecil manis itu menambah seri wajahnya.
    Zana masih tercenggang-cenggang.
    “Macam ni siapa yang nak lagi kat saya, Zana?” Kata Annas sambil ketawa kecil, seperti dia sedang berbual dengan ‘Rinnya’.
    Zana menggeleng. Tak ingat, katanya kemudian.

    “Macam mana boleh lulus ujian jadi ‘lawyer’ ni... sahlah beri rasuah pada pemeriksa. Benda-benda bukti macam ni pun boleh lupa, boleh tak ingat. Sekarang ni saya nak dakwa Zanariyah Zainordin atas kes cinta... saya nak tuntut insurans hati ni untuk seumur hidup....”

    Lalu Annas menceritakan apa yang berlaku. Dua tahun yang lalu, seorang gadis telah menumpahkan asid di makmal semasa pameran sempena Pesta Konvokesyen UM. Dia masih ingat lagi, gadis yang pemalu tu... cepat-cepat membasuh tangannya dan kemudian menyapu ubat. Setelah semuanya selesai, gadis tu meminta maaf kepadanya berkali-kali dan hilang di celah-celah orang ramai. Sejak tu dia selalu saja singgah di fakulti perubatan... mencari ‘pengantinnya’ yang hilang. Dua tahun dia mencari-cari... tetapi Zana tidak pernah ada. Kata sepupunya, Zana bukannya budak ‘medic’... mungkin sekadar pengunjung di pameran tu. Tetapi hatinya belum mahu mengalah....

    Haah, sekarang Zana betul-betul ingat akan peristiwa tu. Dia menunggu Munna yang bertugas. Dia duduk di bangku makmal melihat pameran di situ sampai jemu. Lalu berlakulah peristiwa tangannya tertolak asid dan tumpah di lengan pemuda malang tu. Mujurlah, tak pekat... kalau tak harus bagaimana kalau Annas terpaksa dipotong tangan? Ngerinya tiba-tiba datang.

    “Kenapa berlari sebelum kita saling berkenalan,” tanya Annas.
    Zana enggan menjawab. Dia jadi malu kerana hatinya berdegup kencang dengan renungan si pemilik tangan. Dia jatuh hati pada pemuda malang tu... tetapi tatkala sedar akan kekurangan diri... dia mengunci hatinya kuat-kuat. Dia akan kunci cerita memalukan ini rapat-rapat. Biarlah, Annas tidak tahu hatinya pernah berdetik irama yang sama....

    Lalu kini Tuhan telah menemukan jodoh mereka semula, ketika Nenek Hendon bertemu dengan ibu di depan One Utama. Itulah teka silang katanya.... dia sudah berjaya menemui sepotong wajah yang tenang. Wajah yang dijanjikan Tuhan untuknya. Hidup ini terlalu banyak kebetulan.

    “Saya mencari Zana di mana-mana, tak sangka rupanya... kita duduk dekat sangat. Keluarga kita pula pernah kenal rapat sangat. Bila Zana lari dari pertemuan di restoran hari tu, saya rasa... saya tidak mungkin lagi memiliki hati Zana lagi.”

    Janganlah berkata begitu Annas. Ambillah hati Zana semuanya. Zana tidak pernah memberi hati ini pada sesiapa sebelum ini dan juga selepas ini, insya-Allah.

    “Zana kenapa menangis lagi. Nanti... terhidrat tau.”
    Beritahulah Zana, apa yang di hatimu... supaya dia tidak mengingati Rin lagi. Milikilah sepenuh hatinya.
    “Zana takjub dengan janji Allah.”
    “Ya, tok pun terkejut apabila saya memintanya, meminang anak Doktor Zainordin dalam perjalanan pulang petang tu. Usik tok... saya dah kena minyak senyonyong.” Sambung Annas.
    Ya, sudah lama saya derita, mana mungkin saya melepaskan Zana pergi lagi dalam hidup ini.

    “Zana. Lepas makan malam nanti boleh tak mainkan lagu, Layarkan!”
    “Layarkan? Yang Ramli Sarip tu ya.”
    “Rin suka lagu tu.”
    “Annas suka muzik?”
    Annas menggeleng. “Tidak suka sangat. Tidak asyik seperti, Zana.”
    Mereka saling melayan rasa.

    Ah, kerana Rin suka... aku mesti main juga lagu tu. Tapi Zana tidak nafikan, dia juga menyenangi lagu tu.
    “Rin datang pukul berapa?” kata Zana tiba-tiba, dia ingin penjelasan.
    “Sekejap lagi...”
    ”Rin tu siapa, saudara kita ke?”
    Zana ada cara yang cemerlang untuk bertanya, supaya api cemburu yang sedang berhembus tidak terasa pijarnya di luar.

    Annas seperti takjub dengan nada suara Zana.
    “Doktor Baharin tu, sepupu saya, sebelah arwah ayah.”
    “Ingatkan perempuan, yalah bila sebut muka Annas bercahaya senang.” Kata Zana semula, seperti sedang mengusik, tetapi sebenarnya dia sedang melahirkan penyesalan kerana menuduh Annas bukan-bukan.
    “Aikh, bunyi macam lega... oh, selama ini salah sangka ya?”
    “Taklah.” Muka Zana sudah merona malu.

    Annas dapat menerka apa yang ada di dalam hati Zana.
    “Ya, dialah yang menemukan kita... dia yang ajak saya ke pameran tu. Dan di situ hati saya tersimpul mati untuk Zana.”
    Zana tersenyum bahagia....

    “Annas, lepas ni Zana masih diberi izin main muzik?”
    “Asalkan tidak melekakan dan tidak bercanggah....”

    Datang kepada muzik: dia harus pandai memikat hati Zana, dia harus pandai mengasing keasyikan hati Zana! Dia harus menunjukkan dosa dan pahala kepada isterinya yang berhati polos. Itu yang telah dijanjikan dengan Doktor Zainordin... dia harus menjadi pembimbing Zana untuk jalan akhirat....

    Layarkan bahtera ini
    Ke tengah samudera penuh ke lurah
    Layarkan bahtera ini
    Ke tengah lautan
    Menyahut cabaran

    Layarkan bahtera ini
    Timbul tenggelam kita bersama


    T A M A T

    Catatan:
    Cerpen ini ditulis pada tahun 1985 (di Minden), tetapi disesuaikan semula pada tahun 2005 untuk disiarkan di Rumah Kecil Tiang Seribu .

    Posted at 3:53 pm by noorsoraya
    Comments (10)  

    Previous Page