Entry: [4] - Gadisku, Wan Adnin Monday, March 07, 2011



Menekat Hati

minta sirih batang sekapur; tiada apa akan balasnya

 

Sudah dua tahun Adnin menganggur.  Kata Tok Bonda, bukan menganggur, tetapi bekerja dari rumah sahaja. Apa salahnya jadi tukang tekat, kerja orang elok-elok. Dulu-dulu kerja ini, kerja orang istana. Sahlah, Tok Bonda dulu ni kalau tidak dayang istana, jadi tukang tekat diraja. Bukannya ada darah kerabat pun seperti yang orang selalu dakwa. Apakah selama ini Tok Bonda pura-pura hidup seperti kami ada kaitan dengan keluarga diraja? Soalan itu bermain-main sejak Adni masih kecil lagi.  

Waktu Adnin sibuk hendak mengisi borang kerja atau menulis surat memohon kerja, Tok Bonda awal-awal lagi sudah beri kata dua. Pergi bekerja atau jangan balik ziarah Tok Bonda sampai bila-bila. Adnin terkedu. Sampainya hati Tok Bonda letaknya dalam posisi begitu. Kalau sudah dibenarkan belajar sampai ke universiti, kenapa pula Adnin harus simpan ijazahnya dalam bingkai sahaja?

Adnin, kenapa cek hendak menyusahkan diri, kalau di rumah ini sudah bagaikan gudang cetak duit? Itulah kata Tok Bonda dulu.

Gudang cetak duit?

Yalah, menekat benang emas dan benang perak ini memanglah menjadi kawah rezeki. Bukan murah harga tikar sila, kipas tangan dan tetampan kalau sudah siap. Bukannya semua pengantin mampu untuk beli persalinan daripada tekat benang emas. Seni ini hanya untuk orang berada, juga untuk kaum bangsawan sahaja.

Tidak syukur ke cek, dapat duduk di Sungai Limau, Yan yang segar, bersih serta indah permai ini? Udara sejuk dingin begini, cek tak jumpa di mana-mana dah! Dengan penuh yakin Wan Empuk berkata begitu. Tanpa mendengar isi hati Adnin, borang yang diisi cucunya itu dia ambil dan buangnya ke dalam tong sampah. Tak payah kerja, Adnin! tegasnya kemudian.

Mata Adnin sayu memandang. Hati Adnin jadi bungkam.

Ya, memanglah Tok Bonda tapi... cek pun teringin hendak keluar bekerja macam orang lain. Beli beg tangan, beli kasut tinggi, beli baju baharu, berebut naik bas dan LRT... kemudian apabila sudah cukup duit simpanan, mahu juga cek beli kereta. Duduk di kampung ni, bekerja dari atas rumah Tok Bonda ni sahaja, takkanlah nak bawa beg tangan dan pakai kasut tinggi pula serta salin baju baharu segala. Kalau mampu beli kereta pun, cek nak pi mana. Tok Bonda ni, kalau Adnin nak pergi jauh sikit sampai ke ?, ?, dah mengeluh kata tidak boleh.

Adnin ni sudah jadi macam katak bawah tempurung, tidak berdunia dengan orang. Belajar di universiti empat tahun campur duduk di Matrikulasi Kulim setahun, terasa seronok sangat. Ramai kawan-kawan dia jumpa. Belajar berkawan di luar kelompok kebiasaannya. Walaupun setiap minggu dia wajib balik ke Sungai Limau ni, tetapi dia tetap bersyukur tidak berada dalam kongkongan Tok Bonda sepanjang hari.

Apabila Adnin cakap elok-elok, selepas diperbetulkan dengan bahasa yang cermat inti pati keinginannya untuk bekerja itu pada Tok Bonda, Wan Empuk kata dia cucu yang menderhaka. Muda-muda lagi duk fikir fasal harta dunia sahaja. Adnin dituduh sengaja hendak tinggalkan Tok Bonda sendirian sebab nak kejar kerja yang campur lelaki perempuan. Kerja kalau setakat nak ukur bangunan, sukat jalan semua tu... buruh mana pun boleh buat. Tapi kerja tekat yang menggunakan jari-jemari anak perawan begini, hanya Adnin yang layak.

Tengok tu, memanglah Tok Bonda tidak akan lepaskan dia daripada rumah agam di tepi tali air ini mudah-mudah. Malah, kata Wan Empuk... kalau ada sesiapa yang ingin meminangnya mestilah si dia itu duduk sekitar Yan Kechil ini sahaja. Supaya rumah yang sudah Wan Empuk tukar ke nama Adnin ini ada penghuninya. Tapi kata Tok Bonda kemudiannya, tiada siapa yang layak untuk disandingkan dengan Wan Adnin binti Wan Adnan ada di kampung ini. Perbahasan tentang perkara itu tutup, dan sudah dua tahun dia jadi Adnin gadis kampung.

Nampaknya, sekarang ini... Adnin juga kena fikir bagaimana hendak sesuaikan diri menjadi andartu pada tahun-tahun akan datang. Wan Empuk tidak akan pilih lelaki sembarangan untuk menjadi cucu menantunya. Bagai kata orang Penang dulu-dulu, waktu zaman P. Ramlee... biarlah reput anak dara dia... kalau tidak berharta dan tidak berdarjat, tidak dia akan lepaskan senang-senang.

Mata Adnin berpindah semula ke pemidang di depannya. Kalau ikut hatinya, mahu sahaja dia menyulam sambil bersila. Tetapi kalau Tok Bonda lalu, mahu dia menjerit tengok kedudukan Adnin yang begitu. Orang perempuan, bukannya perempuan lagi kalau tidak mahu duduk bersimpuh. Bersimpuh ini, lambang pekerti anak gadis yang berbudi bahasa.

Awatlah Tok Bonda tidak seperti nenek Hani dan Zie yang lebih liberal. Waktu kecil-kecil dulu mana pernah Adnin memanjat pokok jambu dan rambutan seperti Hani, Zie dan adik-beradik lelakinya yang lain.

Menjerit kuat Tok Bonda tatkala melihat Adnin sudah mula meletakkan badan di pokok mempelam depan rumah tu. Kaki kanan belum lagi memanjat, suara Tok Bonda sudah begitu.

Orang perempuan kena jadi perempuan, bukan terloncat-loncat macam tu.

Mengucap panjang Tok Bonda tatkala terserempak dengan Adnin yang turun ke dalam tali air depan rumah ni mencari berudu dan ikan laga warna-warni.

Orang perempuan jangan duk main selut banyak-banyak nanti badan gelap dan berbau lumpur, cek oiii. 

Tangan Adnin mula menyulam benang emas di atas empulur kertas, sebelum mengikatnya dengan benang putih di atas benang emas yang disusun rapat-rapat jahitannya itu. Bunga kekwa sudah banyak kelopaknya. Bunga kekwa itu dicantum pada bunga kekwa yang lain dengan carang yang sederhana tebalnya. Empat kuntum bunga kekwa di setiap sudut. Cantiknya, tikar sila cucu Ku Manja ini. Benang emas di atas baldu warna kuning emas, menyerlahkan keanggunan raja sehari nanti. Sudah lama dia tidak menekat tikar sila. Yalah, tikar sila bukannya tikar basahan. Selepas diguna, orang akan simpan elok-elok untuk diguna dari generasi ke generasi. Malah kadang-kadang, dipinjamkan kepada orang lain juga. Padanlah harga mahal, tahannya juga mahal.

Untuk Adnin sendiri nanti, sudah ada tikar sila yang digunakan sejak zaman nenek kepada Tok Bonda lagi. Tidak mungkin dia dibenarkan menekat tikar silanya sendiri.

Adnin, kenapa tidak kamu terima sahaja Akhtar. Kurang-kurang kamu boleh bebaskan diri daripada Tok Bonda.

[Bersambung]

__________

Catatan:

1. Sedang jahit Langsir Biji Remia, cerita ini sekadar untuk mereka yang rindu laman rumah Tok Bonda aja.

2. Cepatnya bulan Mac bergerak, kaksu dah kena guna 'mesin jahit' tiada masa lagi untuk sembat dengan tangan.

   3 comments

ryn
March 16, 2011   09:37 AM PDT
 
sokong jid!!!
Jid
March 9, 2011   06:57 PM PST
 
Nanti akan betul2 keluar versi cetak ye KakSu? suka! suka! :-)

yang jauh di pulau
March 9, 2011   03:09 PM PST
 
kaksu, rupanya dah berkicau di sini. SUKA.

Pssstttt jahit guna mesin SINGER ker? ehem ehem tangan kita pun dah gatal nak menjahit kabarung yang dah berlobang tu.

selamat menjahit kaksu

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments