Entry: [5] - Gadisku, Wan Adnin Thursday, March 10, 2011



5

Takkan Melayu Hilang di Dunia

dilihat manis dipandang manis; manis sekali hati budinya

 

Kak Nijah sudah berlalu masuk ke biliknya, sesi makan malam sudah selesai. Adnin baru sahaja menunggu waktu isyak tiba. Di rumah ini, makan malam siap disajikan selepas solat maghrib. Habis sahaja solat isyak, dia menyemak bacaan al-Quran dengan Tok Bonda selepas itu dia akan ada acara bebas. Berbual melalui YM dengan sahabat-sahabatnya yang jauh di mata.

Zie dan Lila kerja di KL. Hani sudah setahun bekerja di Langkawi. Sheri kerja dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dekat KOMTAR. Sejak Angah Su sibuk, kuorum mereka sudah berkurangan. Habiskan masa sejam berbual, masing-masing ucapkan selamat malam. Itulah saat yang paling menyeronokkan sepanjang hari yang berlalu.

“Cek, sudah siap pesanan Tunku Manja?” soal Wan Empuk. Projek tiga bulan yang lalu itu, jarang sekali dia kemas kini perkembangannya kepada neneknya itu. Namun pagi tadi, Tunku Manja datang melihat hasil tekat Adnin. Kebetulan Wan Empuk tiada di rumah, waktu Tunku Manja sudah membuka pintu Alfa Romeo merah hati itu, barulah dia sempat berjumpa.

“Sedikit lagi saja, tapi Nenda Engku hendak Adnin buat kasut juga. Ada contoh tak Tok Bonda, Adnin tidak pernah buat selama ni.” Kasut daripada tekat benang emas tu memang cantik. Dia pernah lihat dalam majalah lama. Majalah Wanita tahun 70-an kalau tidak salah, adat persandingan anak raja negeri mana dia tidak ingat. Tetapi cantik sangat, kalah kasut baldu manik dari Negeri China.

 “Dalam tong-tong kayu di stor tu mungkin ada, esok cek tengoklah. Ajak Kak Nijah tolong. Tok Bonda dah tak tahan nak masuk bilik belakang tu, panas,” kata Tok Bonda sambil memakai telekung warna putih bersih, cantik kerana dibilas dengan nila.

“Panjang kaki dia, dah cek ada ke?”

“Nenda Engku dah beri pagi tadi, katanya kaki Ku Ajeerah lebih kurang besar kaki Adnin. Tapi macam lebar sedikit, Adnin takut jadi tidak cantik kalau pakai kasut tekat benang emas.”

“Nak buat guna baldu kuning juga ke? Cek, nak beli baldu baharu lagi?” Wan Empuk tidak ikut bersama memperkatakan tentang kaki cucu Tunku Manja. Amboi, pandai-pandai saja dia kompelin fasal kaki cucu orang. Pernah ke Tok Bonda ajar benda tak molek begitu, Adnin?

“Ya. Nenda Engku kata nak buat bunga tanjung tiga kuntum. Kain baldu ada lagi, Tok Bonda. Tapi Adnin tak tahu hendak letak harga berapa.”

“Dalam almari bilik arwah Tok Wan, ada invois harga zaman dulu. Cek semak dulu, lepas tu kita darab la dengan harga duit sekarang. Kunci almari tu dalam bekas kepala itik tu.” Kata Tok Bonda sambil matanya pindah ke almari hias berlipat tiga. Dia atasnya ada dua bekas kepala itik yang tidak pernah Adnin buka pun.

“Cari fail invois tu sahaja, tak payah selongkar benda yang tak berkaitan dengan cek.”

Adnin tidak berkata apa-apa, tiba-tiba sahaja azan berkumandang dan perhatian Tok Bonda beralih pada tikar sembahyang. Hari ini dia letih sangat. Dia ke Sungai Layar. Ada majlis merisik cucu sahabatnya. 

Adnin mengerling ke arah tempat simpan kunci. Sudah lama dia ingin masuk ke bilik bacaan arwah Tok Ayahanda. Adnin tidak pernah tahu, kunci itu akan membuka lembaran hidupnya pada sesuatu yang tidak pernah diketahui selama ini. Kunci itu akan bercerita fasal Adnin...

“Cek cepat, melengah-lengahkan solat tu tak baik.”

“Ya, saya.” Ucap Adnin dengan rasa bergetar. Tidak sabar untuk membuka almari Tok Ayahanda esok.

Dia cepat-cepat iqamat.     

 

[Bersambung]

______

:) 

   6 comments

aimie_afifah
May 25, 2011   04:27 PM PDT
 
salam kak su...
sy baru 'terjumpa' Wan Adnin...:)
Jid
March 26, 2011   09:05 AM PDT
 
Teng... teng... teng... **sambung sound effect KRyn**
ryn
March 16, 2011   09:40 AM PDT
 
jeng..jeng..jeng...
Rinai
March 15, 2011   12:53 PM PDT
 
Kak Su,
watak Wan Adnin dalam Gadisku Wan Adnin ni sambungan Ayuh, Lari ke Pulau Harapan ke? ;)
Jidah
March 11, 2011   02:26 PM PST
 
Cermatnya Tok Bonda, invois Tok Wan thun jepun pun dok simpan lagi, baguiss sungguh la.

Adnin cepat2 selongkaq bilik tu kami pun tak sabaq nak tau apa ada kat situ.

uuppps lupa nak tanya, Tunku Manja tak dak cucunda lelaki ker, boleh kenen buat cucu menantu Tok Bonda, comfirmed Tok Bonda approved.
yang jauh di pulau
March 10, 2011   06:03 PM PST
 
kaksu, tata rias bilik tok bonda tu rasa seperti masuk ke bilik anak dara guru mengaji kita satu waktu dulu.

Dan almari hias berlipat 3 itu sudah lama kita jatuh chenta. Dan katil besi antik itu... huhuhu

psssttt bekas celak mata tembaga berhias burung merak ole2 dari makkah masih tok bonda simpan ker tak? :p

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments